Ahad, 3 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-70

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu IX

Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka 
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana 
Wasiat Bendahara Paduka Raja Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada
Telatah Orang-orang Yang Dikasihi Raja 
Manjong dan Kelantan Diserang

Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka

ALKISAH maka tersebutlah perkataan Sultan Ibrahlm, raja Siak. Ada seorang salah pada baginda, maka disuruh baginda bunuh pada Tun Jana Pakibul. Maka kedengaran ke Melaka, raja Siak membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka. Maka Sultan Alau'd-Din menitahkan Laksamana ke Siak. Se­telah sampai, maka oleh Sultan Ibrahlm disuruh jemput surat dari Melaka itu, seperti ad at Sultan Pahang menjemput surat dari Melaka.

Maka gajah dikepilkan di balairung, maka Sultan Ibrahlm berdiri di atas balai, lalu surat pun disambut oranglah; maka Sultan Ibrahlm pun duduk, dan surat pun di­baca orang. Setelah sudah surat dibaca, maka segala orang pun naiklah duduk. Maka Laksamana pun berkata pada Tun Jana Pakibul, Perdana Menteri Siak, "Sungguhkah tuan Hamba membunuh Tun anu itu?" maka sahut Tun Jana Pakibul, "Oleh dengan titah, maka hamba berani; kerana ia derhaka ke bawah duli Yang Dipertuan." Maka Laksamana mengadap kepada Tun Jana Pakibul, mengiring kepada Sultan Ibrahim; oleh Laksa­mana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, katanya, "Tiada berbudi tuan hamba, sungguhlah tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu akan istiadat dan cara bahasa. Benarkah membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka? Hendak maharajalelakah tuan hamba di Siak ini?"

Maka Sultan Ibrahlm dan segala Orang Besar-besar semuanya diam, tiada menyahut kata Laksamana Hang Tuah itu.  Setelah Laksamana sudah berkata itu, lalu ia menyembah pada Sultan Ibrahim. Maka Sultan Ibrahim memberi persalin akan Laksamana Hang Tuah. Maka Laksamana pun bermohonlah pada Sultan Ibrahim akan kembali ke Melaka. Maka Sultan Ibrahim pun persembah surat ke Melaka, demi­kian bunyinya: "Paduka kakanda empunya sembah, datang kepada paduka adinda, melainkan ampun paduka adinda juga diperbanyak akan paduka kakanda." Maka surat pun diarak oranglah ke perahu. Maka Laksamana pun kembalilah ke Melaka. 

Setelah datang ke Melaka, maka surat pun diarak bergajah, payung satu kuning, satu ungu. Telah datang ke pintu luar, maka gajah diderumkan di sana, gendang, payung semuanya tinggal di luar; surat pun dibawa oranglah masuk ke dalam dibaca oleh khatib. Setelah sudah dibaca surat itu, maka Laksamana pun menjunjung duli, lalu duduk pada tempatnya sediakala. Maka Sultan Alau'd-Din pun bertanya pada Laksamana. Maka oleh Laksamana segala hal ehwalnya di Siak itu, semuanya dipersembahkarinya ke bawah duli Sultan Alau'd-Din; baginda pun terlalu sukacita dan memberi persalin akan Laksamana dengan sepertinya.

Demikianlah istiadat dahulukala, jangankan di dalam negeri Melaka itu akan dapat membunuh tiada dengan setahu raja, jika pada negeri lain sekali pun, lamun takluk Melaka, tiada dapat membunuh.

Arakian maka Raja Menawar, anak Sultan Alau'd-Din pun besarlah, maka oleh Sultan Alau'd-Din anakanda baginda itu dirajakan di Kampar, dinobatkan dahulu di Melaka. Segala hulubalang dan para menteri semuanya turun mengadap nobat. Setelah sudah dinobatkan disuruh hantar pada Seri Nara Diraja ke Kampar, bergelar Sultan Menawar Syah; Seri Nara Diraja pun pergilah membawa Sultan Menawar Syah ke Kampar, se­telah sampai maka Sultan Menawar Syah pun dirajakan oleh Seri Nara Diraja di Kampar.

Telah sudah, maka Seri Nara Di­raja pun kembalilah ke Melaka mengadap Sultan Alau'd-Din Riayat Syah, Hatta berapa lamanya, datanglah pada peredaran dunia, maka Sultan Alau'd-Din pun geringlah. Maka baginda me­nyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Mamad, dan Bendahara Paduka Raja dan sekalian Orang Besar-besar datang berkampung mengadap baginda. Maka Sultan Alau'd-Din pun minta sandari pada dayang-dayang; maka dipanggil baginda hampir daripada antara orang itu enam orang; pertama Bendahara Paduka Raja, kedua Kadi, ketiga Paduka Tuan, ke­empat Seri Nara Diraja, kelima Temenggung, keenam Laksa­mana Hang Tuah. Maka hampirlah orang keenam itu, tujuh dengan anakanda baginda, Raja Mamad.

Maka titah baginda, "Ketahui oleh segala tuan-tuan sekalian, bahawa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampirlah rasanya. Adapun jikalau sudah kita mati, bahawa anak kita Si Mamadlah rajakan oleh Bendahara dengan segala Orang Kaya-kaya sekalian akan ganti kita; hendaklah sangat-sangat pelihara kamu akan dia, kerana ia kanak-kanak. Seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita, demikianlah kasih tuan hamba sekalian akan dia; jikalau barang suatu khilaf bebalnya, sangat-sangat maaf tuan ­tuan sekalian dan tegur ajari dia; tuan hamba tilik kepada kanak-kanaknya."

Setelah segala mereka itu mendengar titah Sultan Alau'd­-Din demikian itu, maka cucurlah air mata mereka itu, tiada berasa lagi. Maka sekaliannya berdatang sembah dengan tangis­nya, "Ya tuanku, barang dilanjutkan Allah Taala kiranya Yang Dipertuan, kerana patik sekalian belum lagi puas diper­Hamba Yang Dipertuan; tetapi jauhkan Allah, kiranya yang demikian itu, jika layu bunga di genggam Yang Dipertuan, sedia seperti titah itulah patik sekalian kerjakan; kerana patik semua tiada mau menyembah raja-raja lain daripada anak cucu tuanku."

Tiada ulasan: