Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN - 86

Pertempuran di Laut Pulau Keban

Setelah Sultan Abdul Jamal mendengar kata orang itu, maka pada sangka baginda ialah yang dibawa Hang Nadim itu Tun Teja. Maka baginda pun terlalu murka, dan menyuruh segera berlengkap perahu, akan mengikut Hang Nadim; dengan sesaat itu juga lengkap sepuluh buah perahu. Maka Sultan Abdul Jamal Sendiri pergi mengikut Hang Nadim. Maka segala hulubalang masing-masing dengan perahunya pergi itu bersegera-segera.

Setelah datang ke Pulau Keban, bertemulah dengan jong Nakhoda Saiyid Ahmad, maka diperangilah oleh orang Pahang, terlalu sabur rupa bertikamkan Senjata. Maka tampil sebuah perahu hulubalang Pahang, hendak mengait jong itu; maka dipanah oleh Hang Nadim, kena orang yang mengait itu, jatuh lalu mati. Maka perahu itu pun undurlah; maka tampil pula sebuah lagi, itu pun demikian juga. Setelah dua tiga buah kena demikian itu, maka seorang pun hulubalang Pahang tiada mahu tampil lagi.

Setelah dilihat oleh Sultan Abdul Jamal, maka baginda pun menyuruh menampilkan kenaikannya; maka kenaikan raja Pahang pun dekatlah, maka oleh Hang Nadim segera dipanah­nya dengan panah losong kena kemuncak payung raja Pahang, belah dua. Maka Hang Nadim pun bertempik, katanya, "Hei orang Pahang, lihatlah tahunya aku memanah! Jikalau aku hendak melawan kamu sekalian, seorang-seorang dapatku masukkan biji mata kamu." Maka orang Pahang pun hebat rasanya melihat betul Hang Nadim memanah itu; kerana Hang Nadim itu terlalu amat bijaknya pada memanah, umpamanya membelah kayu pun ia dapat dengan panah.

Setelah melihat kenaikan raja Pahang mendekati jong itu maka segala hulubalang Pahang pun tampil, bersusun rupa perahunya; tetapi seorang pun tiada mau melanggar jong itu, daripada dahsyatnya anak panah Hang Nadim, seperti mata petir datangnya itu. Jika kena orang berjebang, terus dengan jebangnya; jika kena orang berangan terus dengan rangannya; jika kena orang berperisai terbang dengan perisainya, melain­kan perahu Tun Aria juga yang mendekati hendak melanggar jong itu. Maka dipanah oleh Hang Nadim kena kepala tiang perahunya, belah; dipanah pula sekali lagi oleh Hang Nadim, kena gandar dayungnya, putus.

Adapun Tun Aria berdiri betul pada tiang agung memegang jebang; tiada ia khabar akan panah Hang Nadim yang seperti halilintar membelah itu, tampil juga ia, Maka dipanah oleh Hang Nadim kena jebang Tun Aria terus, lalu kena dadanya, luka sedikit. Maka dengan tolong Rabbu'l alamin, angin besar pun turun; maka jong itu pun dilayarkan oleh Nakhoda Saiyid Ahmad ke Tengah laut. Maka segala kelengkapan Pahang pun tiadalah beroleh melaut, kerana ombak terlalu besar, dan perahu mereka itu kecil-kecil; maka segala orang Pahang pun undurlah mendarat, kembali, ke Pahang. Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun belayarlah ke Melaka. 

Setelah berapa lamanya di jalan, sampailah ke Melaka; maka dipersembahkan oranglah pada Sultan Mahmud, bahawa Hang Nadim datang daripada Pahang menumpang jong Nakho­da Saiyid Ahmad; membawa anak Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Menggala itu, Telah didengar oleh Sultan Mahmud, maka terlalulah sukacita baginda. Baginda menyuruh mengalu-alukan Hang Nadim. Setelah hari malam, maka Hang Nadim pun masuk mengadap Sultan Mahmud Syah persembahkan Tun Teja Ratna Menggala; maka baginda pun terlalu hairan melihat rupa Tun Teja itu maka diucapkan baginda Subhana'llah 'amma yasifun; dan beberapa puji baginda akan Hang Nadim, dan diberi persalin dengan seperti adat pakaian anak raja-raja, dan dianugerahi emas, dan perak, dan harta tiada terkira banyaknya.

Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun dianugerahi baginda persalin dengan sepertinya, dan digelar baginda Syah Andeka Menteri, dianugerahi keris bersalut dan pedang berikat emas, disuruh berdiri di tingkat sama dengan segala bentara. Maka Tun Teja dikahwini Sultan Mahmud Syah, terlalu kasih baginda akan dia. Pada suatu kaul, Sultan Mahmud dengan Tun Teja beranak seorang perempuan bernama Puteri Adma Dewi. Pada suatu hari Sultan Mahmud Syah bertanya pada Tun Teja, "Bagaimana engkau tatkala dibawa oleh Hang Nadim?"

Maka sembah Tun Teja, "Tuanku, jikalau Hang Nadim tuan­ku, jangankan dia Hampir kepada patik, memandang legat pun ia tiada; sedang patik turun ke perahu, menyambut patik lagi tangannya dialasnya dengan kain dua tiga lapis." Maka Sultan Mahmud pun terlalu sukacita mendengar kata Tun Teja itu, makin bertambah-tambah kurnia baginda akan Hang Nadim; maka Cau Pauk, anak raja Kelantan itu, dianugerahkan baginda akan isteri Hang Nadim, dan digelar baginda Sang Naya; ialah beranakkan Tun Mat Ali, ayah Tun Hamzah; akan Tun Hamzah beranakkan Tun Ali, bergelar Seri Petam, disebut orang Datuk Paduka Tuan di Kampung Jelai

Catat Ulasan