Isnin, 25 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 102

Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara

Maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud; segala kata-kata Raja Mendaliar itu semuanya dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud. Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabullah pada hati baginda, seperti orang mengantuk disorongi bantal; kerana baginda sedia menaruh dendam akan Bendahara Seri Maharaja raja, sebab anaknya Tun Fatimah itu; seperti kata Farsi:

"Al mahabbat bain niyat, Wal 'asyiq fikr niyat," ertinya:
"Yang kasih itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada."

Maka Sultan Mahmud Syah pun menyuruh memanggil Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara; setelah keduanya datang, maka dititahkan baginda membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka mereka keduanya pun pergilah dengan segala hamba raja. Maka segala anak buah Bendahara dan kaum keluarganya, dan segala orangnya semuanya berkampunglah pada Bendahara Seri Maharaja, sekaliannya dengan alat senjatanya; Tun Hassan Temenggung hendak melawan, ditegah oleh Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei Hassan! Hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka."

Setelah Tun Hassan Temenggung mendengar kata Benda­hara itu, maka Tun Hassan Temenggung pun membuangkan senjata dari tangannya, lalu berpeluk tubuh; maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala kaum keluarganya, dan kepada segala orangnya, "Barang siapa kamu melawan, hamba dakwa ia di akhirat." Setelah mendengar kata Benda­hara Seri Maharaja itu, sekaliannya pun membuangkan Senjata dari tangan, lalu kembali ke rumah masing-masing. Maka tinggallah Bendahara Seri Maharaja dua bersaudara dengan Seri Nara Diraja; segala anak buahnya undur belaka. Maka Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pun masuk­lah, membawa keris Sultan Mahmud Syah, dibubuhnya di atas ceper perak, ditudungi dengan tetampan, dikeluarkan di hadapan Bendahara Seri Maharaja.

Maka kata Tun Sura Di­raja, "Salam doa anakanda, bahawa takdir Allah Taala telah datanglah pada hari ini." Maka sahut Bendahara Seri Mahara­ja dan Seri Nara Diraja, "Barang yang telah berlaku, pada hukum Allah itu, Hamba pun redalah." Maka Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara Diraja pun mengambil air sembahyang.  Maka oleh Tun Hassan Temenggung, peti emas itu hendak di­buangkannya ke air; maka ditegah Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei, hei, Hassan! Mengapa maka peti emas itu hen­dak dibuangkan? Kerana Yang Dipertuan membunuh kita ini, bukanlah hendakkan emas kita? Jikalau kita sudah mati, biarlah emas kita diambil oleh Yang Dipertuan akan kebakti­an kita," Maka tiadalah jadi dibuangkan oleh Tun Hassan Temenggung peti itu.

Maka Bendahara Seri Maharaja, dan Seri Nara Diraja, dan Tun Hassan Temenggung, dan Tun Ali, suami Tun Fatimah pun dibunuhlah empat orang, oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara, Maka ada seorang anak Seri Nara Diraja telah kena parang oleh seorang Benggali Mia Sima namanya, dari ekor pipi lalu ke keningnya, tiada ke hujungan, Tun Hamzah namanya; akan Tun Hamzah tertiarap. Setelah dilihat oleh anak Bendahara Seri Maharaja, Tun Abdul Karim seorang namanya, Tun Jenal seorang namanya, akan Tun Hamzah kena parang itu, maka keduanya datang ke hadapan Tun Sura Diraja, katanya, "Hei Tun Sura Diraja, hamba kedua bersaudara ini bunuhlah oleh tuan hamba;" Tengah ia berkata-kata itu, maka datang Sang Sura berlari-lari dari dalam membawa titah, katanya, "Jangan dibunuh yang lain, empat orang sahaja, titah." Maka kata Tun Sura Diraja, "Wah! Tun Hamzah sudah kena parang oleh Mia Sima, murkalah kelak duli Yang Dipertuan." Seraya katanya kepada Tun Abdul Karim dan Tun Jenal, "Tuan, kembalilah! Titah, akan ayahanda empat orang sahaja yang dibuangkan."

Ada­pun Tun Abdul Karim dan Tun Jenal itu, adik Tun Fatimah. Setelah itu maka Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara, datanglah mengadap ke bawah duli Sultan Mahmud Syah, persembahkan Tun Hamzah kena parang itu. Maka baginda pun murka akan Mia Sima, disuruh bunuh. Akan Tun Hamzah disuruh ubati kepada tabib, disuruh baginda peliharakan baik-baik; maka dengan takdir Allah Taala, belum datang ajalnya, tiada mati. Ialah yang sangat dikasihi baginda; akan Bendahara Seri Maharaja empat beranak itu disuruh baginda tanamkan, seperti adat dianugerahi.

Adapun akan Tun Fatimah, isteri Tun Ali itu pun diambil baginda akan isteri, terlalu sangat dikasihi baginda; maka segala pusaka Bendahara Seri Maharaja semuanya dibawa orang ke dalam, maka dilihat baginda, seperti berita orang itu tiada sungguh, maka baginda pun terlalulah menyesal oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja, tiada dengan periksanya lagi itu. Maka baginda suruh tafahusi pekerjaan itu dari mana datangnya.

Setelah nyatalah diketahui baginda fitnah itu daripada Kitul, daripada Raja Mendaliar datangnya, maka Raja Mendaliar disuruh baginda bunuh dan umbut dengan segala rumahtangganya sekali; akan Kitul disuruh sulakan melintang dengan anak bininya, tanah bekas kaki tiangnya pun disuruh cangkul dibuangkan ke laut; dan akan Laksamana Khoja Hassan pun disuruh baginda rampas, oleh ia berdatang sembah tiada dengan periksanya itu; sebab pun tiada baginda bunuh, kerana sudah diharamkan darahnya oleh baginda, seperti kata ulama:

"Al baqi al qaumu akhiruhum syariban," yakni,
yang sungai minuman pada suatu kaum itu, kesudahan ia juga minum dia.

Tiada ulasan: