Khamis, 7 Mei 2015

SALALATUS SALATIN-71

Pemerintahan Sultan Mahmud Syah

Maka Sultan Alau'd-Din pun terlalu sukacita mendengar sembah segala mereka itu. Maka baginda memandang kepada muka anakanda baginda, Raja Mamad, maka titah baginda, "Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-­baik memelihara akan dia;

kerana firman Allah Taala Inna 'llahu ma'as sabirin,

yakni bahawa Allah Taala serta pada segala yang sabar, Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan, suatu pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan dunia, maka dahulukan olehmu pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia. Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah, Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab Al-'abdi tinu'l­maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.

Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau ingatkan wasiatku ini, dan kau kerjakan, supaya berkat diberi Allah subha nahu wa taala."

Setelah itu maka Sultan Alau'd-Din pun mangkat; maka ditanamkan oranglah seperti adat. Setelah baginda kembali ke rahmat Allah, kalu inna li'llahi wa inna ilaihi raji'un; maka anakanda baginda Raja Mamadlah kerajaan menggantikan kerajaan ayahanda baginda. Gelar baginda di atas kerajaan Sultan Mahmud Syah.

 Arkian tiada berapa lama baginda kerajaan, ada seorang orang salah dibawa mengadap kerajaan baginda, salahnya pun tiada apa bahananya; maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh, maka dibunuh oranglah. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hei, lihatlah Seri Maharaja! Anak harimau diajarnya makan daging. Dia kelak ditangkapnya." Hatta maka Seri Bija Diraja pun datanglah dari Singapura. Maka Bendahara Paduka Raja berkata pada Seri Bija Diraja, "Orang Kaya, Yang Dipertuanlah amanat marhum akan ganti baginda kerajaan." Maka sahut Seri Bija Diraja, "Beta tiada mendengar amanat marhum." Setelah didengar Sultan Mahmud Syah kata Seri Bija Diraja itu, maka baginda diam, Pada hati baginda, "Tiada suka Seri Bija Diraja bertuankan aku." Maka baginda berdendam­lah akan Seri Bija Diraja. 

Hatta betapa lama selangnya, dengan takdir Allah Taala, maka Sultan Mahmud Syah pun geringlah, sakit buang air, pada sehari dua tiga belas kali buang air. Maka Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuan pun tiadalah bercerai dengan baginda. Jikalau akan santap, Bendahara Paduka Raja menyuap, dan jikalau buang air Laksamana membasuh; pada sehari dua tiga puluh kali Laksamana membasuh baginda, dan Bendahara Paduka Raja pun dua tiga belas kali menyuap baginda pada sehari, demikianlah hal Bendahara dengan Laksamana memeliharakan Sultan Mahmud Syah, tiada diberinya yang lain.

Nasi santapan baginda itu Bendahara Paduka Raja membasuh beras, Laksamana Hang Tuah menanak dia, Berapa lamanya Sultan Mahmud Syah gering itu, adalah baik sedikit, boleh santap Sendiri,* dan boleh beradu. Maka baginda pun santap nasi sesuap, lalu bentan; nyaris lepas dari tangan. Maka Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah pun diberi orang tahu; maka keduanya segera datang, duduk Hampir baginda, kerana baginda telah sabur, diratapi orang. Maka di­larang oleh Bendahara Paduka Raja orang meratap itu, 

Setelah terdengar kepada bonda Sultan Alau'd-Din akan Sultan Mahmud Syah gering sangat, dan telah diratapi orang itu, maka baginda pun datang. Adapun bonda Sultan Alau'd­-Din ninda Sultan Mahmud Syah itu, disebut orang Raja Tua; akan baginda itu kasih akan cunda baginda, Sultan Menawar yang di Kampar itu daripada cunda baginda Sultan Mahmud Syah. Fikirnya, "Serta aku datang, aku tiarapi Sultan Mahmud Syah, kutangisi, supaya ia mati; Sultan Menawar Syahlah kerajaan di Melaka kelak." Maka Raja Tua pun datanglah dengan tergerbang-gerbang rambut baginda, sambil dengan tangisnya hendak hampir, maka tiada diberi oleh Bendahara dan Laksamana. Katanya,

"Jangan tuanku hampir paduka cunda." Maka kata Raja Tua,

"Mengapa maka hamba tiada diberi dekat kepadanya?" Maka kata Bendahara Paduka Raja dan Laksamana,

"Sahaja tidak patik beri tuanku dekat kepada cunda. Jika tuanku dekat pada paduka cunda, patik amuk," seraya mengisar kerisnya.

Maka kata Raja Tua sambil undur, "Syahidlah anak Melayu hendak derhaka." Maka sembah Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah, "Sekali ini Melayu bernama derhakalah. Jikalau tuanku hendak ber­gagah juga mendekati paduka cunda, sahaja patik amuklah." Maka Raja Tua pun tiada mahu hampir kepada Sultan Mahmud Syah, lalu kembali.

Tiada ulasan: