Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-43

Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit

Sebermula, ke Melaka pun kedengaranlah pula peri baik paras­nya tuan puteri itu. Maka Sultan Mansur Syah pun berkira-­kira akan pergi ke Majapahit, berani rasanya baginda akan galuh Majapahit itu. Baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja menyuruh berlengkap; maka baginda pun me­ngerah segala orang supaya berlengkap perahu, masing-masing dengan kuasanya. Ada lima ratus banyaknya perahu yang besar-besar, lain pula perahu yang kecil-kecil tiada terbilang; kerana pada masa itu kelengkapan Singapura sahaja seratus buah lancaran bertiang tiga. Sungai Raya pun demikian juga. Maka Bendahara Paduka Raja, dan Seri Nara Diraja dan Seri Bija Diraja dan segala hulubalang yang besar-besar, ditinggal­kan baginda menunggui negeri.

Maka Sultan Mansur Syah pun memilih Anak Tuan-tuan yang baik-baik empat puluh orang, dan "Perawangan" yang asal empat puluh orang. Tun Bijaya Sura akan penghulunya. Adapun Tun Bijaya Sura itu moyang Seri Bija Diraja, Tun Sabtu namanya; beranakkan Tun Sirupan yang ada di Aceh. Adapun segala "Hang hang" yang bernama sembilan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi dan Hang Lekir, dan Hang Lekiu dan Hang Ali dan Hang Sekandar dan Hang Hassan dan Hang Hussin dan Hang Tuah anak raja Bajung, orang sembilan itulah yang tiada bertara barang kelakuannya; barang yang tiada terbuat oleh orang lain, dialah membuatnya.

Syahadan akan Hang Tuah janganlah dikatakan lagi, per­tama rupa dengan sikapnya, cerdik lagi perkasa dengan hikmatnya, lagi berani, tiada dapat seorang pun menyamainya; dialah sahaja yang lebih daripada yang lain. Apakala ada orang me­ngamuk dalam Melaka itu, apabila tiada terkembari oleh orang yang lain, maka Hang Tuahlah dititahkan Sultan mengembari dia.

Diceriterakan orang yang empunya ceritera selama Hang Tuah dalam Melaka itu, ia membunuh orang yang mengamuk tujuh puluh empat orang, barang yang tiada dapat siapa-siapa mengembari dia, maka ialah yang mengembari; demikianlah peri Hang Tuah dalam Melaka. Jikalau ia bergurau sama muda­ muda maka disingsingnya tangan bajunya, maka ia memengkis katanya, "Laksamana akan lawanku," maka jadi disebut­-sebutlah namanya oleh samanya muda-muda "Laksamana". Maka Sultan Mansur Syah pun turut menyebut nama Hang Tuah itu Laksamana.

Sekali persetua, pada suatu hari ada seorang Jawa demam terkokol-kokol, maka oleh segala orang muda-muda ditertawakan. Maka orang Jawa itu pun kemalu-maluan, lalu ia mengamuk dengan golok Sunda. Maka orang pun banyaklah mati ditikamnya, seorang pun tiada dapat mengembari dia. Maka orang pun gemparlah berlarian ke sana ke mari. Maka Hang Tuah pun dititahkan Sultan Mansur Syah mengembari Jawa mengamuk itu; maka Hang Tuah pun menyembah, lalu ia segera mendapatkan Jawa mengamuk itu, dan Hang Jebat dan Hang Kasturi mengikut dia dari belakang, hendak melihat Hang Tuah mengembari Jawa mengamuk itu.

Setelah Jawa itu melihat Hang Tuah, lalu diusimya; maka Hang Tuah pura-pura lari dan kerisnya dijatuhkannya. Setelah dilihat oleh Jawa itu keris Hang Tuah, maka dibuangkannya pula goloknya, lalu diambilnya keris Hang Tuah. Adapun akan Hang Tuah terlalu tahu pada melihat keris; maka oleh Hang Tuah diambilnya golok Jawa itu, lalu segera Jawa itu diusirnya. Maka oleh Jawa itu ditikamnya Hang Tuah, maka Hang Tuah melompat, tiada kena, serta ditikamnya Jawa itu dengan golok itu kena dapur-dapur susunya terus, maka Jawa itu pun mati.

Dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, Jawa itu sudah mati dibunuh oleh Hang Tuah, Maka baginda menyuruh memanggil Hang Tuah. Setelah ia me­ngadap maka dianugerahi persalinan, dilekatkan bagindalah gelar Hang Tuah itu "Laksamana". Maka masyhurlah gelar Hang Tuah "Laksamana" disebut orang.

Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun bersiaplah akan berangkat pergi ke Majapahit serta menyuruh memberitahu ke Inderagiri pada Sultan Nara Singa, dan ke Tungkal pada Raja Merlang, dan ke Jambi pada Adipati Sira Sela Sida Raja, dan ke Palembang pada Demang Mangku Raja, di Lingga pada Maharaja Isak, diajak mengiring ke Majapahit. Maka segala raja-raja itu pun datanglah, masing-masing dengan kelengkap­annya. Telah sudah berhadir sekaliannya maka Sultan Mansur Syah pun berangkat ke Majapahit,

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Jawa. Maka kedengaranlah kepada Betara Majapahit bahawa raja Melaka datang, telah ada di laut Bengawan. Maka disuruh baginda alu-alukan pada segala menteri dan penggawa yang besar-besar semuanya pergi. Adapun pada ketika itu Raja Daha dan raja Tanjung Pura, adik Betara Majapahit, kedua­nya ada mengadap Betara Majapahit. Maka raja Melaka pun datanglah. Maka Betara Majapahit pun berdiri bersama-sama raja Tanjung Pura dan raja Daha; baginda memberi istana akan raja Melaka.

Maka Sultan Mansur Syah pun naiklah ke paseban mengadap Betara Majapahit duduk sebaris dengan raja Tan­jung Pura. Baginda dipersalin Betara Majapahit dengan pakaian yang keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam dan di­dudukkan betara di atas segala raja-raja yang banyak dan di­kurniai sebilah keris ganja kerawang; ada empat puluh bilah keris yang lain akan pengiringnya, semuanya dipecahkan sarungnya.

Adapun keris itu pertama-tama dianugerahi baginda pada raja Kediri, disuruh sarungkan; dan dikehendaki sudah dalam sehari. Maka oleh raja Kediri disuruhnya sarungkan keempat puluhnya. Maka disuruh Betara Majapahit perlente, keempat puluhnya dapat semuanya diambil. Maka dianugerahinya pula kepada raja Tanjung Pura, itu pun demikian juga, dapat di­perlente keempat puluhnya. Setelah datang kepada Sultan Mansur Syah, raja Melaka, disuruh baginda sarungkan pada Tun Bijaya Sura. Maka oleh Tun Bijaya Sura diserahkannya kepada segala perawangan yang empat puluh itu sebilah­-sebilah seorang, disuruhnya tunggui. Maka segala perawangan itu pun membawa keris itu pada segala penyarung, dan di­tungguinya segala keris yang diperbuatkan sarungnya itu. Maka tiadalah dapat diperlente oleh penjurit Majapahit.

Maka sehari itu juga keempat puluh keris itu sudahnya. Maka kata betara Majapahit, "Terlalu cerdik raja Melaka daripada raja-raja yang lain." Maka Sultan Mansur Syah pun diper­jamu oleh Berara Majapahit dengan segala bunyi-bunyian, betapa adat raja-raja yang besar-besar diperjamu, demikian­lah diperbuatnya. Setelah sudah berjamu itu, maka Sultan Mansur Syah pun dianugerahi baginda sebuah kampung, lengkap dengan istana dan balainya. Maka baginda pun du­duklah di sana dengan segala orang Melaka; dan sehari-hari Sultan Mansur Syah mengadap Betara Majapahit.

Adapun tempat betara dihadapi orang itu, tiga mata anak tangganya; diberi bertingkat rendah sedikit. Maka ditambatnya seekor anjing dengan rantai emas, segala hamba-hamba raja duduk di bawahnya. Jadi, tempat anjing itu, di hadapan raja Melaka dan raja-raja yang lain-lain itulah. Setelah sampai pada harinya, maka Betara Majapahit berhadirlah akan me­ngerjakan Sultan Mansur Syah dengan anakanda baginda Raden Galuh Cendera Kirana. Maka negeri pun dihiasinya, seperti lebuh, pekan, pesara pun diperbaiki orang; dan paseban agung, balai lanjak dan balai mengantar sekaliannya habis terkena alat perhiasannya. Setelah mustaedlah, maka betara Majapahit pun berjaga-jagalah dengan segala bunyi­-bunyian dari sekalian jenisnya dipermain orang; joget, wayang semuanya ada, masing-masing dengan tahunya. Maka beratus-ratus kerbau lembu, biri-biri dan ayam, angsa disembelih orang akan makanan segala yang berjaga-jaga bekerja itu.

Tiada ulasan: