Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-73

Wasiat Bendahara Paduka Raja

Hatta berapa lamanya maka Bendahara Paduka Raja pun sakit. Maka Bendahara menyuruh memanggil segala anak cucunya, yang sehari dua hari perjalanan. Setelah berkampung semua­nya, maka Bendahara Paduka Raja pun berwasiatlah pada segala anak cucunya itu, katanya, '

''Hei segala anak cucuku, jangan kamu " tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini;

yang hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya . Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah Taala dan Rasul Allah salla 'llahu 'alaihi wa salam; dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian;

kerana pada segala hukum, bahawa raja-raja yang adil itu dengan nabi salla 'llahu 'alaihi wa salam;,

umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu'llah fil'alam, Apabila berbuat kebaktian ke­pada raja, serasa berbuat kebaktian akan nabi Allah;

apabila berbuat kebaktian kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah Taala. Firman Allah Taala: ati'ul-laha wa 'ati'ur Rasula wa ulil amri minhum yakni berbuat kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiat­ku kepada kamu semua.

Hendaklah jangan kamu sekalian lupai, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh."

Maka Bendahara memandang pada Seri Maharaja, maka kata Bendahara, "Hei Mutahir, engkau kelak menjadi Orang Besar,daripada aku pun lebih kebesaranmu, tetapi jangan pada bicaramu engkau bapa saudara raja;

jikalau ada terlintas pada bicaramu demikian itu, engkau dibunuh orang."

Maka Bendahara pun memandang pula pada anaknya yang tua sekali, bernama Tun Zainal Abidin, katanya,

"Zainal, Zainal, jika engkau tiada berpekerjaan raja, hendaklah engkau diam di dalam hutan; kerana perutmu panjang sejengkal, oleh taruk kayu dan daun kayu pun padalah akan isinya.

"Maka kata Bendahara kepada Seri Nara Diraja,

"Tahir, Tahir, engkau jangan turut-turutan pada bicara si Mutahir. Jikalau seturutan dengan dia, engkau pun terbawa-bawa."

Maka Bendahara pun berkata pada cucunya, Tun Pauh namanya,

"Pauh, Pauh, engkau jangan diam di negeri, diam engkau di rantau juga, supaya sampah-sarap sekaliannya menjadi emas."

Maka Bendahara berkata pula pada cicitnya, Tun Isap namanya,

"Isap, Isap, engkau jangan mencari pencarianmu di balairung raja."

Demikianlah wasiat Bendahara Paduka Raja pada segala anak cucunya,' tiada sekata pada seorang, pada tiap-tiap orang lain-lain, masing- masing pada patutnya.

Setelah itu maka terdengarlah kepada Sultan Mahmud Syah, Bendahara sakit sangat. Maka baginda pun berangkat­lah mendapatkan Bendahara Paduka Raja. Maka Bendahara pun menyembah pada baginda, maka sembah Bendahara Paduka Raja,

"Ampun tuanku, pada perasaan patik yang dunia ini luputlah daripada genggaman patik, melainkan negeri akhiratlah semata-mata patik hadapi;

segala anak buah patik, petaruh patiklah ke bawah duli tuanku. Hendaklah tuanku jangan dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya;

jikalau tuanku dengar-dengaran akan kata orang yang fitnah, akibat tuanku menyesal kelak. Bahawa yang ke­hendak nafsu itu daripada was-was syaitan 'alaihi 'l-la 'anat. Banyak raja-raja yang besar-besar dibinasakan Allah kerajaan­nya, sebab menurutkan hawa nafsu syaitan."

Setelah itu, maka Bendahara Paduka Raja pun kembalilah ke rahmat Allah; maka oleh Sultan Mahmud Syah dikerjakan seperti istiadat Bendahara mati. Maka Tun Perpatih Putih, saudara Bendahara Paduka Raja, dijadikan Bendahara oleh Sultan Mahmud Syah, disebut orang Bendahara Putih. Adapun akan Bendahara Putih, jika sejengkal lagi panjang dian, tiada dipakainya lagi puntung dian itu, dibuangkannya, 'puntung' katanya; yang lain pula dipasangnya.

Maka Bendahara Putih beranak seorang lelaki yang bernama Orang Kaya Tun Abu Sayid;

maka Orang Kaya Tun Abu Sayid beranak dua orang lelaki, yang tua bernama Tun Abu Isahak, bergelar Seri Amar Bangsa, seorang bernama Tun Abu Bakar, duduk dengan Tun Cina, bergelar Seri Amar Bangsa juga;

maka ia beranak lima orang, dua lelaki, tiga perempuan. Tun Perak seorang namanya, bergelar Paduka Tuan, yang disebut Datuk Paduka Tuan, hulubalang di Bintan;

seorang lagi bernama Tun Remba, berlakikan Tun Abu Bakar, yang bergelar Seri Bija Pikrama, beranakkan Tun Hitam, duduk dengan Raja Abdul, beranak­kan Raja Ahmad;

seorang lagi Tun Hitam namanya, berlaki­kan Raja Sulaiman anak Raja Kudrat, beranak seorang lelaki, duduk dengan Tun Hitam beranakkan Raja Ahmad, seorang lagi Tun Bandan namanya, berlakikan Seri Bija Diraja Tun Hassan, beranakkan Tun Bambang, bergelar Paduka Seri Raja Muda, duduk dengan Tun Hitam;

seorang lagi anak Seri Amar Bangsa, Tun Abu Bakar namanya, bergelar Seri Amar Bangsa juga, disebut orang Datuk Busu, ialah beranakkan Tun Hitam yang berlakikan Tun Dagang;
seorang lagi Tun Kulub namanya;

seorang lagi anak Orang Kaya Tun Abu Sayid, bernama Orang Kaya Tun Muhammad, ialah beranakkan Orang Kaya Tun Undan, dan Orang Kaya Tun Sulit, dan bonda Tun Hamzah, dan bonda Tun Sida.

Adapun Orang Kaya Tun Muhammad, jika daripada pihak anak Melayu ialah alim, tahu akan saraf dan nahu sedikit dan tahu akan ilmu fikah sedikit. Sebermula akan Sultan Mahmud Syah pun bangat besar:, tahulah baginda memerintah kerajaan Sendirinya; terlalu baik sikapnya, tiada berbagai pada zaman itu. Jika keris tempa Melaka yang panjang Tengah tiga jengkal itu dijadikan baginda pendua, tiada kelihatan dari sebelah.

Maka Sultan Mahmud Syah pun beristerikan anak Sultan Muhammad Syah, raja Pahang; beranak tiga orang, yang tua lelaki bernama Raja Ahmad, yang dua lagi itu perempuan. Bermula Seri Rama pun sudah mati; anaknya pula meng­gantikan jadi panglima gajah, bergelar Seri Rama juga, marta­batnya seperti mana bapanya juga. Maka Seri Rama beranak dua orang lelaki, seorang bergelar Seri Nata, dan seorang ber­gelar Tun Aria. Akan Seri Nata beranakkan Tun Biajid Hitam.  Akan Tun. Aria beranakkan Tun Mamad, akan Tun Mamad beranakkan Tun Anjang.

Tiada ulasan: