Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-39

Maharaja Dewa Sura Dibebaskan

Pada suatu hari, gajah Maharaja Dewa Sura yang bernama Kurancak itu dibawa oleh gembalanya mandi, lalu dari hadapan penjara Maharaja Dewa Sura, maka dipanggil oleh Maharaja Dewa Sura, maka gajah itu datang; ditatapnya, di­ lihatnya kukunya kurang satu. Maka kata Maharaja Dewa Sura, "Selamanya tiada aku periksai akan gajahku ini haruslah maka negeri aku alah, inilah sebabnya."

Bermula maka gajah kenaikan Sultan Mansur Syah yang bernama Kemanci itu pun lepas ke hutan, maka beberapa di­suruh cari oleh Seri Rama, kerana ia panglima gajah, tiada bertemu; dan jika orang yang bertemu dengan gajah itu pun, jika dalam paya yang dalam, atau duri yang semak, tiadalah dapat terambil oleh orang. Maka kata Seri Rama, "Ada juga orang yang tahu dalam negeri ini maka demikian halnya." Maka segala hal itu dipersembahkannya kepada Sultan Mansur Syah, bahawa Maharaja Dewa Sura terlalu tahu kepada gajah; maka baginda menyuruh kepada Maharaja Dewa Sura, baginda minta ambilkan gajah kenaikan itu. Maka kata Maha­raja Dewa Sura kepada orang yang membawa titah, "Persem­bahkan ke bawah duli Yang Dipertuan jikalau patik itu di­lepaskan, dapat patik itu mengembalikan gajah itu."

Maka orang yang dititahkan itu pun datanglah mengadap baginda, persembahkan segala kata Maharaja Dewa Sura itu ke bawah duli; maka oleh Sultan Mansur Syah akan Maharaja Dewa Sura disuruh baginda lepaskan. Maka gajah itu pun dapatlah diambil oleh orang. Maka oleh Sultan Mansur Syah akan Maharaja Dewa Sura dianugerahi baginda persalin dengan sepertinya, serta dititahkan baginda segala Anak Tuan-tuan berguru kepada Maharaja Dewa Sura itu akan ilmu gajah, kerana adat Sultan Mansur Syah apabila orang tahu pada ilmu gajah atau kuda, atau tahu bermain pelbagai Senjata, istimewa tahu akan ilmu huiubalang, maka segala Anak Tuan-tuan sekalian disuruh baginda belajar atau mencari, akan belanjanya baginda menganugerahi mereka itu.

Sebermula akan Seri Rama itu panglima segala gajah, ialah asal cateria, duduknya dikelek-kelekan kanan, sirihnya ber­tetampan. Apabila Seri Rama datang mengadap Sultan Mansur Syah, maka titah baginda, "Bawa persantapan Orang Kaya Seri Rama." Maka dibawa orang arak pada batil tembaga suasa, disampaikan tetampan, diberikan kepada Seri Rama, kerana ia peminum, maka diminumnyalah, demikianlah adatnya.

Bermula akan Seri Nara Diraja pun beranak dengan Tun Kudu tiga orang, yang tua lelaki bernama Tun Tahir, yang tengah perempuan bernama Tun sengaja, yang bongsu lelaki bernama Tun Mutahir, terlalu baik rupanya. Hatta maka Tun Kudu pun kembali ke rahmat Allah, tinggal anaknya ketika itu lagi keciI. Maka Seri Nara Diraja beristeri pula, beranak dua orang, lelaki seorang, perempuan seorang; lelaki ini bernama Tun Bongsu, dan yang perempuan bernama Tun Sadah ..

Adapun selama Sultan Mansur Syah di atas kerajaan itu, tiada Siam datang ke Melaka, dan orang Melaka tiada ke Siam. Maka fikir Sultan Mansur Syah, "Apa sudahnya kita beralang­an dengan Siam ini?" Setelah demikian fikir baginda, maka Sultan Mansur Syah pun menyuruh memanggil Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dan segala menteri dan Orang Kaya-kaya cateria, sida-sida, bentara, hulubalang sekalian; maka semuanya masuk duduk di balai. Maka Sultan Mansur Syah pun keluarlah, maka segala yang duduk di balai itu semuanya turun, berdiri di tanah, rata menyembah baginda; maka baginda pun semayamlah di atas singgahsana kerajaan peterana emas bepermata.

Maka bentara menyuruhkan segala Orang Besar-besar dan hulubalang sekali­an naik mengadap, Maka Bendahara Paduka Raja dengan sekalian menteri, hulubalang cateria, sida-sida, bentara semua­nya naik, duduk masing-masing pada tempat tarafnya menyem­bah baginda, dan segala bentara berdiri di ketapakan memikul pedang berikat ghuri. Maka segala nakhoda yang mulia-mulia dan segala Hamba raja yang tua-tua, duduk di balai kecil; maka tombak kerajaan dua batang berdiri di selasar balai, disampai­kan tetampan; maka Sultan Mansur Syah memandang ke kanan, bertarap sujud yang di kanan; baginda memandang pula ke kiri, berderam khidmat yang di kiri; maka baginda memandang ke hadapan, bersaf-saf menyembah dari hadapan.

Tiada ulasan: