Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-55

Sesudah Kampar, Siak Pula

Arakian maka Sultan Mansur Syah pun hendak menyuruh menyerang Siak. Akan Siak itu dahulukala negeri besar, Maharaja Parameswara nama rajanya, asalnya daripada raja Pagar Ruyung yang dahulu, tiada ia mahu menyembah ke Melaka; sebab itulah maka baginda suruh serang. Adalah yang dititahkan itu Seri Udana, dan enam puluh banyaknya kelengkapan yang pergi itu, Sang Jaya Pikrama, dan Sang Surana, dan Akhtiar Muluk, dan Sang Aria dititahkan baginda pergi sama­ sama dengan Seri Udana.

Adapun akan Seri Udana itu anak Tun Hamzah, cucu Bendahara Seri Amar Diraja; akan Seri Udana itu beranak dua orang, seorang bernama Tun Abu Syahid dan seorang lagi bernama Tun Perak. Akan Tun Abu Syahid beranakkan Orang Kaya Tun Hassan; akan Orang Kaya Tun Hassan beranakkan Seri Rama, bapa Tun Hidak; akan Tun Hidak beranakkan Tun Putih dan Tun Kurai. Akan Tun Perak beranak seorang perempuan bernama Tun Aisyah, seorang lelaki bernama Tun Muhammad. Adapun pegangan Seri Udana itu Merba. Pada zaman itu satu lengkapan Merba tiga puluh lancaran bertiang tiga.

Setelah sudah lengkap, maka Seri Udana pun pergilah dengan segala hulubalang yang tersebut itu. Berapa hari di jalan,maka sampailah ke Siak. Maka dipersembahkan orang kepada Maharaja Parameswara "Kelengkapan Melaka datang menyerang kita." Maka baginda memberi titah pada mangku­buminya yang bernama Tun Jana Pakibul, menyuruh mengampungkan segala rakyat dan memperbaiki kota, dan berlengkap Senjata. Maka kelengkapan Melaka pun mudiklah. Adapun kota Siak itu di tepi sungai; maka oleh orang Melaka, segala kelengkapan dikepilkannya berkembar dengan kota Siak. Maka oleh orang Melaka ditempuhinya sekali dengan Senjata, rupanya seperti air turun dari atas bukit; maka rakyat Siak pun banyaklah matinya.

Bermula, Maharaja Parameswara berdiri di kepala kotanya, menyuruhkan segala rakyatnya berperang. Setelah dilihat oleh Akhtiar Muluk, maka segera dipanahnya, kena pada dada Maharaja Parameswara terus, maka Maharaja Parameswara pun matilah. Setelah rakyat Siak melihat rajanya sudah mati, habislah pecah lari cerai-berai; maka kotanya pun dibelah oleh orang Melaka, dimasukinya; sekaliannya menawan dan merampas, terlalu banyak beroleh rampasan. Maka ada seorang anak Maharaja Parameswara lelaki, Megat Kudu namanya, dibawa orang pada Seri Udana bersama-sama dengan Tun Jana Pakibul. Maka Seri Udana pun kembalilah dengan kemenangannya.

Selang berapa hari lamanya maka sampailah ke Melaka. Maka Seri Udana pun masuk­lah dengan segala hulubalang, membawa Megat Kudu dan Tun Jana Pakibul mengadap Sultan Mansur Syah. Maka terlalulah sukacita baginda, serta baginda memberi anugerah persalinan akan Seri Udana dengan segala hulubalang yang pergi itu. Akan Akhtiar Muluk disuruh arak berkeliling negeri, sebab jasanya membunuh Maharaja Parameswara itu. Maka Seri Udana dijadikan Perdana Menteri. Akan Megat Kudu pun di­persalin baginda, dikahwinkan dengan anakanda baginda yang bernama Raja Mahadewi; maka dirajakan pula di Siak, digelar Sultan Ibrahim. Tun Jana Pakibul juga jadi mangkubuminya. Maka Sultan Ibrahim beranak dengan isteri baginda, anak Paduka Seri Sultan Mansur Syah, seorang lelaki bernama Raja Abdullah. Wallahu a'lamu bis-sauiab wa ilaihil-marji'u wal­ma'ab.

Catat Ulasan