Jumaat, 3 April 2015

ISABELLA BAB 4

BAB 4 Pertemuan Pertama

Tidak lama sesudah Isabella meninggalkan tempat itu, Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawan mereka yang lain berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di rumah, mereka mentelaah Kitab Suci Al Quran dan Kitab Injil serta membuat catatan-catatan perkara yang penting untuk dijadikan bahan yang akan dibahaskan di dalam pertemuan esok hari. Pada pagi berikutnya iaitu pagi Ahad, berita tentang pertemuan itu telah tersebar dengan luas di seluruh kota. Orang-orang Kristian dengan penuh hati-hati membuat persiapan yang teliti terutama di dalam menghadapi orangramai yang ingin ikut mendengar perbincangan tersebut. Hanya beberapa orang Islam saja yang dibenarkan masuk ke dalam gereja sedangkan yang lain-lain terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Umar Lahmi, Maaz dan beberapa orang cendekiawan Islam dibenarkan masuk sesuai dengan persetujuan yang telah dibuat lebih awal. Ketika mereka masuk, didapati hampir semua paderi yang terkemuka di Cordova ada di dalamnya dan sedang sibuk mengerjakan sembahyang.

Tidak lama kemudian upacara sembahyang itu pun selesai. Paderi-paderi lalu mengambil tempat duduk di suatu meja panjang yang tersedia, berhadapan dengan Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawannya. Isabella dengan semua kawan-kawannya pun ikut serta duduk bersama-sama.

Sesudah mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana telah menyahut pelawaan mereka, Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu. Salah seorang daripada mereka bernama Peter yang terkenal sebagai seorang ahli pengajian Arab dan kitab-kitab Islam.

“Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh meyakinkan maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian.” kata Michael.

“Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian.”

Mendengar kata-kata Umar Lahmi itu, Michael lalu berpaling kepada Peter yang kelihatan lebih tua daripada yang lain. Peter yang sudah menulis banyak buku menentang agama Islam, dianggap orang yang paling berkebolehan untuk berdebat dengan orang Islam.

Peter dengan nada suara orang yang menguasai keadaan berkata, “Saya diberitahu bahwa bantahan tuan-tuan yang terutama sekali ialah tentang mengapa St Paul telah mengatakan hukum-hukum agama itu satu kutukan. Tetapi ini adalah satu perkara remeh dan tida lebih daripada satu isu sampingan saja. Tuan-tuan orang Muslim dan berimankan Quran dengan sendirinya pendapat tuan-tuan mengenai Tuhan Jesus Kristus dan agama Kristian mengikuti lunas-lunas Quran.

Umar Lahmi tersenyum kecil sebelum menjawab, “Saya sudah membuat definisi yang jelas di dalam surat saya tentang persoalan yang akan kita bincangkan seperti yang tuan sendiri sudah akui tetapi mengapa pula tuan bawa kepada perkara-perkara lain? Saya sudah menulis perbincangan ini akan berisar di sekitar hukum-hukum agama dan kutukan, jadi apa ada bantahan tuan tentang hal itu?”

Peter masih dengan nada suara yang agak kuat berkata,”Kami akan menjawab pertanyaan tuan tetapi lebih dulu biarlah kita bincangkan isu-isu yang dasar yang juga dari Quran tuan-tuan. Bukankah dalam Quran ada mengatakan tentang Tuhan Jesus Kristus kami sebagai Rohullah, Kalimatullah. Tidakkah ada tersebut di dalamnya bahwa dia pernah menghidupkan orang yang sudah mati? Jadi, apabila tuan percayakan Quran bagaimana pula boleh tuan-tuan meragui Tuhan Jesus sebagai ‘Putera Tuhan’?”

“Tuan telah memulai dengan perbincang yang agak menyimpang yang sedikit pun tidak ada kena-mengena dengan keraguan yang kami timbulkan.” kata Umar Lahmi. “Apa yang saya inginkan ialah untuk memahami signifikan hukum-hukum agama dan kutukan. Andaikata tuan bersedia mahu membincangkannya, silakan. Kalau tidak, kami akan meninggalkan tempat ini.” Umar Lahmi memandang muka sahabat-sahabatnya dan mereka semua menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan keputusan itu.

“Saya mengemukakan Quran kepada tuan ialah supaya isu-isu dasar itu dibincangkan lebih dulu. Jikalau tuan mahu mengelakkan diri daripada persoalan dasar ini dan mahu membincangkan isu-isu sampingan, itu bererti tuan tidak dapat menjawabnya.” kata Peter dengan sikap angkuh.

Umar Lahmi segera menjawab, “Baiklah, tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, terlepas daripada persoalan agama tuan dan mahu berselindung di balik AlQuran. Jikalau tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, mari kita selesai ini dulu. Apakah Adam benar-benar ada melakukan satu dosa dan bila kita putuskan dia benar-benar ada berbuat dosa, maka patutlah kita bincangkan pula apakah dosa itu diperturunkan dari generasi ke generasi sampai meliputi seluruh umat manusia. Yakni, kerana dosa Adam itu, semua manusia dengan sendirinya ikut dibebani dosa? Jika keadaannya benar begitu, kita akan bincangkan bagaimana noda dosa itu dapat dihapuskan? Kemudian kita bincangkan pula tentang kesucian Nabi Isa, tentunya menurut Kitab Injil.

Sesudah itu tuan mesti buktikan kepada kami bahawa Jesus itu Tuhan dan hanya dia saja dapat memerdekakan manusia daripada dosa. Apabila semua ini dapat dijelaskan maka tuan mesti buktikan pula bahwa Jesus benar disalib dan kerana semua dosa manusia dia telah tinggal selama tiga hari di dalam neraka. Inilah yang patut dibahaskan dan bukan apa yang tersebut di dalam AlQuran tentang Nabi Isa.”

“Semua itu tidak relevan. Tidak ada perhubungannya dengan persoalan.” Peter menampik. “Apa yang saya maksudkan ialah untuk membuktikan dari Quran sendiri bahwa Jesus ‘Roh Allah’ dan ‘Kalam Allah’ dan telah menghidupkan orang yang sudah mati. Oleh kerana itu, agama Kristian itu benar.”

Umar Lahmi menjadi tidak senang dengan putar belit paderi tua itu. Masa sudah berjalan beberapa minit, pokok perbincangan belum juga diperolehi. Dia lalu memandang kepada Isabella yang sejak perbincangan itu dimulai tidak pernah melepaskan matanya dari wajah itu. Sambil menunjuk kepada Isabella, dia berkata, “Sekarang saya tunjuk nona ini sebagai hakim dan memintanya memberitahu mengapa kami diundang kemari? Nah! Saudari mesti katakan apa yang telah saya tulis di dalam surat saya dan kenapa saudari membawa kami kemari?”

Isabella yang sedang tenggelam di dalam lamunannya itu agak tersentak apabila ditunjuki Umar Lahmi serupa itu. Pipinya tiba-tiba menjadi merah. Dengan suara yang rendah tetapi berwibawa, dia menjawab, “Sebenarnya, perbincangan ini ialah untuk menentukan apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan ataupun tidak. Tetapi keberatan yang dikemukakan oleh bapa suci kami juga ada kebenarannya. Menurut pendapat saya, mula-mula kita bahaskan dulu keberatan-keberatan tuan kemudian barulah bapa suci memajukan pula soalan-soalan tentang Quran.”

Umar Lahmi mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Isabella. “Nah, saya bersetuju dengan pendapat nona. Sekarang saya buka gelanggang ini kepada tuan. Saya berjanji bahwa apabila tuan dapat menyelesaikan keberatan-keberatan kami dengan penjelasan yang meyakinkan, kami dengan tidak melewatkan waktu membenarkan tuan memajukan soalan-soalan secara umum. Tapi apabila saya berjanji mahu menganut agama Kristian, saya fikir tidak perlu lagi kita berbahas panjang-panjang.” Umar Lahmi menutup kata-katanya itu dengan senyum kecil dan memandang Isabella dengan ekor matanya. Isabella yang dapat melihat jelingan Umar Lahmi itu merasa tersindir.

“Baiklah,” ujar Peter, “sebutlah soalan-soalan tuan dengan jelas bersama-sama dengan pendirian tuan mengenainya.”

“Tuan boleh menjawab soalan saya satu persatu, persoalan demi persoalan. Ini akan menjadi lebih jelas.: kata Umar Lahmi. “Mula-mula, cuba beritahu saya apakah ‘jangan mencuri, jangan membunuh, jangan menimbulkan kesukaran kepada tentangga dan lain-lainnya’ itu merupakan firman-firman Tuhan dan apakah ada kaitannya pula dengan hukum-hukum agama?”

“Sudah tentu. Semua itu ada kaitan dengan undang-undang agama.” jawab Peter dengan cepat. “Apakah pula dikri St Paul tentang hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi lagi. “Dikri bagaimana? Saya tidak faham.” jawab Peter, mengangkat muka memandang Umar Lahmi seperti hairan. “Tuan faham benar-benar perkara itu.” kata Umar Lahmi dengan suara agak keras sedikit. “Cuma tuan mahu mengelak daripada menjawabnya. Katakan saja bahwa St Paul telah menganggap hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan.”

“St Paul menganggap hukum-hukum agama itu sebagai kutukan dari sudut bahwa inti hukum agama itu adalah bahagian daripada Jesus Kristus dan betapa bodoh apabila inti ditinggalkan sedangkan kulitnya dikejar-kejar.” “Begitulah pula yang saya maksudkan.” jawab Umar Lahmi. “St Paul yang menganggap Jesus sebagai jiwa dan hukum-hukum agama sebagai tubuh telah mengatakan hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan dan apabila tuan juga berkata Firman Perjanjian Lama ada kaitannya dengan hukum-hukum agama maka menahan diri dari membunuh dan berzina juga adalah satu kutukan.”

Mendengar hujah Umar Lahmi itu, Peter, paderi tua, kelihatan resah sedikit tetapi dia menjawab dengan satu dalih. “Perkara ini sebenarnya merupakan satu perkara ghaib dan tuan tidak dapat memahaminya tanpa bantuan dari ‘Roh Kudus’ dan tidak semestinya pula bahwa sesuatu problem yang tidak dapat difahami itu merupakan perkara salah. St Paul telah menganggap hukum-hukum agama secara lahiriahnya satu kutukan dan tidak pula tertuju kepada semua bentuk hukum agama.”

“Benar. Memang betul St Paul mengatakan hukum-hukum agama pada lahiriahnya satu kutukan. Sekarang cuba terangkan kepada saya. Jikalau tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganggu keluarga dan lain-lain lagi itu adakah hukum-hukum agama yang lahiriah atau dalaman, rohaniah dan moral?” tanya Umar Lahmi. “Tuan hanya menumpukan soalan kepada topik yang sama.” Peter membantah. “Cuba dengar. Apa yang dikatakan oleh Jesus Kristus adalah lebih baik daripada yang dikatakan oleh St Paul. Tuhan kami menyuruh kami mengikut Firman-Firman Perjanjian Lama.* ” ( *sila lihat Injil, Matius Bab 5:19 sampai Bab 10:25 )“Iaitu memperoleh keselamatan maka perlu mengikuti Perjanjian Lama juga.” kata Umar Lahmi. “Kalau sudah memang demikian keadaannya, mengapa pula tuan menimbulkan perkara penebusan dosa dengan menyalibkan ‘Putera Tuhan’? Iaitu, mengapa Penebusan Dosa Momok ini apabila Perjanjian Lama perlu diikuti? Apakah perlu mengikuti Firman-Firman Perjanjian Lama malah sesudah Kristus menebus dosa?” “Kami tidak tahu apa-apa.” jawab Peter dengan suara perlahan. “Kecuali Tuhan kami telah mengarahkan kami mengikut Perjanjian Lama. Tetapi keselamatan tidak dapat diperoleh hanya semata-mata mengikuti Perjanjian Lama tanpa ada penebusan dosa.” “Jadi, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Nuh dan lain-lain nabi itu kehilanganlah keselamatan mereka kerana jalan keselamatan mereka satu-satunya hanya dengan mengikuti hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi. “Begitu juga dengan para pengikutnya, keselamatan mereka dicabut.” sambungnya lagi. “Sebelum kedatangan Kristus, jalan keselamatan satu-satunya ialah dengan mengikuti hukum-hukum agama tetapi penebusan dosa oleh Jesus Kristus telah mengubahnya dan sekarang jalan yang ada hanyalah penebusan dosa.” jawab Peter.
UmarLahmi tersenyum mendengar jawaban Peter yang berbelit-belit itu. Dia memandang muka Isabella dan muka itu walaupun kelihatan tenang tetapi sedang tenggelam dalam satu fikiran yang membingungkan. Umar Lahmi memandang muka Peter, ditenung matanya. “Mula-mula tuan menolak apa yang sudah dikatakan oleh St Paul iaitu hukum-hukum agama bukan satu kutukan kemudian tuan menolak hukum-hukum agama sebagai dasar keselamatan. Dapatkah tuan mengemukakan kata-kata ‘wali’ yang lain untuk membuktikan bahwa ucapan St Paul ‘hukum-hukum agama itu satu kutukan’ tidak benar?”

Tiba-tiba paderi kurus yang bermuka cengkung dari sudut sebelah kiri menyampuk dengan suara yang lantang. “Tuan-tuan! Percakapan tentang hal ini adalah perbuatan murtad dan kufur. Semua yang dibincangkan berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. St Paul memang mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan dan kata-kata itu benar tetapi tuan-tuan tidak dapat memahami perkara-perkara ghaib serupa ini. Jalan keselamatan kami ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa kerana Jesus bebas daripada dosa dan ia penjelmaan Tuhan, yang kerana kesayangan dan perbuatan baiknya menderita di atas salib sebagai ganti kita semua dan memberi kita keselamatan.” “Jangan itku rasa hati dalam perselisihan persahabatan.” ujar paderi yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin. Dia duduk di sebelah kanan Peter. “Tuan sudah mulai menyangkal St Paul.” “Inilah hasil perbincangan yang tidak benar dan tidak beralasan. Tuan kini telah mula membicarakan soal ketuhanan dan penebusan dosa.” kata Umar Lahmi. “Eloklah kita selesaikan lebih dulu perbahasan mengenai hukum-hukum agama dan kutukan.” “Kami telah memberikan jawaban yang meyakinkan kepada tuan. Jadi, sekarang kami berikan masa selama delapan hari untuk tuan beristirehat. Andaikata keraguan tuan-tuan masih belum dapat dipecahkan pada masa itu, tuan-tuan boleh datang lagi kemari.” kata Peter.

Umar Lahmi tidak menghiraukan kata-kata paderi tua itu. Sebaliknya, dia bertanya, “Tuan tidak menganggap hukum-hukum agama sebagai satu kutukan dan kolega tuan pula mengatakan ia itu satu kutukan dan St Paul berada di pihat yang benar. Jadi, mana satu di antara tuan-tuan ini yang benar?” “Orang yang mengatakan hal ini tidak ada kaitannya dengan misteri agama Kristian. Jangan tuan pedulikan kata-kata mereka itu.” jawab Peter.

Umar memandang kepada Isabella. “Nah, cuba terangkan kepada saya yang mana benar di antara mereka ini dan apakah St Paul itu silap kerana mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan?” Sekali lagi, Isabella tersentak apabila Umar Lahmi memajukan pertanyaan kepadanya. “Saya datang kemari untuk mendengar perbahasan dan bukan untuk ikut campur. Tapi saya akan meminta kepada guru saya, Bapa Michael, untuk menyelesaikan masalah ini kerana beliau seorang ilmuwan yang agung dan cendekiawan pula, kerana sebagai sebahagian daripada tamu-tamu terhormat yang lain saya sendiri pun belum begitu faham tentang hal ini.” Kata-kata Isabella itu bagai petir di tengah hari. Semua orang yang hadir di dalam gereja amat terperanjat mendengarnya, lebih-lebih lagi para paderi yang duduk di meja persidangan. Mereka memandang muka Isabella dengan pandangan tajam yang berisi kehairanan. Di tempat para penonton telah timbul keributan kecil.

Melihat keadaan yang mula kacau, Michael bangun dan berkata, “Saudara-saudara, kita semua berhimpun di sini untuk mencari kebenaran dan sesungguhnya ini adalah satu tugas yang berfaedah. Tetapi untuk tujuan ini, maka perlulah kita mempunyai hati yang tulus ikhlas dan satu keinginan untuk menerima kebenaran. Masalah keimanan yang sedemikian itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang dengan usahanya sendiri tanpa pertolongan Tuhan. Oleh sebab itu, kita harus berdoa kepada Tuhan dengan setulus hati agar Dia menunjukkan kebenarn kepada kita melalui bantuan Roh Kudus dan menampakkan kepada kita segala misteri agama Kristian.” Michael terpaksa berhenti sejenak kerana dari para hadirin Kristian terdengar ucapan Amen sedarun. Kemudian dia menyambung semua. “Saudara-saudara. Apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan atau tidak adalah satu soalan titik-bengik, tidak penting. Persoalan yang sebenarnya ialah saudara-saudara Muslim kita ini tidak mengetahui tentang kepercayaan Kristian dan dasar-dasar pokoknya, sebab itulah mereka gemar berpolemik. Intisari agama kita hanya terletak pada dua kalimat, iaitu ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Seseorang yang memahami erti kedua kalimat ini maka fahamlah dia semua rahsia agama Kristian. Betapa sayangnya Tuhan kepada kita sehingga Dia mengirim putera tunggalnya bagi keselamatan kita untuk memikul semua derita manusia di dunia ini dan akhir sekali Dia telah dibunuh di atas salib sebagai penebus semua dosa kita. Oleh sebab itu saya ingin memohon kepada sahabat saya, Umar Lahmi, dan kawan-kawannya supaya membatalkan saja perbahasan yang sia-sia mengenai hukum-hukum agama dan kutukan dan memikirkan tentang keperibadian suci Tuhan Jesus kita dan penebusan dosanya yang tidak ada tolok bandingan. Marilah masuk agama Kristian.”

Umar Lahmi merasa gusar dengan ucapan Michael yang sama sekali tidak diduganya itu lalu dengan segera dia menjawab, “Kami datang kemari bukanlah kerana mahu bercakap perkara-perkara yang kosong. Kami semua ada prinsip dan kami mahu membahaskan masalah-masalah dasar. Kami telah pun menjelaskan pokok perbincangan kita di dalam surat kami dan saudari Isabella ini yang menjadi saksinya. Jadi, kalau tuan mahu membatalkan pokok persoalan awal kita itu dan mahu membincangkan entang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya, saya juga bersedia asal saja tuan tuliskan bahwa kita batalkan masalah hukum-hukum agama itu dan kita patut bincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya pula.” “Kami tidak bermaksud bahwa tuan tidak boleh bincangkan masalah-masalah itu,” kata Peter berdalih, “cuma kita patut tinggalkan isu-isu sampingan dan bincangkan masalah-masalah dasar.” Umar Lahmi mulai jengkel. “Jadi, kenapa tuan-tuan undang kami kemari? Gereja dan masjid tidak perlu diperbahaskan. Kalau tuan-tuan tidak mahu berbincang, katakanlah dengan berterus terang supaya masa kami terbuang tidak sia-sia begini.” “Tuan sudah salah faham tentang kata-kata Peter Suci. Dia tidak bermaksud kita tutup terus perbincangan ini. Dia cuma mahu menekankan bahwa pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah dasar yang dapat tuan fikirkan, tuan kemukakan kepadanya. Tapi sekarang sudah tengah hari dan tuan-tuan mungkin akan pergi makan. Bila waktu yang sebaik-baiknya tuan-tuan dapat kemari lagi?” Michael cuba membujuk.

“Sekaranglah waktu yang sebaik-baiknya.” ujar Umar Lahmi. “Tidak sesiapa yang boleh menentukan apakah kita akan mendapat kesempatan yang berfaedah seperi ini lagi.” “Tapi tuan-tuan akan menunaikan solat?” kata Michael lagi. “Kami boleh bersolat di gereja ini.” jawab Umar Lahmi. Peter lalu mencelah. “Saya fikir lebih baik kita berbincang lagi hari Ahad depan.” “Saya berpendapat perbincangan ini tidak boleh ditangguhkan terlalu lama. Mungkin kita mendapat petunjuk dari Allah.” kata Umar Lahmi. “Baiklah. Kita sambung perbincangan ini esok pada masa yang sama sampai tengah hari.” “Jika perbincangan ini mahu ditangguhkan sampai esok,” Isabella tiba-tiba ikut campur, “tidak usah diberhentikan sampai tengah hari tetapi dilanjutkan sehingga petang. Barangkali kita boleh sampai kepada sesuatu keputusan.” Michael segera menjawab, “Sama sekali tidak. Tidakkah kita ada membuat kerja-kerja lain juga?” “Saya fikir tidak ada kerja lain yang lebih penting daripada perbincangan ini.” jawab Isabella, tidak mahu kalah.

Orangramai mulai bising. Akhirnya, diadakan satu perbincangan kecil di antara para paderi dan Umar Lahmi serta sahabat-sahabatnya. Mereka membuat keputusan akan menghentikan perbincangan hari itu sampai di situ saja dan akan disambung semula esok dari pagi sampai ke tengah hari. Pertemuan yang pertama itu pun berakhir. Setelah mengucapkan terima kasih kepada semua orang-orang Kristian, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya meninggalkan gereja besar. Isabella dan para paderi lain masih tinggal sehingga semua hadirin keluar meninggalkan tempat itu, pulang ke rumah masing-masing. Setelah orang-orang lain habis keluar, paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung bangun lalu berjalan mendekati Isabella. “Amat mendukacitakan yang kamu telah memberi kesempatan kepada orang-orang kafir itu untuk mengemukakan keraguan mereka dan mengejek agama Kristian.” Belum sempat Isabella menjawab, paderi itu berjalan ke tempat Michael. “Satu-satunya cara mahu melayani orang-orang murtad itu ialah meletakkan Quran di hadapan mereka. Peter Suci telah berbuat serupa itu pada mulanya tetapi malang, mereka menggelecek keluar dan membahaskan tentang hukum-hukum agama. Kalau esok terjadi lagi yang serupa, alamat kita akan dikecewakan dengan teruk kerana mereka tanyakan ialah tentang rahsia ketuhanan yang tidak siapa pun tahu kecuali wali-wali saja.” “Sebetulnya perbincangan itu sejak awal lagi telah menyimpang ke saluran salah kalau tidak mereka telah tunduk oleh Quran mereka sendiri.” kata Michael menyampuk paderi kurus itu. “Bukankah Quran ada mengatakan yang Tuhan Jesus kita itu ‘pembawa hidup’ dan menghidupkan semula yang sudah mati? Bukankah Quran menyebutnya ‘Roh Allah’ dan ‘Kalimat Allah’? Peter kemudian berkata, “Pokok perbincangan esok hari sudah ditetapkan. Iaitu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Aku dengan licik telah memesongkan mereka ke pokok persoalan lain tetapi kau, Michael, telah membawa mereka kembali ke persoalan itu.” “Tuan jangan salahkan saya. Itu semua perbuatan tuan sendiri.” jawab Michael menangkis tuduhan paderi tua itu. “Buat apa lagi kita memuaskan nafsu dengan perbahalan sesama sendiri.” kata seorang paderi lain. “Kita tunggu esok dalam perbahasan tentang ketuhanan Jesus. Agama Kristian kita bukan seperti bubur lembutnya boleh ditelan dengan sekali teguk saja.” Dia bangun dan meminta diri. Semua paderi pun ikut meminta diri dan meninggalkan gereja. Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan membawa berbagai-bagai macam fikiran.

Isabella dan ketiga orang sahabatnya berjalan di belakan paderi-paderi itu. Dalam masa berjalan itu, dia berkata kepada sahabat-sahabatnya. “Cuba kalian lihat. Di belakang orang-orang Muslim, mereka bercakap besar bahwa orang-orang Muslim tidak akan dapat berhadapan dengan mereka. Tetapi bila duduk berhadapan, tembelang mereka terdedah semuanya. Aku sangat menyesal bapaku terpaksa meninggalkan gereja sebaik saja selesai dia memimpin sembahyang kerana dia terlalu percaya dengan kebolehan dan ilmu Bapa Michael dan Bapa Peter. Kalau tidak, dia tentu boleh tutup mulut orang-orang Muslim itu.” “Sebenarnya, masalah itu terlalu berat, apakah bapamu sanggup menghadapinya?” Salah seorang sahabatnya menyahut. Seorang lagi mencelah, “Sebenarnya, kepercayaan dan dogma kita terlalu kabur. Kalau tidak masakan paderi-paderi kita itu terpukul begitu teruk?” “Minta dijauhkan Tuhan! Baru saja sekali berbahas kamu berdua sudah mula berputus asa. Kepercayaan kita cukup teguh asasnya tetapi mesti ada seseorang yang boleh menjelaskannya. Lihat saja esok nanti. Bila ketuhanan Kristus dibahaskan betapa teruk mereka akan dihentam.”

Mereka lalu berpisah di persimpangan jalan. Masing-masing pulang ke rumahnya.

Catat Ulasan