Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-63

Wasiat Sultan Mansur Syah

Alkisah maka tersebutlah perkataan Raden Kelang, anak Sul­tan Mansur Syah dengan Raden Galuh Cendera Kirana, anak Betara Majapahit; setelah baginda besarlah, maka kasad Sultan Mansur Syah, sungguhpun ada Raja Ahmad, saudara Raja Muhammad yang dirajakan di Pahang itu, Raden Kelanglah hendak dirajakan baginda; kerana Raden Galuh Cendera Kirana itulah menjadi Raja Perempuan Besar di Melaka.

Pada suatu hari Raden Kelang pergi bermain di Kampung Keling, maka orang pun mengamuk. Maka sekalian orang pun habis pecah lari, maka Raden Kelang berdiri menghunus keris­nya, menantikan orang mengamuk itu. Maka orang itu pun datang, lalu bertikam dengan Raden Kelang; sama datang mata keris itu, maka keduanya kena dada, lalu sama mati; seorang rebah ke kanan dan seorang rebah ke kiri. Maka di­persembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, "Paduka anakanda sudah mangkat mengembari orang mengamuk." Maka baginda pun segera berangkat mendapatkan anakanda baginda; maka diarak baginda dibawa kembali ke istana.

Maka ditanamkan seperti istiadat kerajaan; maka segala orang yang mengiringkan Raden Kelang itu, semuanya habis dibunuh baginda, kerana tiada menyertai anakanda baginda itu, Setelah itu empat puluh hari baginda tiada nobat, bercintakan anakanda baginda itu. Setelah genap empat puluh hari maka Bendahara pun persembah nobat, maka baharulah baginda nobat. 

Sebermula akan Paduka Mimat, anak Sultan Mansur Syah dengan Puteri Hang Liu, anak raja China itu pun sudah hilang; ada seorang lagi saudaranya anakanda baginda itu, bernama Paduka Seri China; dirajakan baginda di Jeram, hampir Langat; ada lagi kotanya, dan orangnya di Jeram itu pun baik-baik bahasanya jika bertemu dengan orang. 

Hatta berapa lamanya, datanglah peredaran dunia; maka Sultan Mansur pun geringlah. Setelah diketahui baginda dirinya akan mangkat, maka baginda pun menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Ahmad, timang-timangannya Raja Hussain; dan Bendahara Paduka Raja, dan segala Orang Besar-besar sekalian, datang berkampung. Maka titah Sultan Mansur Syah pada sekalian, mereka itu, "Ketahui olehmu sekalian, bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya daripada geng­gamanku; melainkan negeri akhiratlah penghadapanku. Adapun pun petaruhkulah pada Bendahara dan segala Orang Kaya-kaya sekalian, anak kita Ahmad ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang sesuatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian, kerana ia budak yang bebal, tiada tahu istiadat."

Setelah segala mereka mendengar titah Sultan Mansur Syah demikian itu, maka sekaliannya pun menangislah terlalu sangat. Maka sembah Bendahara Paduka Raja dan segala men­teri hulubalang, Orang Kaya-kaya sekalian, "Ya tuanku,jangan apalah hati patik sekalian duli tuanku perbinasakan dengan titah yang demikian itu; bahawa patik sekalian ini adalah ber­kaul jika diafiatkan Allah Taala kiranya duli Yang Dipertuan daripada gering sekali ini, habislah segala harta yang di dalam khazanah patik, akan patik sekalian sedekahkan pada segala fakir miskin; tetapi barang dijauhkan Allah kiranya yang demikian itu, jikalau layu rumput dihalaman Yang Dipertuan, seperti titah itulah patik sekalian kerjakan." 

Maka Sultan Mansur Syah pun memandang kepada anakanda baginda, Raja Ahmad; maka titah baginda, "Hei anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya; iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal di­sebut orang selama-lamanya,

Adapun peninggalan aku ini, hei anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya. Makan haqu'l-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah subhanahu wa taala; melainkan dengan izin yang empunya hak juga; dan jangan khali engkau keluar dihadap orang, kerana Hamba Allah sekaliannya banyak berserah kepadamu; jikalau kesukaran baginya, hendaklah segala yang kesakitan itu segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa ia baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasmu,

kerana sabda nabi, salla 'llahu 'alaihi wa salam: Kullukum ra 'in wa kullukum mas'ulun ‘an ra'iyyatihi,

yakni segala kamu yang menggembala dunia lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu;

ertinya segala raja-raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah subhanahu wa taala daripada segala rak­yat.

Sebab demikianlah, maka sebaiknyalah engkau berbuat adil dan saksama, supaya di sana jemah diringankan Allah Taala kira-kiramu;

dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala Orang Besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, ji­kalau tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana akan dapat ia melakukan bijaksananya itu? Dan tiada akan Sentosa kerajaannya;

kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpamanya kayu; kerana api itu tiada akan nyala, jikalau tiada kayu;

seperti kata Farsi, 'Ar'ayatu juan bakhasta sultan khasad',

yakni rakyat itu umpama akar, dan raja itu umpama pohon;

jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya. Hei anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini; supaya beroleh berkat diberi Allah subha nahu wa taala, bija hi n­nabi salla 'llahu 'alaihi wa salam."

Setelah Raja Hussain mendengar titah ayahanda baginda itu, maka baginda pun terlalu­lah sangat menangis.

Tiada ulasan: