Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-54

Akibat Tiada Menyembah ke Melaka

 Alkisah maka tersebut lah perkataan Kampar, Maharaja Jaya nama rajanya, Pekan Tua negerinya, asalnya daripada raja Minangkabau; tiada ia menyembah ke Melaka, Maka Sultan Mansur Syah menitahkan Seri Nara Diraja menyerang Kampar. Maka Seri Nara Diraja pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Seri Nara Diraja pun pergilah bersama-sama dengan Sang Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna dan segala hulubalang sekalian; Khoja Baba pun pergi mengiringkan Seri Nara Diraja.

Setelah datang ke Kampar, maka dipersembahkan orang kepada Maharaja Jaya, mengatakan: "Orang Melaka datang menyerang kita." Setelah Maharaja Jaya mendengar khabar Seri Nara Diraja datang menyerang dia itu, maka Maharaja Jaya memberi titah kepada mangkubuminya, Tun Demang namanya, suruh mengampungkan rakyat Kampar. Maka Tun Demang pun keluarlah mengampungkan segala rakyat dan berhadir segala kelengkapan perang. Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun datanglah. Maka segala orang Melaka pun naiklah ke darat, lalu dikeluari oleh Maharaja Jaya dengan ke­naikan gajah, dan Tun Demang di bawah gajah, Senjatanya lembing. Maka bertemulah orang Melaka dengan orang Kampar, lalu berperang terlalu ramai; ada yang.bertikamkan.lem­bing, ada yang bertetakkan pedang dan cipan, ada yang ber­panah-panahan. Maka daripada kedua pihak rakyat pun ba­nyaklah matinya, dan darah yang mengalir di bumi. Adapun perang itu seperti dalam hikayat. Daripada sangat tempuh orang Melaka, maka orang Kampar pun undur.

Setelah dilihat oleh Maharaja Jaya, lalu ditempuhkannya gajahnya pada orang Melaka, bersama-sama dengan Tun Demang. Barang di mana ditempuhnya, mayat berkaparan di medan, dan darah mengalir di bumi. Maka segala orang Melaka pun habis lari lalu ke air, melainkan Seri Nara Diraja dan Khoja Baba yang lagi berdiri, tiada bergerak daripada tempatnya. Maka Maharaja Jaya dan Tun Demang pun datanglah bersama-sama dengan segala orang Kampar yang banyak itu; rupa Senjata seperti hujan mencurah datangnya ke hala Seri Nara Diraja dan Khoja Baba. Maka kata Seri Nara Diraja pada Maharaja Jaya, seraya menimang lembingnya, "Tuanku, tanah sedikit ini hendak sinda pohonkan, jikalau digagahi juga, hendak diambil; lembing anugerah paduka kakanda ini sinda persembahkan di dada."

Maka oleh Tun Demang, ditikamnya Khoja Baba dengan lembingnya, kena rusuknya, tetapi menyisip. Maka oleh Kho­ja Baba diuraikannya Tengkoloknya; maka katanya pada Seri Nara Diraja, "Orang Kaya, beta luka!" Maka dibebat oleh Seri Nara Diraja. Akan Khoja Baba Senjatanya panah perisai; maka dipanahnya kena pelipisan Tun Demang terus menye­belah. Maka Tun Demang pun tersungkur di bawah gajah Maharaja Jaya. Maka kata Khoja Baba, "Apa rasa Tun De­mang?" Setelah Maharaja Jaya melihat Tun Demang mati, maka baginda pun terlalu marah, segera menampilkan gajah­nya mengusir Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja, ditikamnya dengan lembing yang ditangannya itu, kena dada Maharaja Jaya, terus ke belakangnya, lalu jatuh dari atas gajahnya ke tanah; maka Maharaja Jaya pun matilah. Setelah orang Kampar melihat Maharaja Jaya dan Tun Demang sudah mati itu, maka sekaliannya pun pecahlah, lalu lari, Maka diperikut oleh orang Melaka, dibunuhnya, lalu di­masukinya ke dalam kota sekali.

Maka orang Melaka pun merampaslah, terlalu banyak beroleh rampasan, dan kota itu, pun dibakarnya sekali. Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun kembalilah dengan kemenangannya; gajah Maharaja Jaya itu pun dibawanya juga. Berapa lamanya sampailah ke Melaka. Maka Seri Nara Diraja dengan segala hulubalang pun masuk­lah mengadap Sultan Mansur Syah; baginda pun terlalulah sukacita mendengar negeri Kampar alah itu. Baginda memberi persalinan akan Seri Nara Diraja, dan Sang Setia, dan Sang Guna, dan Sang Naya masing-masing pada kadarnya.

Maka akan Khoja Baba digelar Akhtiar Muluk, dialah beranakkan bapa Khoja Bulan, Khoja Bulan beranakkan Khoja Muhammad Syam, bapa Khoja Umar dan Khoja Buang, dan Bi Jaban duduk dengan Paduka Seri Indera Tun Mat, beranakkan Tun Kitam dan Tun Mariam dan Tun Kecik; akan Tun Mariam duduk dengan Seri Akar Raja yang bernama Tun Utusan, cucu Seri Pikrama Raja Tun Tahir, maka Paduka Megat beranak dua orang perempuan, Tun Cembul seorang namanya, duduk dengan Seri Asmara Tun Hitam, beranakkan Tun Jamal dan Tun Muhammad dan Tun Kala pun namanya, duduk dengan Tun Gombak, anak Datuk Sekudai; seorang lagi yang perempuan Tun Putih namanya, duduk dengan Tun Anum, anak Datuk Paduka Tuan, bergelar Seri Bija Wangsa, yang lelaki bernama Tun Pandak; seorang lagi anak Paduka Megat dengan Tun Mariam, Tun Kaca namanya, duduk dengan Tun Pahlawan, beranakkan Tun Jemaat dan Tun Tipah. Ada­pun Tun Kuni anak Paduka Seri Indera, Tun Amat, duduk dengan Tun Pua, anak Paduka Seri Raja Muda bernama Tun Hussain, beranakkan Tun Sulong, duduk dengan Megat Isak, beranakkan Megat Dagang dan Megat Kelang, bergelar Paduka Megat.

Akan Akhtiar Muluk, dianugerahi pedang, disuruh berdiri di ketapakan balai, sama-sama dengan bentara yang banyak. Maka Kampar itu diserahkan pada Seri Nara Diraja; maka Seri Nara Dirajalah yang pertama meletakkan di Kampar itu Adipati.

Catat Ulasan