Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN -84

Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang 

Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar khabar Seri Wak Raja itu, maka baginda pun inginkan rasanya akan anak Bendahara Pahang yang sangat baik paras dengan akasnya itu; sebab itulah dibuat orang pantun:

Tun Teja Ratna Menggala, Pandai membelah lada sulah;
Jikalau tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah. 

Maka titah baginda, "Barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia; umpamanya jika ia hendakkan sekerat kerajaan kita sekalipun kita anugerahkan; dan apa pun dosanya tiada kita bunuh. Adapun tatkala itu Hang Nadim ada di bawah peng­hadapan itu. Setelah ia mendengar titah demikian itu, maka Hang Nadim pun berbicara dalam hatinya, "Baik aku pergi ke Pahang, mudah-mudahan dapat Tun Teja itu ; ke bawah duli Yang Dipertuan akan menghapuskan dosaku."

Setelah demikian fikirnya, maka Hang Nadim pun pergilah menumpang balok orang ke Pahang. Setelah datang ke Pahang, maka Hang Nadim bersahabat dengan seorang nakhoda, Saiyid Ahmad namanya, terlalu berkasih-kasihan. Maka kata Hang Nadim pada Nakhoda Saiyid Ahmad, "Tuan hamba kasih akan hamba ini, kasih sungguh-sungguhkah?" Maka sahut Nakhoda Saiyid Ahmad, "Mengapa tuan hamba mengatakan kata demikian ini kepada Hamba? Pada perasaan hamba, hingga atas nyawa hamba sekalipun akan ubat tuan Hamba, redalah hamba."

Setelah Hang Nadim mendengar kata Nakhoda Saiyid Ahmad demikian itu, maka kata Hang Nadim, "Sungguhkah Tun Teja, anak Bendahara Pahang itu, terlalu baik konon rupanya? Ingin pula rasa hamba hendak melihat rupanya." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Sungguh, tetapi sudah bertunangan dengan Sultan Pahang. Apa daya tuan hamba hendak melihat dia, kerana ia anak Orang Besar; jangankan manusia memandang dia, matahari dan bulan lagi tiada me­lihat dia." Maka Hang Nadim pun fikir dalam hatinya, kata­nya, "Apa dayaku mendapat dia?"

Kalakian maka lalu seorang perempuan tua pelulut; maka oleh Hang Nadim dipanggilnya. Maka si pelulut itu pun datang, maka dibawanya masuk ke dalam rumahnya, lalu Hang Nadim pun berlulutlah padanya. Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, "Manda ini orang siapa." Maka kata perempuan tua itu, "Sahaya ini orang Datuk Bendahara." Maka kata Hang Nadim, "Adakah manda masuk ke rumah Datuk Bendahara?" Maka kata si pelulut itu, "Biasa sahaya masuk ke rumah Datuk itu, anak Datuk Bendahara yang bernama Tun Teja itu biasa berlulut pada sahaya." Maka kata Hang Nadim, "Sungguhkah Tun Teja itu amat baik parasnya?" Maka kata si pelulut itu, "Sungguh, tiada samanya dalam negeri Pahang ini, kerana sahaya pun ratalah segala rumah Orang Besar-besar sahaya naiki, seorang pun segala anak Orang Kaya-kaya itu, tiada seperti encik Teja itu, sudah bertunangan dengan Yang Di­pertuan, dijanjikan musim Jawa inilah akan kahwin." Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, "Hai mandaku, dapat­kah manda menanggung rahsiaku?" Maka kata si pelulut itu, "Insya-Allah Taala dapat sahaya tanggung, kerana sahaya pun biasa disuruh orang." 

Maka oleh Hang Nadim, si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Setelah si tua ito memandang harta banyak itu, maka tertawanlah hatinya akan harta dunia; maka mengakulah ia menanggung rahsia Hang Nadim. Maka kata Hang Nadim, "Jikalau dapat, hendaklah dengan daya upaya mandaku, akan Tun Teja itu mandaku bawa kepada aku, supaya kupersembahkan kepada raja Melaka." Maka diberi oleh Hang Nadim si pelulut itu suatu lulut, katanya, "Ini sapukan pada Tun Teja." Maka kata si pelulut itu, "Baiklah." Maka si pelulut itu pun masuklah ke dalam pagar Benda­hara; maka ia berseru, katanya, "Siapa hendak berlulut! Mari beta lulut!" Maka kata Tun Teja pada dayang-dayangnya, "Panggil si pelulut itu, aku hendak berlulut." Maka si pelulut itu pun masuklah ke rumah Bendahara melulut Tun Teja. 

Setelah dilihat oleh si pelulut itu orang sunyi, berkatalah si pelulut itu pada Tun Teja, "Sayangnya sahaya melihat rupa tuan, terlalu baik parasnya ini akan berlakikan raja ini; jikalau raja yang besar lagi alangkah baiknya?" Maka kata Tun Teja, "Siapa pula raja besar daripada raja Pahang ini?" Maka kata si pelulut itu, "Raja Melaka raja besar daripada raja Pahang ini, lagi dengan baik parasnya." Maka Tun Teja pun diam men­dengar kata si pelulut itu. Maka oleh si pelulut akan lulut daripada Hang Nadim itu, disapukannya pada tubuh Tun Teja, seraya dibujuk-bujuknya Tun Teja, dengan kata yang lemah lembut, lagi dengan manis mulutnya mengeluarkan kata-kata itu; katanya, "Sekarang pun ada hamba raja Melaka di sini, Hang Nadim namanya; disuruh baginda mengambil tuan.

Hendak pun disuruh baginda dengan kebesaran, kalau-kalau tiada diberi oleh Yang Dipertuan Pahang; sebab itulah maka disuruhnya curi pada Hang Nadim. Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya diperisteri oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan, tuanlah kelak jadi raja perem­puan di Melaka. Jikalau tuan diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan Pahang. Jikalau tuan jadi isteri Raja Melaka, tiada dapat tiada menyembah kelak raja perempuan Pahang kepada tuan."

Maka Tun Teja pun redalah mendengar kata perempuan tua si pelulut itu, sebab itulah maka tiada diberi oleh segala orang yang berakal, anak cucunya berlulut pada si pelulut; adalah seperti kata syair:

La ta'mananna 'ajuzatan dakhalu bal ta'mananna asadan ma'a l-ghanama; yakni, jangan kamu percaya akan perempuan tua masuk ke rumah karnu; adakah harimau dipercayai serta kawan kambing? Maka kata Tun Teja, "Kalau hamba tiada dipersembahkannya pada raja Melaka, takut Hang Nadim mengambil hamba akan isteri." Setelah dilihat oleh si pelulut itu bahawa Tun Teja telah redalah rupanya, maka si pelulut itu pun pergilah memberitahu Hang Nadim. Segala kata-kata Tun Teja itu semuanya dikata­kannya pada Hang Nadim, maka sahut Hang Nadim, "Hai mandaku, adalah bagai pantun orang:

Tun Teja Ratna Menggala,
Pandai membelah lada sulah;
Jika tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah."

Catat Ulasan