Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 92

Biadap di Hadapan Bendahara 

Hatta ada seorang menteri Sultan Mahmud, Tun Perpatih Hitam namanya, asalnya daripada Tun Jana Buga Dendang. Maka Tun Perpatih Hitam beranak seorang lelaki bernama Tun Hussain, terlalu baik sikapnya. Maka kata Tun Hussain, "Jikalau bapaku dibicarakan orang, aku mengamuk." Maka dengan takdir Allah Taala, Tun Perpatih Hitam pun bersoal dengan seorang dagang. Maka Tun Perpatih Hitam pun ber­bicara dengan dagang itu pada Bendahara Seri Maharaja. Tat­kala itu Laksamana Khoja Hassan pun ada, kerana adat Bendahara Melaka, apabila membicarakan orang, Temenggung dan Laksamana tiada bercerai dengan Bendahara;jikalau orang biadab lakunya pada Bendahara, Laksamanalah membunuh dia; dan jikalau orang yang patut ditangkap dan dipasung, maka Temenggunglah yang menangkap dan memasung dia.

Demikianlah istiadat zaman dahulukala. Setelah Tun Perpatih Hitam dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja, maka Tun Hussain, anak Tun Perpatih Hitam pun datang mendapatkan ayahandanya berbicara itu. Telah Tun Perpatih Hitam melihat Tun Hussain datang berkeris panjang itu, maka pada hati Tun Perpatih Hitam,"Entah disungguhkan oleh anakku, Tun Hussain ini, seperti katanya yang dahulu itu." Maka Tun Perpatih Hitam pun berdiri, di­kuiskannya tikar dengan kakinya,seraya katanya. “Menteri apatah ini, yang dibicarakan orang begini?" Setelah dilihat oleh Laksamana makarnya Tun Perpatih Hitam itu, lalu dihunusnya pedang lakia. maka kata Laksamana, "Mengapa maka Orang Kaya biadab, menguiskan tikar di hadapan Ben­dahara?" Lalu diparang oleh Laksamana; dengan sekali parang itu juga maka Tun Perpatih Hitam pun matilah. Telah Tun Hussain melihat ayahnya mati itu, maka ia pun menghunus keris; maka kata Laksamana Khoja Hassan, "Hendak derhakakah Tun Hussain? Lalukan sekali!" Maka Tun Hussain pun ditikam oranglah; beberapa pun Bendahara Seri Maharaja melarang, tiadalah dikhabarkan orang, kerana sangat sabur. Maka Tun Hussain pun matilah.

Setelah itu maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud Syah; maka segala perihal itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud; maka titah baginda, "Itulah kehendak hati kita, mati-mati Laksamana kita titahkan menemani Bendahara itu, apatah pekerjaan Laksamana jikalau tiada demikian; kerana kelakuan biadab di hadapan Bendahara itu, serasa di hadapan kita. Maka Sultan Mahmud pun menganugerahi persalinan akan Laksamana.

Tiada ulasan: