Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-49

Kedal Kerana Tulah?

Sebermula tatkala sampai Lak Di Po dengan menteri yang menghantarkan Tuan Puteri Hang Liu itu ke benua China, persembahan raja Melaka itu pun diarak masuk ke dalam. Maka disuruhnya baca kepada Perdana Menteri. Setelah di ketahuinyalah ertinya, maka terlalulah sukacita raja China. mendengar raja Melaka berkirim sembah kepadanya itu. Ada selang dua hari, dengan takdir Allah Taala maka raja China pun datanglah penyakit gatal semua tubuh baginda, lalu men­jadi kedal. Maka raja China pun menyuruh memanggil tabib minta ubati. Makin diubati oleh tabib, semakin sangat ke­gatalan. Maka beberapa ratus tabib disuruh raja China meng­ubati baginda, tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah pada raja China, demikian sembahnya, "Tuanku seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan terubati oleh patik-patik sekalian; kerana penyakit ini bersebab datangnya." Maka titah raja China, "Apa sebabnya penyakit ini?" Maka sembah tabib tua itu, "Tuanku ini tulah, kerana raja Melaka berkirim sembah itu, Jikalau tiada air basuh kaki raja Melaka, tuanku santap dan dibasuhkan muka tuanku yang telah kedal anjing itu, tiadalah akan sembuh penyakit tuanku ini."

Setelah raja China mendengar sembah tabib tua itu, maka baginda pun menitahkan utusan ke Melaka, minta air basuh kaki raja Melaka; setelah hadir maka utusan itu pun belayar­lah. Berapa lamanya di jalan, sampailah ke Melaka. Maka di­persembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, mengata­kan utusan raja China datang hendak meminta air kaki duli Yang Dipertuan. Maka Sultan Mansur Syah pun keluar semayam balairung dihadap orang. Maka surat raja China itu pun diarak oranglah ke balairung; maka disuruh baca pada khatib. Setelah tau baginda akan ertinya maka oleh Sultan Mansur Syah diberi baginda air basuh kaki. Maka surat pun dibalas, dan utusan China pun dipersalin. Maka surat dan air basuh kaki baginda itu pun diarak oranglah ke perahu. Maka utusan raja China pun belayarlah.

Setelah berapa lamanya di jalan maka sampailah ke benua China. Maka surat dan air basuh kaki raja Melaka itu pun di­arak ke dalam. Tiadalah sempat raja China membaca sur at itu lagi; air basuh kaki Sultan Mansur Syah itu pun disantap, di­mandi dan dibasuhkan muka baginda. Maka dengan sesaat itu juga penyakit kedal tubuh baginda itu pun hilanglah. Maka raja China pun sembuhlah, dan baginda bersumpah tiada mau disembah oleh segala anak cucu raja Ujung Tanah datang se­karang. Maka titah raja China, "Segala anak cucu kita jangan lagi berkehendak disembah raja Melaka datang kepada anak cucu raja Melaka, kadar muafakat berkasih-kasihan jua."

Catat Ulasan