Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 94

Raja Petani dan Raja Kedah Dinobatkan 

Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri, Kota Mahligai namanya; rajanya Islam, Raja Sulaiman Syah nama­nya. Setelah kedengaranlah ke benua Siam bahawa negeri Kota Mahligai itu terlalu baik, maka ada seorang anak raja Siam Cau Seri Bangsa namanya; maka ia berlengkap dengan segala rakyatnya, lalu diserangnya Kota Mahligai itu. Maka oleh Raja Sulaiman dikeluarinya, lalu berperanglah kedua pihak rakyat itu. Maka Cau Seri Bangsa pun berperang dengan Raja Sulaiman, sama seekor seorang gajah. Maka kata Cau Seri Bangsa, "Jikalau alah Raja Sulaiman ini olehku, bahawa aku masuk Islamlah." Maka dengan takdir Allah Taala, Kota Mahligai pun alahlah, Raja Sulaiman pun mati dibunuh oleh Cau Seri Bangsa, dan rakyat Kota Mahligai pun terhukumlah oleh Cau Seri Bangsa. Maka Cau Seri Bangsa pun masuk Islam. Setelah itu baginda pun menyuruh mencari tanah yang baik hendak perbuat negeri. 

Maka ada seorang payang diam di tepi laut, Pak Tani namanya; tempat Pak Tani itulah yang baik. Maka dipersem­bahkan orang pada Cau Seri Bangsa, akan peri baiknya tempat Pak Tani itu, dilihat baginda tempat itu sungguh baik, tiada bersalahan seperti berita orang itu. Maka Cau Seri Bangsa pun berbuat negerilah di sana. Setelah sudah, maka negeri itu d"i­namai baginda Pak Tani, mengikut nama payang itu, maka di­sebut orang datang sekarang Petani.

Maka Cau Seri Bangsa pun menyuruhkan menterinya Okun Pola namanya, mengadap ke Melaka, mohonkan nobat pada Sultan Mahmud Syah. Maka Okun Pola pun pergilah; berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan oranglah pada Sultan Mah­mud Syah, "Utusan dari Petani datang." Maka oleh baginda surat dari Petani itu disuruh jemput seperti mana adat mengarak surat dari Pahang demikianlah. Setelah datang ke balai, maka surat pun dibaca orang, demikian bunyinya: "Paduka anakanda Cau Seri Bangsa, raja dalam negeri Petani empunya sembah, datang kepada paduka  ayahanda Seri Sultan Mahmud Syah al-mu 'azam maliku'l mukarram zilu 'llahu fi'l-'alam, yang di atas takhta kerajaan dalam negeri Melaka, Malakat. Waba'dah; kemudian dan itu, bahawa paduka anakanda menyuruhkan patik itu Okun Pola, mengadap ke bawah duli paduka ayahanda, jikalau ada kurnia paduka ayahanda, anakanda mohonkan nobat ke bawah duli paduka ayahanda." Maka Sultan Mahmud pun terlalu suka­cita; maka Okun Pola dianugerahi persalinan dengan seperti­nya, dan disuruh duduk setara kepala bentara. 

Hatta maka Sultan Mahmud pun menyuruh mengarang khatab pada Kadi Menawar, akan Cau Seri Bangsa gelarannya Sultan Ahmad Syah. Setelah sudah maka Sultan Mahmud Syah menganugerahkan gendang nobat dan bingkisan pada Okun Pola, dan dipersalin baginda akan Okun Pola. Maka surat dan khatab pun diaraklah turun ke perahu. Okun Pola pun belayarlah. Setelah berapa lama di jalan, maka sampailah ke Petani; maka surat dari Melaka pun diarak ke dalam, telah sudah dibaca, maka Cau Seri Bangsa pun terlalu sukacita, lalu ia pun nobatlah, gelar baginda Sultan Seri Ahmad Syah, bagindalah beranakkan Cau Gama; bahawa Cau Gama beranakkan raja yang ke Siam, Raja Aji. 

Arkian maka Raja Kedah pun datang mengadap ke Melaka, hendak mohonkan nobat; setelah datang ke Melaka, didudukkan oleh Sultan Mahmud di atas cateria, maka banyak dianugerahi baginda akan raja Kedah. Sekali persetua, Bendahara Seri Maharaja duduk dihadap orang banyak di balainya Sendiri, maka Tun Hassan Temeng­gung dan segala menteri semuanya ada mengadap; maka hi­dangan pun dikeluarkan orang, maka Bendahara Seri Maharaja pun makan seorangnya; segala orang yang banyak itu ada menanti Bendahara makan, kerana adat Bendahara Melaka, tiada makan sama-sama dengan orang; setelah sudah Benda­hara makan maka orang lain makan, demikianlah istiadat dahulukala.

Hatta sedang pertengahan Bendahara Seri Maharaja makan, maka raja Kedah pun datang, maka segera disuruh Bendahara Seri Maharaja naik duduk. Maka raja Kedah pun naiklah duduk, bersama-sama dengan Tun Hassan Temenggung. Maka Benda­hara pun sudahlah makan, lalu makan sirih. Maka sisa Benda­hara Seri Maharaja itu ditarik oleh Tun Hassan Temenggung dengan segala menteri, maka. kata Tun Hassan Temenggung pada raja Kedah, "Raja, mari kita makan;" maka kata raja Kedah, "Baiklah." Maka kata Bendahara, "Jangan raja makan sisa hamba, biar diambilkan nasi yang lain." Maka kata raja Kedah, "Tiada mengapa, kerana Bendahara orang tua, pangkat bapa kepada beta." Maka raja Kedah pun makanlah sisa Bendahara itu, bersama-sama dengan Tun Hassan Temenggung. Setelah sudah makan, maka datang sirih dan bau-bauan.

Hatta berapa lamanya raja Kedah di Melaka, maka raja Kedah pun bermohonlah ke bawah duli Sultan Mahmud Syah, hendak kembali ke Kedah. Maka oleh Sultan Mahmud Syah, raja Kedah dianugerahi persalinan, dan dinobatkan sekali. Maka raja Kedah pun kembalilah ke Kedah; setelah sampai ke Kedah, maka baginda pun nobatlah di Kedah.

Tiada ulasan: