Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-65

Langkah Membasmi Pencuri 

Setelah hari siang, maka Sultan Alau'd-Din pun keluarlah se­mayam dihadap orang. Maka Bendahara dan segala Orang Besar-besar, para menteri, sida-sida, bentara, hulubalang sekaliannya hadir mengadap baginda. Maka titah Sultan Alau'd­-Din pada Seri Maharaja, kerana ia Temenggung, "Adakah kawal semalam?" Maka sembah Seri Maharaja, "Ada tuanku." Maka titah baginda, "Kita dengar ada orang mati dibunuh orang; di atas bukit seorang, di bawah bodi seorang, dan di hujung jambatan seorang; jikalau demikian, orang yang mati itu Seri Maharajakah membunuh dia?" Maka sembah Seri Maharaja, "Tidak patik tahu tuanku." Maka titah Sultan Alau'd-Din, "Sia-sialah kawal Seri Maharaja; orang mati tiga orang tiada diketahui. Sekarang kita dengar pencuri terlalu ganas dalam negeri ini." 

Setelah itu maka Sultan Alau 'd-Din pun menitahkan orang memanggil Hang Ishak dan Hang Isap, suruh bawa peti itu, Maka kedua mereka itu pun datanglah membawa candu-peti. Maka titah Sultan Alau'd-Din pada Hang Ishak dan Hang Isap, "Apa ada pendengaranmu semalam? Khabarkan kepada Ben­dahara dan segala Orang Besar-besar ini." Maka Hang Ishak dan Hang Isap pun berkhabarlah akan segala perihal semalam itu, semuanya dikatakannya kepada Bendahara dan segala Orang Besar-besar yang mengadap itu. Demi mendengar kata Hang Isap itu, semuanya menyembah kepada Sultan Alau'd­Din dengan takutnya, sekaliannya - menundukkan kepala. Maka disuruh oleh baginda tafahus orang yang empunya peti itu.

Ada seorang saudagar, Ki Tarambulum namanya, ialah yang empunya peti itu; ialah kehilangan pada malam itu. Maka disuruh oleh Sultan Alau'd-Din kembalikan peti itu pada Ki Tarambulum; maka beberapa puji dan doanya akan Sultan Alau'd-Din. Maka baginda pun berangkat masuk; dan segala khalayak yang mengadap itu pun kembalilah masing-masing ke rumahnya. 

Semenjak itu maka kawal Seri Maharaja pun terlalu keras. Jika bertemu dengan orang berjalan dibunuhnya, tiada di­tangkapnya lagi. Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri; maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya; maka ter­sampai pada alang kedai itu. Telah hari siang maka perempuan yang punya kedai itu pun hendak membuka kedai, maka di­lihatnya lengan orang tersampai pada alang kedainya itu; maka ia pun terkejut, lalu menjerit. Maka daripada hari itulah datang kepada akhirnya, tiada pencuri lagi dalam negeri Melaka.

Maka titah Sultan Alau'd-Din kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat balai di simpang empat di Tengah negeri, disuruh bubuh seorang penghulu diam di sana. Maka titah baginda pada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkannya pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya; jikalau tiada bertemu dengan yang empunya harta, ke balai itulah dihantarkan. Maka di dalam negeri Melaka itu, jikalau harta orang gugur dijalan atau di pekan, maka dicarinyalah ke balai itu; dan apakala didapati pula oleh orang, maka adalah tergantung di balai itu; demikianlah periadil Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u. wa'l ma'ab.

Catat Ulasan