Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-35

Pemerintahan Sultan Mansur Syah

Hatta setelah empat puluh dua tahun umur Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda Raja Abdullah kerajaan, menggantikan ayahanda baginda. Gelar baginda di atas kerajaan Sultan Mansur Syah, adalah umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun, sudah beristeri akan anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Putih; ada beranak dengan gundik seorang, bernama Puteri Bakal.

Adapun ini suatu riwayat diceriterakan oleh yang empunya ceritera: ada sebuah negeri, Indera Pura namanya; air sungai­nya tohor, lagi dengan rantau pasir sepanjangnya, dalam sungai itu terlalu banyak pulau, dalamnya aimya tawar sampai ke kuala. Musim utara gelora muaranya; kelian emas di hulu­nya, banyak padang luas-luas di sana. lsi hutannya gajah, badak, harimau, seladang dan sekalian perburuan. Adalah di­ceriterakan orang, daging seladang itu kurang sepemanggang­an daripada daging gajah. Dahulukalanya Indera Pura itu takluk ke benua Siam, nama rajanya Maharaja Dewa Sura, keluarga juga pada Paduka Bubunnya.

Setelah Sultan Mansur Syah mendengar khabar negeri itu, maka terlalu rasanya baginda ingin; maka baginda menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Indera Pura, ia membawa kelengkapan dua ratus. Adalah dititahkan baginda yang pergi bersama-sama: pertama Tun Pikrama, dan Tun Wijaya Maha Menteri, dan Seri Bija Diraja, dan Seri Bija Pikrama, dan Tun Sura Diraja, dan Tun Amar Diraja, dan Tun Bija Diraja, dan Seri Bija Pikrama, dan Tun Bija Setia, dan Sang Bija Rana, dan Tun Rakna, dan Seri Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna, dan Sang Jaya Pikrama, dan Sang Aria, dan Sang Rakna Sura, dan Sang Sura Pahlawan, dan Tun Bija Pikrama, Sekalian hulubalang itu pergi mengiringkan Bendahara Paduka Raja; maka Bendahara dengan segala hulubalang itu menjunjung duli Sultan Mansur Syah, lalu turun pergi.

Beberapa lamanya dijalan maka sampailah ke negeri Indera Pura, maka orang Melaka pun berperanglah dengan orang Indera Pura, terlalu ramai. Maka dengan takdir Allah Taala, Tuhan yang maha kuasa melakukan kudrat-Nya atas Hamba­Nya, maka dengan mudahnya juga Indera Pura pun alahlah. Maka orang Indera Pura pun larilah, ada yang setengah ter­tawan, Maka Maharaja Dewa Sura pun berlepas lari ke hulu, dan anaknya perempuan seorang tinggal, Puteri Onang Sari namanya; baik rupanya, dapat oleh Bendahara dibawanya turun ke perahunya, dipeliharakannya dengan sepertinya.

Maka Bendahara Paduka Raja menyuruhkan Tun Pikrama dengan segala hulubalang sekalian pergi mencari Maharaja Dewa Sura ikut ke hulu. Maka sekalian hulubalang itu pun pergi berdahulu-dahuluan, hendak berolehjasa pada Bendahara Paduka Raja. Adapun akan Seri Bija Diraja pergi mengikut Maharaja Sura itu seraya berburu kerbau jalang dan menikam seladang, dan memikat berkik; dan di mana pasir yang baik di sana ia singgah bermain. Maka kata anak buahnya, "Bagaimana tunku, ini bukan pekerjaan kita disuruh Datuk Bendahara bermain; disuruhkan mengikut Maharaja Sura. Orang lain sungguh-sungguh ia mengikut; kita raga-raga dengan bermain. Jika orang kelak bertemu dengan dia, oranglah yang beroleh jasa; kita satu pun tiada perolehan. " Maka kata Seri Bija Diraja, "Di mana kamu semua orang muda-muda tahu, kerana Maharaja Sura itu kukirakan nama­nya di bawah namaku, harinya di bawah hariku, ketikanya di bawah ketikaku; di mana ia akan Iepas daripada tanganku?"

Adapun Maharaja Dewa Sura Ian itu berperahu digalahkan orang-orangnya, hingga ke kaki jeram. "Pada hatiku," kata­nya, "jauhIah sudah aku; tiada akan sampai lagi orang Melaka mengikut ke mari." Maka kata Maharaja Dewa Sura pada orang yang bergalah itu, "Kwai! Kwai!" Ertinya perlahan­lahan. Maka datang sekarang disebut orang jeram itu "Jeram Kwai".

Maka segala orang Melaka pun datang, maka Maharaja Dewa Sura pun terjun ke darat, tiada sempat berperahu lagi; berjalan mengilir, tiga hari tiga malam dalam hutan, tiada makan dan tiada minum air. Maka baginda terus pada sebuah rumah seorang perempuan tua. Maka Maharaja Dewa Sura menyuruh minta nasi pada perempuan itu; maka kata perem­puan tua itu, "Tuanku, di manakah Hambamu beroleh nasi, kerana Hambamu orang miskin, nantilah Hambamu randaukan dahulu dengan daun-daun kayu sayur-mayur, Iagi menangkap anak-anak ikan." Maka diambilnya periuk dijerangnya di dapur, lalu ia turun ke pantai membawa tangguk.

Tiada ulasan: