Isnin, 25 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 98

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu XIII

Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Hassan Temenggung Cuba Di"beli" Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara
Bendahara Paduka Tuan
Tun Biajid Sasar
Zuriat Bendahara Lubuk Batu Sultan Mahmud Membuang Kerajaan

Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja

ALKISAH maka tersebutlah perkataan peribaik paras anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah itu, ter­lalu sekali elok rupanya, tiadalah cendalanya lagi, sedap manis pantas pangus, seperti laut madu, bertasik susu, berpantaikan sakar; mukanya bercahaya berkilat-kilat seperti bulan pernama pada ketika cuaca. Tambahan pula kena pakaian nika warna; anak Bendahara, apa yang hendak dipakainya, tiada siapa me­larang dia; makin bertambahlah baik parasnya.

Dan akan saudaranya Tun Hassan Temenggung pun baik juga parasnya; maka diperbuatkan orang nyanyi:

Apa dijeruk dengan belimbing? Geranggang mudik muara;
Apa diTengok di balik dinding?
Tun Hassan Temenggung anak Bendahara.

Setelah Tun Fatimah besar, maka hendak didudukkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, Maka tatkala menghantar sirih, Raja Dibaruh dipersilakan oleh Bendahara Seri Maharaja; akan Raja Dibaruh itu, ayah saudara pada Sultan Mahmud Syah, saudara Sultan Alau'd-Din Syah yang tua sekali. Maka oleh Bendahara Seri Maharaja, Tun Fatimah ditunjukkannya pada Raja Dibaruh.

Setelah Raja Dibaruh melihat rupa Tun Fatimah, maka terla­lulah hairan baginda memandang parasnya; maka kata Raja Dibaruh pada Bendahara Seri Maharaja, "Yang Dipertuan adakah  sudah melihat anakanda ini?" Maka sahut Bendahara Seri Maharaja, "Belum duli Yang Dipertuan melihat." Maka kata Raja Dibaruh, ''Jikalau Bendahara tiada gusar, mahu beta berkata-kata." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Apa kehendak hati tuanku, katakanlah kepada patik."

Maka kata Raja Dibaruh, akan anakanda ini terlalu sekali baik parasnya, pada hati beta tiada patut ia diberi bersuami sama orang keluaran ini; jikalau Bendahara mendengar kata beta, orang tua ini, janganlah anakanda diberi bersuami dahulu; baik juga ditunjukkan kepada Yang Dipertuan, kerana sekarang negeri Melaka ini tiada beraja perempuan, kerana permaisuri Pahang sudah mangkat; yang istiadat raja Melayu, apabila tiada beraja perempuan, anak Bendaharalah akan jadi raja perempuan." Maka sahut Bendahara Seri Maharaja, "Tuanku, akan patik ini orang jahat, patut sama jahat juga." Maka kata Raja Dibaruh, "Baiklah, yang mana kesukaan Bendahara itulah kerjakan, kerana beta orang tua, sekadar mengingatkan Bendahara juga. "

Setelah itu, maka Bendahara Seri Maharaja pun berjaga­-jagalah akan mengahwinkan anaknya, Tun Fatimah dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Setelah datang pada ketika yang baik, maka Sultan Mahmud Syah pun dipersilakan oleh Bendahara Seri  Maharaja akan mengadap anaknya kahwin itu. Setelah Sultan Mahmud Syah datang, maka Tun Ali pun beraraklah, kahwin dengan Tun Fatimah. Maka Sultan Mah­mud Syah pun masuklah ke dalam rumah Bendahara Seri Maharaja mengadap orang bersuap-suapan itu.

Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah itu, maka baginda pun hairan; maka inginlah rasa baginda akan Tun Fatimah seperti kata syair:

Ma yarji'u al-tarfu 'ainnuhu 'inda ru 'yatihi,
Hatta yu' ada i-laiya al-tarfa musytaqu.

Yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia,
hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin hertam­bah dendam juga adanya.

Maka baginda berkata dalam hati­nya, "Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik anaknya, tiada ditunjukkannya kepada kita." Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanya akan Bendahara Seri Maha­raja. Setelah sudah orang kahwin, maka Sultan Mahmud Syah pun berangkatlah ke istana baginda, santap pun baginda tiada; maka tiada lepas lagi Tun Fatimah daripada hati ba­ginda. Maka Sultan Mahmud Syah sentiasa mencari cedera akan Bendahara Seri Maharaja. Setelah berapa lamanya Tun Ali duduk dengan Tun Fatimah, maka ia beranak seorang perempuan, Tun Terang namanya; baik juga rupanya

Tiada ulasan: