Isnin, 25 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 106

Sultan Mahmud Membuang Kerajaan
Sebermula anak Bendahara Seri Maharaja, Tun Fatimah, di­peristeri oleh Sultan Mahmud Syah itu, terlalulah kasih bagin­da akan dia; seperti kata bait:
"Juna takrim dardui jamal mahbubista qad saqafi hiyabnur amru nista," Yakni, apabila kutilik keelokan muka kekasihku, sesungguhnya tertariklah dalam hatiku kasih, sebab menilik cahaya mata kekasih itu,
Dan Tun Fatimah jadi raja perempuan dalam negeri Melaka;
adapun akan Tun Fatimah, terlalu sangat percintaannya akan ayahnya, Bendahara Seri Maharaja; selama ia duduk dengan Sultan Mahmud Syah itu, jangankan ia tertawa, tersenyum pun ia tiada pernah. Maka Sultan Mahmud Syah pun turut masyghul, seperti kata bait:
"Syarat mahbubista kah hujad dunista dusta dada daunina dusta;"
yakni: syarat orang yang kasih itu, bahawa barang yang dikasihi oleh kekasihnya itu ia pun kasih hendaknya; demikian lagi barang yang dikebenci­nya pun.
Maka Sultan Mahmud terlalu sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Hatta maka Sultan Mahmud pun membuangkan kerajaan baginda. Raja Ahmadlah dirajakan baginda, bergelar Sultan Ahmad Syah. Segala pegawai dan alat kerajaan sekaliannya diserah­kan baginda kepada Sultan Ahmad Syah. Maka Sultan Mah­mud Syah pun diam ke hulu Melaka, pada suatu tempat bernama Kayu Ara; hanya Sang Sura seorang juga teman baginda.
Adapun diceriterakan orang, apabila Sultan Mahmud Syah pergi bermain ke Tanjung Keling, atau kepada barang tempat, baginda berkuda; maka Sang Sura juga mengiringkan baginda. Bawaan Sang Sura, pertama uncang tempat sirih santap, ke­dua bungkusan, ketiga kalarndan; apabila didengar oleh Sultan Ahmad Syah ayahanda baginda berjalan itu, maka disuruh iringkan oleh Sultan Ahmad Syah pada segala Orang Besar-besar.
Setelah Sultan Mahmud Syah melihat orang banyak datang mendapatkan baginda itu, maka Sultan Mahmud pun memacu kudanya lari, tiada mau diiringkan oleh segala Orang Kaya-kaya itu. Maka Sang Sura pun turut berlari, tiada ber­cerai dengan kuda raja; seraya ia berlari-lari itu, kakinya mengipas tapak kuda raja, supaya jangan dilihat orang, tangan­nya mengapur sirih santap, demikianlah perihal Sultan Mah­mud Syah rneninggalkan kerajaan.
Adapun Sultan Ahmad Syah tiada kasih akan Orang Besar­-besar.
yang dikasihi baginda,
pertama Tun Ali Hati seorang namanya, Tun Mai Ulat Bulu seorang, Tun Muhammad Ra­hang seorang, Tun Muhammad Unta seorang, Tun Ali Berudu seorang, Tun Ali Kenyal seorang, dan segala orang muda­-muda dua tiga empat belas orang, dan segala hamba raja dua tiga puluh, itulah ternan baginda bermain, bergurau.
Adapun akan Tun Mai Ulat Bulu itu anak Tun Zainal Abidin, akan Tun Zainal Abidin anak Bendahara Paduka Raja, diam di Lubuk Cina, dipanggil orang Datuk Lubuk Cina. Maka Datuk Zainal Abidin beranak lima orang, tiga orang lelaki; yang tuanya Tun Sallehu'd-Din namanya, yang Tengah Tun Hassanu'd-Din namanya, dan yang bongsu Tun Mahaiyi'd-Din namanya, itulah disebut orang Tun Mai Ulat Bulu, bergelar Seri Udani; yang perempuan itu, diperisteri oleh Bendahara Seri Maharaja. Akan Tun Sallehu'd-Din beranakkan Tun Tahiru'd-Din, akan Tun Tahiru'd-Din beranakkan Tun Janu'd-Din dan Orang Kaya Siogoh; akan Tun Janu'd-Din beranakkan Tun Sulaiman, bapa Seri Bijaya Raja Tun Hussain, dan beranakkan bapa Tun Nanam;
akan Seri Bijaya Raja Tun Hussain beranakkan Tun Bambang; akan Tun Bambang bergelar paduka Seri Raja Muda, beranakkan Tun Kulub dan Tun Dagang; maka Tun Dagang duduk dengan Tun Hitam; anak Seri Amar Bangsa, Datuk Bongsu.
Akan Seri Udani itulah yang sangat dikasihi Sultan Ahmad, dijadikan baginda Temenggung. Adapun akan Tun Fatimah, disebut orang raja perempuan besar, tetapi apabila ia hamil dengan Sultan Mahmud Syah dibuangnya. Maka titah Sultan Mahmud Syah kepada Tun Fatimah, "Mengapatah maka tuan hamil dibuangkan? Tiada sukakah tuan beranak dengan beta?" Maka sahut Tun Fati­mah, "Apatah kerja raja beranak dengan beta lagi, kerana anak raja yang kerajaan telah ada." Maka titah Sultah Mah­mud, "Jikalau tuan hamil sekali lagi, jangan dibuangkan;  jikalau ia lelaki ialah kita rajakan."
Setelah itu maka Tun Fatimah pun hamil pula, tiadalah dibuangkannya lagi. Se­telah genap bulannya, maka Tun Fatimah pun beranak perempuan, terlalu baik parasnya; serta jadi, disambut oleh Sultan Mahmud Syah, lalu dicium baginda; maka dinamai baginda Raja Putih. Terlalu sangat kasih baginda, tiada dapat terkatakan lagi kasih Sultan Mahmud Syah akan anakanda baginda itu.
Hatta maka Tun Fatimah hamil pula; setelah genap bulannya, maka Tun Fatimah pun beranak perempuan juga; maka dinamai oleh Sultan Mahmud, Raja Khadijah. Akan Sultan Ahmad Syah, sentiasa baginda mengaji tasauf pada Makhdum Sadar Jahan. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa'l-ma'ab.http://wakafsedekah.com/3324

SULALATUS SALATIN - 105

http://wakafsedekah.com/3324
Zuriat Bendahara Lubuk Batu
Seorang lagi anak bendahara Lubuk Batu, Tun Khoja Ahmad namanya, bergelar Tun Pikrama; ialah beranakkan Tun Isap Berakah, yang bergelar Paduka Tuan; ialah beranakkan Tun Biajid; maka Tun Biajid bergelar Seri Maharaja, menjadi Ben­dahara, itulah yang disebut orang Datuk Bendahara Johor; beristerikan Tun Munah, beranak empat orang perempuan, seorang Tun Hindap namanya; seorang Tun Cateria namanya; seorang Tun Sambu namanya, seorang Tun Emas Jiwa nama­nya, berlakikan Temenggung Tun Ibrahlm, yang disebut orang Datuk Botan.
Adapun akan Tun Hindap, duduk dengan Datuk Bendahara yang tua, beranak dua orang, seorang ber­nama Tun Jahit; seorang bernama Tun Kecik, dan Tun Kecik berlakikan Raja Mahmud, beranakkan Raja Sulung. Akan Tun Cateria, berlakikan Tun Merkah, bergelar Seri Akar Raja, beranakkan Tun Sadah, yang disebut orang Datuk Dalam. Adapun akan Tun Emas Ayu, berlakikan Raja Muhammad,  raja Perak, yang disebut orang Raja Dibang, beranakkan Raja Fatimah; maka Raja Fatimah berlakikan Raja Mansur, ber­anakkan Raja Munah.
Seorang lagi anak Bendahara Lubuk Batu, Tun Pauh namanya, diam di Rantau Ceka. Akan Tun Pauh itu beranak­kan Tun Jamal; akan Tun Jamal itu banyak beranak: yang tua sekali Tun Utusan namanya, seorang lagi Tun Bahau namanya, seorang lagi Tun Menawar namanya, seorang lagi Tun Sulaiman namanya; seorang lagi perempuan, Tun Siti namanya, berlakikan Tun Tiram, anak Sang Setia, beranak seorang perempuan Tun Jambul namanya, berlakikan Maha­raja Indera Aceh, beranakkan Maharaja Anakanda Tun Laut, dan Paduka Seri Rama, dan Megat Seri Rama.
Seorang lagi anak Tun Jambul perempuan, duduk dengan Tun Biajid Hitam, beranak seorang lelaki bernama Tun Mat Ali. Adapun Tun Bahau beranak empat orang lelaki, Tun Biajid seorang namanya, Tun Ibrahlm seorang namanya, Tun Bintan seorang namanya, Tun Abu seorang namanya, bergelar Seri Bijaya Pikrama. Akan Tun Menawar beranak empat orang, Tun Bunga seorang namanya, Tun Hussain seorang namanya, ber­gelar Paduka Seri Maharaja Muda; Tun Hassan seorang nama­nya, dan perempuan seorang, du'duk dengan Tun Bintan, ber­anakkan Tun Sulaiman, bergelar Seri Akar Diraja, itu pun banyak anaknya; Tun Mat Ali seorang namanya, bergelar Paduka Seri Indera; seorang Tun Bah namanya; seorang lagi Tun Anjang namanya; seorang Tun Kucang namanya.
Akan Paduka Seri Indera Tun Mat beranakkan Tun Mariam; Tun Mariam duduk dengan Paduka Megat Tun Sulung, beranakkan Tun Jambul dan Tun Kecik. Akan Tun Jambul duduk dengan Seri Semara Tun Hitam, beranakkan Tun Jamal dan Tun Mahmud, bergelar Paduka Seri Indera. Adapun akan Tun Kecik duduk dengan Tun Pelawah, beranakkan Tun Jemaat, dan Tun Tipah dan Tun Abdul.
Seorang lagi anak Bendahara Lubuk Batu perempuan, duduk dengan Tun Perpatih Kassim, beranakkan Tun Puteri, berlakikan Tun Imanu'd-Din, beranakkan Tun Tahir, bergelar Seri Pikrama Raja; ialah beranakkan Tun Utusan, bergelar Seri Akar Raja. Maka Seri Akar Raja beranakkan Paduka Megat Tun Sulung; seorang lagi anak Seri Akar Raja,' Tun Munah dan Tun Kamisa, keduanya diperisteri oleh Seri Nara 263 Wangsa Tun Ramat. Akan Tun Anjang beranakkan Tun Abdul, beristerikan Tun Perak, saudara paduka Seri Dewa Tun Timur, anak Seri Akar Raja, Tun Kassim. Maka Tun Abdul beranakkan Tun Jalil. Banyak lagi anak Bendahara Lu­buk Batu, tiadalah kami sebut

SULALATUS SALATIN - 104

Tun Biajid Sasar

Maka ada seorang anak Bendahara Lubuk Batu, Tun Biajid namanya, sasaran bahasa kelakuannya; jika ia berjalan di pekan, barang harta orang dilihatnya, yang berkenan pada hatinya, diambilnya. Maka diberi orang tahu pada Bendahara Lubuk Batu, akan perihal itu. Maka oleh Bendahara, jika Tun Biajid berjalan, disuruhnya ikut pada seorang hambanya yang mengiringi membawa emas.

Maka barang' di mana Tun Biajid singgah, setelah ia pergi, datanglah orang yang mengikut itu kepada tempat Tun Biajid singgah itu; ditanyanya, "Apa-apa encik diambil tadi?" Maka kata yang empunya kedai itu, "Anu, yang diambil oleh Encik Biajid." Maka kata orang yang mengikut itu, "Berapa harganya"? Kata yang empunya itu "Se anu harganya." Maka dibayarnya emas seperti kata yang empunya itu. Ada seekor gajah pemberian Bendahara Lubuk Batu ke­pada Tun Biajid; akan gajah itu beberapa kali sudah dijual­kannya.

Apabila didengar Bendahara Lubuk Batu gajah itu dijual Tun Biajid, maka disuruh tebus oleh Bendahara, lalu diberikan pada anaknya yang lain. Setelah dilihat oleh Tun Biajid saudaranya, naik gajah itu, maka disuruh turun oleh Tun Biajid, katanya, "Gajah itu gajahku, pemberian bapaku." Maka saudaranya tiada mau berbantah, turunlah ia dari atas gajah itu; maka gajah itu diambil oleh Tun Biajid, dua tiga bulan kepadanya, dijualkannya pula. Didengar Bendahara, disuruh tebus, tiga empat kali demikian itu.

Tiga kali Tun Biajid diikat oleh ayahnya, sekali sebab membunuh orang; sekali melawar di pintu raja; sekali kerana menampar hamba raja. Maka Bendabara terlalu marah, kata Bendahara pada Seri Wak Raja. "Ikat oleh tuan hamba si Biajid, bawa ke dalam persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan, suruh bunuh ia. Apa gunanya orang bunuhan demikian ini ditaruh? hamba hendak membunuh dia, hamba takut akan Yang Dipertuan." Maka kata Seri Wak Raja pada Tun Biajid, "Sabda Datuk menyuruh mengikat." Maka Tun Biajid pun menyorongkan  tangannya, katanya, "Mana kehendak hati bapak."

Maka oleh Seri Wak Raja diikatnya Tun Biajid dengan cindai, dibawanya masuk ke dalam, mengadap Sultan Mah­mud Syah. Maka seperti kata Bendahara itu semuanya dipersembahkannya pada baginda. Maka titah Sultan Mahmud Syah, "Bagai-bagai pula Bendahara ini, sebab hamba orang jahat, anak diikat, lepaskan!" Maka dilepaskanlah oleh Seri Wak Raja; maka Tun Biajid dianugerahi persalinan oleh baginda, disuruh bawa kembali kepada Bendahara.

Maka oleh Seri Wak Raja segala titah Sultan Mahmud Syah itu semuanya dikatakannya pada Bendahara. Maka kata Bendahara, "Itulah duli Yang Dipertuan, lamun si Biajid juga hamba ikat, disuruh lepaskan, dianugerahi persalinan makin lelerlah ia; kehendak hati hamba, bunuh ia, supaya yang lain serik." Demikianlah ketiga kalinya. Adapun Tun Biajid, apabila di belakang Bendahara, maka ia berkata pada sama muda-muda, "hamba sedang diikat oleh bapa hamba, dipatutnya hamba; tatkala itu hamba berbaju kesumba, diikatnya hamba dengan cindai natar hijau; sekali hamba berbaju putih, diikatnya hamba dengan cindai natar kuning," maka semua orang mendengar kata Tun Biajid itu suka tertawa.

SULALATUS SALATIN - 103

http://wakafsedekah.com/3324
Bendahara Paduka Tuan [Bendahara Tepok]
Setelah itu maka Paduka Tuan, anak Bendahara Paduka Raja, dijadikan oleh Sultan Mahmud Syah Bendahara; akan Paduka Tuan itu telah tualah, gigi pun sudah tanggal habis, dan kaki pun telah tepok; duduk di muka pintu, di sana duduk di sana tidur, makan pun di sana, berak pun di sana dan kencing pun di sana. Apabila orang banyak datang mengadap di selasar, dinaikkanlah tabir, dan apabila Paduka Tuan hendak masuk dilabuhkan tabir.
Setelah Paduka Tuan mendengar ia hendak dijadikan Bendahara, ia menjatuhkan dirinya dari tempat duduknya itu ke bawah, seraya katanya, "Bendahara apatah ini, yang tepok dan lesu demikian ini?" Maka Paduka Tuan bermohon tiada mau jadi Bendahara; digagahi juga oleh Sultan Mahmud Syah dijadikan Bendahara. Apabila ada kerja, maka disuruh tandu masuk ke dalam, setelah datang ke balairung, maka diletakkan pada tempat Bendahara duduk; inilah yang disebut orang Bendahara Lubuk Batu, yang banyak beranak, anaknya semuanya seibu sebapa belaka; dan anak, cucu-cicit, piut, yang didapati oleh Bendahara Lubuk Batu jua, tujuh puluh tujuh banyaknya.
Maka segala cucu-cicit yang duduk Hampir Bendahara Lu­buk Batu, budak-budak belaka; maka kata Bendahara Lubuk Batu pada seorang cucunya, "Awang, Awang, hendakkah  sepah?" Maka sahut cucunya, "Mahu, Datuk." Maka kata Bendahara, "Tumbukkan aku sirih," maka ditumbukkan oleh cucunya, diberikannya kepada Bendahara; maka dikunyah­kunyah oleh Bendahara Lubuk Batu, diberikannya kepada cucunya. Maka ia memandang pula pada seorang lagi cicitnya, katanya, "Engkau hendakkah sepah?" Maka sahut cicitnya, "Mahu, Datuk," maka kata Bendahara Lubuk Batu, "Tum­bukkanlah aku sirih; maka ditumbukkannya sirih, diberikan pada Bendahara, maka dikunyahlah oleh Bendahara, diberikannya pada cicitnya.
Demikianlah sudah seorang, seorang pula. Adapun apabila Bendahara Lubuk Batu santap nasi pada pinggan lingkar yang besar, lauknya pada satu talam penuh, disantap oleh Bendahara habis sebelah, setelah sudah Benda­hara makan, sisa Bendahara itu diberikan pada segala anak cucunya di serambi. Maka segala anak cucu Bendahara itu makanlah, habis lauknya, maka ia meminta garam; maka diberi orang garam, ditumpahkannya, dipintanya pula garam lagi, diberi orang, itu pun' dibuangkannya. Setelah dua tiga kali ia meminta garam, maka kata Bendahara. "Budak-budak itu minta lauk, tiada diberi lauk;" maka diberi oranglah lauk.
Adapun di bawah muka pintu Bendahara duduk itu dihadir­kannya akan dirinya suatu keranda, sudah terkikir dan terem­pelas; maka mati anak cucu cicitnya diberikannya, diperbuat­nya pula yang lain, demikianlah sediakala: "tatkala mati, Datuk berlarang." Adapun akan Bendahara Lubuk Batu, gagah makan nasi, santapnya sepinggan lengkar, sebelah-sebelah habis disantap­nya. Jika ibu ayam sebesar-besarnya, habis seekor itu disan­tapnya; sungguh tiada bergigi itu, dilurutnya daging ayam rebusan itu dikunyah-kunyah ditelan, tinggal tulang juga.
Sedang lagi Datuk itu muda, suka bermain-main ke rumah Laksamana Hang Tuah, kerana isteri Laksamana itu peraturan saudara sepupu pada Bendahara Lubuk Batu. Maka keluarlah dari rumah Laksamana susu searai, nasi segantang, sakar se­cupak. Maka kata perempuan yang membawa nasi itu, "Ha­biskan konon Datuk nasi ini, akan alas-alas perut, kerana enda lagi menanak." Maka disantap Bendahara Lubuk Batu, habis nasi segantang, dan susu searai, sakar secupak itu, Apa­bila Bendahara mandi berendam di sungai, jikalau ada buah-buahan pohonnya condong ke air, maka sebelah dahannya yang arah ke air itu, habis buahnya dimakan Bendahara. Ji­kalau sudah ia memakai akan berjalan, sepasu minyak wangi digosokkannya pada tubuhnya.

SULALATUS SALATIN - 102

Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara

Maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud; segala kata-kata Raja Mendaliar itu semuanya dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud. Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabullah pada hati baginda, seperti orang mengantuk disorongi bantal; kerana baginda sedia menaruh dendam akan Bendahara Seri Maharaja raja, sebab anaknya Tun Fatimah itu; seperti kata Farsi:

"Al mahabbat bain niyat, Wal 'asyiq fikr niyat," ertinya:
"Yang kasih itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada."

Maka Sultan Mahmud Syah pun menyuruh memanggil Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara; setelah keduanya datang, maka dititahkan baginda membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka mereka keduanya pun pergilah dengan segala hamba raja. Maka segala anak buah Bendahara dan kaum keluarganya, dan segala orangnya semuanya berkampunglah pada Bendahara Seri Maharaja, sekaliannya dengan alat senjatanya; Tun Hassan Temenggung hendak melawan, ditegah oleh Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei Hassan! Hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka."

Setelah Tun Hassan Temenggung mendengar kata Benda­hara itu, maka Tun Hassan Temenggung pun membuangkan senjata dari tangannya, lalu berpeluk tubuh; maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala kaum keluarganya, dan kepada segala orangnya, "Barang siapa kamu melawan, hamba dakwa ia di akhirat." Setelah mendengar kata Benda­hara Seri Maharaja itu, sekaliannya pun membuangkan Senjata dari tangan, lalu kembali ke rumah masing-masing. Maka tinggallah Bendahara Seri Maharaja dua bersaudara dengan Seri Nara Diraja; segala anak buahnya undur belaka. Maka Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pun masuk­lah, membawa keris Sultan Mahmud Syah, dibubuhnya di atas ceper perak, ditudungi dengan tetampan, dikeluarkan di hadapan Bendahara Seri Maharaja.

Maka kata Tun Sura Di­raja, "Salam doa anakanda, bahawa takdir Allah Taala telah datanglah pada hari ini." Maka sahut Bendahara Seri Mahara­ja dan Seri Nara Diraja, "Barang yang telah berlaku, pada hukum Allah itu, Hamba pun redalah." Maka Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara Diraja pun mengambil air sembahyang.  Maka oleh Tun Hassan Temenggung, peti emas itu hendak di­buangkannya ke air; maka ditegah Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei, hei, Hassan! Mengapa maka peti emas itu hen­dak dibuangkan? Kerana Yang Dipertuan membunuh kita ini, bukanlah hendakkan emas kita? Jikalau kita sudah mati, biarlah emas kita diambil oleh Yang Dipertuan akan kebakti­an kita," Maka tiadalah jadi dibuangkan oleh Tun Hassan Temenggung peti itu.

Maka Bendahara Seri Maharaja, dan Seri Nara Diraja, dan Tun Hassan Temenggung, dan Tun Ali, suami Tun Fatimah pun dibunuhlah empat orang, oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara, Maka ada seorang anak Seri Nara Diraja telah kena parang oleh seorang Benggali Mia Sima namanya, dari ekor pipi lalu ke keningnya, tiada ke hujungan, Tun Hamzah namanya; akan Tun Hamzah tertiarap. Setelah dilihat oleh anak Bendahara Seri Maharaja, Tun Abdul Karim seorang namanya, Tun Jenal seorang namanya, akan Tun Hamzah kena parang itu, maka keduanya datang ke hadapan Tun Sura Diraja, katanya, "Hei Tun Sura Diraja, hamba kedua bersaudara ini bunuhlah oleh tuan hamba;" Tengah ia berkata-kata itu, maka datang Sang Sura berlari-lari dari dalam membawa titah, katanya, "Jangan dibunuh yang lain, empat orang sahaja, titah." Maka kata Tun Sura Diraja, "Wah! Tun Hamzah sudah kena parang oleh Mia Sima, murkalah kelak duli Yang Dipertuan." Seraya katanya kepada Tun Abdul Karim dan Tun Jenal, "Tuan, kembalilah! Titah, akan ayahanda empat orang sahaja yang dibuangkan."

Ada­pun Tun Abdul Karim dan Tun Jenal itu, adik Tun Fatimah. Setelah itu maka Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara, datanglah mengadap ke bawah duli Sultan Mahmud Syah, persembahkan Tun Hamzah kena parang itu. Maka baginda pun murka akan Mia Sima, disuruh bunuh. Akan Tun Hamzah disuruh ubati kepada tabib, disuruh baginda peliharakan baik-baik; maka dengan takdir Allah Taala, belum datang ajalnya, tiada mati. Ialah yang sangat dikasihi baginda; akan Bendahara Seri Maharaja empat beranak itu disuruh baginda tanamkan, seperti adat dianugerahi.

Adapun akan Tun Fatimah, isteri Tun Ali itu pun diambil baginda akan isteri, terlalu sangat dikasihi baginda; maka segala pusaka Bendahara Seri Maharaja semuanya dibawa orang ke dalam, maka dilihat baginda, seperti berita orang itu tiada sungguh, maka baginda pun terlalulah menyesal oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja, tiada dengan periksanya lagi itu. Maka baginda suruh tafahusi pekerjaan itu dari mana datangnya.

Setelah nyatalah diketahui baginda fitnah itu daripada Kitul, daripada Raja Mendaliar datangnya, maka Raja Mendaliar disuruh baginda bunuh dan umbut dengan segala rumahtangganya sekali; akan Kitul disuruh sulakan melintang dengan anak bininya, tanah bekas kaki tiangnya pun disuruh cangkul dibuangkan ke laut; dan akan Laksamana Khoja Hassan pun disuruh baginda rampas, oleh ia berdatang sembah tiada dengan periksanya itu; sebab pun tiada baginda bunuh, kerana sudah diharamkan darahnya oleh baginda, seperti kata ulama:

"Al baqi al qaumu akhiruhum syariban," yakni,
yang sungai minuman pada suatu kaum itu, kesudahan ia juga minum dia.

SULALATUS SALATIN - 101

Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman

Sebermula ada seorang saudagar, Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala saudagar dalam negeri Melaka; maka Nina Sura Dewana pun berdakwa dengan Raja Mendaliar; keduanya pergi bicara kepada Bendahara Seri Maharaja. Hari itu hampir petang, maka kata Bendahara pada Raja Mendaliar dan Nina Sura Dewana, "Kembalilah tuan Hamba dahulu, kerana hari telah petang; esok harilah tuan Hamba datang."

Maka sembah Raja Mendaliar dan Nina Sura Dewana, "Baiklah tunku;" maka Raja Mendaliar pun bermohonlah bersama-sama dengan Nina Sura Dewana kembali ke rumahnya. Setelah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, "Adapun bahawa Raja Mendaliar itu orang kaya, kalau-kalau dia menyorong pada Datuk Bendahara, nescaya alah aku olehnya; jikalau demikian baik aku pergi pada malam ini pada Bendahara Seri Maharaja." Setelah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana diambilnya emas sebahara, dibawanya kepada Bendahara.

Setelah datang keluar pagar Bendahara, maka kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu. "Beri tahu Datuk Benda­hara, katakan Nina Sura Dewana datang hendak mengadap. " Maka dipersembahkan oleh penunggu pintu. Maka Bendahara pun keluar; maka Nina Sura Dewana pun masuklah mengadap Bendahara Seri Maharaja. Maka emas sepuluh kati itu diper­sembahkan pada Bendahara; kata Nina Sura Dewana pada Bendahara. "Tunku, emas ini persembah sahaya akan pembeli sirih pinang." Maka kata Bendahara, "Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah." Maka Nina Sura Dewana pun bermohonlah kepada Bendahara Seri Maharaja, lalu kem­bali ke rumahnya.

Maka ada seorang Keling, keluarga pada Nina Sura Dewana, Kitul namanya; akan Kitul itu berhutang kepada Raja Mendaliar sekati emas. Setelah Nina Sura Dewana kem­bali dari kampung Bendahara Seri Maharaja, maka pada waktu Tengah malam, ketika sunyi orang tidur, maka Kitul pun pergi ke rumah Raja Mendaliar; ditepuknya pintu Raja Mendaliar. Maka Raja Mendaliar pun terkejut, katanya, "Siapa di luar pintu itu?" Maka sahut Kitul, "Beta Kitul." Maka disuruhnya Raja Mendaliar bukai pintu, maka Kitul pun masuk/dilihatnya Raja Mendalir bersukaan dengan segala anak isterinya. Maka kata Kitul, "Hei Raja Mendaliar, baik sekali tuan Hamba bersuka-sukaan pada malam ini, kerama akan datang tiada tuan Hamba tahu. Maka oleh Raja Mendaliar dipimpinnya tangan Kitul, dibawanya pada tempat yang sunyi. Maka kata Raja Mendalir, "Hei Kitul, apa jua ada khabar tuan hamba dengar?" Maka kata Kitul. "Malam tadi Nina Sura Dewana datang kepada Datuk Bendahara, persembah sepuluh kati emas, hendak menyuruh bunuh tuan hamba; akan sekarang Datuk Bendahara telah sebicaralah dengan Nina Sura Dewa­na, tuan hamba hendak dikerjakannya."

Raja Mendaliar mendengar kata Kitul itu, maka Raja Mendaliar pun mengambil surat hutang Kitul, lalu di­carik-cariknya; kata Raja Mendaliar pada Kitul, "Yang hutang tuan hamba sekati emas itu, halallah dunia akhirat, tuan hambalah saudara pada hamba; kembalilah tuan hamba." Maka Kitul pun kembalilah ke rumahnya. Maka pada malam itu juga, diambil oleh Raja Mendaliar emas sebahara, dan permata yang baik-baik, dan pakaian yang indah-indah, di­bawanya pada Laksamana Khoja Hassan, kerana pada zaman itu segala kaum Laksamana terlalu karib pada Sultan Mah­mud Syah. Setelah datang ke luar pintu Laksamana, maka ia minta bukai pintu; maka Raja Mendaliar pun masuklah mengadap Laksamana, maka segala harta yang dibawanya, semuanya disembahkannya kepada Laksamana. Kata Raja Mendaliar pada Laksamana, "Sahaya mengadap Orang Kaya ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya; kerana telah sahaya ketahui bahawa Datuk Bendahara hendak derhaka.

Orang Kaya persembah­kanlah ke bawah Duli Yang Dipertuan, sudah ia berbuat takh­ta kerajaan, menempa ciu emas dan kaus emas; kasadnya hendak naik raja dalam negeri Melaka ini. Setelah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilanglah budi bicara akal yang sempurna itu, sebab disamun oleh harta dunia

Bita ai' zahab Khuda nuqit walakin nina hasil ista, yakni:

"Hei emas, Tuhan bukan engkau, tetapi kehendak hati berlaku olehmu."

Maka kata Laksamana kepada Raja Mendaliar, "Baiklah, Hamba persembahkan dia ke bawah Duli Yang Di­pertuan."

SULALATUS SALATIN - 100

Tun Hassan Temenggung Cuba Di"beli"

Maka ada seorang biaperi di Melaka terlalu kaya, Ali Manu Nayan namanya; apabila orang datang bermain ke rumahnya, maka diberinya kain, atau emas, atau barang benda yang gharib-gharib. Maka segala Orang Besar-besar dan hulubalang Melaka semuanya datang bermain ke rumahnya, melainkan Tun Hassan Temenggung juga yang tiada datang ke rumahnya. Pada suatu hari, Tun Hassan Temenggung duduk di balainya dihadap orang banyak, maka Ali Manu Nayan pun datang duduk, maka katanya pada Tun Hassan Temenggung, "Orang Kaya, semua Orang Besar-besar dalam Melaka ini datang ke rumahku, melainkan Orang Kaya juga yang tiada datang, ji­kalau dapat mari apa Orang Kaya bermain-main ke rumahku, hingga berdiri juga di hadapan kedaiku, sepuluh tahil emas kupersembahkan."

Maka kata Tun. Hassan Temenggung, "Nuni haram zadah! Aku hendak engkau beri makan sedekah? Jika pada bapak-bapakmu yang lain boleh!" Adapun akan adat segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggung, apabila ia berjalan tiada berbelanja, maka ia berkata pada Tun Hassan Temenggung, "Tunku, sekarang lebuh kita tiada betul, banyak kedai yang menganjur, baik juga tuanku membetuli; kalau-kalau Yang Dipertuan berang­kat, dilihat baginda lebuh tiada betul, murka kelak akan tun­ku." Maka kata Tun Hassan Temenggung, "Baiklah, pergilah kamu semua perbetul, rentangi tali lebuh itu." Maka segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggung pun pergilah dengan segala pertanda merentang tali; maka oleh segala mereka itu, pada Tengah rumah saudagar yang kaya-kaya itu direntanginya tali, disuruhnya roboh.

Maka segala saudagar itu menyorong, ada yang seratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga ratus seorang-seorang; maka diambil oleh segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggung diperbahagikan­nyalah dengan pertanda sekalian, itulah akan makanannya. Maka tali itu pun diperbenamya mengikut seperti yang betul­nya; segala kedai yang menganjur itu juga disuruhnya buang.

SULALATUS SALATIN - 99

Kekayaan Bendahara Seri Maharaja

Maka tersebutlah perkataan ada seorang Keling diam di Melaka, jadi Syahbandar, Raja Mendaliar namanya, terlalu kaya; pada zaman itu tiadalah ada taranya dalam Melaka itu. Sekali persetua, Raja Mendaliar duduk mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka kata Bendahara, "Hai Raja Mendaliar, hen­daklah tuan hamba berkata benar, berapa ada emas tuan hamba?" Maka kata Raja Mendaliar, "Tunku, emas sahaya tidak banyak, ada lima bahara." Maka kata Bendahara Seri Maha­raja, "Lebih hanya sebahara emas kita daripada emas Raja Mendaliar. "

Adapun akan Bendahara Seri Maharaja, sediakala ia menyuruh mencari, tiada pernah rosak; maka Bendahara Seri Maharaja asyik-asyik dikampungkannya segala anak cucunya, maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Hei budak-budak, maukah engkau memandang emasku?" Maka sahut anak buah Bendahara, "Mau, Datuk." Maka kata Bendahara Seri Maha­raja, "Pergilah ambil peti arah ke anu itu." Maka segala anak buah Bendahara pun pergilah mengambil peti itu diusungnya, diramai-ramainya, dibawanya ke hadapan Bendahara Seri Maharaja. Maka oleh Bendahara disuruhnya buka, tuangkan pada tikar, disuruhnya sukat dengan gantang. Maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala anak buahnya, "Ambil olehmu segenggam seorang, buat permainan."

Maka diambil­lah oleh segala anak buahnya segenggam seorang, dibawanya ke rumah yang baharu dibuat oleh Bendahara Seri Maharaja itu, Maka emas itu dibubuhnya pada segenap pahatan bendul dan pahatan pintu; setelah itu pergilah ia bermain. Telah hari petang, masing-masing turun pulang ke rumahnya. Pada pagi-pagi hari, maka segala orang yang bekerja rumah itu pun datanglah; dilihatnya emas, lalu diambilnya.

Apabila segala anak buah Bendahara Seri Maharaja teringat akan emas itu, masing-masing pergi ke rumah itu, dilihatnya tiada, masing-masing pun pulang menangis. Setelah didengar oleh Bendahara, maka ditanyanya, "Apa yang ditangiskan budak ­budak itu?" Maka sahut orang, "Emas kelmarin hilang." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Janganlah menangis, biarlah kuganti," Maka diberi pula oleh Bendahara emas segenggam seorang.

Adapun segala anak buah Bendahara Seri Maharaja, jika pergi berburu kerbau jalang atau rusa, jikalau ia tiada beroleh, maka ia singgah pada kandang kerbau Bendahara Seri Maharaja, maka ditikamnyalah kerbau itu dua tiga ekor, disuruhnya sembelih; maka diambil sepaha dihantarkan kepada Bendahara Seri Maharaja. Maka kata Bendahara, "Daging apa ini?" Maka kata orang yang menghantar itu, "Daging kerbau, anakanda dan cucunda pergi berburu tadi tiada beroleh perburuan, lalu anakanda dan cunda singgah pada kandang kerbau Datuk yang di Kayu Ara; diambil anakanda dan cucunda sekor seorang." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Nakalnya budak-budak itu; telah jadilah adat kepadanya, jika ia tiada beroleh berburu, kerbau kitalah diperburuinya."

Sebermula, jikalau hamba Bendahara Seri Maharaja datang dari teluk rantau, berbaju kesumba berkancing, berdestar pelangi, maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Siapa nama tuan hamba?" Maka sembah orang itu, "Sahaya ini hamba datuk, nama sahaya si anu, anak si anu, cucu si anu." Maka kata Bendahara, ''Jikalau demikian, engkau ini anak si anu­kah? Turun, turunlah engkau duduk ke bawah." Demikian­lah peri kebesaran Bendahara Seri Maharaja, tiada mengenal Hamba sahayanya daripada banyaknya; pada hati Bendahara Seri Maharaja, kekayaannya itu datang kepada anak cucunya, makan dan pakai tiada akan habis.

Sekali persetua, hari raya, maka Bendahara Seri Maha­raja dan segala Orang Besar-besar pun masuklah ke dalam, duduk di balairung menantikan raja keluar; maka Raja Mendaliar pun datang hendak menyembah Bendahara Seri Maha­raja, lalu ditepiskan oleh Bendahara tangan Raja Mendaliar, seraya katanya, "Ceh Keling ini, tiada tahu bahasa; patutkah tuan hamba menyembah Hamba di balai raja ini? Datang ke rumah hamba tiadakah tuan hamba patut? Lagi pula pada duli Yang Dipertuan belum kita .

SULALATUS SALATIN - 98

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu XIII

Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Hassan Temenggung Cuba Di"beli" Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara
Bendahara Paduka Tuan
Tun Biajid Sasar
Zuriat Bendahara Lubuk Batu Sultan Mahmud Membuang Kerajaan

Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja

ALKISAH maka tersebutlah perkataan peribaik paras anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah itu, ter­lalu sekali elok rupanya, tiadalah cendalanya lagi, sedap manis pantas pangus, seperti laut madu, bertasik susu, berpantaikan sakar; mukanya bercahaya berkilat-kilat seperti bulan pernama pada ketika cuaca. Tambahan pula kena pakaian nika warna; anak Bendahara, apa yang hendak dipakainya, tiada siapa me­larang dia; makin bertambahlah baik parasnya.

Dan akan saudaranya Tun Hassan Temenggung pun baik juga parasnya; maka diperbuatkan orang nyanyi:

Apa dijeruk dengan belimbing? Geranggang mudik muara;
Apa diTengok di balik dinding?
Tun Hassan Temenggung anak Bendahara.

Setelah Tun Fatimah besar, maka hendak didudukkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, Maka tatkala menghantar sirih, Raja Dibaruh dipersilakan oleh Bendahara Seri Maharaja; akan Raja Dibaruh itu, ayah saudara pada Sultan Mahmud Syah, saudara Sultan Alau'd-Din Syah yang tua sekali. Maka oleh Bendahara Seri Maharaja, Tun Fatimah ditunjukkannya pada Raja Dibaruh.

Setelah Raja Dibaruh melihat rupa Tun Fatimah, maka terla­lulah hairan baginda memandang parasnya; maka kata Raja Dibaruh pada Bendahara Seri Maharaja, "Yang Dipertuan adakah  sudah melihat anakanda ini?" Maka sahut Bendahara Seri Maharaja, "Belum duli Yang Dipertuan melihat." Maka kata Raja Dibaruh, ''Jikalau Bendahara tiada gusar, mahu beta berkata-kata." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Apa kehendak hati tuanku, katakanlah kepada patik."

Maka kata Raja Dibaruh, akan anakanda ini terlalu sekali baik parasnya, pada hati beta tiada patut ia diberi bersuami sama orang keluaran ini; jikalau Bendahara mendengar kata beta, orang tua ini, janganlah anakanda diberi bersuami dahulu; baik juga ditunjukkan kepada Yang Dipertuan, kerana sekarang negeri Melaka ini tiada beraja perempuan, kerana permaisuri Pahang sudah mangkat; yang istiadat raja Melayu, apabila tiada beraja perempuan, anak Bendaharalah akan jadi raja perempuan." Maka sahut Bendahara Seri Maharaja, "Tuanku, akan patik ini orang jahat, patut sama jahat juga." Maka kata Raja Dibaruh, "Baiklah, yang mana kesukaan Bendahara itulah kerjakan, kerana beta orang tua, sekadar mengingatkan Bendahara juga. "

Setelah itu, maka Bendahara Seri Maharaja pun berjaga­-jagalah akan mengahwinkan anaknya, Tun Fatimah dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Setelah datang pada ketika yang baik, maka Sultan Mahmud Syah pun dipersilakan oleh Bendahara Seri  Maharaja akan mengadap anaknya kahwin itu. Setelah Sultan Mahmud Syah datang, maka Tun Ali pun beraraklah, kahwin dengan Tun Fatimah. Maka Sultan Mah­mud Syah pun masuklah ke dalam rumah Bendahara Seri Maharaja mengadap orang bersuap-suapan itu.

Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah itu, maka baginda pun hairan; maka inginlah rasa baginda akan Tun Fatimah seperti kata syair:

Ma yarji'u al-tarfu 'ainnuhu 'inda ru 'yatihi,
Hatta yu' ada i-laiya al-tarfa musytaqu.

Yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia,
hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin hertam­bah dendam juga adanya.

Maka baginda berkata dalam hati­nya, "Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik anaknya, tiada ditunjukkannya kepada kita." Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanya akan Bendahara Seri Maha­raja. Setelah sudah orang kahwin, maka Sultan Mahmud Syah pun berangkatlah ke istana baginda, santap pun baginda tiada; maka tiada lepas lagi Tun Fatimah daripada hati ba­ginda. Maka Sultan Mahmud Syah sentiasa mencari cedera akan Bendahara Seri Maharaja. Setelah berapa lamanya Tun Ali duduk dengan Tun Fatimah, maka ia beranak seorang perempuan, Tun Terang namanya; baik juga rupanya

SULALATUS SALATIN - 97

Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai

Hatta maka Sultan Mahmud Syah hendak menyuruh ke Pasai, bertanyakan masalah perkataan antara Ulama Mawara'l Hartar, dan Ulama Khurasan, dan Ulama benua Irak. Maka baginda hendak menyuruhlah; serta baginda mesyuarat dengan Benda­hara dan segala Orang Besar-besar, "Bagaimana kita menyuruh ke Pasai itu? Jikalau bersurat, tiada dapat tiada tewas kita; kerana orang Pasai jikalau bersurat, 'salam ' dibacakannya 'sembah' juga.

Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Jika demikian, kita menyuruh janganlah bersurat; sudah kita surat, suruh hafazkan pada utusan itu." Maka titah Sultan Mahmud, "Benarlah itu, jika demikian Orang Kaya Tun Muhammadlah baik kita titahkan." Maka sembah Orang Kaya Tun Muhammad, "Baiklah, tuanku." Maka surat pun diaraklah ke perahu, bingkisannya golok perbuatan Pahang sebilah, bertatahkan emas berpermata; kakatua putih seekor; kakatua ungu seekor.

Maka Orang Kaya Tun Muhammad pun pergilah; maka surat itu dihafazkannya selama di laut itu. Berapa lamanya di laut maka sampailah ke Pasai, Maka dipersembahkan orang kepada raja Pasai, "Tuanku, utusan dari Melaka datang." Maka disuruh jemput oleh raja Pasai pada segala Orang Besar-besar dengan gendang, serunai, nafiri, nagara; setelah datang kepada Orang Kaya Tun Muhammad, maka kata orang yang menjemput surat itu, "Manatah surat, marilah arak." Maka kata Orang Kaya Tun Muhammad, "Hambalah surat, araklah Hamba." Maka dinaikkan oranglah Orang Kaya Tun Muhammad ke atas gajah, lalu diarak.

Setelah datang ke balai, maka Orang Kaya Tun Muhammad pun turun­lah dari atas gajah, maka berdiri ia pada tempat orang mem­baca surat, maka dibacanyalah surat pada mulutnya itu, demikian bunyinya: "Salam doa paduka kakanda, Seri Sultan Mahmud Syah yang empunya takhta kerajaan dalam negeri Melaka Daru'l Azim, datang kepada paduka adinda Seri Sultan al mu 'azam maliku'l-mukarram zilu'llahu fi'l-'alam, yang di atas perhiasan kerajaan dalam negeri Pasai Daru'l Salam. Adapun kemudian dari itu, kerana paduka kakanda menitah­kan patik itu Orang Kaya Tun Muhammad dan Menteri Sura Dipa mengadap paduka adinda bertanyakan kehendak masa­lah ini.

Man qala: Inna'llaha khaliqun wa raziqun fi'l-azali faqad kafara,

yakni barang siapa mengatakan bahawa Allah subha nahu wa taala menjadikan dan memberi rezeki pada azali, bahawa sesungguhnya kafir;

Wa man qala: Inna'llaha lam yakun khaliqun wa raziqun fi'l-azali faqad kafara,

yakni barang siapa mengatakan bahawa Allah subha nahu wa taala tiada menjadikan dan tiada memberi rezeki pada azali, maka sesungguhnya kafir.

Hendaklah paduka adinda suruh beri kehendaknya." Maka oleh raja Pasai dikampungkannya segala pendeta Pasai, disuruh baginda beri kehendaknya masalah itu, seorang pun tiada dapat memberi kehendaknya. Maka Sultan Pasai menyuruh memanggil Tun Hassan; maka Tun Hassan pun datang. Maka masalah itu dikatakan oleh Sultan Pasai kepada Tun Hassan, "Hendaklah tuan beri kehendaknya, supaya kita jangan kemaluan; jikalau tiada tuan lagi, hamba pun dapat juga mengatakan dia; walau kan tuan lagi ada, baik tuan jua mengatakan dia."

Maka sahut Tun Hassan, "hamba sangka payah, jika sehingga masalah ini, mudah jua pada hamba. Orang Kaya Tun Muhammad mari tuan hampir." Maka Orang Kaya Tun Muhammad pun hampirlah pada Tun Hassan. Maka kata Tun Hassan pada Orang Kaya Tun Muhammad, " ... Inilah ia yang dikehendakkan oleh raja besar itu." Maka berkenan pada Orang Kaya Tun Muhammad kata Tun Hassan itu. Maka Orang Kaya Tun Muhammad pun bermohonlah kepada Sultan Pasai.

Maka raja Pasai membalas surat raja Melaka, bingkisan sekin jenawi bertumit bertatah sebilah; panah dua rahin dengan anaknya dua terkas. Maka surat pun diaraklah ke perahu, maka Orang Kaya Tun Muhammad dan Menteri Sura Dipa pun dipersalin oleh Sultan Pasai. Setelah itu maka Orang Kaya Tun Muhammad pun kembalilah ke Melaka.

Berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Melaka. Maka surat dari Pasai pun disuruh arak seperti adat sediakala; setelah datang ke balairung, surat pun dibaca orang. Setelah sudah surat dibaca, maka Orang Kaya Tun Muhammad pun menjun­jung duli, serta persembahkan segala kata raja Pasai, dan kata Tun Hassan, dan akan segala peri kelakuannya di Pasai itu, Maka Orang Kaya Tun Muhammad dan Menteri Sura Dipa pun dianugerahi baginda persalin dengan sepertinya. Adapun Orang Kaya Tun Muhammad itu, anak Seri Amar Bangsa, Tun Abu Syahid, cucu Bendahara Putih, cicit Bendahara Seri Wak Raja. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab.

SULALATUS SALATIN - 96

Makhdum Dipersenda Muridnya

Arkian maka turun sebuah kapal dari Jeddah ke Melaka, dalam kapal itu ada seorang pendeta, Maulana Sadar Jahan namanya, terlalu alim. Maka Sultan Mahmud Syah pun ber­guru padanya, dan anakanda baginda, Raja Ahmad pun disuruhkan baginda mengaji. Maka Maulana Sadar Jahan disebut orang Makhdum.

Pada suatu malam, Bendahara Seri Maharaja duduk dengan Makhdum Sadar Jahan berkata-kata akan ilmu; maka Seri Rama pun datang dengan mabuknya, kerana Seri Rama terlalu peminum. Apabila Seri Rama datang mengadap Sultan Mahmud Syah, maka titah baginda pada Hamba raja, "Bawakan persantapan Orang Kaya Seri Rama," Maka dibawa oranglah arak pada batil perak, disampaikan tetampan, diberi­kan pada Seri Rama. Telah teradatlah demikian itu.

Masa Seri Rama datang pada Bendahara Seri Maharaja, dilihatnya Bendahara sedang berkata-kata dengan Makhdum Sadar Jahan. Maka kata Seri Rama, "Mari beta turut mengaji." Maka kata Bendahara, "Marilah Orang Kaya duduk." Maka dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan Seri Rama itu mabuk, dan mulutnya pun bau arak. Maka kata Makhdum Sadar Jahan, "Al-khamru ummu'l-khabaith," ertinya: arak itu ibu segala najis. Maka sahut Seri Rama, "Al-hamku ummi'l-kha­baith: yang hamak itu ibu segala najis. Tuan turun dari atas angin ke mari ini, bukankah hendak mencari harta, dari hamaklah itu."

Maka Makhdum terlalu marah mendengar kata Seri Rama itu, lalu ia pulang; berapa pun ditahani Bendahara Seri Maha­raja, tiada juga Makhdum mau bertahan, pulang juga ia ke rumahnya. Maka kata Bendahara Seri Maharaja kepada Seri Rama, "Mabuk Orang Kaya ini, barang kata dikatakan; baik tiada didengar Yang Dipertuan, jikalau baginda tahu, murka baginda akan Orang Kaya." Maka kata Seri Rama, "Mana ke­hendak Yang Dipertuan, apatah daya kata sudah terlanjur." Maka hidangan pun dikeluarkan oranglah ke hadapan Seri Rama; maka Seri Rama dan khalayak yang ada hadir itu pun makanlah.

Setelah sudah makan, maka makan sirih; sesaat duduk Seri Rama pun bermohonlah pada Bendahara Seri Maharaja, lalu pulang ke rumahnya. Setelah keesokan harinya, maka Bendahara Sendiri datang ke rumah Makhdum; maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu sukacita melihat Bendahara Seri Maharaja datang itu.

Bermula Tun Mai Ulat Bulu pun mengaji pada Makhdum Sadar Jahan; akan Tun Mai Ulat Bulu itu, asal namanya Tun Muyi'd-Din, anak Tun Zainal Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja; sebab tubuh datuk itu berbulu, maka disebut orang Tun Mai Ulat Bulu, Setelah Tun Mai Ulat Bulu mengaji pada Makhdum Sadar Jahan, barang yang diajarkan oleh Makhdum itu, tiada terturut oleh Tun Mai Ulat Bulu, kerana lidah Melayu ini keras.

Maka Makhdum Sadar Jahan pun ingar; katanya, "Lidah Tun Mai Ulat Bulu ini, terlalu amat keras; lain kata kita, lain katanya." Maka sahut Tun Mai Ulat Bulu, "Itu pun tuan, sahaya mengikut bahasa tuan, jadi sukarlah pada lidah sahaya, kerana bukan bahasa sahaya sendiri; jikalau tuan sebut bahasa sahaya semuanya pun demikian juga." Maka kata Makhdum Sadar Jahan, "Apa sukar bahasa Melayu ini, maka tiada tersebut olehku?"

Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, "Sebutlah oleh tuan, 'kunyit' "; maka disebut oleh Makhdum katanya "kuzit"; maka kata Tun Mai Ulat Bulu, "Salah itu, 'kunyit'; maka disebut pula "nyiru ", maka kata Makhdum "niru ". Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, sambil hendak tertawa, "kucing,' pula sebut, tuan"; maka disebut Makhdum, katanya "Kusyin", Maka Tun Mai UIat Bulu pun tertawa, katanya, "Manatah tuan dapat menyebut bahasa kami? Demikian lagi kami mengikut bahasa tuan." Maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu marah akan Tun Mai Ulat Bulu, katanya, "Taubatlah kita mengajar dia ini lagi."

Khamis, 7 Mei 2015

SALALATUS SALATIN-71

Pemerintahan Sultan Mahmud Syah

Maka Sultan Alau'd-Din pun terlalu sukacita mendengar sembah segala mereka itu. Maka baginda memandang kepada muka anakanda baginda, Raja Mamad, maka titah baginda, "Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-­baik memelihara akan dia;

kerana firman Allah Taala Inna 'llahu ma'as sabirin,

yakni bahawa Allah Taala serta pada segala yang sabar, Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan, suatu pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan dunia, maka dahulukan olehmu pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia. Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah, Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab Al-'abdi tinu'l­maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.

Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau ingatkan wasiatku ini, dan kau kerjakan, supaya berkat diberi Allah subha nahu wa taala."

Setelah itu maka Sultan Alau'd-Din pun mangkat; maka ditanamkan oranglah seperti adat. Setelah baginda kembali ke rahmat Allah, kalu inna li'llahi wa inna ilaihi raji'un; maka anakanda baginda Raja Mamadlah kerajaan menggantikan kerajaan ayahanda baginda. Gelar baginda di atas kerajaan Sultan Mahmud Syah.

 Arkian tiada berapa lama baginda kerajaan, ada seorang orang salah dibawa mengadap kerajaan baginda, salahnya pun tiada apa bahananya; maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh, maka dibunuh oranglah. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hei, lihatlah Seri Maharaja! Anak harimau diajarnya makan daging. Dia kelak ditangkapnya." Hatta maka Seri Bija Diraja pun datanglah dari Singapura. Maka Bendahara Paduka Raja berkata pada Seri Bija Diraja, "Orang Kaya, Yang Dipertuanlah amanat marhum akan ganti baginda kerajaan." Maka sahut Seri Bija Diraja, "Beta tiada mendengar amanat marhum." Setelah didengar Sultan Mahmud Syah kata Seri Bija Diraja itu, maka baginda diam, Pada hati baginda, "Tiada suka Seri Bija Diraja bertuankan aku." Maka baginda berdendam­lah akan Seri Bija Diraja. 

Hatta betapa lama selangnya, dengan takdir Allah Taala, maka Sultan Mahmud Syah pun geringlah, sakit buang air, pada sehari dua tiga belas kali buang air. Maka Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuan pun tiadalah bercerai dengan baginda. Jikalau akan santap, Bendahara Paduka Raja menyuap, dan jikalau buang air Laksamana membasuh; pada sehari dua tiga puluh kali Laksamana membasuh baginda, dan Bendahara Paduka Raja pun dua tiga belas kali menyuap baginda pada sehari, demikianlah hal Bendahara dengan Laksamana memeliharakan Sultan Mahmud Syah, tiada diberinya yang lain.

Nasi santapan baginda itu Bendahara Paduka Raja membasuh beras, Laksamana Hang Tuah menanak dia, Berapa lamanya Sultan Mahmud Syah gering itu, adalah baik sedikit, boleh santap Sendiri,* dan boleh beradu. Maka baginda pun santap nasi sesuap, lalu bentan; nyaris lepas dari tangan. Maka Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah pun diberi orang tahu; maka keduanya segera datang, duduk Hampir baginda, kerana baginda telah sabur, diratapi orang. Maka di­larang oleh Bendahara Paduka Raja orang meratap itu, 

Setelah terdengar kepada bonda Sultan Alau'd-Din akan Sultan Mahmud Syah gering sangat, dan telah diratapi orang itu, maka baginda pun datang. Adapun bonda Sultan Alau'd­-Din ninda Sultan Mahmud Syah itu, disebut orang Raja Tua; akan baginda itu kasih akan cunda baginda, Sultan Menawar yang di Kampar itu daripada cunda baginda Sultan Mahmud Syah. Fikirnya, "Serta aku datang, aku tiarapi Sultan Mahmud Syah, kutangisi, supaya ia mati; Sultan Menawar Syahlah kerajaan di Melaka kelak." Maka Raja Tua pun datanglah dengan tergerbang-gerbang rambut baginda, sambil dengan tangisnya hendak hampir, maka tiada diberi oleh Bendahara dan Laksamana. Katanya,

"Jangan tuanku hampir paduka cunda." Maka kata Raja Tua,

"Mengapa maka hamba tiada diberi dekat kepadanya?" Maka kata Bendahara Paduka Raja dan Laksamana,

"Sahaja tidak patik beri tuanku dekat kepada cunda. Jika tuanku dekat pada paduka cunda, patik amuk," seraya mengisar kerisnya.

Maka kata Raja Tua sambil undur, "Syahidlah anak Melayu hendak derhaka." Maka sembah Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah, "Sekali ini Melayu bernama derhakalah. Jikalau tuanku hendak ber­gagah juga mendekati paduka cunda, sahaja patik amuklah." Maka Raja Tua pun tiada mahu hampir kepada Sultan Mahmud Syah, lalu kembali.

Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 95

Kebesaran Melaka dan Kedatangan Peringgi

Adapun pada zaman itu negeri Melaka terlalulah ramainya, segala datang pun bertambah-tambah berkampung; dari se­belah Kampung Keling datang ke Kuala Penajuh, rapat rumah; orang pergi-pergian dari Melaka hingga datang ke Jugra tiada membawa api; barang di mana ia berhenti, di sana adalah kampung orang. Dan dari sebelah sini datang ke Batu Pahat, demikian juga; kerana rakyat Melaka sembilan belas laksa banyaknya yang dalam negeri juga itu. 

Hatta maka datang sebuah kapal Peringgi dari Goa, ia ber­niaga di Melaka. Maka dilihat oleh Peringgi itu, negeri Melaka terlalu baik, bandarnya terlalu ramai. Maka segala orang Melaka pun berkampunglah melihat rupa Peringgi itu, sekali­annya hairan melihat dia. Maka kata orang Melaka ia ini Benggali putih; maka pada seorang orang Peringgi itu, ber­puluh-puluh orang Melaka mengerumun dia, ada yang memu­tar janggutnya ada yang menepuk kepalanya, ada yang meng­ambil cepiaunya, ada yang memegang tangannya.

Maka kapitan kapal itu pun naiklah mengadap Bendahara Seri Maha­raja, maka oleh Bendahara akan kapitan kapal itu diangkatnya anak dan dipersalin. Maka kapitan itu persembah pada Bendahara Seri Maharaja, rantai emas berpermata; ia sendiri mengenakan dia pada leher Bendahara Seri Maharaja. Maka segala orang hendak gusar akan Peringgi itu, tiada diberi oleh Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Jangan kamu turuti, kerana ia orang yang tiada tahu bahasa." . 

Setelah datanglah musim akan kembali, maka kapitan kapal itu pun kembalilah ke Goa. Setelah ia datang ke Goa, maka diwartakannyalah pada wizurai, peri kebesaran negeri Melaka, dengan makmurnya, dan terlalu ramai bandarnya, Pada masa itu wizurai di Goa, Alfonso d'Albuquerque nama­nya. Maka ia pun terlalu ingin mendengar khabar negeri Melaka itu. Maka ia menyuruh berlengkap kapal tujuh buah: ghali panjang sepuluh; fusta tiga belas. Setelah sudah lengkap, maka disuruhnya menyerang Melaka pada Gonsalo Periera; nama kapitannya Mor, 

Setelah datang ke Melaka, maka dibedilnya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun terkejut mendengar bunyi meriam itu, katanya, "Bunyi apa itu, yang seperti guruh itu?" Peluru bedil itu pun datanglah mengenai segala orang Melaka; ada yang putus lehernya, ada yang pecah kepalanya, ada yang penggal pinggangnya, ada yang tanggal pahanya; makin ber­tambahlah hairan orang Melaka melihat peluru bedil itu, katanya, "Apa namanya senjata bulat ini, amat tajamnya maka ia mernbunuh ini?" Setelah keesokan harinya, maka segala anak Pertugal pun naiklah dengan senapangnya, dua ribu banyaknya, lain pula orang hitam dan lasykarnya, tiada terbilang lagi.

Maka dikeluari oleh orang Melaka, Tun Hassan Temenggung panglimanya. Maka bertemulah segala orang Melaka dengan segala Peringgi Ialu berperang, terlalu sabur, rupa senjata seperti hujan yang lebat; Ialu ditempuh Tun Hassan Temenggung berserta hulubalang Melaka, maka segala Peringgi pun patah perangnya, dan banyak matinya, lalu undur. Maka oleh orang Melaka digulungnya sekali-sekali, maka Peringgi pun pecahlah, berhamburan terjun ke air, diperhambat oleh orang Melaka. Maka segala Peringgi pun naiklah ke kapalnya, lalu belayar kembali ke Goa.

Setelah datang ke Goa, segala perihal semuanya dikata­kannya pada wizurai, maka wizurai pun terlalu marah, maka ia menyuruh berlengkap pula hendak menyerang Melaka lagi. Maka kata Kapitan Mor, "Pada bicara kita, jikalau lagi ada Bendahara Seri Maharaja, berapa pun besarnya angkatan Goa mau menyerang, Melaka tiada akan alah." Maka kata Alfonso d'Albuquerque, "Mengapa maka engkau berkata demikian? Apatah dayaku, sebab aku tiada boleh meninggalkan Goa ini;  tetapi apabila aku sudah turun daripada wizurai, aku sendiri pergi menyerang Melaka itu, lihatlah olehmu jikalau tiada alah," Maka tiadalah jadi ia berlengkap akan menyerang Melaka itu.

SULALATUS SALATIN - 94

Raja Petani dan Raja Kedah Dinobatkan 

Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri, Kota Mahligai namanya; rajanya Islam, Raja Sulaiman Syah nama­nya. Setelah kedengaranlah ke benua Siam bahawa negeri Kota Mahligai itu terlalu baik, maka ada seorang anak raja Siam Cau Seri Bangsa namanya; maka ia berlengkap dengan segala rakyatnya, lalu diserangnya Kota Mahligai itu. Maka oleh Raja Sulaiman dikeluarinya, lalu berperanglah kedua pihak rakyat itu. Maka Cau Seri Bangsa pun berperang dengan Raja Sulaiman, sama seekor seorang gajah. Maka kata Cau Seri Bangsa, "Jikalau alah Raja Sulaiman ini olehku, bahawa aku masuk Islamlah." Maka dengan takdir Allah Taala, Kota Mahligai pun alahlah, Raja Sulaiman pun mati dibunuh oleh Cau Seri Bangsa, dan rakyat Kota Mahligai pun terhukumlah oleh Cau Seri Bangsa. Maka Cau Seri Bangsa pun masuk Islam. Setelah itu baginda pun menyuruh mencari tanah yang baik hendak perbuat negeri. 

Maka ada seorang payang diam di tepi laut, Pak Tani namanya; tempat Pak Tani itulah yang baik. Maka dipersem­bahkan orang pada Cau Seri Bangsa, akan peri baiknya tempat Pak Tani itu, dilihat baginda tempat itu sungguh baik, tiada bersalahan seperti berita orang itu. Maka Cau Seri Bangsa pun berbuat negerilah di sana. Setelah sudah, maka negeri itu d"i­namai baginda Pak Tani, mengikut nama payang itu, maka di­sebut orang datang sekarang Petani.

Maka Cau Seri Bangsa pun menyuruhkan menterinya Okun Pola namanya, mengadap ke Melaka, mohonkan nobat pada Sultan Mahmud Syah. Maka Okun Pola pun pergilah; berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan oranglah pada Sultan Mah­mud Syah, "Utusan dari Petani datang." Maka oleh baginda surat dari Petani itu disuruh jemput seperti mana adat mengarak surat dari Pahang demikianlah. Setelah datang ke balai, maka surat pun dibaca orang, demikian bunyinya: "Paduka anakanda Cau Seri Bangsa, raja dalam negeri Petani empunya sembah, datang kepada paduka  ayahanda Seri Sultan Mahmud Syah al-mu 'azam maliku'l mukarram zilu 'llahu fi'l-'alam, yang di atas takhta kerajaan dalam negeri Melaka, Malakat. Waba'dah; kemudian dan itu, bahawa paduka anakanda menyuruhkan patik itu Okun Pola, mengadap ke bawah duli paduka ayahanda, jikalau ada kurnia paduka ayahanda, anakanda mohonkan nobat ke bawah duli paduka ayahanda." Maka Sultan Mahmud pun terlalu suka­cita; maka Okun Pola dianugerahi persalinan dengan seperti­nya, dan disuruh duduk setara kepala bentara. 

Hatta maka Sultan Mahmud pun menyuruh mengarang khatab pada Kadi Menawar, akan Cau Seri Bangsa gelarannya Sultan Ahmad Syah. Setelah sudah maka Sultan Mahmud Syah menganugerahkan gendang nobat dan bingkisan pada Okun Pola, dan dipersalin baginda akan Okun Pola. Maka surat dan khatab pun diaraklah turun ke perahu. Okun Pola pun belayarlah. Setelah berapa lama di jalan, maka sampailah ke Petani; maka surat dari Melaka pun diarak ke dalam, telah sudah dibaca, maka Cau Seri Bangsa pun terlalu sukacita, lalu ia pun nobatlah, gelar baginda Sultan Seri Ahmad Syah, bagindalah beranakkan Cau Gama; bahawa Cau Gama beranakkan raja yang ke Siam, Raja Aji. 

Arkian maka Raja Kedah pun datang mengadap ke Melaka, hendak mohonkan nobat; setelah datang ke Melaka, didudukkan oleh Sultan Mahmud di atas cateria, maka banyak dianugerahi baginda akan raja Kedah. Sekali persetua, Bendahara Seri Maharaja duduk dihadap orang banyak di balainya Sendiri, maka Tun Hassan Temeng­gung dan segala menteri semuanya ada mengadap; maka hi­dangan pun dikeluarkan orang, maka Bendahara Seri Maharaja pun makan seorangnya; segala orang yang banyak itu ada menanti Bendahara makan, kerana adat Bendahara Melaka, tiada makan sama-sama dengan orang; setelah sudah Benda­hara makan maka orang lain makan, demikianlah istiadat dahulukala.

Hatta sedang pertengahan Bendahara Seri Maharaja makan, maka raja Kedah pun datang, maka segera disuruh Bendahara Seri Maharaja naik duduk. Maka raja Kedah pun naiklah duduk, bersama-sama dengan Tun Hassan Temenggung. Maka Benda­hara pun sudahlah makan, lalu makan sirih. Maka sisa Benda­hara Seri Maharaja itu ditarik oleh Tun Hassan Temenggung dengan segala menteri, maka. kata Tun Hassan Temenggung pada raja Kedah, "Raja, mari kita makan;" maka kata raja Kedah, "Baiklah." Maka kata Bendahara, "Jangan raja makan sisa hamba, biar diambilkan nasi yang lain." Maka kata raja Kedah, "Tiada mengapa, kerana Bendahara orang tua, pangkat bapa kepada beta." Maka raja Kedah pun makanlah sisa Bendahara itu, bersama-sama dengan Tun Hassan Temenggung. Setelah sudah makan, maka datang sirih dan bau-bauan.

Hatta berapa lamanya raja Kedah di Melaka, maka raja Kedah pun bermohonlah ke bawah duli Sultan Mahmud Syah, hendak kembali ke Kedah. Maka oleh Sultan Mahmud Syah, raja Kedah dianugerahi persalinan, dan dinobatkan sekali. Maka raja Kedah pun kembalilah ke Kedah; setelah sampai ke Kedah, maka baginda pun nobatlah di Kedah.

SULALATUS SALATIN - 93

Zuriat Laksamana Hang Tuah

Adapun akan Laksamana Hang Tuah rahlmullah beristeri dua orang, seorang saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok, beranak tiga orang, yang tua perempuan Tun Sirah namanya, duduk dengan Temenggung Khoja Hussain, beranakkan Tun Abdullah; yang Tengah lelaki, Tun Biajid namanya; yang bong­su perempuan, Tun Daerah namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud Syah, beranak seorang perempuan, Raja Dewi nama­nya.

Seorang lagi isteri Laksamana Hang Tuah, keluarga Bendahara Paduka Raja, beranak dua orang, yang tua lelaki bergelar Sang Guna; yang muda perempuan bernama Tun Emas Jiwa, duduk dengan Hang Nadim, beranak seorang lelaki bernama Tun Mat Ali, ayah Tun Hamzah; akan Tun Hamzah  beranakkan Tun Ali, bergelar Seri Petam; sebab itulah maka Laksamana Hang Tuah, anak cucunya Melayu disebut orang datang sekarang. Wa 'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab.

SULALATUS SALATIN - 92

Biadap di Hadapan Bendahara 

Hatta ada seorang menteri Sultan Mahmud, Tun Perpatih Hitam namanya, asalnya daripada Tun Jana Buga Dendang. Maka Tun Perpatih Hitam beranak seorang lelaki bernama Tun Hussain, terlalu baik sikapnya. Maka kata Tun Hussain, "Jikalau bapaku dibicarakan orang, aku mengamuk." Maka dengan takdir Allah Taala, Tun Perpatih Hitam pun bersoal dengan seorang dagang. Maka Tun Perpatih Hitam pun ber­bicara dengan dagang itu pada Bendahara Seri Maharaja. Tat­kala itu Laksamana Khoja Hassan pun ada, kerana adat Bendahara Melaka, apabila membicarakan orang, Temenggung dan Laksamana tiada bercerai dengan Bendahara;jikalau orang biadab lakunya pada Bendahara, Laksamanalah membunuh dia; dan jikalau orang yang patut ditangkap dan dipasung, maka Temenggunglah yang menangkap dan memasung dia.

Demikianlah istiadat zaman dahulukala. Setelah Tun Perpatih Hitam dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja, maka Tun Hussain, anak Tun Perpatih Hitam pun datang mendapatkan ayahandanya berbicara itu. Telah Tun Perpatih Hitam melihat Tun Hussain datang berkeris panjang itu, maka pada hati Tun Perpatih Hitam,"Entah disungguhkan oleh anakku, Tun Hussain ini, seperti katanya yang dahulu itu." Maka Tun Perpatih Hitam pun berdiri, di­kuiskannya tikar dengan kakinya,seraya katanya. “Menteri apatah ini, yang dibicarakan orang begini?" Setelah dilihat oleh Laksamana makarnya Tun Perpatih Hitam itu, lalu dihunusnya pedang lakia. maka kata Laksamana, "Mengapa maka Orang Kaya biadab, menguiskan tikar di hadapan Ben­dahara?" Lalu diparang oleh Laksamana; dengan sekali parang itu juga maka Tun Perpatih Hitam pun matilah. Telah Tun Hussain melihat ayahnya mati itu, maka ia pun menghunus keris; maka kata Laksamana Khoja Hassan, "Hendak derhakakah Tun Hussain? Lalukan sekali!" Maka Tun Hussain pun ditikam oranglah; beberapa pun Bendahara Seri Maharaja melarang, tiadalah dikhabarkan orang, kerana sangat sabur. Maka Tun Hussain pun matilah.

Setelah itu maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud Syah; maka segala perihal itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud; maka titah baginda, "Itulah kehendak hati kita, mati-mati Laksamana kita titahkan menemani Bendahara itu, apatah pekerjaan Laksamana jikalau tiada demikian; kerana kelakuan biadab di hadapan Bendahara itu, serasa di hadapan kita. Maka Sultan Mahmud pun menganugerahi persalinan akan Laksamana.

SULALATUS SALATIN - 91

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu XII  

Raja Legor Gagal Menyerang Pahang Biadap di Hadapan Bendahara  Zuriat Laksamana Hang Tuah 
Raja Petani dan Raja Kedah Dinobatkan 
Kebesaran Melaka dan Kedatangan Peringgi 
Makhdum Dipersenda Muridnya  Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai

Raja Legor Gagal Menyerang Pahang  

ALKISAH maka tersebutlah perkataan raja Legor Maharaja Dewa Sura namanya, disuruhkan raja Siam menyerang Pahang. Maka Maharaja Dewa Sura pun berlengkaplah sekira-kira dua keti rakyat dibawanya. Maka kedengaranlah ke Pahang; maka Sultan Mansur Syah, raja Pahang pun menyuruh membaiki kota, dan mengampungkan segala rakyat, dan mengerahkan segala orang masuk kota, dan berbahagilah alat senjata. Maka khabar raja Legor disuruh raja Siam menyerang Pahang itu pun kedengaranlah ke Melaka.

Maka Sultan Mahmud menyuruh memanggil Bendahara Seri Maharaja, dan segala Orang Besar-besar para menteri, hulubalang. Maka sekaliannya pun datang­lah mengadap; maka Sultan Mahmud pun mesyuaratlah akan pekerjaan raja Legor hendak menyerang Pahang itu. Maka sembah Seri Nara Diraja, "Tuanku, pada bicara patik, baik juga duli Yang Dipertuan menyuruh membantu Pahang, dari kerana barang sesuatu peri Pahang itu, tiadakah duli Yang Dipertuan kerugian?" Maka titah Sultan Mahmud, "Baiklah, jika demikian Bendaharalah pergi dengan segala hulubalang, membantu Pahang. Maka sembah Bendahara Seri Maharaja, "Baiklah tuanku. "

Setelah itu maka Bendahara pun berlengkaplah; telah sudah lengkap, maka Bendahara Seri Maharaja pun pergilah diiringkan oleh segala hulubalang; sekaliannya dianugerahi Sultan Mahmud persalin dengan sepertinya. Pertama yang pergi mengiring Bendahara itu Sang Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna, dan Tun Biajid, dan Sang Jaya Pikrama, dan segala hulubalang sekalian yang pergi.

Maka rupa perahu, kecil besar tiada terbilang lagi, kerana pada zaman itu rakyat dalam Melaka juga sembilan laksa banyaknya, lain pula rakyat segala teluk rantau dan segala pemegangan jajahan negeri Melaka . Sete1ah datang ke Batu Pahat, maka bertemu dengan Lak­samana datang dari Sungai Raya, kerana adat Laksamana pegangannya Sungai Raya. Pada ketika itu kelengkapan Sungai Raya, empat puluh banyaknya lancaran bertiang tiga.

Maka Laksamana Khoja Hassan pun datang kepada Bendahara Seri Maharaja. Maka kata Bendahara, "Orang Kaya, kita pergi ke Pahang." Maka kata Laksamana, "Sahaya belum men­dengar titah Yang Dipertuan." Maka kata Bendahara, "Orang Kaya belum mendengar titah, hamba sudah mendengar titah. " Maka kata Laksamana, "Sahaya belum menjunjung duli." Maka sahut Bendahara, "hamba sudah menjunjung duli, mari­lah kita berjabat tangan." Maka Laksamana pun tiadalah ber­daya lagi, lalu ia pun pergilah bersama-sama dengan Bendahara Seri Maharaja.

Setelah sampai ke Pahang, didapatinya kota sepenampang belum lagi sudah; kerana baharu bekas terbakar dimakan api, itulah dibuatkan orang nyanyi: 

Kota Pahang dimakan api, Sampai ke
tepi Hampir titian; Bukan kularang kamu berlaki, Bukan begini perjanjian.

Maka Bendahara Seri Maharaja dengan segala hulubalang Melaka pun masuklah mengadap Sultan Pahang. Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita; maka titah Sultan Abdul Jamal pada Bendahara Seri Maharaja, "Tuan, kota yang sepenampang lagi ini, orang Melaka lah menyudahkan dia." Maka sembah Bendahara Seri Maharaja, "Baiklah tuanku."

Maka Bendahara pun menyuruhkan segala orang Melaka bekerja, membuat kota itu, dan Laksamana Khoja Hassan penghulunya. Adapun akan Laksamana, tangan bekerja, kaki bekerja, mulut bekerja, mata bekerja; maka dalam tiga hari juga sudahlah kota yang sepenampang itu. Hatta maka raja Leger pun datanglah ke Pahang dengan segala rakyat, tiada terhisabkan Iagi banyaknya. Maka berperanglah dengan orang Pahang dan orang Melaka terlalu sabur; maka dengan kurnia Allah Subha nahu. wa taala, Pahang pun tiada alah, dan rakyat Legor terlalu banyak mati dibunuh oleh orang Pahang dan orang Melaka, Maharaja Dewa Sura pun lari berpecah-pecah, ke hulu Pahang, lalu berjalan terus ke Kelan­tan, dari Kelantan lalu pulang ke Leger.

Maka Sultan Pahang pun memberi anugerah akan Bendahara Seri Maharaja dengan segala hulubalang Melaka, rata diberi baginda persalin dengan selengkapnya. Maka Bendahara Seri Maharaja serta hulubalang Melaka sekalian pun bermohonlah kembali. Maka Sultan Ab­dul Jamal dengan anakanda baginda, Sultan Mansur pun per­sembah surat ke Melaka; maka Bendahara Seri Maharaja pun kembalilah. Setelah berapa lamanya dijalan, sampailah ke Melaka. Maka surat dari Pahang pun diarak oranglah masuk ke dalam, serta Bendahara dan hulubalang Melaka sekalian, mengadap Sultan Mahmud. Maka baginda pun terlalulah sukacita oleh mendengar Pahang tiada alah itu. Maka Sultan Mah­mud Syah pun memberi anugerah persalin akan Bendahara Seri Maharaja, dan akan segala hulubalang yang pergi itu, setelah selesai maka masing-masing pun kembalilah ke rumah­nya.

SULALATUS SALATIN - 90

Sultan Mahmud Syah Serba-Salah

Hatta berapa lamanya, maka isteri Sang Sura pun berkendak dengan Sang Guna. Maka Sang Sura pun tahu, lalu Sang Guna diadang.oleh Sang Sura. Adapun Sang Guna itu baik sikapnya, tegap sasa tubuhnya, akan Sang Sura kecil tubuhnya, hanya mersik lagi rincing. Setelah didengar oleh Sultan Mahmud akan perihal itu, maka baginda terlalu sayang akan Sang Guna; kerana Sang Guna pada ketika itu bukan barang-barang orang, ialah yang pertama mengadakan keris tempa Melaka, panjang Tengah tiga jengkal, tetapi Sultan Mahmud sangat kasih akan Sang Sura.

Maka tiadalah terbicara oleh baginda, lalu Sang Sura disuruh baginda panggil; maka Sang Sura pun datang, lalu dibawa baginda kepada tempat yang sunyi. Maka titah Sultan Mahmud pada Sang Sura, "Ada suatu kehendak hati­ku padamu, adakah engkau beri atau tiadakah?" Maka sem­bah Sang Sura, "Jikalau ada kepada patik, patik persembahkan, tiada akan patik tahani; sedang otak.dalam kepala patik lagi duli tuanku empunya dia." Maka titah Sultan Mahmud, "Kudengar engkau konon hendak mengadang Sang Guna, jikalau ada kasihmu akan aku, kupinta kilah sekali ini kepadamu, jangan engkau mengadang Sang Guna.

"  Setelah Sang Sura mendengar titah demikianitu, maka disingsingnya tangan bajunya, seraya katanya, "Tuan hamba inilah tiada kawi rasa akan hamba, sedang kemaluan tuan hamba hari itu, bukankah hamba menghapuskan dia?" Maka titah Sultan Mahmud, "Jikalau apa sekalipun kehendakmu, yang engkau itu sedia, tiadalah kuberi mengadang Sang Guna; tetapi aku hukumkan Sang Guna, tiada kuberi ia keluar dari rumahnya berjalan kesana ke mari, dan bermain dengan segala sahabat handainya.

Jika ada kerjaku, serta ia kupanggil, lalu kusuruh pergi juga." Maka sembah Sang Sura, "Baiklah tuanku, yang mana titah duli Yang Dipertuan itu, tiadalah patik lalui, kerana patik hamba ke bawah duli Yang Maha Mulia; kerana hamba hu, jikalau tiada menurutkan kesukaan tuannya, bukanlah hamba namanya." Maka Sang Sura pun tiadalah jadi mengadang Sang Guna; tetapi akan Sang Guna tiada diberi baginda berjalan ke sana ke mari dan bermain sama muda-muda. Jikalau ada dititahkan barang ke mana, serta ia dipanggil, lalu disuruh pergi juga.

Apabila didengar Sultan Mahmud akan Sang Guna berdiri di luar pintunya juga, datanglah telangkai murka akan dia. Maka kata Sang Guna, "Daripada hamba dihukumkan demikian ini, baiklah hamba diikat, diserahkan pada Sang Sura, supaya dibunuhnya sekali." Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab . 237

SULALATUS SALATIN - 89

Rahsia Pembunuhan Raja Zainal

Alkisah maka tersebutlah perkataan peri baik paras saudara Sultan Mahmud Syah, bernama Raja Zainal, seorang pun tiada taranya pada zaman itu; kelakuannya pun terlalu baik, sedap manis, pantas, pangus. Jika baginda berkain memancung, pan­cungnya digantung, daripada hendakkan baik perbuatan pancung itu. Maka ada seekor kuda baginda, Ambangan namanya, terlalu . sangat dikasihi baginda; dekat peraduan baginda itu seruang dilapangkan di sanalah kuda itu ditambatkan, maka dua tiga kali semalam dibanguni baginda.

Apabila Raja Zainal akan berkuda, maka baginda memakai; setelah sudah memakai, maka bergosok bau-bauan, sepasu jebat-jebatan digosokkan baginda kepada kuda itu. Maka pergilah baginda berkuda; maka gemparlah segala lebuh pekan, melihat Raja Zainal lalu itu.

Maka segala anak bini orang dan segala anak dara-dara yang taruhan, sekaliannya beterpaan hendak melihat Raja Zainal;
ada yang menengok dari balik pintu, ada yang menengok dari kisi-kisi,
ada yang menengok dari tingkap,
ada yang menengok dengan menyingkap atap,
ada yang memesukkan dinding,
ada yang memanjat pagar.

Maka rupa pengidah perempuan itu tiadalah tersembunyi lagi, rupa sirih masak, dan gantal, dan lelat, berpuluh-puluh bungkus; bunga Cempaka digubah; bunga melur diangkat berpuluh cepar; bulang-bulang bunga dikarang; gajah gemuling berpuluh cepu; bau-bauan kelembak masak, narawastu beratus cembul, jejebat masak berair mawar; bunga air wangi apatah lagi; maka barang yang berkenaan juga diambil baginda, barang yang tiada berkenan diberikan baginda pada segala orang muda-muda pengiring baginda; maka cabullah negeri Melaka pada masa itu.

Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar segala kelakuan Raja Zainal itu, maka baginda terlalu murka, titah baginda, "Jikalau demikian binasalah negeri Melaka ini." Tetapi murka baginda itu tiada zahir, hingga dalam hati juga. Maka Sultan Mahmud menyuruh memanggil hamba raja yang kepercayaan, dua tiga orang. Setelah mereka itu datang, maka ditanya ba­ginda, "Siapa kamu dapat membunuh Raja Zainal, tetapi seorang pun jangan tahu." Maka seorang pun tiada bercakap, lalu semua orang itu pulang ke rumah masing-masing. Setelah sunyi, maka dipanggil baginda orang penunggu pintu-angkat halaman, Hang Berkat namanya; maka titah Sultan Mahmud, "Dapatkah engkau membunuh Raja Zainal, seorang pun jangan tahu?" Maka Hang Berkat bercakap. Maka titah bagin­da, "Jika sungguh seperti katamu itu, engkau kuakui saudara."

Setelah hari malam, ketika sunyi orang tidur, maka Hang Berkat pun pergilah ke rumah Raja Zainal. Telah datang ke rumah Raja ZainaI, maka Hang Berkat pun naik daripada tempat kuda itu, dilihatnya Raja Zainal sedang tidur cendera; maka oleh Hang Berkat ditikamnya dada Raja Zainal terus ke belakangnya. Setelah Raja Zainal merasai luka, maka baginda meraba kerisnya, tiada bertemu, lalu baginda melambung-­lambung dirinya seperti ayam disembelih. Maka Hang Berkat pun turun kembali, maka Raja ZainaI pun matilah; maka orang pun gempar mengatakan Raja Zainal mati ditikam pen­curi .

