Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-36

Raja Indera Pura Ditawan

Adapun segala hulubalang yang ikut itu berdahulu-dahuluan menurut Maharaja Dewa Sura, semuanya terlalu ke hulu;akan Seri Bija Diraja mudik perlahan-Iahan, maka ia bertemu dengan perempuan tua itu, Tengah menangkap anak ikan. Maka di­suruhnya tangkap; maka dapat, dipisitnya - "Di mana Maha­raja Dewa Sura? Jikalau tidak kamu katakan, sekarang aku suruh apit." Maka kata si tua itu, "Jangan Hamba diapit, akan Maharaja Dewa Sura duduk di rumah Hambamu." Maka oleh Seri Bija Diraja disuruhnya segala orangnya naik mengepung Maharaja Dewa Sura; maka Maharaja Dewa Sura pun ditangkap oranglah.

Adapun rumah perempuan tua itu dekat sebuah anak sungai kecil, ada sepohon kayu mahang, maka dinamai anak sungai itu Pahang, sungai Batang Pahang. Maka disebut oranglah negeri Indera Pura itu negeri Pahang. Maka Maharaja Dewa Sura pun dibawa oranglah pada Seri Bija Diraja, maka lalu dibawanya hilir, dipersembahkannya kepada Bendahara Paduka Raja.

Adapun Maharaja Dewa Sura ditangkap oleh Seri Bija Diraja tiada dipasungnya, dan tiada diikatnya, ditaruhnya seperti adat raja juga. Setelah datang kepada Bendahara Paduka Raja demikian juga, ditaruhnya seperti adat raja juga. Maka gajah kenaikan Maharaja Dewa Sura yang bernama Kurancak itu disuruh bawa oleh Bendahara ke Melaka dahulu. Setelah berkampunglah segala hulubalang dan orang Melaka sekalian, maka Bendahara Paduka Raja pun kembalilah ke Melaka. Berapa lama di jalan maka sampai ke Melaka, lalu naik mengadap Sultan Mansur Syah, membawa Maharaja Dewa Sura dan Puteri Onang Sari, dipersembahkan kepada baginda; maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita. Maka Bendahara Paduka Raja pun dianugerahi baginda persalin dengan segala hulubalang yang pergi itu dengan sepertinya.

Maka Seri Bija Diraja dititahkan baginda diam di Pahang, dianugerahi gendang nobat dengan selengkapnya, melainkan nagara juga yang tiada, dan dianugerahi payung iram-iram berapit oleh jasanya menangkap Maharaja Dewa Sura itu.

Syahadan apabila Seri Bija Diraja keluar dari Melaka, lepas Pulau Melaka juga nobatlah ia. Maka Seri Bija Diraja pun duduklah di Pahang. Sementara belum diberi raja, Seri Bija Dirajalah memerintahkan Pahang; setahun sekali ia mengadap ke Melaka, persembahkan ufti Pahang. Kepada zaman itu ufti Pahang setahun tujuh kati, lain hasil bandar dan anak sungai. Adapun akan Maharaja Dewa Sura itu diserahkan oleh Sultan Mansur Syah kepada Bendahara Paduka Raja juga. Maka oleh Bendahara tiada dipasungnya, sangat dipeliharanya.

Setelah berapa lamanya, maka oleh Bendahara diserahkannya kepada Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja akan Maharaja Dewa Sura dipenjarakannya di hujung balai, tempatnya duduk diadap orang banyak; tetapi sungguhpun dipen­jarakannya, seperti adat kerajaan Maharaja Dewa Sura itu tiada diubahnya; diberinya bertilam dan bantal besar. Jikalau makan disuruhnya hadap dan disampaikan tetarupan. Ada pada suatu hari Seri Nara Diraja duduk diadap orang banyak maka kata Maharaja Dewa Sura, "Tatkala Hamba di negeri Hamba ditangkap oleh Seri Bija Diraja, kepada perasaan Hamba seperti dalam kerajaan Hamba juga; setelah Hamba datang kepada Bendahara Paduka Raja, .itu pun demikian juga; lebih pula peliharanya daripada Seri Bija Diraja. Setelahdatang kepada Keling tua ini baharulah Hamba merasai pen­jara."

Maka kata Seri Nara Diraja, "Hei Maharaja Dewa Sura, bagaimana tiada demikian? Akan Seri Bija Diraja hulubalang gagah. Negeri tuan Hamba lagi dapat dialahkannya; ini pula tuan Hamba seorang, apa bahayanya kepadanya? Akan Benda­hara Paduka Raja Orang Besar, segala orang dalam negeri ini semuanya orangnya belaka. Jika tuan Hamba terjun lari, di mana akan lepas daripadanya; akan Hamba seorang fakir, jika tuan Hamba lari, siapa akan Hamba suruh menangkap tuan Hamba. Jika tuan Hamba lepas, duli Yang Dipertuan murka akan Hamba, orang sekalian pun mentaksirkan Hamba." Maka kata Maharaja Dewa Sura, "Benarlah kata tuan Hamba; tuan Hambalah yang sempuma Hamba ke bawah duli Yang Maha Mulia. "

Sebermula akan Puteri Onang Sari" pun diperisteri oleh Sultan Mansur Syah, beranak dua orang lelaki, seorang bernama Raja Muhammad dan seorang bernama Raja Ahmad. Maka Sultan Mansur Syah terlalu kasih akan anakanda baginda Raja Muhammad itu; titah baginda ialah akan kerajaan di Melaka ini.

Tiada ulasan: