Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-56

Ditolak Bumi Melaka

Alkisah maka tersebutlah perkataan anak Sultan Mansur Syah yang bernama Raja Muhammad itu; pada niat baginda Raja Muhammad itulah hendak dirajakan di Melaka. Maka Raja Ahmad dan Raja Muhammad telah besarlah kedua anak­anda baginda itu. Akan Raja Muhammad itulah yang sangat dikasihi baginda. 

Sekali persetua, Raja Muhammad pergi bermain-main berkuda ke kampung Bendahara Paduka Raja. Adapun pada masa itu Tun Besar, anak Bendahara, sedang bermain sepak raga di lebuh, dengan segala orang muda-muda. Maka Raja Muhammad pun lalu, ketika itu Tun Besar sedang menyepak raga; maka raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhammad, jatuh ke tanah. Maka kata Raja Muhammad, "Ceh, jatuh destar kita oleh Tun Besar!" Sambil memandang mata penjawatnya. Maka berlari orang yang membawa puan bagin­da, ditikamnya Tun Besar, kena belikat terus ke hulu hati. Maka Tun Besar pun mati.

Maka orang pun gemparlah; segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun semuanya keluar dengan alat Senjatanya. Maka Bendahara Paduka Raja pun keluar bertanya, "Apa sebab gempar ini?" Maka kata orang itu, "Anakanda Tun Besar mati dibunuh oleh Raja Muhammad!" Maka segala peri­halnya semua dikatakan orang pada Bendahara Paduka Raja. Maka kata Bendahara, "Mengapa tah maka kamu semua berlengkap ini?" Maka sahut segala anak buah Bendahara, "Sa­haya semua hendak berbalas akan kematian saudara sahaya semua!" maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat Hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan." Maka segala anak-anak Bendahara Paduka Raja pun diamlah sama-sama; masing-masing menyuruh menyimpan Senjatanya. Mayat Tun Besar pun ditanamkan oranglah.

Setelah Sultan Mansur Syah mendengar gempar itu, maka baginda pun bertanya, "Apa digemparkan orang itu?" Sembah Tun Indera Segara "Tun Besar, anak Datuk Bendahara tuanku, mati dibunuh oleh paduka anakanda Raja Muhammad." Maka segala perihal semuanya dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Maka titah baginda, "Apa kata Bendahara?" Maka sembah Tun Indera Segara, "Akan kata Datuk Bendahara, yang adat Hamba Melayu tidak pernah derhaka, tetapi akan kita bertuankan anak raja seorang ini janganlah." 

Maka Sultan Mansur Syah pun memanggil Raja Muhammad; setelah datang, maka baginda pun murka akan anak­anda baginda Raja Muhammad, titah baginda, "Celaka si Muhammad ini. Hei Muhammad! Apatah dayaku engkau di­tolak muka bumi Melaka!" Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Bija Diraja ke Pahang. Maka Seri Bija Diraja pun datanglah. Maka Raja Muhammad pun diserahkan bagin­da kepada Seri Bija Diraja, disuruh rajakan di Pahang. Maka Tun Hamzah menantu Bendahara Seri Amar Diraja, digelar baginda Seri Amar Diraja juga. Maka diberikan baginda jadi Bendahara di Pahang, dan lain dari itu diberi baginda yang layak jadi Penghulu Bendahari, dan yang patut jadi Temeng­gung; dan anak Seri Bija Diraja seorang dijadikan hulubalang besar, bergelar Seri Akar Raja, dan anak tuan-tuan yang asal berasal, seratus orang lelaki, seratus orang perempuan. Maka dari Sedili Besar datang ke Terengganu dianugerahi baginda akan Raja Muhammad. Setelah sudah lengkap, maka Seri Bija Diraja pun kembali ke Pahang membawa Raja Muhammad. 

Setelah datang ke Pahang maka oleh Seri Bija Diraja akan Raja Muhammad dirajakanlah di Pahang; gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Muhammad Syah. Baginda beristerikan cucu Sultan Iskandar, raja Kelantan, Mengindera Puteri nama­nya, beranak tiga orang lelaki; yang tua bernama Raja Ahmad, yang Tengah bernama Raja Jamil, yang bongsu bernama Raja Mahmud. Setelah itu maka Seri Bija Diraja pun kembalilah ke Melaka. Maka negeri Melaka pun makin makmur, masyhur­lah kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin.

Maka oleh segala Arab dinamainya Malaqat, yakni perhlmpunan dagang. Adapun pada zaman itu sebuah negeri pun di bawah angin ini tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru, tiga buah negeri itu juga sama besar; tua muda pun rajanya berkirim salam juga; tetapi orang Pasai, barang dari mana surat datang, jika salam pun dibacakannya sembah juga.

Catat Ulasan