Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-48

Puteri Raja China ke Melaka

Maka raja China pun memberi titah pada Li Po, menyuruh berlengkap perahu akan menghantar anakanda baginda ke Melaka seratus buah pilau; seorang menteri yang besar akan panglimanya, Lak Di Po namanya. Setelah sudah lengkap, maka raja China pun memilih anak para menteri China yang perempuan, baik-baik parasnya, lima ratus orang akan dayang­dayang anakanda baginda; dan anak menteri yang lelaki lima ratus orang juga banyaknya, akan barang-barang gunanya kepada anakanda baginda. Setelah itu maka Tuan Puteri Hang Liu serta surat pun diaraklah ke perahu, maka Tun Perpatih Putih dan Tuan Puteri pun belayarlah.

Hatta berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka, maka di persembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah mengata­kan Tun Perpatih Putih datang, membawa puteri anak raja China. Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita. Baginda pun berangkat diiringi segala Orang Besar-besar mengalu-alu­kan anak raja China itu. Setelah bertemu maka dengan seribu kebesaran dan kemuliaannya, serta dibawa baginda masuk ke dalam negeri, lalu ke istana sekali. Maka Sultan Mansur Syah pun hairan melihat baik paras puteri anak raja China itu, di­sebut-sebut baginda Tabarakal'llahu ahsanul khaliqin Allahu Rabbul 'alamin. Maka Puteri Hang Liu dengan segala anak menteri China lelaki dan perempuan sekalian pun, semuanya diislamkan bagindalah.
Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun kahwinlah dengan anak raja China, Puteri Hang Liu itu.

Syahadan berapa lamanya beranaklah seorang lelaki,. di­namai baginda Paduka Haruimat, ialah beranakkan Seri China, ayah Paduka Ahmad, ayah Paduka Isak. Maka segala anak menteri China itu disuruh diam di bukit, di luar kota; maka disebut orang bukit itu 'Bukit China' datang sekarang, dan mereka itulah yang menggali perigi di Bukit China, dan anak cucu orang itulah yang dinamai biduanda China. Maka Sultan Mansur Syah pun menyuruhkan Lak Di Po kembali, serta di­persalin baginda dengan segala menteri China yang sertanya itu, Berapa lamanya maka musim pun telah adalah, Lak Di Po pun bermohonlah lalu belayar kembali.

Maka Tun Telanai dan Men­teri Jana Putera dititahkan baginda utusan ke China. Bahawa barulah Sultan Mansur Syah berkirim sembah pada raja China, kerana sudah menjadi menantu; hanya demikian bunyinya: "Sahaya anak raja Melaka, empunya sembah pada raja benua China." Seperti surat yang dibawa Lak Di Po, maka pada Tun Telanai pun demikianlah juga. Maka Tun Telanai pun belayarlah ke benua China. Dengan takdir Allah Taala angin besar pun turun, maka Tun Telanai dengan kedua buah perahu itu pun biaslah, jatuh ke Brunei.

Setelah didengar oleh raja Brunei, maka disuruh baginda panggil; maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun masuk mengadap raja Brunei. Maka raja Brunei pun ber­tanya pada Tun Telanai, "Apa bunyi surat raja Melaka pada raja China?" Maka sembah Tun Telanai, "Sahaya raja Melaka empunya sembah, datang kepada paduka ayahanda raja China." Maka kata raja Brunei, "Berkirim sembahkan raja Melaka pada raja China?" Maka Tun Telanai diam, lalu Men­teri Jana Putera berkisar ke hadapan; maka sembahnya, "Tidak tuanku paduka ayahanda berkirim sembah kepada raja China, kerana erti 'sahaya' itu pada bahasa Melayu 'Hamba'; maka Hamba paduka ayahandalah yang berkirim sembah kepada raja China, bukannya paduka ayahanda." Maka raja Brunei pun diam mendengar sembah Menteri Jana Putera itu.

Setelah datang musim akan pulang, maka Turi Telanai dan Menteri Jana Putera pun bermohonlah kepada Sang Aji Brunei, hendak kembali. Maka raja Brunei pun berkirim surat sembah ke Melaka, demikian bunyinya: "Paduka anak-anda empunya sembah, datang ke bawah duli paduka ayahanda... " Setelah itu maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun belayarlah kembali. Berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Melaka. Maka surat raja Brunei itu pun dibawanya. masuk mengadap, dipersembahkannya segala hal-ehwalnya. Maka terlalulah sukacita baginda mendengar dia, lalu baginda memberi anugerah akan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. Beberapa puji baginda akan Menteri Jana Putera dan dipersalin baginda selengkapnya.

Catat Ulasan