Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-74

Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada

Sekali persetua Sultan Mahmud Syah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah; pada tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Merba, kerana Merba pegangan­nya. Maka pada suatu Malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari rumah isterinya.

Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya ditimang-timangnya, katanya, "Hei Sultan Mahmud, demikiankah pekerjaan tuan hamba akan hamba? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah."*

Maka tatkala segala hamba raja yang mengiringkan baginda itu hendak gusar, maka titah Sultan Mahmud Syah, "Jangan kamu semua marah, kerana katanya itu benar, kita sedia salah kepadanya; pada hukumnya patut kita dibunuhnya, daripada ia hamba Melayu, tiada ia mau derhaka, maka demikian lakunya. " Maka baginda pun kembalilah ke istana. Maka oleh Tun Biajid isterinya itu ditalaknya, dan ia pun tiadalah mahu mengadap dan bekerja lagi. Maka oleh Sultan Mahmud Tun Biajid dipanggil baginda, maka Tun Biajid pun datang mengadap maka gundek baginda yang bernama Tun Iram Seridari, dianugerahkan baginda pada Tun Biajid. Maka diambil oleh Tun Biajid akan Tun Iram Seridari itu diperisteri­nya.

Sungguhpun demikian, tiada juga Tun Biajid mau ke majlis; jika dititahkan, dari rumahnya turun ke perahu lalu pergilah ia .

*Naskhah Shellabear hlm, 159, dan naskhah hlm. 211- "Jika tiada lernbing ini kutumbuklcan di dada bukannya Hamba anak laki-laki."

Pada suatu malam, Sultan Mahmud Syah pergi ke rumah seorang perempuan, Tun Dewi namanya Maka didapati baginda Tun Ali Sandang ada di sana; maka Sultan Mahmud pun berbalik, baginda menoleh ke belakang, dilihat baginda Tun Isap, anak Tun Abu Yazid, cucu Tun Abu Sayid, cicit Seri Udana, piut Tun Hamzah, anak Bendahara Seri Amar Diraja, ada mengiring baginda Maka oleh Sultan Mahmud diambil baginda sirih di puan, dianugerahkan pada Tun Isap.

Maka Tun Isap pun fikir pada hatinya, "Apa gerangan ertinya Yang Dipertuan memberi aku sirih dari puan ini? Pada bicaraku entah Yang Dipertuan menyuruh membunuh Tun Ali Sandang gerangan?" Kerana pada zaman dahulukala sirih di puan raja itu terlalu mulia, tiada barang-barang orang di­anugerahkan raja; barang siapa dianugerahi sirih daripada puan itu tanda kurnialah akan orang itu. Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang 

Setelah demikian fikir Tun Isap, maka Tun Isap berbalik ke rumah Tun Dewi, lalu dinaikinya Maka ditikamnya Tun Ali kena dadanya terus, lalu mati. Telah Tun Ali Sandang sudah mati, maka Tun Isap pun turun mengadap Sultan Mahmud. Maka orang pun gemparlah, mengatakan Tun Ali Sandang sudah mati, dibunuh oleh Tun Isap. Maka Seri Wak Raja, anak Bendahara Paduka Raja yang bongsu, diberi orang tau, kerana Tun Ali Sandang keluarga pada Seri Wak Raja. Maka Seri Wak Raja pun terlalu marah; disuruhnya adang Tun Isap, hendak dibunuhnya.

Maka oleh Sultan Mahmud akan Tun Isap disuruh baginda berlepas; maka Tun Isap pun ber­lepaslah, lalu ke Pasai. Setelah datang ke Pasai, Tun Isap tiada mau menyembah raja Pasai. Kata Tun Isap, "Akan si Isap tiada ia menyembah raja yang lain melainkan Sultan Mahmud Syah." Lalu pula ia ke Haru, raja Haru pun tiada mau ia me­nyembah. Maka Tun Isap lalu ke Brunei; kepada raja Brunei pun Tun Isap tiada mau menyembah.

Maka Tun Isap beristeri­kan anak Raja Brunei, beranak cuculah ia di sana; itulah maka Datuk Muar banyak keluarganya orang Brunei. Maka kata Tun Isap, "Adapun si Isap tumpah darahnya di Melaka, matinya pun di Melaka." Maka Tun Isap pun kembalilah ke Melaka. Setelah datang, lalu mengadap Sultan Mahmud, maka didapatinya baginda lagi santap; ayapan itu dianugerahkan baginda akan Tun Isap. Setelah sudah Tun Isap makan, maka oleh Sultan Mahmud dipeluk dicium baginda akan Tun Isap.

Maka disuruh ikat dengan destar, disuruh hantarkan pada Seri Wak Raja, kerana pada bicara baginda, "Apabila kuikat Tun Isap ini, kuhantarkan pada Seri Wak Raja, nescaya tiada akan dibunuhnya." Adapun tatkala itu Seri Wak Raja di atas gajah. Maka Tun Isap pun datang dibawa oleh Hamba raja. Maka kata Hamba raja itu pada Seri Wak Raja, "Titah duli Yang Dipertuan kepada Orang Kaya, akanTun Isap ini sedia salahnya, dipinta maaf kepada Orang Kaya." Setelah Seri Wak Raja melihat Tun Isap terikat itu, segera dicabuknya dengan kusa kepala Tun Isap, kena ubun-ubunnya pesuk, lalu mati. 

Maka Hamba raja itu pun kembali mengadap Sultan Mahmud, persembahkan, "Tun Isap telah mati dibunuh Seri Wak Raja, dicabuknya dengan kusa dari atas gajah." Maka Sultan Mahmud pun diam mendengar kata Hamba raja itu, dari kerana sangat kasih baginda akan Seri Wak Raja itu, Ada­pun pada masa itu, empat orang yang dikasihi oleh Sultan Mahmud, pertama-tama Seri Wak Raja, kedua Tun Umar, ketiga Hang Isa Pantas, keempat Hang Hussain Cengang, Maka titah Sultan Mahmud pada keempat orang itu, "Apa ke­hendak tuan Hamba keempat pintalah pada kita; jikalau apa sekalipun tiada kita tahani."

Maka yang pertama berdatang sembah Seri Wak Raja, demikian sembahnya, "Tuanku,jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan jadi panglima gajah, kerana Seri Wak Raja itu sangat gemar akan gajah, lagi terlalu tahu. Maka titah Sultan Mahmud, "Kabul- lah kita akan kehendak Seri Wak Raja itu, hanya apatah daya kita, kerana Seri Rama lagi ada; bagaimana kita akan memecat dia, kerana suatu pun tiada apa salahnya pada kita; tetapi ji- kalau Seri Rama sudah mati, nescaya Seri Wak Raja kita jadi- kan panglima gajah. "

Maka Tun Umar pula berdatang sembah, "Tuanku,jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan jadi raja di laut." Maka titah Sultan Mahmud, "Baiklah, tetapi Laksamana lagi ada; apa daya kita mengambil daripadanya. Hendak pun ia kita pecat, suatu pun tiada apa salahnya pada kita; tetapi apabila Laksamana tiada, Tun Umarlah kita jadi­kan raja di laut."

Setelah dilihat oleh Hang Isa Pantas dan Hang Hussain Cengang kedua Orang Besar-besar itu tiada lulus sembahnya, maka keduanya fikir seketika. Maka titah Sultan pada Hang Hussain Cengang, "Berdatang sembahlah kamu kedua, apa kehendakmu pohonkan kepada aku." Sembah Hang Isa Pantas, "Tuanku, jikalau ada kurnia duli Yang Di­pertuan, patik hendak pohonkan emas, barang dua tiga kati, dan kain baju, barang dua tiga banian." Maka dengan sesaat itu juga dianugerahi baginda. Maka Hang Hussain Cengang pun berdatang sembah, "Tuanku, jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan kerbau dua tiga belas kelamin, dengan barang empat lima puluh orang." Itu pun dengan segera dianugerahkan baginda.

Catat Ulasan