Maka gempar itu sampai ke dalam, maka Sultan Mahmud Syah pun keluar bertitah, "Siapa ada di bawah istana aku ini?" Maka sembah Hang Berkat, "Patik semua ada tuan­ku, empat lima orang." Maka titah baginda, "Gempar apa itu?" Maka sembah Hang Berkat, "Entah tuanku, patik tiada periksa." Maka titah baginda, "Pergi engkau lihat." 

Maka Hang Berkat pun pergilah melihat; setelah ia datang maka sembah Hang Berkat, "Paduka adinda, Raja Zainal konon tuanku, sudah mangkat, ditikam orang pencuri; yang menikam itu tiada berketahuan." Maka Sultan Mahmud Syah pun tahulah akan Hang Berkat yang membunuh Raja Zainal itu. Maka titah baginda, "Pergilah engkau kampungkan segala hamba raja." Maka Hang Berkat pun menyembah, lalu pergi mengerahkan hamba raja masuk. Sekaliannya pun berkam­punglah, dan segala Orang Besar-besar semuanya datang, maka Sultan Mahmud pun berangkat mendapatkan mayat Raja Zainal, hari pun siang.

Maka mayat Raja Zainal pun ditanamkan oranglah, seperti adat anak raja-raja mati. Setelah sudah, maka Sultan Mahmud pun berangkatah kembali ke istana baginda. Selang berapa lama antaranya, maka Hang Berkat digelar oleh Sultan Mahmud, "Sang Sura", terlalu sangat dikasihi baginda, diaku baginda saudara.

SULALATUS SALATIN - 88

Bersyaikh Diri di Lubuk Pelang

Setelah Sultan Abdul Jamal mendengar kata orang itu, maka baginda pun terlalu murka, titah baginda, "Kita diperbuat oleh raja Melaka ini 'Mulut disuapinya dengan pisang, pantat dikaitnya dengan onak'." Maka baginda menitahkan segala hulubalang Pahang mengikut Laksamana. Maka segala hulubalang Pahang pun pergilah, tiga puluh banyak kelengkapannya, Seri Akar Raja akan panglimanya, dan Tun Aria pun pergi bersama-sama. Maka diikutnyalah Laksamana; telah datang hingga Sedili Besar, maka bertemulah dengan Laksamana, lalu diperangi oleh Seri Akar Raja, dan Tun Aria; dan segala hulubalang Pahang pun tampillah.

Maka oleh Laksamana, barang yang hampir itu dipanahnya, maka segala orang Pahang pun dahsyat mendekati perahu Laksamana. Telah dilihat oleh Tun Aria, maka ia pun tampillah. Maka oleh Laksamana dipanahnya, kena kemuncak tiang agung Tun Aria, belah dua; maka dipanah oleh Laksamana pula lagi, kena kemuncak payung Seri Akar Raja, putus; sekali lagi dipanah oleh Laksamana, kena batang payung Tun Aria, putus. Adapun akan Tun Aria berdiri betul pada tiang agung meme­gang jebang, tiada khabar akan panah Laksamana yang seperti  petir membelah itu; segala orang berjebang, terus dengan jebangnya; segala yang memegang rangan, terus dengan rang­annya; yang memegang perisai terus dengan perisainya.

Maka orang mati pun tiada terkira banyaknya; maka Tun Aria se­bagai juga tampil hendak melanggar perahu Laksamana. Maka oleh Laksamana dipanahnya jebang Tun Aria, terus lalu ke dadanya, luka. Telah melihat Tun Aria luka itu, maka segala kelengkapan Pahang pun undur, lintang-pukang, tiada berke­tahuan lagi, maka Laksamana pun lepas Penyusuk, lalu belayar ke Melaka.

Setelah berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Me­laka; akan Sultan Mahmud Syah, setelah mendengar Laksa­mana datang membawa gajah kenaikan raja Pahang itu, maka baginda pun menyuruh orang mengalu-alukan Laksamana. Maka Laksamana pun masuklah mengadap ke dalam, men­junjung duli; maka Sultan Mahmud Syah pun memberi per­salin akan Laksamana, seperti pakaian anak raja-raja, maka gajah itu pun disuruh arak, dibawa masuk ke dalam; maka terlalulah sukacita baginda melihat gajah itu, maka diserah­kan pada Seri Rama. Akan Seri Rama yang tua sudah hilang, anaknya pula bergelar Seri Rama; seperti kedudukan ayahnya juga, jadi panglima gajah. 

Adapun segala kelengkapan Pahang yang mengikut Lak­samana itu pun kembalilah ke Pahang, mengadap Sultan Abdul Jamal; maka segala perihal ehwal semuanya dipersem­bahkan kepada baginda Sultan Pahang, baginda pun terlalu murka, seperti ular berbelit-belit Sendirinya. Maka oleh ba­ginda, anakanda baginda, Raja Mansur dirajakan baginda; bergelar Sultan Mansur Syah, akan ganti baginda. Maka Sultan Abdul Jamal pun, turunlah dari atas kerajaan; maka anakanda baginda Sultan Mansur Syah kerajaan, dipangku oleh Raja Muzaffar dan Raja Ahmad, keduanya saudara Sultan Abdul Jamal.

Maka Sultan Abdul Jamal diam ke hulu; selagi ke­dengaran bunyi nobat, selagi baginda mudik ke hulu, hingga datanglah ke Lubuk Pelang namanya, tiadalah lagi kedengar­an bunyi nobat, di sanalah baginda diam; maka baginda ber­syaikh dirinya, itulah yang disebut orang Marhum Syaikh, makam yang di Lubuk Pelang itu. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u·wa'l-ma'ab. 234

SULALATUS SALATIN - 87

Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan 

Sebermula peninggalan jong Saiyid Ahmad belayar, maka raja Pahang pun sampailah ke negeri dengan marahnya. Baginda naik gajah yang bernama Ai Kening, maka titah baginda kepada Bendahara Pahang, "Berlengkaplah tuan-tuan sekalian, kerana kita hendak menyerang Melaka; lihatlah oleh kamu sekalian, jikalau tiada Ai Kening ini kulanggarkan kepada balairung raja Melaka." Maka gajah itu dilanggarkan baginda pada balairung Sendiri, roboh; maka titah baginda, "Demikianlah kelak balairung raja Melaka kulanggar dengan gajahku ini."

Maka segala hulubalang Pahang pun tunduk, sekaliannya takut melihat Sultan Abdul Jamal murka itu; maka baginda pun masuklah ke istana. Hatta maka kedengaranlah pekerti raja Pahang itu ke Melaka pada Sultan Mahmud Syah. Maka titah baginda pada segala hulubalang Melaka, "Siapa kamu semua dapat mengambil gajah Sultan Pahang itu yang hendak dilanggarkannya kepada balairung kita ini? Mengakulah kamu, jika apa sekali- pun dosanya kepada kita, tiada kita bunuh."

Maka sembah Laksamana Khoja Hassan, "Patiklah tuanku titahkan ke Pahang. Insya-Allah, patiklah mengambil gajah kenaikan Sultan Pahang itu patik persembahkan ke bawah duli Yang Dipertuan." Maka titah baginda, "Baiklah." Maka Laksamana pun berlengkaplah. Setelah mustaid, maka baginda menyuruh mengarang surat kepada Bendahara Seri Maharaja. Setelah sudah, surat itu diarak ke perahu; maka Laksamana pun pergi­lah ke Pahang. 

Berapa lama antaranya di laut maka sampailah ke Pahang, lalu dipersembahkan orang kepada Sultan Pahang, "Laksa­mana datang dititahkan paduka adinda mengadap tuanku." Maka Sultan Abdul Jamal pun keluarlah dihadap orang. Bagin­da menyuruh menjemput surat dari Melaka itu, diarak ke balai­rung seperti adat yang dahulu itu juga. Setelah datang ke balairung, lalu disambutnya serta dibaca orang, terlalu baik bunyinya. Maka terlalulah sukacita Sultan Abdul Jamal men­dengar dia.

Setelah dibaca, maka segala hulubalang Pahang pun naik, duduk masing-masing pada tempatnya, dan Laksamana pun menjunjung duli; sudah itu lalu ia duduk di atas Seri Akar Raja Pahang. Maka sembah Laksamana pada Sultan Abdul Jamal, "Tuanku, kedengaran kepada paduka adinda, tuanku sangat gusar akan paduka adinda, itulah maka pihak dititah­kan paduka adinda mengadap tuanku; maka titah paduka adinda, 'apa kerja kita berkelahi saudara bersaudara, yang Melaka dan Pahang itu umpama sebuah negeri juga, demikian­lah." 

Setelah didengar oleh Sultan Abdul Jamal sembah Lak­samana itu, maka titah baginda, "Siapa yang memberitahu ke Melaka? Mengarut orang itu. Pada fikir Laksamana patutkah Pahang melawan Melaka?" Sesaat duduk berkata-kata, maka Sultan Pahang pun berangkatlah masuk; maka segala yang mengadap itu masing-masing kembali ke rumahnya. Adapun akan Laksamana berlabuh itu, hampir tempat orang memandikan gajah kenaikan Sultan Pahang.

Apabila segala gembala gajah membawa gajah mandi, maka dipanggil oleh Laksamana, diberinya makan dan diberinya emas; maka segala gembala gajah itu semuanya kasih akan Laksamana Khoja Hassan, ma­kin gembala Ai Kening, jangan dikata lagi; ialah yang sangat  dampingnya. Akan Laksamana perahunya sekerat dihampa­kannya dan diperbaikinya, kerana Laksamana pergi ke Pahang itu hanya empat buah perahu.

Setelah berapa hari lamanya Laksamana di Pahang itu, maka ia pun bermohonlah kepada Sultan Abdul Jamal hendak kembali ke Melaka, Maka Sultan Pahang pun membalas surat dan memberi persalin akan Laksa­mana; maka surat pun diarak ke perahu Laksamana, telah sudah datang ke perahu, maka segala yang menghantar surat itu kembalilah. Maka Laksamana berhentilah sesaat menanti­kan orang membawa gajah turun mandi. Setelah datang pada ketika gajah mandi, maka segala gajah pun dibawa oleh gem­balanya turun mandi; Ai Kening pun ada. Maka oleh Laksa­mana dipanggilnya Ai Kening, lalu dinaikkannya ke perahu, kerana gembala Ai Kening itu sangat kasih akan Laksamana, barang kehendak hati diturutnya. Telah sudah gajah dengan gembalanya naik ke perahu, maka Laksamana pun hilirlah. Maka orang Pahang pun gempar lah, mengatakan gajah kenaik­an dibawa oleh laksamana dengan keras.

SULALATUS SALATIN - 86

Pertempuran di Laut Pulau Keban

Setelah Sultan Abdul Jamal mendengar kata orang itu, maka pada sangka baginda ialah yang dibawa Hang Nadim itu Tun Teja. Maka baginda pun terlalu murka, dan menyuruh segera berlengkap perahu, akan mengikut Hang Nadim; dengan sesaat itu juga lengkap sepuluh buah perahu. Maka Sultan Abdul Jamal Sendiri pergi mengikut Hang Nadim. Maka segala hulubalang masing-masing dengan perahunya pergi itu bersegera-segera.

Setelah datang ke Pulau Keban, bertemulah dengan jong Nakhoda Saiyid Ahmad, maka diperangilah oleh orang Pahang, terlalu sabur rupa bertikamkan Senjata. Maka tampil sebuah perahu hulubalang Pahang, hendak mengait jong itu; maka dipanah oleh Hang Nadim, kena orang yang mengait itu, jatuh lalu mati. Maka perahu itu pun undurlah; maka tampil pula sebuah lagi, itu pun demikian juga. Setelah dua tiga buah kena demikian itu, maka seorang pun hulubalang Pahang tiada mahu tampil lagi.

Setelah dilihat oleh Sultan Abdul Jamal, maka baginda pun menyuruh menampilkan kenaikannya; maka kenaikan raja Pahang pun dekatlah, maka oleh Hang Nadim segera dipanah­nya dengan panah losong kena kemuncak payung raja Pahang, belah dua. Maka Hang Nadim pun bertempik, katanya, "Hei orang Pahang, lihatlah tahunya aku memanah! Jikalau aku hendak melawan kamu sekalian, seorang-seorang dapatku masukkan biji mata kamu." Maka orang Pahang pun hebat rasanya melihat betul Hang Nadim memanah itu; kerana Hang Nadim itu terlalu amat bijaknya pada memanah, umpamanya membelah kayu pun ia dapat dengan panah.

Setelah melihat kenaikan raja Pahang mendekati jong itu maka segala hulubalang Pahang pun tampil, bersusun rupa perahunya; tetapi seorang pun tiada mau melanggar jong itu, daripada dahsyatnya anak panah Hang Nadim, seperti mata petir datangnya itu. Jika kena orang berjebang, terus dengan jebangnya; jika kena orang berangan terus dengan rangannya; jika kena orang berperisai terbang dengan perisainya, melain­kan perahu Tun Aria juga yang mendekati hendak melanggar jong itu. Maka dipanah oleh Hang Nadim kena kepala tiang perahunya, belah; dipanah pula sekali lagi oleh Hang Nadim, kena gandar dayungnya, putus.

Adapun Tun Aria berdiri betul pada tiang agung memegang jebang; tiada ia khabar akan panah Hang Nadim yang seperti halilintar membelah itu, tampil juga ia, Maka dipanah oleh Hang Nadim kena jebang Tun Aria terus, lalu kena dadanya, luka sedikit. Maka dengan tolong Rabbu'l alamin, angin besar pun turun; maka jong itu pun dilayarkan oleh Nakhoda Saiyid Ahmad ke Tengah laut. Maka segala kelengkapan Pahang pun tiadalah beroleh melaut, kerana ombak terlalu besar, dan perahu mereka itu kecil-kecil; maka segala orang Pahang pun undurlah mendarat, kembali, ke Pahang. Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun belayarlah ke Melaka. 

Setelah berapa lamanya di jalan, sampailah ke Melaka; maka dipersembahkan oranglah pada Sultan Mahmud, bahawa Hang Nadim datang daripada Pahang menumpang jong Nakho­da Saiyid Ahmad; membawa anak Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Menggala itu, Telah didengar oleh Sultan Mahmud, maka terlalulah sukacita baginda. Baginda menyuruh mengalu-alukan Hang Nadim. Setelah hari malam, maka Hang Nadim pun masuk mengadap Sultan Mahmud Syah persembahkan Tun Teja Ratna Menggala; maka baginda pun terlalu hairan melihat rupa Tun Teja itu maka diucapkan baginda Subhana'llah 'amma yasifun; dan beberapa puji baginda akan Hang Nadim, dan diberi persalin dengan seperti adat pakaian anak raja-raja, dan dianugerahi emas, dan perak, dan harta tiada terkira banyaknya.

Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun dianugerahi baginda persalin dengan sepertinya, dan digelar baginda Syah Andeka Menteri, dianugerahi keris bersalut dan pedang berikat emas, disuruh berdiri di tingkat sama dengan segala bentara. Maka Tun Teja dikahwini Sultan Mahmud Syah, terlalu kasih baginda akan dia. Pada suatu kaul, Sultan Mahmud dengan Tun Teja beranak seorang perempuan bernama Puteri Adma Dewi. Pada suatu hari Sultan Mahmud Syah bertanya pada Tun Teja, "Bagaimana engkau tatkala dibawa oleh Hang Nadim?"

Maka sembah Tun Teja, "Tuanku, jikalau Hang Nadim tuan­ku, jangankan dia Hampir kepada patik, memandang legat pun ia tiada; sedang patik turun ke perahu, menyambut patik lagi tangannya dialasnya dengan kain dua tiga lapis." Maka Sultan Mahmud pun terlalu sukacita mendengar kata Tun Teja itu, makin bertambah-tambah kurnia baginda akan Hang Nadim; maka Cau Pauk, anak raja Kelantan itu, dianugerahkan baginda akan isteri Hang Nadim, dan digelar baginda Sang Naya; ialah beranakkan Tun Mat Ali, ayah Tun Hamzah; akan Tun Hamzah beranakkan Tun Ali, bergelar Seri Petam, disebut orang Datuk Paduka Tuan di Kampung Jelai

SULALATUS SALATIN -85

Tun Teja Dilarikan Ke Melaka 

Maka si pe1ulut pun pergilah pada Tun Teja, segala kata-kata Hang Nadim itu, semuanya dikatakannya. Maka kata Tun Teja, "Jika demikian kabullah Hamba. Maka si pelulut itu pun pergi pula pada Hang Nadim, menyampaikan segala kata Tun Teja itu. Maka Hang Nadim pun terlalu sukacita, mendengar kata si pelulut itu; lalu ia pun pergilah pada Nakhoda Saiyid Ahmad, katanya, "Adapun Hamba datang kepada tuan hamba ini sedia minta disertai ajal, itu pun jika tiada 'aradh kepada hati tuan hamba, semata-mata hamba harap akan kasih tuan hamba." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Janganlah tuan hamba berdukacita lagi, hingga nyawa hamba, hamba sertakan; tuan hamba, berkata benarlah tuan hamba,"

Maka oleh Hang Nadim segala perihalnya sudah berjanji dengan Tun Teja itu, semuanya dikatakannya pada Nakhoda Saiyid Ahmad; maka kata Hang Nadim, "Jikalau sudah putus kasih tuan hamba akan hamba, baliklah tuan hamba ke jong tuan hamba, nantilah di Kuala Pahang; insya-Allah Taala dini­hari kelak hamba hilir mendapatkan tuan hamba, lalulah kita ke Melaka; insya-Allah Taala apabila selamat kita ke Melaka, tuan hamba diperbesar oleh duli Yang Dipertuan." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Insya-Allah Taala, baiklah." Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun mengerahkan segala orangnya bersegera naik ke jong, "Kerana musim telah dekat, ketika Tengah hari inilah kita keluar," katanya.

Adapun Nakhoda Saiyid Ahmad itu terlalu baik jejaknya, patut dengan budi pe­kertinya lagi berani. Setelah siaplah segala orangnya, maka ia pun naiklah ke jongnya, lalu hilir ke Kuala Pahang, hingga di luar alangan, di sanalah ia berhenti.  

Setelah hari malam, maka Hang Nadiin pun memanggil si pelulut, disuruhnya emasi segala penunggu pintu Bendahara Pahang. Maka si pelulut itu pun pergilah mengemasi segala penunggu pintu; maka sekaliannya itu pun setialah dengan Hang Nadim. Setelah hampir dinihari, pada ketika sedang sedap orang tidur, maka oleh si pelulut dibawanya Tun Teja keluar; maka penunggu pintu pun membukakan pintu, dan Hang Nadim pun telah adalah menanti di luar, perahu pun telah hadir di pangkalan; maka Tun Teja pun disuruh oleh si pelulut keluar. Maka oleh Hang Nadim tangannya dibungkus­nya dengan kain, lalu disambutnya Tun Teja, dibawanya turun ke perahu, lalu berkayuh hilir.

Adapun batangan Pahang itu tiga lapis; maka oleh Hang Nadim tangan bajunya diisinya pasir, maka dihamburkan ke air, bunyinya seperti orang menebar jala. Hang Nadim minta bukai batangan pada penunggu batangan. Setelah didengar oleh penunggu batang­an bunyi orang menjala, maka dibukanyalah batangan itu; maka Hang Nadim pun keluarlah, datang kepada selapis lagi, pun. demikian juga. Setelah lepas ketiga lapisnya, maka Hang Nadim pun berkayuhlah sungguh-sungguh; setelah sampailah ke jong Nakhoda Saiyid Ahmad, maka oleh Hang Nadim di­bawanyalah Tun Teja naik ke jong itu. Angin paksa pun ber­tiup, maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun menyuruh membong­kar sauh, lalu belayarlah menuju Melaka.

Sebermula setelah hari siang maka segala inang pengasuh Tun Teja datang mendapatkan Tun Teja, maka dilihatnya Tun Teja tiada di peraduannya. Maka dicarinya ke tandas, disangkanya buang air, di tandas pun tiada; maka dilihatnya ke pemandian, di pemandian pun tiada. Maka semuanya hairan akan dirinya, maka ia pergi memberitahu Bendahara Pahang, mengatakan, "Anakanda ghaib, tiada ketahuan ke mana perginya, sahaya tiada tahu." Maka disuruhnya cari segenap sana-sini tiada bertemu, khabamya pun tiada. Maka riuhlah bunyi orang menangis dalam rumah Bendahara.

Setelah Sultan Abdul Jamal mendengar khabar Tun Teja lenyap itu, maka baginda pun terlalu hairan dengan dukacitanya. Maka disuruh baginda tafahus ke sana ke mari, tiada juga bertemu. Maka datang seorang dan Kuala Pahang mengatakan, "Dinihari tadi ia bertemu dengan Hang Nadim membawa seorang perempuan bertudung, dibawanya naik ke jong Nakhoda Saiyid Ahmad, dilayarkannya jalan ke Melaka."

SULALATUS SALATIN -84

Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang 

Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar khabar Seri Wak Raja itu, maka baginda pun inginkan rasanya akan anak Bendahara Pahang yang sangat baik paras dengan akasnya itu; sebab itulah dibuat orang pantun:

Tun Teja Ratna Menggala, Pandai membelah lada sulah;
Jikalau tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah. 

Maka titah baginda, "Barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia; umpamanya jika ia hendakkan sekerat kerajaan kita sekalipun kita anugerahkan; dan apa pun dosanya tiada kita bunuh. Adapun tatkala itu Hang Nadim ada di bawah peng­hadapan itu. Setelah ia mendengar titah demikian itu, maka Hang Nadim pun berbicara dalam hatinya, "Baik aku pergi ke Pahang, mudah-mudahan dapat Tun Teja itu ; ke bawah duli Yang Dipertuan akan menghapuskan dosaku."

Setelah demikian fikirnya, maka Hang Nadim pun pergilah menumpang balok orang ke Pahang. Setelah datang ke Pahang, maka Hang Nadim bersahabat dengan seorang nakhoda, Saiyid Ahmad namanya, terlalu berkasih-kasihan. Maka kata Hang Nadim pada Nakhoda Saiyid Ahmad, "Tuan hamba kasih akan hamba ini, kasih sungguh-sungguhkah?" Maka sahut Nakhoda Saiyid Ahmad, "Mengapa tuan hamba mengatakan kata demikian ini kepada Hamba? Pada perasaan hamba, hingga atas nyawa hamba sekalipun akan ubat tuan Hamba, redalah hamba."

Setelah Hang Nadim mendengar kata Nakhoda Saiyid Ahmad demikian itu, maka kata Hang Nadim, "Sungguhkah Tun Teja, anak Bendahara Pahang itu, terlalu baik konon rupanya? Ingin pula rasa hamba hendak melihat rupanya." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Sungguh, tetapi sudah bertunangan dengan Sultan Pahang. Apa daya tuan hamba hendak melihat dia, kerana ia anak Orang Besar; jangankan manusia memandang dia, matahari dan bulan lagi tiada me­lihat dia." Maka Hang Nadim pun fikir dalam hatinya, kata­nya, "Apa dayaku mendapat dia?"

Kalakian maka lalu seorang perempuan tua pelulut; maka oleh Hang Nadim dipanggilnya. Maka si pelulut itu pun datang, maka dibawanya masuk ke dalam rumahnya, lalu Hang Nadim pun berlulutlah padanya. Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, "Manda ini orang siapa." Maka kata perempuan tua itu, "Sahaya ini orang Datuk Bendahara." Maka kata Hang Nadim, "Adakah manda masuk ke rumah Datuk Bendahara?" Maka kata si pelulut itu, "Biasa sahaya masuk ke rumah Datuk itu, anak Datuk Bendahara yang bernama Tun Teja itu biasa berlulut pada sahaya." Maka kata Hang Nadim, "Sungguhkah Tun Teja itu amat baik parasnya?" Maka kata si pelulut itu, "Sungguh, tiada samanya dalam negeri Pahang ini, kerana sahaya pun ratalah segala rumah Orang Besar-besar sahaya naiki, seorang pun segala anak Orang Kaya-kaya itu, tiada seperti encik Teja itu, sudah bertunangan dengan Yang Di­pertuan, dijanjikan musim Jawa inilah akan kahwin." Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, "Hai mandaku, dapat­kah manda menanggung rahsiaku?" Maka kata si pelulut itu, "Insya-Allah Taala dapat sahaya tanggung, kerana sahaya pun biasa disuruh orang." 

Maka oleh Hang Nadim, si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Setelah si tua ito memandang harta banyak itu, maka tertawanlah hatinya akan harta dunia; maka mengakulah ia menanggung rahsia Hang Nadim. Maka kata Hang Nadim, "Jikalau dapat, hendaklah dengan daya upaya mandaku, akan Tun Teja itu mandaku bawa kepada aku, supaya kupersembahkan kepada raja Melaka." Maka diberi oleh Hang Nadim si pelulut itu suatu lulut, katanya, "Ini sapukan pada Tun Teja." Maka kata si pelulut itu, "Baiklah." Maka si pelulut itu pun masuklah ke dalam pagar Benda­hara; maka ia berseru, katanya, "Siapa hendak berlulut! Mari beta lulut!" Maka kata Tun Teja pada dayang-dayangnya, "Panggil si pelulut itu, aku hendak berlulut." Maka si pelulut itu pun masuklah ke rumah Bendahara melulut Tun Teja. 

Setelah dilihat oleh si pelulut itu orang sunyi, berkatalah si pelulut itu pada Tun Teja, "Sayangnya sahaya melihat rupa tuan, terlalu baik parasnya ini akan berlakikan raja ini; jikalau raja yang besar lagi alangkah baiknya?" Maka kata Tun Teja, "Siapa pula raja besar daripada raja Pahang ini?" Maka kata si pelulut itu, "Raja Melaka raja besar daripada raja Pahang ini, lagi dengan baik parasnya." Maka Tun Teja pun diam men­dengar kata si pelulut itu. Maka oleh si pelulut akan lulut daripada Hang Nadim itu, disapukannya pada tubuh Tun Teja, seraya dibujuk-bujuknya Tun Teja, dengan kata yang lemah lembut, lagi dengan manis mulutnya mengeluarkan kata-kata itu; katanya, "Sekarang pun ada hamba raja Melaka di sini, Hang Nadim namanya; disuruh baginda mengambil tuan.

Hendak pun disuruh baginda dengan kebesaran, kalau-kalau tiada diberi oleh Yang Dipertuan Pahang; sebab itulah maka disuruhnya curi pada Hang Nadim. Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya diperisteri oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan, tuanlah kelak jadi raja perem­puan di Melaka. Jikalau tuan diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan Pahang. Jikalau tuan jadi isteri Raja Melaka, tiada dapat tiada menyembah kelak raja perempuan Pahang kepada tuan."

Maka Tun Teja pun redalah mendengar kata perempuan tua si pelulut itu, sebab itulah maka tiada diberi oleh segala orang yang berakal, anak cucunya berlulut pada si pelulut; adalah seperti kata syair:

La ta'mananna 'ajuzatan dakhalu bal ta'mananna asadan ma'a l-ghanama; yakni, jangan kamu percaya akan perempuan tua masuk ke rumah karnu; adakah harimau dipercayai serta kawan kambing? Maka kata Tun Teja, "Kalau hamba tiada dipersembahkannya pada raja Melaka, takut Hang Nadim mengambil hamba akan isteri." Setelah dilihat oleh si pelulut itu bahawa Tun Teja telah redalah rupanya, maka si pelulut itu pun pergilah memberitahu Hang Nadim. Segala kata-kata Tun Teja itu semuanya dikata­kannya pada Hang Nadim, maka sahut Hang Nadim, "Hai mandaku, adalah bagai pantun orang:

Tun Teja Ratna Menggala,
Pandai membelah lada sulah;
Jika tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah."