Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-22

Peristiwa Kerana Seorang Dayang

Sebermula maka tersebutlah perkataan Sultan Maliku'l­Mansur di negeri Semundra; pada suatu hari maka baginda memberi titah pada Sidi Asma Yaumi'd-Din. "Hendak meli­hat abang Hamba, betapa halnya gerangan?" Maka sembah Sidi Asma Yaumi'd-Din, "Jangan tuanku berangkat, paduka kekanda belum berketahuan khabarnya, kalau fitnah." Beberapa kali Sid. Asma Yaumi'd-Din menegah Sultan Maliku'l-Mansur, tiada juga didengar oleh baginda.

Maka Sidi Asma Yaumi'd-Din menyuruh orang memalu mong-mong  melarangi; demikian bunyinya, "Bahawa Sultan Maliku'l­Mansur hendak berangkat melihat negeri saudaranya, Sidi· Asma Yaumi'd-Din tiada berkenan, kerana ia menteri yang tua, lagi tahu pada segala pekerjaan; tak dapat tiada fitnah juga." Maka oleh Sultan Maliku'I-Mansur digagahinya juga dirinya berangkat mengelilingi negeri Pasai itu, lalu masuk istana Sultan Maliku't-Tahir. Maka baginda pun berahi akan seorang perempuan dayang-dayang kakanda baginda, lalu diambilnya" dibawa kembali ke Semundra. Maka baginda bersabda kepada Sidi Asma Yaumi'd-Din, "Hei bapaku, bahawa aku kedatang­an suatu pekerjaan yang musykil dan hilanglah budi-bicaraku, kerana aku terkena oleh hawa nafsuku, maka binasalah aku oleh pekerjaan aku, sebab tiada terkuasai hawa nafsuku." Maka sembah Sidi Asma Yaumi'd-Din, "Telah berlakulah hukum Allah atas segala makhluknya. "

Setelah itu maka kedengaranlah khabar Sultan Maliku't­-Tahir sudah ada di Jambu Air, dan akan khabar Sultan Mali­ku'l-Mansur pun telah kedengaranlah. Maka Sultan Maliku't­Tahir pun menaruh dendamlah kepada hatinya akan adinda baginda, hingga tiada dikeluarkannya. Baginda menyuruh Sultan Maliku'l-Mansur minta dialu-alukan apa bicaranya juga; maka Sultan Maliku'l-Mansur keluarlah dari negeri Semundra hilir ke Kuala. Adapun akan Sultan Maliku't-Tahir naik dari Sungai Katari, lalu berjalan ke istana baginda. Maka Sultan Maliku'l-Mansur pun kembalilah ke Semundra, baginda fikir­kan akan pekerjaan yang telah lalu, sebab tiada ia menurut bicara Sidi Asma Yaumi'd-Din itu; tiadalah berguna sesalnya, tetapi Sultan Maliku't-Tahir sudah tergerak hatinya akan Sultan Maliku'l -Mansur.

Bermula akan Sultan Maliku't-Tahir ada seorang anak, Sultan Ahmad namanya; tatkala baginda tertangkap, anakanda baginda itu lagi kecil. Pada masa baginda kembali dari negeri Syahru 'n-Nuwi, anakanda baginda itu besarlah; akan Sidi Ali Ghiathu'd-Din pun telah masyghul akan dirinya. Ada seorang menteri Tun Perpatih Tulus Tukang Segara namanya; dijadi­kan Mangkubumi oleh Sultan Maliku't-Tahir, akan ganti mer­tuanya. Pada suatu hari Sultan Maliku't-Tahir bersabda pada Tun Perpatih Tulus Tukang Segara, "Apa bicara tuan Hamba akan pekerjaan Sultan Maliku'I-Mansur supaya datang ke mari?" Maka sembah Tun Perpatih Tulus Tukang Segara, "Ada satu muslihat kita." Maka titah Sultan Maliku 't- Tahir, "Adalah kehendak Hamba, Sultan Maliku'l-Mansur jangan mati." Maka sembah Tun Perpatih Tulus Tukang Segara, ''Jikalau paduka adinda mati, bukanlah tukang namanya; mari paduka anakanda Sultan Ahmad kita khatankan. Sultan' Maliku'l­Mansur kita jemput, pada ketika itulah kita kerjakan. "

Maka Sultan Maliku't- Tahir pun menyuruh menghiasi negeri dan balairung; maka baginda pun memulai pekerjaan berjaga-jaga. Sultan Maliku'l-Mansur pun dijemput oleh ba­ginda; maka Sultan Maliku'l-Mansur pun datanglah; oleh Sul­tan Maliku't-Tahir Sultan Maliku'l-Mansur dengan Sidi Asma Yaumi'd-Din juga disuruhnya masuk, segala hulubalang Se­mundra semuanya tinggal di luar. Setelah masuk, Sultan Ma­liku'l-Mansur dan Sidi Asma Yaumi'd-Din disuruh baginda tangkap. Sultan Maliku'l-Mansur disuruh bawa ke Manjung pada seorang hulubalang. Maka titah baginda pada Sidi Asma Yaumi'd-Din, "Engkau tinggal di sini, jangan serta pergi dengan tuanmu. Jika engkau hendak pergi, kusuruh penggal lehermu." Maka sahut Sidi Asma Yaumi'd-Din, "Baiklah kepala bercerai dengan badan, daripada Hamba bercerai de­ngan tuannya." Maka oleh baginda disuruhnya kerat Sidi Asma Yaumi'd-Din, kepalanya dibuangkan ke laut, badan­nya disulakan di kapal Pasai.

Adapun Sultan Maliku'l-Mansur dibawa oranglah ke Man­jung berperahu, setelah datang ke sebelah Jambu Air arah ke timur, dilihat oleh puawang kepala manusia lekat pada ke­mudi. Maka diberi orang tahu kepada Sultan Maliku'l-Mansur, lalu disuruh baginda ambil, dilihat baginda kepala Sidi Asma Yaumi'd-Din. Baginda memandang ke darat, maka titah ba­ginda, "Padang maya ini?" Sekarang pun Padang Maya juga disebut orang. Maka Sultan Maliku'l-Mansur pun naiklah ke darat berjalan ke Padang Maya itu membawa kepala Sidi Asma Yaumi'd-Din serta dengan tangisnya menyuruh memohonkan badannya kepada Sultan Maliku't-Tahir, maka oleh baginda diberikannya. Maka Sultan Maliku'l-Mansur pun menanam­kan mayat Sidi Asma Yaumi'd-Din dengan kepalanya di Pa­dang Maya itulah.

Setelah sudah maka baginda pun pergilah ke Manjung. Peninggalan Sultan Maliku'l-Mansur itu, maka Sultan Ahmad dikhatankan oleh ayahandanya. Selang tiga tahun antara­nya, maka Sultan Maliku't- Tahir pun tersedarlah akan saudara­nya; seraya katanya, "Wahai! Terlalu sekali ahmak budiku! Kerana perempuan seorang, saudaraku kuturunkan dari atas kerajaannya, dan menterinya pun aku bunuh!" Baginda me­nyesal akan diri, lalu baginda menyuruh hulubalang dengan beberapa buah perahu pergi menjemput adinda baginda ke Manjung. Maka Sultan Maliku'I-Mansur pun dibawa oranglah dengan tertib kerajaan. Telah datanglah ke Padang Maya, baginda pun naik ke darat, mendapatkan kubur Sidi Asma Yaumi'd-Din. Maka Sultan Maliku'l-Mansur pun memberi salam, kata­nya, "As-sallamu 'alaikum hei bapaku! Tinggallah bapaku di sini, kerana Hamba hendak pergi dijemput oleh abang Hamba." Maka sahut Sidi Asma Yaumi'd-Din dari dalam kuburnya, demikian bunyinya, "Ke mana pula baginda pergi? Baiklah kita di sini!" Telah didengar Sultan Maliku'l-Mansur, baginda pun mengambil air sembahyang, lalu sembahyang dua rakaat serta salam. Telah sudah sembahyang, maka baginda pun berbaring-baring di sisi kubur Sidi Asma Yaumi'd-Din, lalu baginda putus nyawa.

Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Maliku't-Tahir bahawa paduka adinda telah mangkat di sisi kubur Sidi Asma Yaumi'd-Din. Baginda terkejut, lalu segera mendapatkan adinda baginda ke Padang Maya. Mayat adinda baginda itu ditanamkan di sisi kubur Sidi Asma Yaumi'd-Din seperti diadatkan raja yang besar-besar. Setelah itu baginda pun kembalilah ke negeri Pasai dengan percintaannya. Maka oleh baginda, anakanda baginda Sultan Ahmad dirajakan; baginda turun dari atas kerajaan.

Telah berapa lamanya, maka Sultan Maliku't-Tahir pun geringlah. Baginda berwasiatlah kepada anakanda baginda, Sultan Ahmad, katanya, "Hei anakku, cahaya mataku, dan buah hatiku! Hendaklah jangan engkau melalui sembah segala Hambamu yang tua-tua. Pada barang sesuatu pekerjaan hen­daklah engkau mesyuarat dengan segala menterimu, dan jangan engkau segera menggerakkan hati Hambamu, dan hendaklah engkau perbanyak sabarmu pada segala pekerjaan yang keji, jangan engkau peringankan ibadatmu akan Allah subha nahu wa taala; dan jangan engkau mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya. Maka Sultan Ahmad pun menangi­s mendengar wasiat ayahanda baginda itu, Telah berapa hari antaranya maka Sultan Maliku't-Tahir pun mangkatlah. Maka ditanamkan oleh baginda Hampir masjid. Beberapa lamanya Sultan Ahmad di atas kerajaan, terlalulah adil perintah ba­ginda pada barang hukumnya.

Catat Ulasan