Manjong dan Kelantan Diserang
Hatta berapa lamanya maka Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjong, kerana Manjong itu dahulukala negeri besar, tiada ia muafakat dengan Beruas. Maka Paduka Tuan pun pergilah, dengan sepuluh orang hulubalang sertanya. Setelah datang ke Manjong, maka berperanglah orang Melaka dengan orang Manjong. Dengan takdir Allah Taala, Manjong pun alah dengan mudahnya. Maka Paduka Tuan pun lalu ke Beruas; raja Beruas pun mengalu-alukan Paduka Tuan. Setelah bertemu, disambut dengan sempuma kemuliaan dan kebesaran, dibawanyalah masuk ke negeri. 
Maka oleh Paduka Tuan, cucunya yang bernama Tun Isap Berakah itu, didudukkannya dengan saudara raja Beruas, yang bernama Puteri Sita itu. Maka Tun Isap Berakah beranakkan Tun Biajid namanya, bergelar Bendahara Seri Maharaja, disebut orang Datuk Bendahara Johor. Maka ia beristerikan Tun Munah, anak Tun Bintan dengan Orang Kaya Tun Hassan Rupat, yang bergelar Seri Petam. Maka Bendahara Johor beranakkan Tun Hidap, maka Tun Hidap diperisteri oleh Tun Isap Misai, anak Bendahara Tun Nara Wangsa. Tun Isap Misai bergelar Bendahara Seri Maharaja, ialah yang disebut orang Datuk Bendahara yang tua.
Dialah yang mengarang Anak Panah Sedasa. Adapun dipanggil orang Tun Isap Misai itu, sebab datuk itu bermisai panjang, tiada lepas tangannya bermain-main misainya, Maka datuk itulah beranakkan Tun Jehat, disebut orang Datuk yang ke Perak; seorang lagi Tun Kecik namanya, diperisteri oleh Raja Mahmud beranakkan Raja Sulung. Maka Raja Sulung beranakkan Raja Bagus; Raja Bagus beranakkan Raja Gembuk, dan Raja Mah, dan Raja Serii. Maka Raja Sulung tertawan ke Aceh; maka dirajakan oleh Sultan Mughal ke Perak, bergelar Sultan Muzaffar Syah, beristerikan Puteri Perak,beranakkan Sultan Mansur Syah, raja Perak; anak cucunyalah yang ada sekarang ini. Dan Raja Muda beranakkan dua orang perempuan. Raja Putih seorang namanya, Raja Mah seorang namanya, 
Setelah itu maka Paduka Tuan pun kembalilah ke Melaka, dan Raja Beruas pun datang bersama-sama. Setelah sampai ke Melaka, maka terlalulah sukacita Sultan Mahmud Syah oleh mendengar Manjong alah itu. Maka baginda pun menganugerahi persalinan akan Paduka Tuan itu. Maka raja Beruas pun dipersalin baginda dan dinobatkan sekali, digelar Tun Aria Bija Diraja. Maka Manjong pun diserahkan kepadanya, maka Tun Aria Bija Diraja pun bermohonlah kepada Sultan Mahmud kembali ke Beruas. Maka ia duduk di Manjong, dan Tun Aria Bija Diraja pun nobatlah di Manjong; segala hulubalangnya semuanya mengadap nobat. Setelah sudah nobat semua orang menyembah padanya, maka Tun Aria Bija Diraja berpaling menyembah mengadap ke Melaka, katanya, "Daulat Sultan Mahmud Syah."
Kalakian maka Sultan Mahmud pun menitahkan Seri Maharaja menyerang Kelantan. Pada zaman itu, negeri Kelantan itu terlalu besar; besar daripada Petani. Sultan Menawar Syah nama rajanya, anak saudara pada Sultan Iskandar Syah, tiada baginda mau menyembah ke Melaka; asalnya daripada anak cucu Raja Culan .. Maka Seri Maharaja pun pergilah dengan beberapa puluh hulubalang; setelah datang ke Kelantan, maka orang Melaka pun naiklah ke darat. Maka dikeluari oleh orang Kelantan, lalu berperang, beramuk-amukan, terlalu sabur, rupa kilat cahaya Senjata seperti kilat dilangit, sabung-menyabung, gemuruh bunyi bahana tempik hulubalang, dan gemerencing bunyi Senjata, seperti akan sampai ke langit; daripada kedua pihak rakyat itu pun banyaklah luka dan matinya; darah pun mengalir di bumi.
Maka dengan tolong Rabbu'l 'alamin, patahlah perang orang Kelantan, maka kota Kelantan pun alah; maka segala orang Melaka pun masuklah ke dalam kota merampas; terlalu banyak beroleh rampasan. Maka anakanda raja Kelantan tiga orang perempuan dapat; yang lelaki seorang lepas, Raja Gembuk namanya. Maka anak raja Kelantan yang perempuan itu, ketiganya tertawan oleh orang Melaka, seorang bernama Onang Kinang, seorang bernama Cau Pa, seorang bernama Cau Pauk. Maka ketiganya dibawa oleh Seri Maharaja kembali ke Melaka.
Setelah sampai ke Melaka, maka Seri Maharaja pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Maka puteri ketiga itu pun dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud; maka terlalulah sukacita baginda oleh Kelantan alah itu, dan baginda memberi anugerah persalin akan Seri Maharaja berserta segala hulubalang yang pergi itu. Maka puteri Kelantan ketiganya ditaruh dalam istana. Puteri Onang Kinang itu diperisteri baginda, beranak tiga orang; yang tua perempuan bernama Raja Mah, yang Tengah lelaki bernama Raja Muzaffar, yang bongsu perempuan bernama Raja Dewi.
Syahadan pada suatu ceritera ada konon Bendahara Putih berkata, "Dari kakak Hamba,Bendahara Paduka Raja, besar Hamba; kerana Bendahara Paduka Raja sekali dititahkan mengeluari Siam, sekali dititahkan menyerang Pahang; akan Hamba jadi Bendahara, bergerak sejari pun tiada. Seorang anak saudara Hamba dititahkan menyerang Manjong, alah Manjong; seorang anak saudara Hamba dititahkan menyerang Kelantan, alah Kelantan." Maka sahut segala orang yang mengadap itu, "Sungguh seperti sabda datuk itu."
Adapun akan Bendahara Putih itu, jika dian panjang sejengkal lagi, tiada dipakai, katanya. "Puntung dianlah itu," dian lain pula dipasangnya. Jika tikar pesuk barang dua tiga liang, tiada dipakainya, 'buruk', katanya; tikar yang lain pula dipakainya. Wa’llahu a’lamu bi’l-sawab, wa ilaihi’l-marji’u wa ‘l-ma’ab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan