BAB 15 Islam Agama Kesejahteraan
Cahaya petunjuk dari Islam merupakan rahmat yang paling agung dari Allah Subhanahu wa ta’ala, yang telah menganugerahkan perbendaharaan ghaibNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Isabella ialah anak perempuan seorang paderi Kristian yang terkemuka, yang telah dibesarkan oleh bapanya menurut peraturan-peraturan agama Kristian yang ketat. Isabella sendiri seorang puteri Kristian yang fanatik, seorang ilmuwan dalam teologi tetapi kini telah menjadi seorang Islam, seorang muslimat, seorang yang alim dan warak, ahli pentafsir Hadis dan seorang wanita Islam yang sempurna displinnya. Isabella telah termahsyur di seluruh Sepanyol kerana ilmu dan kesalihannya. Dalam masa yang singkat, dia dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit yang ada kaitan dengan hukum-hukum Islam. Isabella sudah sepuluh tahun menjadi penganut Islam dan dalam masa itu serangan-serangan terhadap Islam yang dilakukan oleh orang-orang Kristian sudah mulai reda. Beratus-ratus orang Kristian, lelaki dan perempuan, telah menerima cahaya Islam melaluinya dan dengan rahmat Allah. Dia telah keluar sebagai lambang kemenangan dalam berbagai-bagai perbincangan agama.
Tepat pada masa itu berita-berita telah tersebar di seluruh Sepanyol bahawa ada seorang perempuan Kristian di Toledo yang katanya terlalu dalam pengetahuannya tentang Al-Quran dan Hadis dan juga kitab-kitab wahyu yang awal dan dia mempunyai hujah-hujah yang banyak dan meyakinkan tentang kebenaran agama Kristian sehingga alim ulama Islam yang terkenal pun agak susah mahu menolaknya. Selain daripada itu, khabarnya dia juga memiliki mukjizat yang menyebabkan mendapat kedudukan istimewa di dalam hati penganut-penganut agama Kristian sehingga kepopularannya tidak menyenangkan Paus. Orang-orang Kristian dari jauh dan dekat telah datang ke Toledo semata-mata kerana hendak mengambil berkat dengan menyentuh pakaiannya saja. Juga diberitahu bahwa dia boleh menyembuhkan penyakit yang paling berbahaya hanya dengan sekali tenungan.
Wanita Kristian itu telah mengetahui tentang Isabella yang telah meninggalkan agama Kristian dan menerima Islam sepuluh tahun lalu. Dia lalu mengumumkan kepada pengikut-pengikutnya bahwa jikalau Isabella datang menemuinya, dia akan membawanya kembali ke dalam agama Kristian dengan mukjizat yang ada padanya dan dengan kekuatan hujah-hujahnya. Katanya lagi Isabella tidak akan berani datang ke hadapannya kerana selama sepuluh tahun sesudah dia keluar dari agama Kristian, dia telah merasa kesal kerana meninggalkan agama itu. Oleh sebab pengumuman yang dibuat oleh perempuan Kristian itu maka timbullah kehebohan di seluruh negara Sepanyol dan orang-orang Kristian pula menjadi keras kepala dan mula melakukan perbuatan-perbuatan nakal.
Akhirnya, pada suatu hari dalam salah satu perhimpunan agama, salah seorang terpelajar yang sedang mengikuti perhimpunan itu telah berkata kepada Isabella.
“Sudahkah anda mendengar satu pengumuman baru?”
“Tentang apa, saudara?” tanya Isabella.
“Seorang wanita Kristian telah mencabar anda untuk berdebat.” jawab lelaki itu.
“Katanya anda tidak akan berani datang berdebat dengannya dan kalau anda datang juga dia tidak akan melepaskan anda balik sebelum anda kembali ke agama Kristian baik melalui mukjizatnya mahupun melalui hujah-hujahnya.”
“La haula wala quwata illa billa,” ujar Isabella.
“Seorang wanita Kristian mencabar saya dan dengan hujah-hujahnya mahu memasukkan seorang muslimat sejati ke dalam agama Kristian! Saya sebenarnya sudah tidak berminat lagi dalam persoalan itu. Semua orang yang diberi petunjuk oleh Allah akan datang kepada saya. Tetapi wanita Kristian ini nampaknya inginkan nama.”
“Dia sudah lama terkenal,” jawab lelaki terpelajar itu “tetapi sekali ini, dia berhajat mahu berkonfrontasi dengan anda pula. Perkara ini sudah heboh diperkatakan orang di seluruh negeri terutama dalam kalangan orang-orang Kristian.”
“Saya telah juga mendengarnya,” jawab Isabella “bahwa dia benar-benar mahu berkonfrontasi dengan kita silalah datang ke mari dengan segala penyokong-penyokongnya dan tanya apa saja yang dia mahu.”
Kira-kira enam hari sesudah perbincangan antara Isabella dengan lelaki terpelajar itu, Isabella telah menerima surat dari perempuan Kristian tersebut yang meminta berbincang dengannya mengenai Islam dan agama Kristian.
“Andaikata anda bersetuju, saya dengan segala senang hati akan datang ke tempat anda, mencuba membersihkan semua keraguan anda.” Isabella terus menjawab “Saya hanya suka berbincang dengan tujuan mencari kebenaran dan bukan kerana sekadar mahu bercakap kosong yang akan membuang masa saja. Anda dipersilakan datang ke rumah saya bila-bila masa anda suka.”
Sebaik saja menerima surat Isabella itu, perempuan Kristian itu pun tidak berlengah-lengah lagi lalu mengumumkan kepada orangramai bahawa dia akan berdebat dengan Isabella dan akan membawanya kembali ke dalam agama Kristian.
Esoknya, dengan diiringi oleh kira-kira seratus orang perempuan Kristian dia bertolak dari Toledo menuju ke kediaman Isabella di Institut Pengajian Al-Quran di Cordova. Isabella dengan penuh mesra menyambut kedatangan semua tetamunya. Setelah berehat sebentar maka perdebatan itu pun dimulai atas inisiatif wanita Kristian itu. “Khabarnya anda meninggalkan Tuhan Jesus dan semua wali lalu menerima agama palsu seperti Islam.” kata perempuan Kristian itu.
“Lebih baiklah setelah sudah mengalami pengalaman pahit itu, anda kembali kepada agama Kristian.” Isabella tersenyum mendengar kata-kata perempuan Kristian itu.
“Biarpun saya dibakar hidup-hidup saya tidak akan meninggalkan Islam dan menerima ketuhanan yang berbagai-bagai serta kepercayaan Kristian yang memalukan itu. Namun demikian kerana anda datang ke mari maka saya ada hak untuk bertanya di mana di dalam Injil ada tertulis yang anda boleh datang mengajak orang masuk Kristian. Di dalam Injil, Jesus itu hanyalah nabi orang-orang Yahudi saja dan dia telah diutus untuk mendakwah kepada mereka khusus.” jawab Isabella tegas.
“Apakah ada tertulis di dalam Injil bahwa pintu agama Kristian tertutup kepada semua manusia? Apakah ini hasil penyelidikan anda yang menyebabkan anda membuang agama Kristian?” tanya perempuan Kristian itu.
“Ya, ada ditulis di dalam Injil dan juga disahkan oleh Kitab Suci Al-Quran yang mengatakan :
‘wa rasulan ila Bani Israel’ yakni Jesus Kristus itu diutus sebagai nabi orang Israel (Yahudi) dan di tempat lain ada disebutkan :
‘waja alnahu mislan Bani Israel’ yakni kami jadikan Jesus Kristus itu sebagai contoh kepada orang-orang Israel dan ini bererti bukan untuk seluruh dunia.”
“Bilakah yang saya ini percayakan Al-Quran sehingga anda menyebutnya di hadapan saya?” tanya perempuan Kristian itu lagi.
“Saya sebutkan Kitab Suci Al-Quran itu kerana anda mungkin tahu bahwa dalam soal ini Kitab Suci Al-Quran dan Injil itu sama.
Dalam Kitab Matius bab 10 ayat 5 ada dikatakan :
‘kedua belas orang murid itu telah diutus oleh Jesus dan dia berpesan kepada mereka : “Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain atau masuk ke dalam kota orang Samaria, melainkan pergilah kepada domba-domba yang hilang dari umat Israel!’
Di dalam Kitab Matius juga bab 15 ayat 21, ada dikatakan : ‘Lalu Jesus pergi dari situ dan menyingkir ke daerah Tirus dan Sidon, maka datanglah seorang perempuan Kanaan dari daerah itu dan berkata ‘Kasihanilah aku, wahai anak Daud kerana anakku perempuan telah dirasuk syaitan dan sangat menderita’. Tetapi Jesus sama sekali tidak menjawab. Lalu murid-muridnya datang dan meminta kepadanya. ‘Suruhlah dia pergi,dia mengekori kita dengan berteriak-teriak’. Jawab Jesus ‘Aku diutus hanya kepada domba-domba yang hilang dari umat Israel’.
Nah, itu buktinya daripada Kitab Injil anda sendiri bahwa Jesus Kristus tidak diutus sebagai nabi kita semua tetapi hanya untuk orang-orang Israel saja, bukankah lebih baik anda ikut perintah Tuhan anda? Mengajak orang lain masuk Kristian adalah perbuatan yang bertentangan dengan perintah Tuhan anda dan anda telah menderhakainya.” kata Isabella.
“Apa yang anda tahu tentang Injil?” kata perempuan Kristian itu. “Tanyalah saya akan maksud ayat-ayat itu. Dalam Injil tidak ada ditulis bahwa Injil tidak boleh diajar di mana-mana.”
“Tidak ada?” tanya Isabella seperti mengejek.
“Jangan berbuat bohong Isabella. Sekurang-kurangnya di hadapan khayalak ini anda patut menahan diri dari berbohong.” kata perempuan Kristian itu.
“Lihat, dalam Kitab Markus bab 16 ayat 15 ada ditulis :
‘Dia berkata kepada mereka, pergilah ke seluruh dunia dan beritakan Injil kepada semua makhluk. Barangsiapa yang percaya dan dibaptiskan maka dia akan selamat dan barangsiapa yang tidak percaya maka dia akan diseksa’. Lihat betapa jelasnya perintah untuk mengkristiankan seluruh umat dunia.”
“Anda barangkali tidak tahu,” kata Isabella “ada 12 ayat di dalam bab 16 ini ditambah kemudian. Injil yang awal hanya sampai kepada ayat 8 saja. Anda jangan cuba kemukakan hujah dari Injil yang sudah dimanipulasi.” “Bagaimana anda tahu ayat-ayat ini ditambah kemudian?” tanya wanita Kristian itu terperanjat.
“Dari penyelidikan orang-orang Kristian sendiri. Setelah dibandingkan dengan nashkah-nashkah lama, ternyata 12 ayat di dalam bab yang terakhir kitab itu tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu*.”
* di dalam edisi bahasa Urdu Kitab Injil yang digunakan di India sekarang, ayat-ayat yang telah dimanipulasi ini dibuat sebagai catatan pinggir.
“Karena kami tidak mempunyai Kitab Injil yang original maka saya tidak dapat berkata apa-apa sebagai jawabannya.” ujar perempuan Kristian itu.
“Saya akan menjawab apabila saya mendapat Injil original nanti. Tetapi apakah ajaran-ajaran Quran yang tidak terdapat di dalam Injil? Kenapa anda sampai menerima Islam?” “Mengenai hal itu saya telah pun berbincang secara terperinci dengan para paderi anda. Tanyalah kepada mereka.” kata Isabella.
“Bagaimana saya akan tahu apa yang anda jawab kepada paderi-paderi itu. Sekarang cuba terangkan kepada saya apa dia kelebihan-kelebihan Islam yang telah anda pelajari?” tanya perempuan Kristian.
“Apa anda fikir saya terima Islam dengan mata tertutup? Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang membuat saya jijik dengan Kristian dan menyebabkan saya mencintai Islam.” kata Isabella.
“Kenapa anda enggan menyebut kelebihan-kelebihan Islam?” Perempuan Kristian itu terus mendesak.
“Nyatalah agama itu tidak ada kelebihan apa-apa pun juga. Isabella! Cuba dengar baik-baik. Tidak ada sesiapa yang setaraf dengan saya di seluruh Sepanyol dalam ilmu pengetahuan. Jangan anda cuba fikir bahawa saya ini tidak tahu apa-apa. Bagaimanapun saya hanya mahu bertanya satu pertanyaan saja. Anda boleh menjelaskan yang hak dan yang batal biar seterang hari siang.
Beritahu saya kualiti yang mana satu lebih tinggi:
peradilan lebih tinggi daripada hukum rahmat ataupun hukum rahmat itu lebih tinggi daripada syahadat peradilan?”
“Kedua-duanya tinggi dan utama pada tempatnya masing-masing dan rendah serta tidak berguna kalau bukan pada tempatnya.” jawab Isabella.
“Fahamkah anda apa yang saya maksudkan?” Perempuan Kristian itu bertanya kepada Isabella.
“Begini! Hukum-hukum Taurat itu peradilan kerana di dalamnya ada tersebut hukuman kepada tiap-tiap orang yang melakukan kesalahan tetapi Injil ialah hukuman rahmat kerana hanya Tuhan Jesus Kristus saja yang dikhaskan untuk penebusan dosa. Nah, cuba terangkan apakah anda menolak hukum-hukum rahmat?”
“Saya telah katakan bahwa kedua-duanya betul pada tempatnya masing-masing. Jikalau seseorang yang berbuat salah diampunkan dengan andaian bahawa dia akan memperbaiki dirinya maka dia diampunkan dan rahmat akan menyusul kemudian, tetapi kalau dikhuatiri bahawa yang berbuat salah itu semakin berani melakukan kesalahan dan dia dimaafkan juga maka permaafan itu adalah satu jenayah dan ketidak-adilan kepada yang berbuat salah.”
“Nah, apakah Quran itu hukum-hukum peradilan ataupun hukum-hukum rahmat?” tanya lagi perempuan Kristian itu.
“Menurut pendapat anda, Taurat itu hukum-hukum peradilan dan bukan hukum-hukum rahmat sementara Injil pula hukum-hukum rahmat dan bukan peradilan. Jadi kedua-duanya itu tidak berlaku pada tempatnya masing-masing. Kitab Suci Al-Quran sebaliknya merangkumi kedua-duanya, peradilan dan kerahmatan dan telah menunjukkan jalan yang benar bagi penggunaan kedua-duanya itu.
Dalam Al-Quran, surat 42 ayat 40 ada disebutkan :
Balasan kejahatan adalah kejahatan yang seumpamanya’.
Inilah hukum-hukum peradilan dan selajutnya ayat itu diakhiri dengan: ‘Barangsiapa memberi maaf serta memperbaiki keadaan dirinya maka pahala akan diberikan Allah, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlaku zalim.
Ini ialah hukum-hukum rahmat.” kata Isabella.
“Di tempat lain Al-Quran iaitu di surat An Nahl ayat 126 ada disebutkan:
Dan jika kamu menyeksa mereka sebagai pembalasan, maka seksalah mereka seimbang dengan penyeksaan yang ditimpakan atas kamu’.
Ini ialah peradilan dan ‘Demi Allah sungguh jika kamu bersabar tentulah sabar itu lebih baik lagi bagi segala orang yang sabar’. Ini rahmat.
Di tempat ketiga pula iaitu di surat Al-Baqarah ayat 280 ada disebutkan begini:
Dan jika didapati orang yang sempit keadaan, yakni orang yang berhutang maka hendaklah kamu beri waktu hingga dia sanggup membayarnya’. Ini peradilan lagi.
Tetapi ‘kamu bersedekah kepada orang yang papa itu dengan jalan membebaskan mereka dari hutang, adalah lebih baik bagi kamu dari menunggu mereka sanggup membayarnya, jika kamu mengetahui’. Itu rahmat lagi.
Begitulah Kitab Suci Al-Quran memberi peringatan tentang peradilan dan rahmat.”
Perempuan Kristian itu lalu menyampuk “Quran menyuruh mengambil tindakan membalas tetapi Injil melarang tindakan serupa itu, sebaliknya disuruh memberi kemaafan. Nah, kelebihan Injil bukankah telah terbukti dengan jelas.”
“Itu tidak membuktikan kelebihan tetapi kekurangan.” jawab Isabella dengan segera.
“Andaikata orang melakukan kejahatan dan jenayah lalu diberi kemaafan kepada tiap-tiap kali kejahatan dan jenayah dilakukan, maka kejahatan dan jenayah akan merebak ke seluruh dunia dan keamanan serta ketenteraman akan terganggu. Kitab Suci Al-Quran membenarkan penggunaan kedua-duanya sekali: pemaafan dan pembalasan menurut keadaannya. Selain daripada itu, Injil juga telah memanusiakan Tuhan tentang mengapa Dia memberikan sifat marah dan nafsu kepada manusia. Apakah sifat marah itu diberikan tanpa bersebab? Tidak. Tuhan tidak pernah mencipta sesuatu sifat manusia tanpa ada gunanya. Oleh sebab itu Kitab Suci Al-Quran telah mengajar bagaimana mahu menggunakan sifat-sifat pengampun dan pemarah, pemaafan dan pembalasan menurut keadaan yang sepatutnya dan tidak dibenarkan sifat-sifat itu menghanyutkan manusia."
“Ah, betapa tidak adilnya anda menolak semua perkara-perkara baik dari kami,” kata perempuan Kristian
“Tuhan kami tidak pernah berperang dengan sesiapa pun juga tetapi memaafkan musuh-musuhnya dan dengan sabar menahan penindasan mereka sedangkan nabimu membalas dendam ke atas musuh-musuhnya serta tidak pernah memberi kemaafan kepada sesiapa pun juga. Sekali lagi membuktikan bahwa contoh dari Injil dan Tuhan kami saja yang boleh membawa kepada keselamatan."
“Kesabaran, kemaafan, ketegasan, keberanian, keadilan dan lain-lain lagi adalah perbuatan yang diketahui oleh tiap-tiap orang tetapi sangat sedikit pula daripada mereka itu yang tahu akan signifikannya yang sebenar. Sesuatu nilai tentang baik dan buruk moral terletak kepada tempat penggunaannya yang sesuai, kalau tidak maka kesabaran dan kemaafan tidak ada erti sama sekali. Cuba perhatikan! Pengampunan dan pemaafan akan tinggi nilainya apabila pemberi maaf mempunyai kuasa untuk membalas. Jikalau seorang yang lemah dan tidak berdaya, tidak ada kuasa untuk membalas maka pengampunan dan kemaafannya tidak akan dapat dianggap sebagai satu jasa melainkan sebagai satu kebaculan saja. Nabi kami memiliki kekuasaan moral ini sebab itu kemaafan dan pengampunan adalah terlalu tinggi nilainya. Setelah beliau menakluki Mekah, orang-orang musyrikin yang kejam telah dibawa ke hadapan baginda tetapi baginda membebaskannya semua dengan berkata:
“Pergilah kamu sekalian. Kamu sekarang sudah bebas! ”
Kalau baginda mahu, baginda dapat mencencang-cencang mereka kerana baginda ada kuasa dan sahabat-sahabat baginda sedang menunggu perintahnya saja. Nah, sekarang cuba beritahu saya, bagaimana kedudukan nabimu waktu dia memaafkan musuh-musuhnya? Nyatalah pada waktu itu dia sangat tertekan dan tidak ada siapa yang mahu menolongnya, dia pula tidak ada kuasa untuk membalas dendam. Tidak ada lain yang dapat dilakukan olehnya kecuali memberi maaf. Kalau dia berkuasa dan memaafkan musuh-musuh maka sesungguhnya itu suatu perkara yang boleh anda banggakan. Kesabaran dalam keadaan tidak berdaya maka ia bukanlah kemaafan.”
“Pooh, Isabella!” perempuan Kristian itu mendesit.
“Anda panggil orang yang berlumuran darah sebagai orang-orang yang bermoral? Dan jangan cuba memberikan apa-apa penilaian kepada orang yang tidak pernah menumpahkan darah barang setitik pun.”
“Itu salah pengertian anda, melihat sesuatu dari sudut yang keliru. Nah, saya mahu mengemukakan kepada anda tentang keberanian dan tentang anggapan anda terhadap baik atau buruk peradilan.”
“Kedua-dua kualiti itu baik, siapa yang boleh membantahnya?” jawab perempuan Kristian itu.
“Bagus! Nah, cuba beritahu saya apakah keberanian dapat dilahirkan selain daripada di dalam peperangan dan peradilan dapat diwujudkan tanpa ada pemerintahan? Tidak mungkin! Maka kedua-dua kesempatan ini telah menganugerahkan oleh Allah kepada nabi kami, yakni dia melakukan peperangan terhadap orang-orang musyrikin dan juga mempunyai kekuasaan untuk memerintah. Dalam peperangan dia telah memperlihatkan keberanian dan dengan membentuk pemerintahan dia memperlihatkan peradilan.
Bolehkah anda memperlihatkan kedua-dua kelebihan ini pada Tuhan anda?”
“Anda fikir berperang itu satu kelebihan yang besar? Tuhan kami membawa seruan perdamaian dan keamanan dan bukan peperangan.” jawab perempuan Kristian itu.
“Tetapi pada nabi kami kedua-dua kualiti ini ada. Di satu pihak dia adalah rahmat kepada dunia, baik hati dan pemaaf dan di pihak yang lain seorang pejuang dalam peperangan di jalan Allah. Jadi, dia menjadi contoh dan teladan yang baik dalam berbagai-bagai aspek hidup.” kata Isabella.
“Betapa jeleknya percakapan anda, Isabella.” ujar perempuan Kristian itu.
“Bolehkah anda membuat bandingan antara seorang yang suka berperang dengan seorang yang membawa kedamaian?”
“Kalau memerangi musuh dan menindas perbuatan jahat merupakan satu jenayah maka bagaimana pula pendapat anda terhadap Nabi Musa yang seluruh kehidupannya dihabiskan dengan memerangi musuh-musuhnya yang disaksikan di dalam Kitab Perjanjian Lama? Benarkah Jesus Kristus seorang perdamaian dan keamanan dan dia selama hidup tidak pernah berperang? Nabi kami ialah Pesuruh Kemuliaan dan Pembawa Rahmat. Kalau baginda di satu pihak berperang melawan musuh-musuhnya seperti Musa, maka di pihak lain serupa Kristus, baginda membawa perdamaian dan keamanan kepada dunia. Maka baginda merupakan contoh yang paling sempurna dari kedua-dua Nabi Musa dan Jesus.” kata Isabella.
“Nampak anda kini sudah terlalu bijak. Saya tidak akan membiarkan sehingga anda saya kalahkan.” ujar perempuan Kristian itu.
“Saya akan bercakap kepada anda dengan sejelas-jelasnya supaya semua wanita yang hadir di sini dapat mengikutnya dengan saksama, dua kali dua empat. Fikirkanlah dengan sedalam-dalamnya sesudah anda membuat bandingan Quran dengan Injil nanti barulah kebenaran menjadi nyata kepada anda.”
“Saya akan menjawab soalan anda sejelas mungkin. Nah, sila kemukakan.” kata Isabella.
“Perbahasan ini tidak akan ada ertinya kalau kerasulan nabimu tidak dapat dibuktikan.” Perempuan Kristian itu mencabar Isabella.
“Pertama buktikan kebenaran kerasulan Muhammad kemudian barulah perbahasan ini kita teruskan.”
“Apakah dia ujian-ujian pembuktian kerasulan itu menurut ukuran anda?” tanya Isabella.
“Kalau anda dapat membuktikan dua perkara tentang Muhammad, maka Islam benar, kalau tidak ia adalah palsu.” kata perempuan Kristian itu.
“Kerana tiap-tiap nabi dua perkara ini adalah penting. Pertama nabi-nabi yang terdahulu telah memberitahu lebih awal tentang kedatangannya dan kedua dia ada melakukan mukjizat.”
“Apakah Adam itu seorang nabi menurut pendapat anda?” tanya Isabella.
“Mengapa pula tidak?” jawab perempuan Kristian itu.
“Apakah ada nabi-nabi terdahulu yang telah memberitahu tentang kedatangannya?” tanya Isabella.
“Sebelum dia, mana ada nabi, jadi bagaimana orang akan memberitahu tentang kedatangannya?”
“Jadi kriteria anda tentang benar atau palsunya seseorang nabi itu nyatalah salah dan nakal. Kalau seseorang nabi mesti diberitahu lebih dulu oleh nabi yang lain akan kedatangannya maka Adam terpaksa dikeluarkan dari kenabian menurut kriteria anda itu. Tentang kemukjizatan pula itu bukanlah suatu perkara yang penting bagi kenabian. Di dalam Injil anda sendiri ada tertulis bahwa nabi palsu juga boleh melakukan mukjizat melebihi Jesus sendiri.” kata Isabella.
“Anda nampaknya tidak menyetujui apa saja pendapat saya. Baiklah, bolehkah anda membuktikan kerasulan nabi anda?”
“Soalan serupa pula hendak saya kemukakan kepada anda. Atas dasar apa seorang Kristian itu percaya kepada Nabi Musa, Daud, Sulaiman, Yaakub, Yusuf, Yahya, Nuh, Ibrahim? Cuba biar saya dengar hujah-hujahnya dan atas dasar yang sama pula insyaAllah kerasulan Nabi akhir zaman akan saya buktikan dengan sejelas-jelasnya sehingga tidak ada sebab lagi bagi anda untuk menolaknya.” ujar Isabella.
“Kami menerima semua nabi mengikut peranan yang mereka lakukan.” jawab perempuan Kristian itu ringkas. “Peranan apa?” tanya Isabella cepat. “Cubalah perincikan supaya tidak susah kita menetapkan dasar perbahasan kita ini.”
Perempuan Kristian itu termenung sejurus sebelum menjawab, seolah-olah berfikir. Dia menundukkan kepalanya sehingga menimbulkan kegusaran kepada penyokong-penyokongnya yang hadir. Mereka khuatir kalau-kalau dia tidak dapat menjawab dan perbuatannya itu akan menjadi punca kehinaan serta kehilangan maruah kepada orang-orang Kristian seluruhnya.
Dia kemudian memanggungkan kepalanya dan memandang Isabella dengan pandangan kosong.
“Kami tidak tahu tentang nabi-nabi lain. Kami hanya menaruh perhatian kepada Tuhan Jesus Kristus kami saja. Melaluinya kami percayakan nabi-nabi yang lain itu.” Mendengar itu, Isabella dengan cepat mendesak. “Kalau begitu kemukakanlah kriteria kebenaran Tuhan anda dan dengan kriteria yang serupa pula Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam akan dibuktikan.”
“Bukti yang besar dari kenabian Tuhan kami ialah dia telah menghidupkan orang yang sudah mati, memberi celik kepada orang yang buta, menyembuhkan penyakit kusta dan menyelamat orang yang dirasuk syaitan.” kata perempuan Kristian itu.
“Apakah bukti bahwa Tuhanmu telah melakukan semua itu? Mana dia orang yang telah dihidupkan Jesus Kristus itu? Mana dia orang buta yang telah dicelikkan oleh Tuhanmu itu? Sebagai tentangan daripada semuanya itu saya mengemukakan kepada anda mukjizat nabi yang kami kasihi Muhammad sallallah alaihi wassalam yang sampai hari ini masih kekal tidak berubah seperti pada zamannya juga dan akan terus kekal sampai hari kiamat. Itulah mukjizat Kitab Suci Al-Quran yang mencabar seluruh dunia. Andaikata iaitu rekaan dari Nabi kami, maka cuba buatkan karya yang serupa dengannya. Buatlah kira-kira sepuluh ayat atau beberapa ayat saja atau satu ayat yang sama tetapi sampai saat ini tidak seorang pun baik Kristian atau Yahudi atau penyembah berhala atau tukang sihir atau Saebiin yang berani menyahut cabaran itu. Inilah mukjizat yang hidup yang telah melumpuhkan seluruh dunia sampai ke Hari Pembalasan. Mukjizat nabi-nabi lain kalau dibandingkan dengan mukjizat ini adalah fana, yang bersifat semasa dan hilang lesap begitu saja seperti asap tanpa ada bukti kecuali cerita-cerita yang didongengkan.”
“Anda telah mula bercakap tentang perkara-perkara yang tidak relevan lagi. Bolehkah kitab Quran yang serupa itu dianggap mukjizat, yang membenarkan berkahwin empat? Dengar ini! Tuhan kami telah mengatakan bahawa ia adalah jalan kebenaran dan kehidupan dan tanpa dia tidak sesiapa pun yang boleh sampai kepada Tuhan Bapa.”
“Kitab Suci Al-Quran tidak pernah menganjurkan kahwin sampai empat. Ia memberi kelulusan untuk melakukannya dengan syarat-syarat tertentu. Tetapi jikalau kahwin banyak itu anda anggap sebagai satu jenayah maka bagaimana keadaannya dengan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman? Menurut Kitab Perjanjian Lama mereka mempunyai beratus isteri. Tentang pengakuan Tuhan anda bahwa iaitu jalan kebenaran dan kehidupan, betapa pula hal itu boleh menjadi satu percanggahan dengan Al-Quran? Tiap-tiap nabi yang diutus ke dunia ini membawa jalan kebenaran dan kehidupan. Tuhan anda mengatakan dia adalah jalan kebenaran dan kehidupan tetapi Al-Quran mengatakan tentang Nabi kami bahwa dia itu bukan saja di jalan yang benar tetapi juga menunjukkan jalan kebenaran kepada orang-orang lain.
Dalam Kitab Suci Al-Quran Surat Asy-Syura ayat 52 ada disebutkan kira-kira begini:
Dan sesungguhnya, engkau benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.
Kitab Suci Al-Quran mengatakan bahwa Nabi kami bukan saja dia itu menjadi kehidupan tetapi juga dia datang untuk membawa rahmat kepada dunia ini.
Dalam surat Al-Anfal ayat 24 ada disebutkan yang maksudnya ialah: wahai segala mereka yang telah beriman, sambutlah seruan Allah dan Rasulnya apabila dia (Rasul) menyeru kamu kepada sesuatu yang menghidupkan kamu. Dan ketahuilah olehmu bahawasanya Allah menjadi pendinding antara seseorang manusia dengan hatinya dan bahawasanya kepada Allah kamu dikembalikan.
Maka bukti dari ayat ini ialah Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam telah mengislamkan orang-orang biadab, yang keji, penindas, bodoh, pencuri, pembunuh, penzina dan penyembah berhala menjadi mereka itu penyembah Allah yang taat dan beratus ribu sahabat berduyun-duyun mengikut seruannya. Baginda telah memberikan kehidupan kepada orang-orang Arab dalam masa hayat baginda.
Sebagai bandingannya Tuhan anda hanya dapat membentuk dua belas orang pengikut saja sepanjang hayatnya dan malah kepada mereka itu juga dia tidak memberikan seluruh kepercayaannyaa kerana seperti yang dikatakan oleh Kristus sendiri kepada mereka, sebahagian daripadanya tidak jujur.”
“Anda bercakap terlalu banyak,” kata perempuan Kristian itu “tetapi sebegitu jauh anda belum dapat membuktikan mukjizat yang telah dilakukan oleh Nabi anda.”
“Nasihat saya kepada anda,” kata Isabella pula “ialah supaya anda meninggalkan percakapan-percakapan logik anda itu tetapi cuba menyakinkan saya dengan mukjizat anda. Khabarnya mukjizat anda telah terkenal jauh dan dekat dan orang-orang datang meminta restu dari anda. Anda tidak layak bercakap perkara-perkara yang logik.”
“Anda belum lagi layak untuk menyaksikan mukjizat saya.” jawab perempuan Kristian itu. Isabella tidak berkata apa-apa lagi sesudah mendengar jawaban itu dan semua yang hadir menjadi terperanjat yang amat sangat mendengarnya. Perempuan-perempuan Kristian menundukkan kepala mereka dengan rasa malu sementara orang-orang Islam mengucapkan syukur kepada Allah dengan hati yang gembira.
Perempuan Kristian itu diam kaku, tidak tahu apa yang mahu diucapkannya lagi. Isabella yang memerhatikan keadaannya lalu berkata “Barangkali anda letih sekarang. Marilah kita hentikan dulu perbahasan ini sampai besok pula. Nah, sekarang beritahu saya pukul berapa anda dapat datang.”
“Saya tidak akan bangun,” jawab perempuan Kristian itu “selagi kita tidak dapat memutuskan tentang kebenaran dan kebatalan. Barangkali juga anda yang letih."
“Bagi saya anda bebas untuk meneruskan perbincangan ini tanpa jeda sehingga yang benar dan yang batal dapat dipastikan dan ditetapkan. Apa yang saya maksudkan ialah keselesaan anda saja, tidak lain.” jawab Isabella.
“Saya sebenarnya sudah bertekad mahu meneruskan perbincangan ini sampai selesai.” kata perempuan Kristian itu mahu menunjukkan keras hatinya.
“Nah, sekarang cuba katakan apa perlu lagi Islam setelah agama Kristian tersebar luas dan menyeluruh?”
“Jikalau Islam tidak datang,” jawab Isabella “kebenaran tidak akan dapat lahir ke dalam dunia ini. Islamlah yang telah menghidupkan kembali ajaran nabi-nabi yang terdahulu. Islam mengajarkan manusia tentang ketaatan dan kesucian. Saya akan huraikan kepada anda secara kasar beberapa sebab tentang mengapa Islam diperlukan.
1. Islam dengan kedatangannya telah menyempurnakan agama yang terdahulu, kerana pengajaran kitab-kitab wahyu yang diturunkan sebelumnya hanya sesuai untuk masa itu saja dan tidak mempunyai tarikan sejagat (universal). Kitab Suci Al-Quran telah mengisi jurang itu.
2. Ajaran yang sebenarnya dari nabi-nabi terdahulu telah diselewengkan oleh pengikut-pengikutnya dan Al-Quran membersihkan penyelewengan tersebut. Sebagai contoh orang-orang Kristian yang telah menganggap Jesus Kristus sebagai Tuhan dan membina struktur yang bobrok dengan mengadakan sekutu kepada Allah, ialah yang mula-mula sekali diruntuhkan oleh Islam. Agama Islam membawa sinar ketauhidan Allah dan menyembahkan zat kebesaran Allah dan kekuasaanNya yang tulen kepada dunia.
3. Ahlul Kitab telah mengadakan berbagai macam tuduhan yang memalukan kepada nabi-nabi, mengatakan setengah daripada mereka itu pendusta, penipu dan penzina dan dengan demikian mengecap nabi-nabi itu sebagai berdosa. Islam dengan keras menolak, membantah, menafikan tuduhan-tuduhan tersebut dan meletakkan kembali kemuliaan dan kehormatan yang sebenar kepada nabi-nabi itu.
4. Ahlul Kitab dengan membuat interpretasi kitab-kitab suci mereka telah memanipulasi kitab-kitab itu sehingga pengikut-pengikutnya percaya bahawa kitab-kitab wahyu asli telah hilang. Kitab Suci Al-Quran mendedahkan perbuatan jahat mereka, penipuan mereka dan mengemukakan semua ajaran yang sebenar dan tulen dari kitab-kitab terdahulu itu sehingga kita tidak perlukan kitab-kitab lain lagi kerana Kitab Suci Al-Quran mencakupi semua kitab yang telah diwahyukan kepada nabi-nabi terdahulu.
5. Oleh sebab nabi-nabi yang terdahulu dan kitab-kitab yang dibawanya hanya khusus kepada masa yang tertentu dan khusus kepada umat yang tertentu saja maka ia tidak mengandungi hukum-hukum yang meliputi semua aspek yang diperlukan oleh manusia di dalam kehidupan dunia bagi sepanjang zaman maka Kitab Suci Al-Quran telah mengisi kekosongan jurang itu dan setelah menyempurnakan tatasusila agama yang dilaungkan maka keperluan semua umat manusia disediakan dengan sebaik-baiknya bagi kegunaan seluruh kemanusiaan sehingga Hari Kiamat. Nah, sudah sedarkah anda kenapa Islam didatangkan ke dunia ini?”
Setelah termenung sejurus lamanya kerana terpesona dengan hujah-hujah yang dikemukan oleh Isabella, perempuan Kristian itu lalu menjawab “Semua itu hanyalah dakwaan-dakwaan tanpa hujah-hujah yang sahih. Anda tidak sedikitpun menyebut tentang mukjizat nabi anda dan juga tidak ada pembuktian kenabiannya. Kerana persoalan ajarannya itu datang sesudah masalah ini dihuraikan.”
“Anda menanyakan kepada saya apa perlunya kedatangan Islam dan saya secara kasar menyebut keperluan-keperluan itu,” jawab Isabella “sekarang terserah kepada anda pula untuk membantah hujah-hujah itu. Saya telah berikan kepada anda bukti mukjizat yang dapat dilihat oleh seluruh dunia ini, iaitu Kitab Suci Al-Quran dan cabaran-cabarannya. Jikalau ada orang yang mengatakan bahawa Kitab Suci Al-Quran itu bukan wahyu dari Allah, dia haruslah bawakan ke mari satu ayat saja untuk dibandingkan dengannya. Tetapi itulah persoalannya tidak ada sesiapa pun yang telah melakukannya untuk menyokong cabarannya itu. Berdasarkan fakta itu maka jelaslah tanpa ada cabaran apapun juga bahawa Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam adalah Nabi dan Rasulullah. Kerana tidak ada sesiapa lain lagi sesudahnya. Selain daripada itu bukti yang lain ialah sesudah mencapai darjat kenabian, Nabi sallallah alaihi wassalam telah membentuk masyarakat sesuai dengan instruksi Kitab Suci Al-Quran dan dalam masa hayatnya seluruh jazirah Arab tunduk di bawah Islam. Nah, adakah contoh serupa ini dapat diperoleh dari nabi-nabi palsu? Saya fikir tidak ada contoh yang boleh dibuat untuk menunjukkan bahawa seseorang yang palsu di dunia ini boleh melakukan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam itu.”
“Apa saja yang anda katakan, nabi anda itu tidak layak untuk diikut. Bagaimana boleh seseorang yang telah menumpahkan darah sepanjang hayatnya dan kahwin dengan beberapa orang perempuan menjadi seorang reformer? Lihat pada ketaatan Tuhan kami bahwa dia tidak pernah kahwin sepanjang hidupnya.” kata perempuan Kristian itu.
“Kerana telah diakui Tuhan anda itu sebagai Tuhan Anak maka dia tidak perlu kahwin,” jawab Isabella “tetapi sebaliknya Nabi kami, Muhammad sallallah alaihi wassalam ialah manusia biasa seperti manusia lain juga, maka dia merasakan desakan tabii kepada perkahwinan. Saya khuatir, anda tidak akan dapat menamakan nabi-nabi lain selain daripada Tuhan anda yang meskipun manusia tetapi tidak kahwin.”
“Manusia yang sempurna ialah orang yang dapat dibezakan daripada yang lain.” kata perempuan Kristian itu. “Kenapa kini mahu bercakap tentang manusia sempurna, puan? Anda telah mengakui bahawa Tuhan anda itu Tuhan Anak!”
“Kenapa pula tidak? Dia makan, dia minum bukan sebagai keadaannya Tuhan tetapi sebagai manusia.” jawab perempuan Kristian itu tanpa menyedari perangkap yang disediakan Isabella.
“Kalau begitu bagaimana akan dibezakan Tuhan anda itu? Dan bagaimana pula definisi manusia yang sempuna?”
“Manusia yang sempurna ialah seseorang yang untuk mengikutinya tidak ada terdapat apa-apa kesukaran.” jawab perempuan Kristian itu.
“Nah, di sini saya bersetuju secara total dengan anda. Saya fikir anda kini telah sampai kepada satu kriteria yang boleh diterima.” kata Isabella.
“Anda telah mengatakan bahwa manusia yang sempurna ialah orang yang boleh diikuti dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang biasa. Persoalannya timbul bahawa orang-orang Kristian telah menjalani kehidupan yang biasa dan menikmati kehidupan berumahtangga. Mereka mempunyai suami atau isteri dan anak-anak. Nah, bagaimana caranya mereka itu boleh mengikut Kristus di dalam kehidupan rumahtangganya? Kerana Tuhan anda tidak kahwin dan dia tidak ada berkata apa pun juga dalam perkara ini. Persoalan yang sama timbul, orang-orang Kristian melakukan Perang Salib ke atas orang-orang Islam dan lain-lain bangsa bukan Kristian, kriteria mana pula yang anda ikuti dalam kehidupan Tuhan anda itu?”
“Tuhan kami tidak pernah berperang dalam peperangan apa pun juga dan tidak kahwin. Jadi persoalan ini tidak timbul.” jawab perempuan Kristian itu agak gugup.
“Meskipun Tuhan anda tidak pernah berperang dengan sesiapa pun atau berkahwin namun pengikut-pengikutnya iaitu orang-orang Kristian telah melakukan Perang Salib dan menjalani kehidupan berkeluarga. Sedangkan manusia sempurna menurut ukuran anda itu tidak menepati contoh yang standard bagi pengikut-pengikutnya dalam kedua-dua aspek keduniaan ini yang menjadi aspek penting dalam kehidupan manusia. Jadi, di mana letaknya perbezaan yang anda berikan kepada manusia sempurna dalam amali kehidupan orang-orang Kristian?” tanya Isabella.
Setelah diam sejurus lamanya, perempuan Kristian itu lalu berkata “Tuhan kami ialah contoh kehidupan rohaniah. Apa ada hubungannya dengan kehidupan fizikal?”
“Saya bersetuju bahawa Jesus Kristus itu diambil sebagai model kehidupan rohaniah yang cukup tinggi. Tetapi jangan anda lupa bahawa aspek rohani dan jasmani tidak boleh dipisahkan di dalam kehidupan manusia, tidak saja pada penyatuan keduanya tetapi bahagian yang terbesar daripada kedua itu dituntut oleh kehidupan jasmaniah. Kerana itu orang-orang Kristian terpaksa mencari seseorang lain sebagai model. Ini diikuti dengan logik bahawa Tuhan anda juga berkehendak kepada masalah yang utama ini. Tidak syak sedikit pun bahawa kehidupan Nabi Musa ialah kehidupan terhormat, sementara kehidupan Jesus Kristus pula kehidupan anggunan tetapi kehidupan nabi kami yang terakhir, Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam ialah kehidupan kesempurnaan.
Kehidupannya dipenuhi dengan ibadat, salih dan sufi dan sebagai manusia dia menjadi contoh manusia dunia, seorang pedagang dan malah sebagai seorang raja juga. Nabi akhir zaman Muhammad sallallah alaihi wassalam menggembalai kambing pada masa kecilnya, agak dewasa sedikit dia berulang-alik ke Gua Hira dan beribadat di sana. Dia berdagang sampai di Syria, kemudian kahwin dengan Siti Khadijah. Baginda lalu berdakwah dari atas Bukit Faran dan di jalan-jalan di Mekah, lalu ke Taif, hidup dalam kumpulan suku Hijaz dan mengalami kesulitan dari musuh-musuhnya dan para penentangnya, menyantuni orang-orang yang sedang lapar, mengasuh anak-anak yatim dan janda-janda di dalam masyarakat. Kemudian berhijrah dari Mekah ke Madinah, mengadakan perjanjian antarabangsa dengan orang-orang Yahudi di Madinah, membina masjid, menyelesaikan perselisihan antara suku kaum, memimpin solat, memberi ceramah di berbagai-bagai tempat, melatih tentera dan mengatur siasat tentera di dalam peperangan Badar dan Uhud dan memimpin tentera sebagai panglima tertinggi dan telah memperlihatkan kebolehannya di dalam siasat peperangan.
Baginda mengerjakan solat yang lama pada waktu malam sehingga kakinya bengkak-bengkak. Jadi daripada semua kenyataan ini cara, jalan dan model yang diperlukan di dalam kehidupan dunia terdapat pada diri baginda yang mulia, Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam, sebagai penggembala kambing juga sebagai seorang pedagang yang besar sama-sama dapat dijadikan contoh, juga sebagai pendakwah, pengembara dan penghijrah baginda boleh dijadikan modelnya. Bagi seorang yang taat kepada Allah yang bersara dari tugas, baginda menjadi petunjuk yang baik dan menjadi contoh bagi manusia duniawi dalam kehidupan berumahtangga.
Ajarannya memberikan satu peraturan yang sempurna dalam kehidupan internasional juga bagi penduduk rimba. Bimbingannya merupakan cahaya. Perencanaan siasatnya menjadi petunjuk di medan peperangan dan baginda menjadi contoh kepada masyarakat dalam kehidupan di masa damai. Pendekkata tidak ada contoh lain yang dapat mengatasi kehidupan yang sempurna Nabi kami Muhammad sallallah alaihi wassalam di dalam rumahtangga, berdakwah, perniagaan, kepemimpinan, memberi nasihat dan mengimani solat, dalam hidup bersara, mengatur peperangan, menyusun undang-undang, memerintah sebagai raja, baik dalam masa gembira mahupun dalam masa berkabung, perkahwinan dan penceraian, hidup dan mati, mengajar dan mendidik anak-anak dan apa saja tugas yang dihadapi oleh manusia di dalam kehidupan beradab.
Begitulah di dalam kehidupan yang sempurna dan juga di dalam keperluan kehidupan yang menggundahkan terdapat di dalam kehidupan Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam dan tidak terdapat di dalam kehidupan Nabi Musa dan Nabi Isa. Jadi dari sudut keadilan dan kejujuran maka kita harus mengakui bahawa dalam diri Nabi akhir zaman, Muhammad sallallah alaihi wassalam terhimpun semua tatasusila rohaniah dan jasmaniah kehidupan manusia yang agung dan anggun. Sesiapa saja manusia di dunia ini yang ingin mencari kebajikan dunia dan akhirat maka tidak ada jalan yang lain selain daripada mencari perlindungan di bawah bayang-bayangan nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam yang luas, pengasih, pemurah dan budi pekerti yang tinggi dan adap sopan yang mulia.”
Seluruh hadirin di dalam perhimpunan itu diam tidak bergerak, terpesona dengan hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Isabella secara lancar dan teratur. Malah perempuan Kristian itu juga yang mengaku boleh melakukan mukjizat terpukau seperti orang yang tidak sedarkan diri.
Apabila Isabella mendapati perempuan Kristian itu telah terpukul dengan penuh kehinaan dan dalam keadaan dukacita yang amat sangat, dia pun meminta maaf mengucapkan selamat tinggal lalu meninggalkan tempat itu.
Menurut laporan yang diberikan oleh Abu Hafiz, anak muda terpelajar yang ikut menyaksikan perbahasan itu, kesan daripada hujah-hujah yang disampaikan oleh Isabella, sebahagian besar dari wanita Kristian yang mengikuti perbahasan tersebut dengan rela hati telah menerima Islam dan beberapa tahun kemudian perempuan Kristian itu pun juga beriman dengan keesaan Allah dan diislamkan oleh Isabella sendiri.
Tetapi hal ini tidak berlaku sekaligus, ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya bagi jiwa yang mahu dipimpin untuk datang ke bawah bayangan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sepanjang hayatnya, Isabella terus menyembahkan baktinya kepada keagungan Islam. Di satu pihak dia menutup mulut orang-orang Kristian dan di pihak lain pula dia mencurahkan ilmu pengetahuannya ke dalam dunia pembelajaran, Ilmu Hadis dan pentafsiran Kitab Suci Al-Quran. Beratus ribu cendekiawan Islam telah mendapat manfaat daripada ilmunya.
Isabella telah hidup mencapai usia lapan puluh tahun dan telah menutup mata dalam keadaan tenang dan damai, diratapi oleh seluruh penduduk Sepanyol. Berjuta-juta orang telah mengiringi jenazahnya ke tempat persemadian yang terakhir. Orang-orang di tempat yang jauh ada yang melakukan solat ghaib untuk arwahnya dan memanjatkan doa ke hadirat Allah subhanahu wa taala agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang salih.
Sebagai penutup kisah ini kita juga dengan menundukkan kepala memberi hormat dan membaca Al-Fatihah untuk saudara Islam kita yang agung ini dan mudah-mudahan Allah subhanahu wa taala menerima amal ibadatnya dan menempatkan rohnya bersama orang-orang yang dikasihiNya.
Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan