Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-33

Satu Cara Mengelakkan Pecah-Belah

Sekali persetua, Seri Nara Diraja duduk di balai diadap orang banyak, maka Tun Nina Madi pun lalu; maka kata Seri Nara, seraya katanya pada segala orang yang mengadap itu, "Tahukah tuan Hamba ia ini anak Hamba?" Maka sembah orang itu, "Sahaya semua pun tahu juga; oleh tunku tiada mengaku, sahaya semua pun takutlah mengatakan anak tunku. "Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum; maka Tun Nina Madi pun digelar oleh Sultan Muzaffar Syah "Tun Bijaya Maha Menteri".

Setelah Paduka Raja jadi Orang Besar, maka segala anak Melayu pun berbelahlah, setengah pada Paduka Raja dan se­tengah pada Seri Nara Diraja, kerana keduanya sama Orang Besar berasal. Maka Seri Nara Diraja tiada muafakat dengan Paduka Raja, Sentiasa bersinggit juga. Berapa kali lelayan Paduka Raja kedapatan dengan Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja. Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu, maka terlalu dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu.

Maka fikir baginda, “Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana Orang Besar tiada mua­fakat sama orang besar." Maka baginda berbicara hendak di­muafakatkan antara kedua Orang Besar itu; maka Sultan Muzaffar Syah menyuruh memanggil Seri Nara Diraja. Maka Seri Nara Diraja pun datanglah mengadap. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Maukah Seri Nara Diraja beristeri?" Maka sembah SeriNara Diraja, "Jikalau dengan nugerahi duli Yang Dipertuan, baiklah tuanku." Maka titah baginda, "Maukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon tuanku." Maka baginda bertitah pula, "Maukah akan Tun Ratna Sandari, saudara sepupu kepada Paduka Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon tuanku." Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Maukah akan Tun Gemala, saudara Bendahara Seri Wak Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon patik tuanku." Maka berapa orang anak Orang Besar-besar ditawarkan oleh Sultan Muzaffar Syah, tiada juga berkenan pada Seri Nara Diraja.

Maka titah baginda, "Maukah Seri Nara Diraja akan Tun Kudu?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Daulat tuanku." Bermula akan Tun Kudu itu anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara Paduka Raja, diperisteri oleh Sultan Muzaffar Syah, terlalu baik rupanya; tetapi matanya juling sedikit. Setelah didengar oleh Sultan Muzaffar Syah, Seri Nara Diraja mau akan Tun Kudu .itu, sesaat itu juga ditalak oleh baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi belanja, disuruh berhadir akan dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Maka kata anak buah Seri Nara Diraja, "Bagaimana maka datuk hendak beristeri, kerana datuk telah sudah tua,bulu mata dan bulu kening pun telah putih?" Maka kata Seri Nara Diraja, "Di mana kamu sekalian tahu, jikalau demikian sia-sialah yang dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu."

Setelah sudah lepas idah maka Seri Nara Diraja pun duduk­lah dengan Tun Kudu; maka menjadi fakatlah Seri NaraDiraja dengan Paduka Raja; jadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, "Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan Bendahara, kerana menteri sedia anak Bendahara." Adapun Bendahara Paduka Raja itulah yang dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya, pertama-tama Majapahit; kedua Pasai; ketiga Melaka. Dalam negeri yang tiga buah itu, tiga orang yang bijaksana. Pertama di Majapahit, Patih Aria Gajah Mada; dan Pasai, Orang Kaya Raja Kenayan; dan Melaka Paduka Raja, iaitu Bendahara; maka Seri Nara Diraja menjadi penghulu Bendahari.

Catat Ulasan