Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman
Sebermula ada seorang saudagar, Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala saudagar dalam negeri Melaka; maka Nina Sura Dewana pun berdakwa dengan Raja Mendaliar; keduanya pergi bicara kepada Bendahara Seri Maharaja. Hari itu hampir petang, maka kata Bendahara pada Raja Mendaliar dan Nina Sura Dewana, "Kembalilah tuan Hamba dahulu, kerana hari telah petang; esok harilah tuan Hamba datang."
Maka sembah Raja Mendaliar dan Nina Sura Dewana, "Baiklah tunku;" maka Raja Mendaliar pun bermohonlah bersama-sama dengan Nina Sura Dewana kembali ke rumahnya. Setelah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, "Adapun bahawa Raja Mendaliar itu orang kaya, kalau-kalau dia menyorong pada Datuk Bendahara, nescaya alah aku olehnya; jikalau demikian baik aku pergi pada malam ini pada Bendahara Seri Maharaja." Setelah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana diambilnya emas sebahara, dibawanya kepada Bendahara.
Setelah datang keluar pagar Bendahara, maka kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu. "Beri tahu Datuk Bendahara, katakan Nina Sura Dewana datang hendak mengadap. " Maka dipersembahkan oleh penunggu pintu. Maka Bendahara pun keluar; maka Nina Sura Dewana pun masuklah mengadap Bendahara Seri Maharaja. Maka emas sepuluh kati itu dipersembahkan pada Bendahara; kata Nina Sura Dewana pada Bendahara. "Tunku, emas ini persembah sahaya akan pembeli sirih pinang." Maka kata Bendahara, "Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah." Maka Nina Sura Dewana pun bermohonlah kepada Bendahara Seri Maharaja, lalu kembali ke rumahnya.
Maka ada seorang Keling, keluarga pada Nina Sura Dewana, Kitul namanya; akan Kitul itu berhutang kepada Raja Mendaliar sekati emas. Setelah Nina Sura Dewana kembali dari kampung Bendahara Seri Maharaja, maka pada waktu Tengah malam, ketika sunyi orang tidur, maka Kitul pun pergi ke rumah Raja Mendaliar; ditepuknya pintu Raja Mendaliar. Maka Raja Mendaliar pun terkejut, katanya, "Siapa di luar pintu itu?" Maka sahut Kitul, "Beta Kitul." Maka disuruhnya Raja Mendaliar bukai pintu, maka Kitul pun masuk/dilihatnya Raja Mendalir bersukaan dengan segala anak isterinya. Maka kata Kitul, "Hei Raja Mendaliar, baik sekali tuan Hamba bersuka-sukaan pada malam ini, kerama akan datang tiada tuan Hamba tahu. Maka oleh Raja Mendaliar dipimpinnya tangan Kitul, dibawanya pada tempat yang sunyi. Maka kata Raja Mendalir, "Hei Kitul, apa jua ada khabar tuan hamba dengar?" Maka kata Kitul. "Malam tadi Nina Sura Dewana datang kepada Datuk Bendahara, persembah sepuluh kati emas, hendak menyuruh bunuh tuan hamba; akan sekarang Datuk Bendahara telah sebicaralah dengan Nina Sura Dewana, tuan hamba hendak dikerjakannya."
Raja Mendaliar mendengar kata Kitul itu, maka Raja Mendaliar pun mengambil surat hutang Kitul, lalu dicarik-cariknya; kata Raja Mendaliar pada Kitul, "Yang hutang tuan hamba sekati emas itu, halallah dunia akhirat, tuan hambalah saudara pada hamba; kembalilah tuan hamba." Maka Kitul pun kembalilah ke rumahnya. Maka pada malam itu juga, diambil oleh Raja Mendaliar emas sebahara, dan permata yang baik-baik, dan pakaian yang indah-indah, dibawanya pada Laksamana Khoja Hassan, kerana pada zaman itu segala kaum Laksamana terlalu karib pada Sultan Mahmud Syah. Setelah datang ke luar pintu Laksamana, maka ia minta bukai pintu; maka Raja Mendaliar pun masuklah mengadap Laksamana, maka segala harta yang dibawanya, semuanya disembahkannya kepada Laksamana. Kata Raja Mendaliar pada Laksamana, "Sahaya mengadap Orang Kaya ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya; kerana telah sahaya ketahui bahawa Datuk Bendahara hendak derhaka.
Orang Kaya persembahkanlah ke bawah Duli Yang Dipertuan, sudah ia berbuat takhta kerajaan, menempa ciu emas dan kaus emas; kasadnya hendak naik raja dalam negeri Melaka ini. Setelah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilanglah budi bicara akal yang sempurna itu, sebab disamun oleh harta dunia
Bita ai' zahab Khuda nuqit walakin nina hasil ista, yakni:
"Hei emas, Tuhan bukan engkau, tetapi kehendak hati berlaku olehmu."
Maka kata Laksamana kepada Raja Mendaliar, "Baiklah, Hamba persembahkan dia ke bawah Duli Yang Dipertuan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan