Jumaat, 3 April 2015

ISABELLA BAB 10

BAB 10 Satu Komplotan

Setelah keluar sebentar untuk sarapan, Isabella kembali semula ke biliknya. Ibunya tidak kelihatan dan menurut pembantu rumah, ibunya telah bersarapan awal dari biasa. Isabella tidak mengesyaki apa-apa cuma terasa sudah ada bibit-bibit kerenggangan sudah mula ada. Bagaimanapun tekadnya sudah bulat. Dia sanggup menghadapi apa saja demi untuk mempertahankan keislamannya. Dia tidak akan melepaskan lagi jalan kebenaran yang telah diperolehinya itu.

Dalam masa dia berfikir, pintu biliknya diketuk orang. Ketika dibuka, pembantu rumah memberi sepucuk surat yang bersampul.
“Ini dari pembantu rumah Nona Mirano,” katanya, “dia sedang menunggu di luar.”
Isabella segera membuka surat. Dia merasa hairan melihat tulisan surat itu bukan tulisan Mirano. Tentu ada sesuatu perkara yang telah terjadi ke atas dirinya, fikir Isabella.

Saudara Isabella.

Aku mesti berjumpa dengan anda segera kerana ada perkara penting yang hendak kusampaikan. Harap anda datang pada waktu ini juga. Jangan lengah-lengahkan lagi, terlalu penting. Aku sedang menunggu di sebuah rumah lain. Datanglah bersama-sama dengan pembantu rumahku ini.

Saudaramu, Mirano

Tanpa mengesyaki sesuatu, Isabella mengikuti pembantu itu. Mereka berjalan melewati Qasrul Syuhada lalu berjalan lurus menuju ke Rabat Ramani. Isabella merasa hairan kerana selama dia berkawan dengan Mirano, mereka belum pernah sampai ke tempat itu. Mirano pun tidak pernah menceritakan kepadanya tentang sesiapa di antara keluarga atau kenalannya yang tinggal di daerah tersebut. Tentu Mirano dalam kesusahan, fikirnya lagi. Tidak jauh dari Rabat Ramani, mereka membelok ke sebuah lorong dan pembantu rumah itu membawa dia masuk ke dalam sebuah rumah yang cukup besar. Sebaik saja Isabella masuk, pintu halaman ditutup. Begitu juga dengan pintu depan. Isabella dibawa ke sebuah bilik. Apabila pintu bilik ditutup, barulah Isabella sedar bahwa dia telah ditipu dan dijadikan tawanan. Kesedaran itu telah terlambat.

Tiga orang rahib masuk ke dalam bilik menerusi pintu lain. Mereka menolak Isabella dengan menggesanya menuruni anak tangga yg membawa mereka ke bawah tanah. Isabella berpaling untuk berkata sesuatu kepada pembantu rumah Mirano tetapi pembantu itu sudah tiada lagi. Hilang sekelip mata. Perasaan Isabella menjadi gempar dan sedarlah dia sekarang bahawa dirinya telah berada di dalam cengkaman inquisisi. Kakinya agak berat mahu melangkah turun. Ketika itu juga, salah seorang rahib menumbuk belakangnya dengan kuat. Sebagai seorang gadis yang perwatakannya lemah-lembut, terasa pukulan itu seperti satu batu besar yang jatuh menimpa belakangnya. Dia hampir jatuh tersungkur ke depan.

“Perempuan terkutuk!” sumpah rahib yang memukul tadi.
“Jalan cepat! Tengok itu api Tuhan Jesus Kristus sudah tidak sabar lagi menunggu untuk membakarmu, perempuan sial! Kau telah menghina agama Kristian dan menyeret kehormatan bapamu, ketua paderi, masuk ke dalam lumpur.” Isabella yang malang tidak menjawab.
Tubuhnya menggigil dan belakangnya terasa terlalu sakit. Dia melangkah turun ke dalam ruang di bawah tanah itu, yang kelihatan kelam dan suram.

Dari samar-samar kelam, dia terpandang kerangka manusia berselerak di semua sudut. Ada tengkorak bergantungan di dinding. Salah seorang rahib menyalakan sebuah andang. Setelah itu, dia merapati Isabella.
“Nah, di sinilah tempat tinggalmu supaya kamu tahu akibat permusuhan dengan Tuhan Jesus Kristus, perempuan malang!” Dia lalu menunjukkan kepada Isabella kerangka manusia.
“Inilah wakil kami yang akan mendera dan menyiksa kamu di sini.” Isabella masih berdiam diri dan merasakan dirinya seperti sedang di dalam satu mimpi ngeri. Rahib-rahib lalu meninggalkan ruang lalu memasang kunci pada pintunya. Mereka beredar ke bilik lain untuk beribadat. Sejurus kemudian, barulah Isabella sedar bahwa dia dipenjarakan sebagai satu seksaan kerana sudah tidak beriman.

Isabella tidak tahu apakah hari masih siang ataupun sudah malam kerana dia merasa sudah begitu lama sekali dikurung di ruang bawah tanah itu. Kemudia dia dibawa keluar untuk diberikan semangkuk kacang tanah yang sudah digoreng dan dikisar lumat dengan segelas air minum. Rahib-rahib masih menghina dan mencacinya. Setelah itu, Isabella dibawa ke sebuah bilik lain. Di dalamnya, Isabella melihat ada beberapa orang rahib sedang dalam keadaan yang amat khusyuk.

Tujuan mereka membawa Isabella ke situ agar dapat menyedarkan Isabella tentang keluhuran agama Kristian apabila dia melihat kekhusyukan para rahib. Isabella memerhatikan dengan penuh minat. Seorang rahib terbaring tidur. Kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Seorang lagi memukul-mukul tubuhnya dengan cemeti. Agak ngeri juga dia melihatnya. Terlintas di dalam fikiran mungkin orang itu dianggap ada membuat kesalahan seperti yang dilakukannya tetapi kemudian dia mendapat tahu bahwa semua penyeksaan diri yang dilakukan oleh rahib-rahib ialah suatu cara untuk menundukkan diri sendiri dan penyeksaan diri serupa itu dilakukan atas kemahuan rahib itu sendiri. Di dalam sebuah bilik besar yang lain, terdapat patung Mariam Perawan. Di sekelilingnya duduk rahib lelaki dan perempuan, tenggelam di dalam tafakkur. Ada rahib yang tidur menelungkup di atas lantai dan ada yang menangis teresak-esak di sudut-sudut di sekitar dinding bilik. Sebagai usaha untuk menaklukkan diri mereka, mereka berpuasa selama 20 atau 21 hari. Isabella telah mengetahui keadaan itu tetapi inilah pertama kali dia melihat sendiri.

Seorang rahib tua berkata kepada Isabella, “Wahai gadis jahanam! Jikalau kau mahu mendapat keselamatan, amalkan cara hidup sederhana serupa itu dan kamu akan disenangi oleh Tuhan Jesus Kristus.” Isabella tertawa mendengarnya.
“Kenapa Tuhan menyuruh hidup serupa itu? Tujuan agama ialah memberikan tugas kepada manusia untuk membuat kebajikan kepada sesama manusia bukan disuruh menggantung diri sendiri di sudut bilik seperti kelawar. Lagi pula menurut anda, Jesus sudah menebus dosa semua orang-orang Kristian maka perbuatan menyeksa diri serupa itu sudah tidak ada gunanya lagi.” Mendengar kata-kata Isabella, mata rahib itu menjadi merah kerana terlalu marah. Dia menumbuk dada Isabella dengan sekuat-kuatnya .
Dia memekik, “Perempuan isi neraka! Kau sudah tidak boleh dipujuk lagi. Pergi duduk di tempatmu. Di sana nanti akan kami ajar!” Kembali Isabella ke ruang bawah tanah yang dipeuhi dengan tulang-tulang dan tengkorak manusia.

Pada mulanya, perasaan Isabella terganggu sedikit dengan keadaan sekitar yang mengerikan. Lama kelamaan dia sedar akan kedudukannya dan mulai dapat menenangkan diri. Dia pasrah dengan apa yang akan dihadapinya di hari depan. Dikuasainya diri sendiri dan berdoa kepada Allah. Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu, sedikit bunyi saja dapat kedengaran dan Isabella akan memasang telinga. Ruang yang gelap gelita mulai mendapat sedikit cahaya apabila bilah-bilah sinar matahari menembusi masuk dari lubang-lubang kecil yang ada di dinding bilik. Isabella sedar malam sudah berlalu. Tidak lama kemudian, pintu dibuka orang dan seorang rahib membawanya naik ke sebuah bilik yang lebih besar. Dalam bilik itu terdapat patung dua belas orang Pengikut Kristus dan lain-lain patung para martir. Dua orang paderi duduk menghadap ke sebuah meja. Isabella disuruh duduk berdepan dengan paderi-paderi itu. Isabella tahu mereka adalah paderi-paderi termahsyhur di Sepanyol. Dia pernah melihat mereka di rumah bapanya.

Mula-mula, paderi-paderi itu menyumpah-seranah Isabella dengan berbagai-bagai kutukan yang diucapkan dalam keadaan marah. Kemudian mereka menuduhnya murtad, memberi malu kepada bapanya, seorang paderi yang dihormati, mencemarkan agama Kristian dan sebagainya. Setelah itu, baru mereka berlembut dan berdakwah. “Sudahkah kau masuk Islam?”
“Syukur kepada Allah yang telah memberikan kepada saya nikmat Islam.” jawab Isabella.
“Sudah!” ujar salah seorang paderi. “Hentikan puji-pujian kepada Islam. Beritahu kami apakah kau mahu mati dengan kematian yang memalukan ataupun kau mahu kembali menjadi hamba Tuhan yang dirahmati?”

“Setelah menjadi Islam tiap-tiap orang sudah menjadi hamba Tuhan yang dirahmati dan tidak ada orang yang lebih beruntung daripada mereka yang diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah saja agama yang diredhai Allah.”
“Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami cuma mahu mendengar dua perkataan saja, apakah kau mahu mati atau mahu hidup di dalam agama Kristian? Jawab segera kerana nasibmu akan diputuskan pada hari ini juga.

“Betapa penderitaan dan seksaan yang telah dialami oleh martir-martir Kristian pada zaman permulaan dulu, tetapi mereka tidak membuang agamanya.” jawab Isabella.
“Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam kandang harimau dan singa dan dipotong dua tetapi mereka tetap berpegang teguh pada kepercayaannya. Andaikata kerana keimanan seseorang itu mesti menghadapi kematian maka itu bermakna dia telah mendapat kerelaan Tuhan dan mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang sudah berada di jalan yang benar, tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga, dapat memesongkan pendirian saya. Kitab Suci Al-Quran telah mengajar saya bahwa sembahyang saya, pengorbanan saya, hidup dan mati saya semata-mata untuk Allah yang tiada sekutu bagiNya. Saya sudah bertekad untuk tetap mempertahankannya dan saya ternasuk orang-orang yang bertaqwa.”

“Jadi bererti kau tidak mahu meninggalkan Islam dan kembali ke dalam kasih Tuhan Jesus Kristus.” kata salah seorang paderi itu.

:Nasibmu akan diputuskan hari ini!”

“Apa saja keputusan yang tuan buat, buatlah tanpa takut dan menurut kata hati tuan yang sebenarnya.” kata Isabella.
“Paling banyak pun, tuan hanya boleh mengambil nyawa saya saja tetapi tuan tidak tahu bahawa saya sebagai hamba Allah, Allah hidup abadi.”
“Bila kematian sudah berada di hadapanmu,” jawab salah seorang paderi, “barulah kau akan lupa semua ayat-ayat Quran dan Allah serta lain-lainnya. Kami baru boleh mengerti kalau Quran atau Muhammad boleh menyelamatkan kau dari kematian.”

Isabella tersenyum kecil. “Masalah serupa itulah yang telah dikemukakan oleh orang-orang Yahudi kepada Jesus Kristus dulu iaitu kalau dia di jalan yang benar maka dia mesti turun dari salib itu dan menyelamatkan nyawanya. Kini, adakah Kristus di pihak yang salah menurut tuan kerana dia tidak dapat menyelamatkan nyawanya dari kematian ataupun tuan semua telah mengikut jejak langkah orang-orang Yahudi itu.”
“Syaitan! Isi neraka! Otak iblis! Tak berguna! Sial!” Paderi itu melenting lalu bangun dan membeliakkan matanya kepada Isabella.
“Kau panggil aku Yahudi! Kau diam! Tunggulah kematianmu!”
“Memang baik begitu kalau tuan juga diam dan biarkan saya sendirian. Tuan boleh buat apa yang tuan suka.” kata Isabella.

Paderi yang sedang marah memanggil rahib-rahib yang sedang berdiri mengawal Isabella. “Kurung perempuan ini di ruang bawah tanah itu. Jangan diberi dia makan atau minum. Bapanya telah mengarahkan supaya dia diserahkan kepada inquisisi dan nasibnya akan ditentukan esok.” Mendengar perintah itu, rahib-rahib pun menangkap Isabella dan menolaknya secara kasar. Sambil menyorong-nyorongnya ke hadapan, mereka memukul dan membawanya keluar dari bilik itu. Ketika di luar bilik, mereka lebih berleluasa memukul Isabella hingga dia jatuh tersepuk di atas lantai. Dia ditarik bangun dan didorong sehingga sampai ke ruang bawah tanah. Kemudian, Isabella ditolak masuk hingga jatuh ke lantai lalu pintu ruang itu pun dikunci. Sudah tiga hari Isabella di dalam kurungan dan tidak sekali pun dibawa keluar lagi.

Isabella tetap cekalkan hati dan memberanikan diri. Walaupun pada waktu malam, ketika suasana menjadi hening sepi, tengkorak dan tulang-tulang kerangka manusia menjadikan suasana menakutkan, ketenangan hati yang diperolehnya membuat dia tidak merasa takut. Sayup-sayup sampai ke telinganya, suara ngauman para rahib sedang melakukan ibadat dan adakala kedengaran ucapan, esakan dan raungan rahib-rahib perempuan yang sedang menyeksakan diri mereka.

…………..

Berita kehilangan Isabella telah diketahui oleh Mirano daripada pembantu rumah yang telah digunakan oleh komplotan paderi-paderi untuk menculik Isabella. Mirano segera menghubungi Martha, Hanana dan Catherine. Dari penyelidikan mereka, ternyata Isabella telah dikurung dan diseksa di bawah kolong sebuah rumah yang dijadikan sebagai sebuah biara yang letaknya tidak jauh dari Rabat Ramani. Keempat orang gadis itu pun membuat keputusan untuk memberitahu hal itu kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar.

Pada suatu malam, secara sembunyi-sembunyi, mereka telah ikut hadir dalam satu perhimpunan di rumah Ziad bin Umar. Semua yang hadir terperanjat mendengar berita sedih itu, lebih-lebih lagi Umar Lahmi. Dia tidak memperlihatkan kegemparan hatinya kerana Ziad bin Umar sendiri menerima berita itu dengan tenang dan sabar.
“Demi Allah,” kata satu suara di antara para hadirin, “jikalau kita terus bersikap toleran serupa ini, orang-orang Kristian itu akan menjadi penghalang besar kepada dakwah Islam. Isabella yang sudah menjadi saudara kita kini dalam tawanan mereka. Menjadi tanggungjawab tiap-tiap kita untuk membebaskannya walau betapapun juga korbannya.” Seorang hadirin berdiri dan bersuara dengan lantang sekali.
“Dengan izin tuan, saya akan pergi membebaskannya sekarang juga. Malang sekali, saudara kita sedang menghadapi seksaan dan kita duduk berpeluk tubuh. Memang satu kezaliman!” Umar Lahmi memandang Ziad bin Umar sebelum dia berkata. “Saudara-saudara, kegemparan dan jerit-pekik tidak dapat menolong kita. Perkara ini sekarang ada di dalam tangan guru kita, Ziad bin Umar. Kita semua akan mengikut apa jua arahannya.”

“Tuan Ziad,” kata hadirin, “kami menuruti apa saja perintah tuan.” “Arahan saya kepada tuan-tuan semua,” ujar Ziad bin Umar, “ialah jangan melakukan tindakan yang terburu-buru yang akan mengakibatkan kematian Isabella. Jika kita mahu, kita boleh mengirim sepasukan tentera tetapi adalah lebih manfaat kalau kita melakukan tindakan yang strategis. Andaikata Isabella di dalam kesukaran maka insya’Allah itu akan mempertebalkan imannya. Iman itu ialah nilai Islam yang hanya dapat dicapai melalui percubaan.”
Umar Lahmi lalu memandang kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya. “Nah, bagaimana pula pendapat saudara-saudara sekalian? Sampai setakat mana saudara-saudara boleh menolong Isabella?”
“Sekiranya kami dibenarkan menolong,” kata Mirano, “kami dengan mudah dapat melepaskan saudara kami itu dari kesukaran.”
“Terima kasih banyak.” ujar Umar Lahmi.
“Saudara-saudara, kami beri kebenaran untuk melakukan apa saja bagi membebaskan Isabella.” kata Ziad bin Umar.

Setelah mendapat kebenaran dari Ziad bin Umar, keempat-empat anak gadis itu pun meminta diri. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat satu rancangan dan berteguh-teguhan janji akan merahsiakan rancangan itu.

Catat Ulasan