Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SULATIN- 45

Memohon Jajahan Sebelum Kembali

Hatta berapa lamanya Sultan Mansur Syah di Majapahit, maka baginda pun berkira-kira hendak kembali. Maka baginda ber­mohonlah pada Betara Majapahit hendak membawa Raden Galuh kembali ke Melaka; maka dikabulkanlah oleh Betara. Maka Sultan Mansur Syah pun menyuruhkan orang berleng­kap. Setelah sekaliannya hadir, maka baginda pun menitah­kan Tun Bijaya Sura minta Inderagiri kepada Betara. Maka Tun Bijaya Sura pun pergilah mengadap Betara Majapahit.

Maka sembahnya, "Tuanku, paduka anakanda empunya sembah ke bawah duli sampean, andika paduka anakanda hendak memohonkan Inderagiri, tuanku." Maka titah Betara pada segala Orang Besar-besar, "Apa bicara kamu sekalian bahawa anak kita, raja Melaka hendakkan Inderagiri? Berikan atau jangan?" Maka sembah Patih Aria Gajah Mada, "Sebaik-baik­nya tuanku anugerahkan kepada paduka anakanda, supaya jangan jadi mufarik lagi kita dengan dia." Maka titah Betara kepada Tun Bijaya Sura, "Katakan salam kita kepada anak kita, pemberian kitalah akan anak kita; janganlah setara Inde­ragiri, seluruh Jawa ini lagi anak kita empunyai dia."

Maka Tun Bijaya Sura pun bermohonlah kembali. Segala titah Betara Majapahit itu semuanya dipersembahkannya pada Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun terlalu sukacita mendengar titah Betara Majapahit itu, lalu baginda mcnyuruh Hang Jebat memohonkan Jambi dcngan Tungkal. Maka dikumiakan oleh Betara Majapahit. Sembah Tun Bijaya Sura pula, "Siantan tidakkah tuanku pohonkan kepada paduka ayahanda?" Maka titah baginda, "Kami pun lupa berpesan kepada Hang Jebat memohonkan Jambi dengan Tungkal tadi, pergilah Laksamana kita titahkan mohonkan Siantan."

Maka Laksamana pun menyembah lalu pergi mengadap Betara Majapahit. Maka titah Betara, "Hendak ke mana Lak­samana baharu-baharuan datang mengadap kita." Maka sem­bah Laksamana, "Tuanku, paduka anakanda mohonkan Siantan; konon tuanku, jikalau duli tuanku kurniakan dialap, jikalau tidak akan dikurnia pun paduka anakanda alap; kerana paduka anakanda sangat berkehendakkan Siantan." Maka Betara Majapahit pun tersenyum mendengar sembah Laksa­mana itu.

Titah Baginda, "Hei Laksamana, jikalau sungguh anak kita berkehendakkan Siantan, menarilah Laksamana, kerana kita tiada memandang Laksamana menari, telah ter­masyhur Laksamana pandai menari ketika sedang pekerjaan anak kita itu." Maka Laksamana pun menyembah, lalu bangkit menari seperti merak mengigal di dalam talam lakunya. Maka hairan­lah Betara dengan sekalian yang mengadap, melihat laku Laksamana menari itu terlebih kelakuannya daripada joget Mangun Asmara. Maka Laksamana pun berhentilah, lalu duduk menyembah Betara. Maka dianugerahi baginda persalinan dengan sepertinya.

Maka titah Betara Majapahit, "Hei Laksamana, kita berikanlah Siantan itu kepada anak kita; tetapi Laksamanalah yang memegang Siantan itu sampai kepada anak cucu Laksamana, tiada dapat yang lainnya memegang dia; apakala lain daripada segala anak cucu Laksa­mana memegang Siantan itu, binasalah Siantan. "Sebab itulah maka tiada boleh dipegang oleh pihak yang lain; jika lain daripada anak cucu Hang Tuah memegang dia, datanglah kecederaan ke atasnya. Maka Laksamana pun bermohonlah pada Betara Majapahit, lalu kembali kepada Sultan Mansur Syah. Segala titah Betara Majapahit itu semuanya di persem­bahkannya kepada baginda. Maka baginda pun terlalu sukacita mendengamya.

Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun bermohonlah kepada Betara Majapahit bersama-sama isteri baginda. Maka kedua anakanda baginda laki isteri dipeluk dicium baginda, beberapa puluh peti pakaian dan beratus orang dayang-dayang dibekalkan Betara akan anakanda baginda itu. Maka Sultan Mansur Syah pun bermohonlah kepada Betara, membawa isteri baginda turun ke perahu, diiringkan segala dayang-dayang, inang pengasuh Raden Galuh. Maka sekaliannya pun belayarlah diiringi segala kelengkapan yang banyak.

Hatta berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Pulau Sabut .

Maka Bendahara Paduka Raja dan Penghulu Bendahari, serta sekalian Orang Besar-besar keluarlah sekalian mengalu-alukan baginda, dengan membawa segala bunyi ­bunyian dan segala alat kerajaan. Maka rupa perahu tiada terbilang lagi banyaknya. Setelah bertemulah dengan Sultan Mansur Syah maka Bendahara, Penghulu Bendahari dan segala Orang Kaya-kaya semuanya menjunjung duli baginda. Maka baginda pun sampailah ke Melaka, lalu berangkat masuk ke istana membawa Raden Galuh Cendera Kirana semayam.

Maka oleh Sultan Mansur Syah akan Raja Merlang Inderagiri dikahwinkan baginda dengan anakanda baginda Puteri Bakal, tiada diberi kembali ke Inderagiri; itulah beranakkan Raja Nara Singa, yang bergelar Sultan Abdul Jalil.

* Setelah berapa lamanya maka Sultan Mansur Syah pun beranaklah dengan Raden Galuh Cendera Kirana seorang *[ ] Diturunkan dari Naskhah C.

lelaki, dinamai baginda Raden Dikelang; dan dengan isteri baginda anak Seri Nara Diraja pun ada baginda beranak dua orang, perempuan keduanya; seorang bernama Raja Mahadewi dan seorang lagi bernama Raja Cendera, baik-baik parasnya. Dengan isteri baginda saudara Bendahara Paduka Raja yang bongsu, beranak seorang lelaki bernama Raja Hussain, terlalu baik sikapnya lagi perkasa. Maka dikahwinkan baginda dengan Tun Naja, ** saudara Tun Tahir.

Tiada ulasan: