Jumaat, 10 April 2015

HIKAYAT TAMIM AD DARI

Hikayat Tamim Habibul ad Dari

USUL KISAH BERMULA 

  Pada zaman Rasulullah SAW duduk di dalam satu majlis di masjid Madinah. Pada ketika itu ramailah dari keluarga dan para sahabat Rasulullah hadir bersama dan duduk di dalam majlis itu. Setelah itu bersabdalah Nabi s.a.w.:  

“Wahai segala sahabatku yang ada di sini, adalah seorang di antara tuan-tuan ini, ada seorang lelaki yang hidupnya dapat melihat keindahan didalam syurga dan segala yang ajaib-ajaib dibawah langit dan juga didalam bumi. Setelah itu maka nanti ia kembali pula kerumahtangganya dan bertemulah ia dengan anak dan isterinya”  

Lalu dijawab oleh segala sahabat,

“Siapakah agaknya yang beroleh kurnia ALLAH s.w.t antara kami ini? 

Maka sabda pula Rasulullah s.a.w. 

"Wahai sahabatku sekalian, tiada bolehlah aku katakan kerana tiada firman ALLAH Taala yang mengatakan siapa-siapakah ia"

  Maka disabdanya pula kepada segala sahabatnya;   "Wahai sahabatku bahawa janganlah kamu sekalian ini suka pergi ke telaga pada malam hari seorang diri. Oleh kerana pada setiap telaga itu ada penunggunya. Jin itu suka bermain-main dan membayang-bayangkan dirinya dan mintalah kamu ditemani juga pada seorang lelaki atau perempuan. Sesiapa berhajat maka pergilah dan jikalau bertemu dengan jin itu nescaya diharu-biru menjadi suatu penyakit yang paling bahaya didunia dari sekelian penyakit”.  

Kemudian berfikirlah segala sahabat masing-masing, sangka-menyangka akan diri mereka yang beroleh kurnia itu. Setelah itu segala sahabat pun bermohon diri kepada Rasulullah s.a.w.
Kemudian kembalilah mereka masing-masing ke rumah.   Setelah beberapa tahun lamanya perkara itu tiada juga seorang pun yang mendapat seperti apa yang disabdakan Nabi s.a.w. itu. Sehinggalah wafatnya baginda dan Amirulmukminin Saydina Abu Bakar menggantikan Rasulullah s.a.w. menjadi Khalifah hinggalah beberapa tahun lamanya tiadalah kedengaran juga seperti apa yang disabdakan oleh baginda itu.

Maka segala sahabat yang mendengar sabda baginda itu telah banyak yang lupa dan lalai akan pesanan Rasulullah itu. Hinggalah kepada suatu masa Amirulmukminin Saydina Umar diangkat menjadi Khalifah memegang tampuk pemerintahan Islam pada masa itu.

Maka ada seorang lelaki yang bernama Tamim Habibul Ad Dari daripada kaum Ansar iaitu orang Madinah terjadilah satu peristiwa dimana beliau hendak pergi mandi disebuah telaga. Berkatalah ia pada isterinya Siti Khaulah, "Ayuhai isteriku yang budiman, kemarilah kamu menemani aku ini. Aku hendak pergi mandi pada telaga itu pada malam ini.

" Berkatalah pula isterinya;
"Mengapakah engkau ini, bukankah engkau ini laki-laki dan meminta pula aku menemani mu?".

Maka dijawab pula Tamim; "Bukan kerana itu bahkan aku mendengar akan sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jangan sekali-kali pergi mandi pada telaga itu pada malam hari seorang diri, kerana tiap-tiap telaga itu tempat jin bermain-main, sebab itulah maka hamba minta temankan”

Kemudian dijawab pula Siti Khaulah; "memanglah penakut laki-laki ini dan lelaki apa yang penakut seperti ini". Dan banyaklah kata-katanya kepada suaminya itu dengan bersenda gurau lalu ia pun berkata, "Hai jin tangkaplah lelaki yang penakut ini".

Tamim pun pergilah ke telaga itu seorang diri maka dengan takdir ALLAH s.w.t. dilihatnya ada jin yang amat hitam rupanya serta dengan besar panjangnya sekira-kira saujana mata memandang jauhnya.   Lalu disambarlah Tamim Al-Dari itu lalu diterbangkannya sehingga sampai kepada bumi yang 4 lapis, disanalah dihantarkannya.

Tamim terlalu hairan dan menangis mengenangkan akan isterinya dan insaflah dia sebab tiada lagi mendengar suara manusia kerana tempat itu adalah negeri jin kafir yang dilaknat ALLAH. Tinggallah ia di sana beberapa tahun lamanya...  

SITI KHAULAH MENEMUI SAYDINA UMAR  

Siti Khaulah yang terlalu sedih di atas perbuatannya sendiri kerana bergurau menyuruhkan Jin Afrit melarikan suaminya iaitu Tamim Ad Dari yang dikatakan sebagai sangat penakut. Akibatnya dia terpaksa menangung penderitaan zahir dan batin sejak ketiadaan suaminya itu.

  Selama 4 bulan Siti Khaulah mengenang nasibnya yang kehilangan suami. Menghadapi segala kesulitan dan segala kesukaran. Lalu pergilah mengadu nasibnya pada Amirul Mukminin Saydina Umar Al Khattab tentang: - 

Perbelanjaan sara hidupnya dan anak-anak - Menyatakan hasrat hatinya yang ingin berkahwin lain dengan menetapkan syarat-syarat seperti lelaki bakal suaminya mestilah dari bangsanya sendiri, salih dan mengikut perintah Khalifah Umar.  

Saydina Umar RA memutuskan, kepada Siti Khaulah diberi belanja sekira-kira boleh dimakan selama 7 tahun 4 bulan 10 hari tanpa terputus belanja. Tetapi dalam soal mencari pengganti suami, Saydina Umar tidak memutuskannya, kerana ditakuti Tamim Ad Dari akan pulang. Maka disuruhnya Siti Khaulah bersabar menunggu Tamim Ad Dari pulang.  

Sampai 7 tahun, maka Siti Khaulah tidak dapat lagi menahan nafsunya, jiwanya meronta hendak bersuami. Maka datanglah Siti Khaulah mengadu akan hal dirinya hendak bersuami kepada Saydina Umar Al Khattab. Saydina Umar meminta beliau bersabar.   Maka datanglah Saydina Umar kepada anaknya Siti Habsyah isteri Rasulullah SAW bertanyakan: 

“Berapa lamakah seseorang wanita dapat bersabar dari lelaki”.
  Jawab Siti Habsyah,"selama 4 bulan”.   Selepas itu maka disuruhlah Siti Khaulah bereddah kematian suami selama 4 bulan 10 hari.

Maka dicarilah calon suami, terdapatlah seseorang lelaki dari kaum Ansar yang bernama Hadri Al Ansari. Setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan itu Siti Khaulah pun berkahwinlah dengan perbelanjaan perkahwinan diuruskan oleh Saydina Umar. Dan dinikahkan oleh Saydina Umar sendiri.

  DI BUMI ASING

Setelah dibawa oleh jin afrit maka diamlah Tamim selama 4 tahun di lapisan bumi ke 4, dipanggil langit syam. Tamim sendiri tidak menyedari bahawa perjalanan masa juga telah pun berlalu selama 4 tahun. Dalam perjalanan masa yang begitu panjang, hanya Tamim tersedar dan menjadi hairan mengapa tiada mendengar suara manusia. Rupanya itulah negeri jin kafir.   Tamim diam ditempat yang tidak diketahuinya, tidak tahu bahasa jin. Menangis dia siang dan malam kerana tidak mendengar langsung suara orang yang mengucap Kalimah dan mengenangkan Madinah.  

Dalam keadaan berfikir untuk bagaimana hendak melepaskan diri dari tempat itu, maka terdengar dia akan ada suara bersolawat, bertahmid, bertahlil dan bertakbir di satu padang yang luas. Di situ ada satu perhimpunan jin-jin Islam yang diketuai oleh Akwat Raja Jin Islam untuk Perang Sabililah dengan jin kafir.   Lalu Tamim tidak dapat bersabar lagi lalu mengucap Kalimah Syahadah. Bila sahaja terdengar sahaja Syahadah Tamim itu , lalu Akwat menyuruh hulubalangnya pergi melihat siapakah yang mengucap Syahadah itu dan bawa kepadanya orang itu?.

Maka dibawalah Tamim kehadapan Raja Jin.    Bertanyalah Raja Jin itu kepada Tamim; “Siapa tuan hamba dan dari manakah asal tuan hamba?”
Jawab Tamim dan memperkenalkan dirinya Sahabat Rasulullah SAW  dan berceritalah Tamim segala hal bagaimana beliau boleh sampai kesitu.   
Selepas mendengar atas segala khabar dari Tamim itu maka dipelihara Tamim oleh Raja Jin Islam itu demi untuk mendapat Syafaat Nabi SAW. Kemudian ditanya pula oleh Raja Jin Islam itu kepada Tamim adakah dia hafaz Al Quran dan dijawab oleh Tamim bahawa dia hafaz Quran dan dibacanya ayat daripada Al Quran Surah Al Haj ayat 1 dan 2, yang bermaksud ;

[1] “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar”

[2] Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan mengugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah mengerikan.  
Selama berada bersama-sama Tentera Jin Islam itu, Tamim mengajar beberapa doa untuk berperang.  Selama  2 hari 2 malam berperang, jin kafir tidak juga kalah. Pada hari ke 3 maka Tamim membakar semangat mereka untuk terus berperang.  

Tamim berkata; "Janganlah kamu takut walaupun tentera kafir itu banyak dan adalah kami ini pada suatu masa kami orang-orang Arab pergi berperang ke Benua Rom, adapun banyaknya tentera Rom itu 200 ribu dan pergilah kami berperang akan mereka, sabar kami serta harap kami akan Tuhan Pemilik Sekalian Alam akan menolongnya kami."   Atas takdir Allah SWT dan atas berkat Tamim maka menanglah Tentera Jin Islam. Seramai 10 ribu tentera jin kafir mati dan 10 ribu tentera ditawan. Raja jin kafir ditaskil/dicadang masuk Islam tetapi ditolak dan sebaliknya membuat perjanjian membayar ufti setiap tahun.

  Di Negeri Jin Islam 14 orang anak Raja Jin Islam diserahkan kepada Tamim untuk belajar Ilmu Islam dan membaca Al Quran. Selama 3 tahun 10 hari maka hafazlah mereka membaca dan mendalami Quran.  

Ingatan Tamim tetap teringat kepada suasana Madinah. Tamim tidak dapat menahan rasa rindunya lagi. Tamim bermohon kepada Raja Jin Islam agar dapat mengantar dia balik ke Madinah. Walaupun dalam keadaan Raja Jin dan seluruh rakyat jin Islam kasih kepada Tamim dan berat rasanya untuk melepaskan Tamim untuk kembali ke Madinah. Dalam pada itu, maka Raja Jin memerintah Jin Sahirah untuk menghantar Tamim balik ke Madinah. Raja Jin mengajarkan kepada Tamim beberapa doa dan mengigatkan, sepanjang perjalanan Tamim nanti dipenuhi temasya temasya yang mengasyikkan maka jangan lalai dari berdoa.  

Selepas itu diperintahlah Jin Sahirah menerbangkan Tamim dalam keadaan mata tertutup agar tidak melihat temasya – temasya ajaib yang menakjubkan dibawah langit dan agar tidak melupakan doa yang diajar oleh Raja Jin Islam.  

TETAMU YANG TIDAK DIUNDANG

Tamim diterbangkan oleh Jin Sahirah dan beliau tidak putus – putus berdoa. Akhirnya sampailah Tamim ke kaki langit. Pada ketika itu, kaki langit kelihatan bercahaya seperti bintang dan kedengaran suara malaikat bertakbir, bertasbih, bertahmid dan bertahlil.   Tamim membuka matanya dari tutupan, Tamim melihat bintang – bintang dilangit seperti bukit besar serta dengan keindahan Allah SWT. Dia merasa hairan dan kagum.   Tamim terlalai dari doanya. Maka terlepaslah Tamim dari belakang jin dan terjatuh kebawah. Apabila tersedar dari kesilapan, Tamim segera insaf dan memohon ampun dan harap kepada Allah SWT.

Dengan izin Allah, Tamim jatuh dalam keadaan seperti diletakkan dan tidak terhempas di lautan air hijau. Tamim pun berenang dalam keadaan lapar dan dahaga, terdamparlah Tamim di sebuah pulau.   Tidak ada satu apa pun disitu, lalu menangis dan menyesallah Tamim. Tamim membayangkan, alangkah baiknya kalau dia duduk di negeri jin. Tidak sengsara seperti di pulau ini. Lalu dia bersyair dan merayu semahu – mahunya.

Tiba – tiba terdengarlah Tamim suara seseorang. "Hai hamba Allah SWT, engkau mengenangkan untung nasib pekerjaan yang susah didalamnya, tetapi di belakang hari engkau akan memperolehi kesusahan yang lebih dari ini"   Apabila terdengar suara itu, senang dan suka hatinya dan berharap agar Allah SWT melepaskannya dari penderitaan.

Lalu berjalanlah Tamim sehingga terjumpa seorang buta sebelah matanya. Mulutnya besar seperti bukit dan seperti belalai gajah rupanya.   Disekeliling orang buta itu ada beberapa orang yang tidak dikenal pasti rupa mereka. Tamim berhenti, mendengar dan melihat kelakuan mereka. Orang buta sebelah mata itu berkata kepada orang yang disekelilingnya; 
“Hai tuan – tuan bagaimanakah pekerjaan tuan – tuan pada hari ini". Lalu dipandang pada salah seorang.
Maka jawablah orang yang di pandang orang buta itu.

1.  Syaitan 1 - Hari ini hamba menyukakan orang yang membunuh orang. >> Iblis – menjadi marah kepadanya  

2. Syaitan 2 - Hari ini hamba mencegah orang bersembahyang >> Iblis – menjadi marah kepadanya  

3.  Syaitan 3 – Hari ini hamba mengoda orang melakukan zina >> Iblis – menjadi marah kepadanya  

4.  Syaitan 4 – Hari ini hamba mencerai beraikan suami isteri 3 kali >> Iblis – Bila mendengar ucapan itu maka menjadi suka hatilah iblis dengan perbuatan itu.
Maka bergembiralah Iblis dan berpestalah mereka meraikannya.  

Selepas itu beredarlah Tamim dari tempat iblis dan syaitan itu, sambil berdoa kepada Allah. Selama 2 hari 2 malam berjalan, tiba – tiba datanglah seperti manusia rupanya.dan bertanya kepada Tamim. Siapakah dia dan bagaimanakah Tamim boleh sampai ke pulau ini. Sedangkan pulau ini adalah tempat iblis dan syaitan mendiaminya. Tidak ada makhluk lain yang berani mendiami pulau ini.  

Lalu Tamim membacakan Ayatul Kursi. Tamim bertanyakan kepada orang itu: Siapakah orang buta sebelah mata dan mulutnya seperti belalai gajah itu? Orang itu memberitahu Tamim itulah iblis ibubapa syaitan. Bala tenteranya sentiasa membuat fitnah dan angkara kepada manusia. Yang kesukaan syaitan adalah mencerai beraikan suami isteri di kalangan manusia.  

KISAH TAMIM BERSAMA DABBATUL ARD(PENJAGA DAJJAL)

Maka dalam perjalanan Tamim dalam keadaan lapar, dahaga dan keletihan maka ia meminta doa pada ALLAH SWTsupaya ditemukan dengan anak isterinya.   Dalam perjalanan ini bertemulah dengan seekor binatang yang berupa dengan segala rupa binatang. Pada tubuh binatang itu lengkap dengan rupa segala binatang . Maka terkejutlah Tamim melihat rupa binatang itu.

Bila binatang itu melihat kepada Tamim maka berkatalah binatang itu; " Orang manakah engkau ini?". 
Maka dijawab Tamim;
" Aku orang Arab."
Kemudian berkata pula binatang itu; " Hai orang Arab masuklah engkau ke dalam gua aku ini kerana ada orang teringin sangat hendak bertemu dengan kamu kerana kamu orang Arab."

Sebelum Tamim masuk kedalam gua itu, maka berkata Tamim Ad Dari kepada binatang itu;
 " Hai hamba ALLAH, berkata benarlah tuan hamba kepada hamba kerana ALLAH SWT, siapa tuan hamba ini?"  

Maka berkatalah binatang itu, "Hamba ini ialah binatang(Dabbatul Ard) yang akan dikeluarkan pada kemudian hari, keluar di antara Safa dan Marwah dan hambalah yang akan membeza antara Islam dan Kafir. Hamba akan tandakan, yang Islam dengan tanda Islam, adapun yang kafir hamba tandakan dengan kafir"  

Setelah mendapat jawaban, Tamim bertanya lagi kepada Dabbatul Ard, “siapakah yang mahu bertemu dengan hamba?”. Maka Dabbatul Ard  pun menjawab,"Dajjal, dialah yang akan keluar di Akhir Zaman di antara Safa dan Marwah”   Dabbatul Ard terus menjelaskan,”Dan dajjal itu jugalah yang akan membezakan antara Islam dan kafir . Kerana siapa yang Islam akan ditanda dengan Islam, yang kafir akan ditanda dengan kafir"  

(TAMBAHAN) Dinyatakan bahawa Dajjal dilahirkan 200 tahun sebelum kelahiran nabi Musa as

Surah Thaha; Ayat 95:
Herdikan Musa as terhadap Samiri:

Berkata Musa:

“ Apakah yang mendorongmu (berbuat demikian) hai Samiri?”.

Ayat 96: Samiri menjawab:
“ Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam dari jejak rasul[i]) lalu aku melemparkannya dan demikianlah nafsuku memujukku”  

Dajjal Pernah Wujud Pada Zaman Baginda NABI MUHAMMAD SAW;

Diriwayatkan Nabi SAW  dan 4  orang sahabat telah berjalan di sebuah lorong, maka mereka terpandang seorang laki-laki sedang mencekak pinggang sambil memandang ke arah mereka sehingga melahirkan api yang bernyala-nyala di matanya.

Lalu bertanyalah salah seorang sahabat Nabi SAW;
“Siapakah gerangan lelaki berkenaan.”  
Maka Nabi SAW menjawab : “ Itulah Dajjal”.

 Setelah mendengar Sabda Nabi SAW maka salah seorang sahabat yang berada disitu iaitu Sayidina Umar Al Khattab mengeluar pedangnya untuk memancung kepala Dajjal itu.
Tetapi ditegah  oleh Nabi SAW dan bersabda; “Jangan , Dajjal itu Program untuk ummatku diakhir zaman.”  

Namun Saydina Umar AlKhattab mengikut Dajjal dan menunggu Dajjal disebuah lorong. Apabila Dajjal lalu disitu dan hampir, maka di tamparnya dajjal  sehingga terkeluar  sebiji mata dajjal menjadi buta. Dajjal berlari sambil meraung raung.  

Untuk mengelakkan Dajjal berbuat perkara yang tidak diingini pada zaman itu, maka ALLAH S.W.T memerintahkan Malaikat Jibrail as menangkap dan mengikat Dajjal dan diletakkan disebuah pulau yang jauh dari manusia dan malaikat Jibrail as diperintahkan oleh ALLAH S.W.T untuk mengawasi Dajjal itu.  

Soalan Dajjal Kepada Tamim:

Dajjal - Kamu berasal dari mana dan orang mana ?

Tamim - Orang Arab dari Kaum Ansar Madinah .

Dajjal - Muhammad masih hidup atau sudah wafat ?

Tamim - Rasulullah SAW telah wafat.

Dajjal - Siapa pengganti Muhammad?

Tamim - Abu Bakar As Siddiq, pada masanya Agama Islam tidak berubah walaupun sedikit.(Pilu dan sedih bila dajjal mendengar jawaban itu, serta merta keadaannya berubah mengecil dan menangis)

Dajjal - Adakah Abu Bakar masih hidup?

Tamim - Beliau sudah wafat

Dajjal - Siapa pengganti Abu Bakar?

Tamim - Umar Al Khattab, beliau memerintah dengan tegas mengikut hukum syarak (Bila mendengar nama Umar Al Khattab maka menjadi gementar,seluruh tubuh,sendi dan tulangnya. Menangis dajjal sekuat – kuatnya)

Tamim - Mengapa begitu sekali keadaan kamu dan menangis ?

Dajjal - Aku takut kepada Umar Al Khattab, kerana bahana tamparannya sebelah mata aku menjadi buta.

PETANDA DAJJAL DIBEBASKAN DAN KELUAR UNTUK BERMAHARAJALELA

Tamim - Bilakah masanya kamu akan keluar?

Dajjal   - Aku akan keluar apabila ada perempuan bebas menunggang kuda

Dajjal     - Adakah dikalangan Sahabat selepas wafat Rasulullah SAW berkelahi sesama sendiri?

Tamim - Tidak ada dikalangan Sahabat yang berkelahi sesama sendiri  (Lalu Tamim meludah pada dahi dajjal dan menyuruhnya diam. Tamim mengucapkan Kalimah Tayyibah (LailahaillahMuhammadaRasulullah) maka serta merta badan dajjal mengecil seperti daun kayu dan kerdil tidak kelihatan.

Dajjal – Adakah ada dikalangan umat Muhammad SAW membuat dosa besar seperti membunuh orang yang tidak bersalah, berzina, fitnah, makan riba, ambil harta anak yatim, saksi dusta, tinggal solat dan tidak keluarkan zakat?

Tamim – Ada, sesetengah orang melakukan demikian.

Bila terdengar jawaban Tamim itu maka berkata dajjal; 
“maka sudah dekat masanya untuk aku keluar dari penjara pulau ini”

Maka bertempik gembira Dajjal sehingga 7 petala bumi dapat mendengar suara dajjal itu. Dan dapat didengari oleh malaikat, maka datanglah malaikat dengan tongkat besi panas yang menyala –nyala lalu dipalunya dajjal maka diamlah dajjal dan mengecil seperti sedia kala.

Setelah bertemu dengan Dajjal maka Tamim pun beredarlah dari gua tempat Dajjal itu. Dan meneruskan perjalanannya dengan keadaan yang lapar dan dahaga. Maka sampailah Tamim ke suatu pulau.

  KISAH TAMIM DENGAN SAUDAGAR

Bertemulah dia dengan seseorang dan dilihatnya ada sebuah kapal di situ dan bertanyalah dia kepada orang itu, dari manakah kapal tersebut. Maka dijawab oleh orang itu bahawasanya kapal itu dari Benua Hindi dan ia juga dari Benua Hindi.  

Lalu ditanyakan orang itu kepada Tamim:
“Dari mana datang Tuan Hamba hingga sampai ke pulau.”
Dalam keadaan yang amat sedih Tamim memberitahu:
“Bahawasa beliau telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT yang Maha Menentukan Takdir dan tiadalah seorang pun yang menanggung seksa yang amat besar lagi menyakitkan yang tidak pernah dirasai oleh segala hamba ALLAH.”

  Dengan kesedihan yang amat sangat dan tidak dapat lagi mengawal perasaan, Tamim menangis. Kemudian Tamim memohon simpati dari orang itu agar dapat menumpang  kapal itu untuk balik ke negeri beliau. Apabila dilihatnya kelakuan Tamim yang amat menyedihkan, lalu ditumpangkan Tamim menaiki kapal itu.

  KISAH TAMIM DENGAN PULAU WANITA

Setelah beberapa lama berlayar maka datanglah ribut taufan yang amat keras sehingga membinasakan kapal dan segala orang yang ada didalamnya. Yang tinggal, hanyalah Tamim seorang diri. Berenanglah Tamim hingga sampai ke sebuah pulau di mana penghuni semua terdiri dari kaum wanita.
Maka berjalanlah Tamim didalam keadaan lapar, dahaga dan keletihan sehingga tertidur seperti tidak sedarkan diri. Setelah terjaga, Tamim kembali meneruskan perjalanan selama 3 hari 3 malam hinggalah masuk hari yang ke 4 sampailah ke suatu tempat perhentian.

KISAH TAMIM DI NEGERI ORANG YANG BERLAPIS-LAPIS, BANYAKNYA (YAKJUJ DAN MAKJUJ)

Berhentilah dia sebentar dalam keadaan lapar, dahaga dan keletihan kemudian disambung pula keesokkan harinya sehingga bertemulah Tamim dengan sebuah negeri orang yang berlapis-lapis banyaknya. Selama 7 hari dan 7 malam, Tamim dinegeri itu dalam keadaan lapar, dahaga dan keletihan.
“Tamim sendiri tidak tahu akan bahasa percakapan orang di dalam negeri itu”

ULASAN :

Seperti yang Allah ceritakan didalam Surah Kahfi  Ayat 93,94. Dalam Perjalanan Raja Iskandar Zulqarnain;
“Hingga apabila dia telah sampai diantara 2 buah gunung, dia mendapati di hadapan ke2-2 bukit itu ada suatu kaum yang hampir tidak dimengerti pembicaraan mereka.

Mereka berkata: “Hai Zulqarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj itu orang-orang yang membuat kerosakkan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu supaya kamu membuat dinding di antara kami dengan mereka?”

Setelah itu berjalan lagi Tamim  5 hari 5 malam dan bertemu pula dengan sebuah negeri yang ke5, terlalu besar dan orangnya sama seperti negeri yang ditinggal tadi.

Dan dia pun berjalan lagi sehingga bertemu pula dengan sebuah negeri yang ke6. Setelah itu berjalan lagi dia sehinggalah bertemu dengan negeri yang ke7 dan dalam keadaan lapar, dahaga dan keletihan.

Maka terkenanglah dia akan Rasulullah SAW dan rindu dendamnya pada anak dan isterinya dan teringatlah juga akan Amirul Mukminin Umar RA.

KISAH TAMIM DENGAN JIN AFRIT MENGAMBIL CINCIN DAN MAHKOTA RAJA NABI ALLAH SULAIMAN AS

Bila berada di negeri ke7, Tamim bertemu dengan jin afrit yang berjanji dengan dia hendak mengambil cincin dan mahkota Raja Nabi Allah Sulaiman AS hendak diberikannya kepada Tamim supaya boleh menjadi Raja 4 Penjuru Alam. Jin Afrit itu sangat besar.

Jin afrit itu bertanya kepada Tamim; Bagaimana Tamim boleh sampai ke tempat itu. Lalu diceritakanlah oleh Tamim, beliau adalah sahabat Rasulullah SAW. serta diceritakan dari awal perjalanannya.

Setelah mendengar kisah itu amat kasihan,  jin Afrit terhadap Tamim dan memintanya untuk tunggu seketika, dia hendak pulang ke rumah. Jin afrit itu membawa segala jenis makanan kepada Tamim. Dengan penuh sukacita maka Tamim makanlah kerana tiada ia pernah melihat makanan seperti yag dimakannya itu. Tamim makanlah dengan tidak ada persangkaan apa-apa terhadap jin afrit itu. Tetapi rupanya jin afrit ada sesuatu niat disebalik kebaikan itu.

Setelah Tamim makan dan minum, maka dikeluarkan oleh jin afrit itu segenggam peluru dan diberi kepada Tamim dan segenggam lagi untuknya. Maka berkata jin afrit itu kepada Tamim dan diterangkan cara-cara menggunakan peluru itu. Kata jin afrit, sekiranya Tamim melihat dia mati maka hendaklah dilemparkan peluru itu kepadanya agar dapat dia hidup semula.

  Selepas itu jin afrit pun menghempaskan dirinya ke tanah dan berguling-guling lalu menjadi seekor unggas yang sangat indah dan meminta agar Tamim bergayut pada kakinya dan berpesan sekiranya Tamim terlepas dari pegangan itu maka akan matilah Tamim lalu terbanglah mereka merentasi 7 lautan. Maka dengan takdir Allah SWT, sampailah mereka kepada suatu pulau yang amat besar.

Berjalanlah mereka sehingga terjumpa sebuah rumah yang amat elok perbuatannya. 7 lapis dari emas dan 7 lapis dari perak dan amat ajaib pemandangannya. Pintunya 7 lapis,  pintu per1 dibuat dari emas dan pintu yang ke2 dari perak yang amat putih dan pintu yang ke3 dari suasa dan pintu yang ke4 dari emas dan baiduri dan pintu yang ke5 dari kaca yang hijau dan pintu yang ke6 dari manikam dan pintu yang ke7 dari fairus. Demikianlah perbuatan pintu gua itu dan dihampiri pintu lalu dilontar peluru oleh  jin afrit dari satu pintu ke satu pintu sehingga terbukalah pintu yang ke-7. Setelah terbuka akan pintu ke7 maka masuklah mereka.

Dilihatnya ada sebuah rumah yang amat indah rupanya, atap dari kaca yang merah dan dinding dari kaca yang biru dan tiang dari emas 10 mutu. Dan dilihat pula di dalam rumah itu ada sebuah kota keemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan baiduri berumbai-umbai mutiara dan 7 lapis tirai khatifah yang beremas-emasan di atasnya. Maka dilihat di dalam tirai itu ada seseorang tidur diatas peraduannya, terlalu amat elok rupanya yang maha indah-indah, gilang-gemilang cahaya wajahnya seperti bulan purnama 15 hari bulan.

Demikianlah rupanya dan ada 1 cincin dijarinya daripada emas 10 mutu dan mata cincin itu 4 bentuk. 1 dari zamrud dan ke2 daripada intan, ke3 daripada baiduri dan ke4 dari mutu manikam cahaya gilang-gemilang. Maka tatkala siang adalah kurang sedikit terangnya. Rumah dan kotanya umpama kandil seperti pelita terangnya. Demikianlah cahaya cincin itu. Di kaki orang yang tidur itu ada seekor ular hitam dan pada kepalanya pula ada lagi seekor ular putih.

Keadaan seperti menunggu dan mengawal orang itu tidur. Apabila hendak diambil cincin itu oleh jin afrit maka dipatuk oleh ular putih. Lalu matilah jin afrit itu. Demi dilihat oleh Tamim, jin afrit itu mati, lalu dilontar satu peluru kepada jin afrit maka hiduplah semula jin afrit itu. Kemudian jin afrit cuba hendak mengambil lagi cincin itu, maka dipatuk pula oleh ular yang hitam. Matilah jin afrit kali ke2.

Bila Tamim melihat , jin afrit itu mati maka Tamim hendak melontar peluru itu kepada afrit tetapi dihalang oleh suara ular hitam. Berkatalah ular hitam itu kepada Tamim; 
“Hai Hamba ALLAH, jikalau engkau bukan sahabat Nabi saw sudah tentu engkau akan mati seperti afrit itu. Oleh itu janganlah engkau lontar lagi dan biarlah ia mati”.

Tamim pun terdiam lalu bertanya kepada ular hitam; “Siapakah tuan sebenarnya sehingga boleh dia berada di situ”.
Lalu di jawab oleh ular hitam;  “Bahawasa kami ini adalah malaikat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT agar menunggu Raja Nabi Allah Sulaiman itu. Maka didoakan Raja Nabi Allah Sulaiman kepada ALLAH SWT agar tidak ada seorang pun yang akan dapat cincin itu dan beroleh kebesaran sepertinya dan diperkenankan pula oleh ALLAH SWT dan sebab itulah mereka dititahkan Allah SWT menunggu akan Raja Nabi Allah Sulaiman dan menjaga cincin itu sehingga datang hari Kiamat”.

Maka bertanyalah akan Tamim; Dari mana mereka tahu yang dia adalah umat Muhammad SAW. Berkatalah ular hitam kepada Tamim bahawa sesungguhnya Para Malaikat mengetahui segala yang tersurat di dalam Luh Mahfuz dan tiada sesiapa dari hamba ALLAH Taala yang sampai ke tempat itu melainkan 2 orang iaitu Tamim dan jin afrit itu.

Kemudian disuruh Tamim mengambil peluru tersebut dan keluar dari situ. Malaikat itu menyuruh Tamim agar membaling peluru tersebut untuk membuka pintu gua yang tertutup seperti yang telah dilakukan oleh jin afrit tadi.  Setelah terbuka segala pintu itu maka Tamim pun keluar dari gua. Tamim berfikir tentang kebesaran ALLAH SWT. Tamim meneruskan perjalanan dengan keadaan lapar dan dahaga. 2 hari 2 malam sehinggalah sampai kepada hari yang ke3.

Dalam perjalanan, Tamim dapat melihat satu mahligai di tengah padang yang terlalu indah akan pembuatannya.  

KISAH TAMIM DENGAN WANITA DARI PULAU ANDALUS

Di dalam mahligai itu terdapat seorang wanita, terlalu elok rupa parasnya bak bulan purnama. Kemudian wanita itu memanggil Tamim Ad Dari datang kepadanya. Terkejutlah Tamim mendengar dan pergilah ia menghampirinya. Tamim pun bertanyakan wanita itu, bagaimana dia tahu namanya dan tempat asalnya. Maka dijawab oleh perempuan itu bahawa beliau melihat di dalam kitab beliau. Bahawasa tiada seorang pun yang dapat datang ketempatnya melainkan orangnya yang bernama Tamim Habibul Ad Dari dari Benua Madinah dan dari kaum Ansar.

Kemudian wanita itu bertanya tentang jin afrit yang bersama Tamim. Di jawab oleh Tamim bahawa jin afrit itu telah mati dipatuk ular dalam gua Nabi Allah Sulaiman as.. Wanita itu memberitahu Tamim perihal jin afrit itu. Bahawa nama jin afrit itu yang sebenar adalah “Berhash” dan dia adalah Raja Jin yang derhaka terhadap Nabi Allah Sulaiman as.

Selepas itu Tamim bercerita perihal dari mula sampailah ia boleh bertemu dengan wanita itu. Maka selepas itu wanita itu bercerita pula perihal dirinya. Dia asalnya dari Pulau Andalus. Tatkala beliau di dalam kandungan ibunya datanglah Jin Afrit yang telah mati itu ke maghrib(timur) negeri Pulau Andalus dan disambar ibunya yang tengah mengandungkannya dan diletakkan diatas kapal Raja Jin Afrit itu. Terlalu lama disitu sehingga  ibunya melahirkan dia.

Sekarang Raja Jin itu telah mati dan sentosalah hidupnya kini. Tamim bertanya pula tentang ibu wanita itu. Katanya, ibunya telah mati. Kemudian wanita itu membawa Tamim ke tempat kubur ibunya. Setelah sampai, Tamim melihat ada suatu loh diatas kepala kubur itu dan tersurat didalam loh  itu suatu syair. Setelah dibacanya syair itu maka menangis kedua mereka yang amat sangat sehinggalah ke2-2nya pengsan.

Setelah terjaga dari pengsan itu maka Tamim meminta bantuan wanita itu, untuk dihantarkan beliau balik ke negerinya. Berkatalah perempuan itu kepada Tamim dengan izin ALLAH SWT dan berkat Syafaat Khatimul Nabi SAW, wanita itu akan menyuruh jin afrit menghantar Tamim kembali ke negerinya Madinah. Setelah itu berserulah wanita itu dengan suara yang nyaring. Seketika itulah juga datanglah jin afrit datang sepantas kilat kepada wanita itu.

Demikianlah perilaku jin afrit itu, ia datang dengan keadaan besar, panjangnya seperti sepohon kayu yang tinggi.

Dengan Firman ALLAH SWT maka berkatalah wanita itu kepada jin afrit itu; 
“tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi padaku”. Berkatalah pula wanita itu kepada Tamim bahawa inilah saudaranya dan ialah yang akan menghantar Tamim dan jin ini adalah anak kepada jin afrit yang telah mati, yang bersama Tamim di dalam gua Raja Nabi Allah Sulaiman.

Kemudian wanita itu  menyuruh jin afrit menghantarkan akan Sahabat Nabi SAW ini ke negeri Madinah. Wanita itu bertanya kepada jin afrit, berapakah jauh perjalanan untuk sampai ke negeri Madianh. Maka jawab jin itu bahawa jauh negeri Madinah itu kira-kira 400 tahun perjalanan dari tempat itu.   Wanita itu bertanya lagi, berapa lamakah masa yang perlu diambil oleh jin afrit itu untuk sampai ke negeri Madinah. Jawab jin itu, masanya adalah dengan izin Allah Taala iaitu dalam 4 saat maka sampailah ke negeri Madinah itu. Maka kata perempuan itu semoga jin itu mendapat Syafaat dari Baginda Rasulullah SAW pada hari kiamat kelak.

Kemudian jin itu pun menyuruh Tamim, Sahabat Rasulullah SAW itu naik diatas bahunya dan Tamim pun naiklah dan terbanglah. Diketika itu juga sampailah kepada laut yang besar, tempat dimana kapal yang pecah ditumpang Tamim tatkala ribut taufan. Maka di situ jugalah dibuang Tamim oleh jin afrit itu dan jatuhlah Tamim di dalam laut yang amat dalam.

KISAH TAMIM DENGAN UNGGAS NABI ISHAK AS

Setelah dirasa dirinya jatuh ke dalam laut itu, maka berenanglah ia hingga sampai ke suatu pulau yang berada di tengah-tengah laut itu. Naiklah ia ke pulau itu dan dengan takdir Allah SWT datanglah seekor unggas. Sangat indah rupanya dan berbagai2 pula warnanya, bulunya terdiri daripada merah, kuning, hijau, putih dan hitam yang berbagai-bagai yang indah-indah.

Maka unggas itu mendatangi kepada Tamim lantas berkata; “Hai hamba Allah Taala minumlah air yang dibawa oleh hamba ini.”
Setelah di dengar kata dari unggas itu maka minumlah dengan segera air yang keluar dari perut unggas tersebut. Air yang lazat itu membuatkan Tamim terhenti kerana terlalu nikmat rasanya lagi amat harum baunya daripada ambar dan kesturi. Setelah hilang sudah lelahnya maka dengan takdir Allah SWT maka lemahlah sekalian tulang dan sendinya. Berkatalah unggas itu,” Hai Tamim tatkala engkau diterbangkan oleh jin itu maka seluruh anggotamu menjadi lemah  kerana ia terbang terlalu amat keras terlebih kuat daripada orang yang dijadikan oleh Allah Taala di dalam dunia dan pantasnya terlebih daripada kilat.”

Maka dijawab Tamim pula, “Sesungguhnya benar seperti kata tuan hamba itu, terlalulah sangat lemah tubuh badan hamba kerana terbang itu terlalu pantas dan lagi sebab kerana lapar dan dahaganya hamba”.
Kemudian Tamim bertanya, “Siapa tuan hamba yang dititahkan Allah SWT mendapatkan hamba disini. Berkata benarlah tuan hamba kepada hamba, mengapa maka tuan hamba memdiami kepada tempat ini. Ada apa ‘ambalan’ tuan hamba di sini.”
Maka jawab unggas itu; “Nabi Allah Ishak as. Menyuruh hamba diam disini dan menunggu pulau ini dan menunjukkan jalan bagi hamba Allah sekalian yang sesat. Itulah sebab hamba diam di sini hingga sekarang. Hai Tamim berjalanlah tuan hamba dari sini dan jangan lagi tuan hamba di sini. Berjalanlah Insya Allah Taala, tuan hamba akan bertemu seorang laki-laki yang amat elok rupanya, berbaju hijau dan tengkolok pun hijau ialah akan dapat menunjukkan tuan hamba jalan yang betul.”

KISAH TAMIM DENGAN SEORANG MUDA (NABI ALIAS AS)

Setelah itu, Tamim pun berjalan selama 3 hari 3 malam dan sampailah kepada sebuah sungai yang amat indah rupa dan ditepi sepanjang sungai itu ada, pohon delima belaka . Kemudian dilihatnya, ada pula sebuah masjid dan ada seorang muda terlalu elok rupa dan terlalu manis wajahnya. Keadaannya berbaju hijau dan bertengkolok hijau. Orang muda terlihat Tamim yang berjalan diluar masjid, maka diseru oleh orang muda itu seraya berkata;
“Marilah engkau ke mari hai Tamim ibnu Habibul Ad Dari supaya dapatlah berkata-kata kepada hamba di sini.”

Apabila di dengar akan Tamim akan seruan pemuda itu maka ia pun masuklah ke dalam masjid mendapatkan orang muda itu. Berkatalah pemuda itu; “Hai Tamim terlalu ajaib khabar tuan hamba ini dan terlalu jauh sekali perjalanan tuan ini, tiada pernah sekali-kali hamba Allah sampai kepada tempat ini.”. Diberinya buah delima yang masak itu dan disambut oleh Tamim lalu dimakannya.

Setelah sudah ia makan buah delima itu maka kata Tamim; “Demi Tuhan yang menjadikan Sekalian Alam, tidak pernah hamba rasai buah delima ini dan terlebih nikmat rasanya akan dia”. Serta Tamim berkata, “Hai orang muda tunjukkan apalah akan hamba jalan yang betul kerana hamba hendak pulang ke Benua Madinah.”

Maka jawab oleh orang muda itu; “Hai Tamim ibn Habibul Ad Dari, perjalanan tuan hamba dari sini akan terlebih ajaib dan terlebih indah-indah, terlebih indah-indah pula dari yang dahulu itu. Maka bersegeralah tuan hamba berjalan dan tuan hamba akan bertemu hamba yang akan menunjukkan jalan yang betul itu.”

KISAH TAMIM DENGAN KEADAAN SYURGA

Maka berjalanlah Tamim dengan lapar dan dahaga serta ia bertawakkal kepada Allah Taala. Dengan takdir Allah Taala bertemulah ia dengan sebuah negeri yang terlalu indah lagi elok perbuatannya dan terlalu ajaib pula negeri itu. Sekaliannya dari emas 10 mutu belaka dan pada keliling negeri itu daripada baiduri dan berumbai-umbaikan mutiara dan bersadurkan dengan perak yang maha putih. Demikianlah rupanya dan pintunya negeri itu daripada emas 10 mutu bersadurkan manikam yang merah dan pintunya itu tertutup dan tersurat di atas pintunya itu kalimah, “La ila ha ill Allah Muhammad Rasul Allah”, maka itulah kunci pintu itu.

Maka berjalanlah Tamim menghampiri pintu negeri itu, maka dilihatnya pula di atas pintu itu tersurat demikian bunyinya, “Barangsiapa hendak masuk ke dalam negeri ini, maka bacalah ia kalimah “La ila ha ill Allah Muhammad Rasul Allah” yang tersurat kepada pintu itu.” Maka terbukalah dengan sendirinya asbab dibaca oleh Tamim kalimah itu dan masuklah Tamim ke dalam negeri itu dan dilihatnya akan rupa negeri itu terlalu indah-indah dan ajaib-ajaib sekali akan tanahnya daripada ‘yakkut’ dan batunya pusparagam dan pasirnya daripada emas 10 mutu berumbai-umbaikan mutiara dan berapa ribu batang pintunya di dalamnya segalanya itu daripada emas bertatakan ratna mutu manikam dan pusparagam. Dan berapa tabirnya itu berlapis-lapis dewanga khatifah yang beremasan dan kainnya daripada sandos wastabrok dan baldu yang beremasan tergantung di atas pintu itu sekaliannya.

KISAH TAMIM DENGAN SYURGA ORANG YANG MATI SYAHID

Maka dilihatnya oleh Tamim akan kebesaran Allah SWT  yang demikian itu takjublah dan hairanlah ia akan kekayaan Allah SWT yang tiada pernah dilihatnya oleh orang muda, itulah yang dilihatnya, lalu berjalanlah ia ke dalam negeri itu.

Dilihatnya orang muda-muda dan orang tua-tua duduk bersandar kepada dinding memegang pedang yang terhunus dan berlumur dengan darah sekaliannya. Dan bahawa darah itu yang terlalu harum daripada khelembang dan ambar dan kesturi dan gaharu maka ia pun memberi salam kepada orang itu dan disahutlah akan mereka.

Disitu ada beberapa sungai berisi nikmat belaka. Suatu sungai itu tanahnya daripada kapur barus dan pasirnya daripada nilam pualam dan airnya daripada susu.
Dan lagi suatu sungai itu demikian itu juga tanahnya daripada ambar dan batunya daripada mutiara dan pasirnya daripada emas 10 mutu dan airnya daripada madu yang amat lazat rasanya.
Maka ada sebuah lagi sungainya demikian juga besarnya akan tanahnya sungai itu daripada kesturi dan pasirnya daripada nilam pualam tampaknya daripada narwastu yang amat harum baunya dan airnya daripada air manis.
Dan pada sebuah sungai itu demikian juga besarnya dan tanahnya dari emas 10 mutu juga dan pasirnya daripada lukluk dan marjan, tempat daripada ‘jakafar’ dan airnya manis.

 Maka demikianlah dilihat oleh Tamim akan perbuatan sungai itu yang terlalu ajaib belaka dan airnya pun lazat rasanya. Maka dia pun minumlah air itu. Demikianlah nikmat sekalian belaka seraya ia tawaduk akan Tuhannya yang sebenar.

Setelah sudah merasai nikmat maka ia pun berjalanlah ke tengah-tengah negeri itu dan dilihatnya pula pada tiap-tiap kota itu banyak segala wanita, anak dara-dara duduk di dalam kota yang berkeemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan berumbai-umbai akan mutiara sekaliannya dan lagi gilang gemilang cahaya mukanya terlebih daripada cahaya bulan dan matahari. Maka tiada dapat di tentang dengan nyata dan kepada tubuhnya beberapa pakaian daripada emas dan perak dan lagi daripada beberapa jenis permata dan intan yang tiada terhisabkan lagi akan banyaknya demi seorang kepada seorang.

Demikian juga mereka itu memakai pakaian yang indah-indah daripada sandos wastabrok dan mereka itu memakai kain yang indah dan lagi makanan yang amat lazat rasanya itu dan beberapa minuman daripada ‘syariban thahuro’ itu sekaliannya ada belaka.

Setelah berapa lamanya berjalan maka ia pun berhentilah kepada suatu tempat sambil makan minum, merasalah akan nikmat dan minumannya itu yang mana dikehendaki. Setelah sampailah 3 hari 3 malam di dalam negeri itu maka ia pun berjalanlah ke sana ke mari membawa dirinya daripada kesusahan seraya berfikirlah di dalam hatinya; “Jikalau demikian ini,baiklah aku diam di dalam negeri ini yang terlalu banyak makanannya di dalam negeri ini.”.

Bila Tamim merasa segala nikmat di dalam negeri itu dan membayangkan untuk tinggal disitu maka tiba-tiba datang dua orang berkuda. Adalah kaki kudanya itu putih dan kepalanya pun putih juga. Maka 2 orang itupun berkata kepada wanita yang duduk di atas kota itu, “Hai segala anak-anak bidadari yang ada di dalam syurga ini. Engkau katakanlah kepada segala orang yang mati syahid akan pembalasan kepada Orang Beriman yang berperang Sabilillah supaya dilihat oleh Tamim ibnu Habibul Ad Dari ini”. 

Maka kata Bidadari Syurga itu; 

“Hai Tamim, khabarkanlah kepada segala Mukminin di dalam dunia maka inilah akan bahagian segala hamba Allah yang mati syahid itu.”.

“Demikianlah ia sangat dimuliakan oleh Allah Taala dan dilebihkan Allah Taala pahala kepada segala orang yang mati syahid . Maka berkhabarlah kepada mukminin untuk  berperang Sabilillah”.

“Demikianlah engkau lihat hai Tamim adapun orang yang mati syahid itu sangatlah ia dimuliakan oleh Allah Taala maka kata orang itu. Hai Tamim ibnu Habibul Ad Dari keluarlah engkau dari sini.”

Maka disahut Tamim ibnu Habibul Ad Dari; “Tiada hamba mahu keluar lagi kerana hamba hendak diam di dalam negeri ini kerana banyaklah nikmatnya di dalam negeri ini.” 

Maka berkatalah orang yang berkuda itu; “Hai Tamim, tiada boleh orang yang hidup berada didalam negeri ini melainkan apabila dia telah mati. Hai Tamim segeralah engkau keluar dari dalam negeri ini kerana tubuhmu itu diharamkan Allah Taala dari api neraka. Syurga ini jugalah tempat engkau nanti.”

Tamim berkata; “Sedangkan Nabi Allah Idris as itu betapa perinya maka ia masuk syurga dengan hidupnya itu dan akan hamba pun demikian juga kehendak hamba kerana tiada pernah hamba mendengar orang yang masuk syurga keluar dari syurga”

KISAH NABI ALLAH IDRIS MENDAPAT BALASAN SYURGA

Maka kata malaikat kedua itu; “Hai Tamim adapun Hikayat Nabi Idris itu ia masuk syurga, demikian hikayatnya pada suatu hari ia berdoa kepada Allah Taala akan syurga. Dengan seketika itu juga maka diperolehi akan permintaan itu dari Allah Taala itu, maka ia pergi ke dalam syurga itu dibawanya oleh Jibril. Maka ia pun duduk di dalam syurga”

Setelah saat ia berjalan itu maka berkata Nabi Allah Idris as; “Hai taulanku akan hamba punya kaus itu sudah tertinggal didalam syurga tadi”. Setelah itu maka balik kembali untuk mengambil akan kausnya itu. Setelah itu ia masuk ke dalam syurga maka dinantikan oleh Izrail belum juga ia keluar. Maka diseru oleh Izrail akan dia maka tiadalah mahu keluar lagi. Setelah itu maka Izrail itu pun kembali menghadap ke hadrat Allah Taala demikian sembahnya;
“Ya Illahi Ya Rabbi Ya Mauli Ya Tuhanku, Engkau jua yang terlebih tahu akan hal ehwal kekasih-Mu Nabi Allah Idris itu. Tiada mahu ia keluar dari dalam syurga itu.”

 Maka Firman Allah SWT; “Hai Izrail, tiadakah engkau tahu dan ketahui ia, Aku juga yang mengetahui dia. Adapun kekasih-Ku, biarlah ia duduk di dalam syurga itu”.  

“Demikianlah Hikayat Nabi Idris as wahai Tamim, maka segeralah engkau keluar dari dalam syurga itu. Janganlah banyak permintaanmu kerana engkau seorang hamba Allah Ya Khalik namanya dan lagi sempurna engkau menjunjungi kurnia titah Tuhanmu yang sedia selama-lamanya.”

PESANAN MALAIKAT JIBRIL AS KEPADA TAMIM

Kemudian Tamim ibnu Habibul Ad Dari pergi kepada orang yang berkuda itu, “Hai hamba Allah, betapa perinya hamba hendak pulang ke negeri hamba.” 
Hai hamba Allah Tamim, jalanlah engkau dari sini dan janganlah engkau takut lagi, insyaAllah Taala maka segeralah engkau sampai ke negerimu. Hai Tamim jikalau tuan hamba sampai ke negeri tuan hamba itu, maka hendaklah hamba khabarkan yang hak sebenarnya seperti mana-mana tuan hamba melihat itu”
“Maka tuan hamba khabarlah kepada mereka, mudah-mudahan dengan kurniaan Allah Taala semoga mereka mahu tunduk takut kepada Allah Taala dan menjauhi  segala laranganNya. Maka inilah balasan dan anugerah oleh Allah Taala atasnya”

WARTA TENTANG BERLAKUNYA KIAMAT

“Hai Tamim khabarkanlah tuan hamba, kerana perkhabaran tuan hamba itu terlalu ajaib untuk didengar oleh segala Mukminin:

"Khabarkanlah, bahawasanya kiamat akan berlaku pada hari Jumaat”

Maka Tamim Ad Dari pun keluar dari dalam syurga dalam keadaan berat hati. Lalu berjalan, sambil menjunjung tangan ke2-2 ke atas kepala. Dengan keadaan dukacita. Setelah itu Tamim meneruskan perjalanan 3 hari 3 malam, sambil makan, minum dan melihat segala kenikmatan yang ada dalam syurga itu maka sampailah ia kepada pintu negeri itu maka mengucap Tamim; 
‘La Ila ha ill Allah Muhammad Rasul Allah’ maka terbukalah pintu itu dengan sendirinya. Maka Tamim pun keluarlah dari dalam syurga kesenangan itu.

KISAH TAMIM DENGAN KHAZANAH HARTA KARUN

Tamim meneruskan perjalanannya, 3 hari 3 malam, dalam berjalan itu, dia melihat ada satu cahaya yang amat gilang gemilang. Cahaya itu seperti kendil yang amat terang. Itulah  rupanya maka berkata-kata Tamim didalam hatinya; “Inilah rumah orang bertapa bermasak-masak nasi. Inilah apinya yang kelihatan itu betullah cahaya itu”.

 Terus Tamim berjalan kesana. Setelah hampir, kepada cahaya itu maka Tamim ternampak  ada sebuah gua dari batu yang hijau dan terlalu bersih rupanya. Lalu ia pun masuk ke dalam gua itu.  

Setelah sampailah ia ke dalamnya, maka dilihatnya beberapa kota yang keemasan di dalamnya dan lengkap dengan perhiasannya dan segala hamparan kota itu dari safsakhlat-ain bertatah yang merah dan yang putih daripada baldu dan khatifah dewangga yang berkeemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan berumbai-umbaikan mutiara dan beberapa lagi benda yang ajaib-ajaib di sanalah ada dan lagi beberapa permata yang ajaib-ajaib di dalamnya, umpama jikalau dari masyrik dan ke maghrib 10 ken sekalipun tiada pada harganya itu. Kepada sesebuah negeri pun demikianlah harganya itu.

Maka Tamim pun berfikir; “Inilah untungnya hamba ditakdirkan Allah Taala akan hamba-Nya sampai ke tempat ini. Inilah bahagian untuk membawa pulang ke rumah hamba”. Hamba akan mengambil permata dan pasparkam sekaliannya. Hamba akan mengambil belaka sekira-kira yang terlarat dibawa untuk hamba ambil dan hamba akan bungkus sekaliannya itu kemas-kemas semuanya.”

Setelah semua benda itu diambil oleh Tamim, tiba-tiba datang seekor ular yang terlalu hitam dan terlalu besar rupanya, matanya merah seperti api. Maka dengan takdir Allah Taala Tuhan Robbil Alamin, maka ular itu berkata-kata; “Hai Tamim ibnu Habibul Ad Dari, buangkan olehmu akan segala benda yang engkau ambil itu dan segala permata yang ajaib-ajaib itu jangan engkau bawa ke mana-mana.”

Maka kata Tamim; “Tiada aku mahu membuangkan benda ini kerana aku hendak membawa pulang ke negeri aku.”
"Tiada engkau mahu membuangkan segala benda itu?”.
Maka dijawab oleh Tamim; “Tiada mahu aku membuangkan dia itu”.  

Maka dipalunya oleh ular itu dengan ekornya maka terkena pada betis Tamim lalu pengsan tiada khabarkan dirinya. Maka ular itu hendak membunuh Tamim tapi dengan takdir Allah Taala dengan seketika itu juga maka datang seorang orang muda yang terlalu baik paras dan elok rupanya datang menyelamatkan Tamim. Dan dia berkata kepada Tamim; “Hai Tamim, buangkanlah olehmu akan benda itu yang engkau ambil sekaliannya dan mengucap oleh mu ayatul Qursi supaya dilepaskan Allah Taal engkau daripada bahaya yang amat besar itu.” 

Maka Tamim membuang segala benda yang dibawanya dan membaca Ayatul Qursi. Apabila dibaca maka dia pun tersedar dari pengsan itu.

KISAH TAMIM DENGAN ORANG MUDA(NABI ALLAH KHIDDIR AS)

Selepas peristiwa itu, Tamim berjalan lagi selama 20 hari 20 malam. Tamim berjalan dengan ketiadaan makan dan minum maka menangislah ia teringat akan makam Rasulullah SAW. Teringat dia kepada negerinya dan rindu dendam dia kepada anak isterinya. Maka bercucuranlah air matanya seperti mutiara yang berhamburan dari karangannya demikianlah keadaan Tamim selama-lamanya. Setelah selesai menangis, Tamim berjalan hinggalah bertemu dengan seorang muda terlalu baik rupa paras dan amat manis wajahnya, pakaiannya berwarna putih dan tepi pakaian itu semuanya hijau.

Orang Muda melihat Tamim, berjalan di tengah padang maka dipanggil Tamim supaya datang kepadanya dan dia kata; “Hai Tamim, marilah tuan hamba ke mari, terlalu sekali banyak yang ajaib-ajaib, seraya boleh bercerita akan halnya segala yang dilihat dan segala yang dirasa daripada permulaan hingga kesudahannya.”

Maka kata orang itu; “Hai Tamim ibnu Habibul Ad Dari, sukakah tuan hamba melihat termasya kekayaan Allah Taala yang tiada pernah dilihat oleh tuan hamba. Pergilah tuan hamba ke balik bukit yang maha tinggi itu  supaya tuan hamba melihat kekayaan Allah Taala. Di sanalah kemudian jikalau sudah tuan hamba melihat dia maka kembalilah kepada hamba di sini. Kemudian hamba akan memberi penjelasannya kepada tuan, segala  apa yang tuan lihat akan sekelian itu.”
Maka jawab Tamim itu; “baiklah”.

Maka dia pun berjalan dekat bukit itu. Setelah beberapa lama berjalan maka sampailah ke balik bukit itu. Dan dilihatnya suatu padang yang maha luas dan yang amat putih rupanya dan licinnya terlebih licin dari cermin. Berjalanlah Tamim di dalam padang yang amat luas itu serta dengan hairan dia melihat padang itu terlalu ramai sekali orang dan elok rupa parasnya. Terlalu amat ajaib dia melihat kebesaran Allah SWT.

Di dalam berjalan itu dia melihat ada seekor anjing yang bunting dan menyalak2 anaknya di dalam perutnya. Dilihat oleh Tamim akan kebesaran Allah Taala maka dia menjadi hairan akan dirinya serta mengucap tahlil dan tahmid keatas Kekuasaan Tuhan Pemilik Sekelian Alam.  Maka berkata anjing itu; “Hai Tamim, janganlah engkau taksub sangat melihat aku ini, segeralah engkau berjalan dari sini. Ada lagi engkau lihat di hadapanmu itu yang terlebih ajaib daripada aku.”

KISAH TAMIM DENGAN WANITA TUA (DUNIA)

Maka Tamim pun berjalanlah pula ke sana. Setelah beberapa lama berjalan maka bertemulah dia dengan seorang perempuan terlalu tua dan  elok rupa serta dengan pakaian yang lengkap keatas tubuhnya itu dari emas 10 mutu dan tangannya penuh dengan gelang dan segala anak jarinya penuh dengan cincin. Bajunya dari bunga api dan kain pun demikian juga. Tapi keadaan wanita itu menangis dengan tangisan yang amat sangat, dia berkata; “Wah celaka aku, badanku, wah! Malangnya aku dan umur aku hampir luput dan hampir binasa.”

Demikianlah halnya perempuan itu, itulah apa yang dilihat oleh Tamim tentang kelakuan perempuan itu. Setelah itu maka dia terlalu hairan akan hal wanita itu sambil berjalan di hadapan perempuan itu.

KISAH TAMIM DENGAN  LELAKI PENCEDUK AIR TELAGA

Setelah berapa lama dia berjalan maka Tamim pun bertemu dengan seorang laki-laki mengambil air pada sebuah telaga. Maka dituangnya kepada pasu yang becor dan segala air yang diambil itu habis dan  kembali semula kedalam telaga itu. Beberapa lama dilihat, orang itu tetap demikian juga keadaan.
Tamim lalu berkata kepada orang itu; “Hai hamba Allah, mengapa engkau tuangkan air kedalam pasu yang bocor. Tidakkah engkau nampak, air itu habis masuk ke dalam telaga itu semula. Jika tidak engkau baiki pasu yang bocor itu, sampai hari kiamat pun tiada akan berisi air pasu itu.”  

Maka jawab oleh orang yang mengambil air itu; “Hai Tamim, apahal engkau pedulikan aku ini, buatlah kerjamu sendiri, pergilah engkau dari sini”. Maka Tamim pun berjalanlah dari situ dengan penuh hairan melihat yang demikian itu.

KISAH TAMIM DENGAN  LELAKI PENANGGUNG POKOK KURMA

Berjalan pula Tamim dan  bertemu pula dengan seorang laki-laki penanggung pohon kurma yang besar serta dibawanya berjalan ke sana sini dengan tiada rasa untuk berhenti untuk seketika.
Maka Tamim menghampiri orang itu dan berkata; “Hai hamba Allah, gilakah engkau ini, maka engkau menanggung pohon kayu yang amat besar itu. Jikalau engkau lontarkan pohon kayu itu ke bumi, bukankah baik dan senang.” 

Maka jawab orang itu; £“Apa engkau pedulikan aku, kerjamu itu  jaga baik-baik,  jangan pedulikan aku. Pergilah engkau dari sini.” Maka Tamim Ad Dari pun meninggalkan tempat itu, sambil berfikir segala apa yang dilihat itu selama dia meninggalkan Benua Madinah. Setelah sampai ketempat dia bertemu dengan orang yang memanggilnya tadi. Dia pergi bertemu orang itu dan berhentilah dia di sana. Orang itu ialah Nabi Khiddir as.€

KISAH TAMIM DENGAN NABI ALLAH KHIDDIR AS (KESIMPULAN)

Maka Sabda Nabi Allah Khidir as; “Hai Tamim ibn Habibul Dari, banyak sekali yang ajaib-ajaib yang tuan hamba lihat di balik bukit itu tadi, maka ceritalah segala apa yang dilihat itu kepada hamba. Duduklah engkau di sini hai Tamim.”
Maka Tamim pun duduklah, lalu bercerita tentang kebesaran Allah Taala Khalaqul Alam. Apa yang telah dilihat dan tentang lama sudah dia meninggalkan negerinya, tentang dirinya diambil oleh Raja Jin Islam, dan sekaliannya. Maka habis diceritakan dari mula hingga akhir.

 Setelah didengar oleh Nabi Allah Khidir, diapun berkata; ”Hai Tamim, cintakah engkau akan anak isteri engkau?”. 
Maka jawab Tamim; “Sesungguhnya hamba cintakan mereka itu lalu ia pun bersyairlah, seperti yang sudah-sudah serta menangis dengan tangis yang maha sangat seraya syair demikian bunyinya kalimah yang bermaksud: “Kataku suatu perkataan rindu dendamku kepadamu dan engkau kembali juga kepadamu wahai kekasihku dan jikalau mati aku maka bahawa sesungguhnya mati seperti dagang maka sejahteralah Tamim hai isteriku.”

 Tamim menangis dengan tangisan yang amat sangat, tersedu-sedu dan Tamim pun berkata; “Jikalau tiada lagi di dalam dunia akan pertemuan hamba, insyaAllah Taala di dalam akhirat juga dipertemukan Allah Taala dengan anak isteri hamba”. 

Maka tertawalah Nabi Allah Khidir sebab mendengar syair dari Tamim itu dan menaruh belas kasihan pula hatinya mendengar syair Tamim Ad Dari. Kerana tidak ada seorang hamba Allah pun yang merasai seperti Tamim pada masa itu.  

Lalu Nabi Allah Khidir bersabda; “Hai Tamim jauh sekali negerimu dari sini, perjalanannya melalui beberapa bukit yang tinggi-tinggi, melalui pula beberapa laut yang dalam-dalam, melalui pula beberapa sungai yang jauh-jauh, melalui pula beberapa padang yang luas-luas dan melalui pula beberapa hutan yang besar-besar. Dan jikalau dikira-kira akan perjalanan jauhnya itu maka demikianlah jauhnya negerimu itu, Hai Tamim”.

Maka jawab Tamim; “Maka apalah daya hamba lagi kerana sudah dengan kehendak Tuhan Seru Sekalian Alam akan hamba ini. Dimanakah dapat disalahi lagi jikalau tiadalah dipertemukan dengan anak isteri hamba di dalam dunia ini, melainkan di dalam akhirat jugalah hamba bertemu dengan anak isteri hamba.”.
Maka berlinang-linang dan bercucuranlah air mata Tamim seperti mutiara yang terhambur daripada karangannya. Demikianlah perlakuan Tamim.  

JAWABAN DARI SEGALA KISAH PERJALANAN TAMIM

Maka bersabda Nabi Allah Khidir itu; “Hai Tamim ibnu Habibul Ad Dari, adakah engkau tahu siapa jin yang menyambar engkau dari Madinah itu?”; “Wallahua’alam, tiada hamba tahu.”. 

Maka sabda Nabi Allah itu; “Hai Tamim ketahui oleh mu yang mengambil engkau itu dialah yang bernama jin Afrit, dia beragama Majusi. Dan adakah engkau tahu tempat yang engkau dibawa kesana?” .

Maka disahut oleh Tamim itu; “Tiada hamba tahu.”  

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu; “Hai Tamim adapun tempat itu ialah di bawah bumi lapisan yang ke4 dan itulah negeri raja kafir Majusi namanya”. 

Dan bersabda Nabi Allah Khidir itu; “Adakah engkau tahu raja jin yang mengambil engkau itu dan engkau ajarkan anaknya mengaji Quran dan disuruhnya hantarkan engkau ke Benua Madinah oleh jin yang bernama ‘Sahirah’ itu?” 

Wallahua’alam tiada hamba tahu.”  

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim, ketahui olehmu itulah raja jin yang Mukminin yang bernama Raja Akwat maka tiada lain kerjanya, hanyalah ia berperang sabilullah juga selama-lamanya. Maka yang menghantarkan engkau itu Sahirah, namanya”. 

Maka berkata pula Nabi Allah Khidir; “Adakah engkau tahu orang yang bertapa di dalam gua, seorang diri itu?”

”Tiadalah hamba tahu akan dia itu”. 

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Ketahui olehmu hai Tamim, itulah bapa Nasrani yang memegang wasiat Nabi Allah Isa as yang bernama ‘Kersah’.  

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim adakah engkau tahu, siapa pemilik kapal yang rosak itu dan engkau pun berserta di dalam kapal itu. Maka sekalian mereka yang ada di dalam kapal itu habis mati dan hanya engkau seorang jua diselamatkan Allah Taala?

Wallahua’alam sekali-kali tiada hamba tahu.”. 

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim, ketahui olehmu, itulah kapal Raja Benua Hindi yang tidak memberi hak anak Adam yakni zakat. Ertinya itulah balasan Allah Taala kepada dia, dibinasakan dia dan kapalnya itu.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu lagi; Hai Tamim adakah engkau tahu akan segala perempuan yang banyak didalam pulau itu dan engkau bertemu dengan dia, baharu sekali?  Maka diam engkau kepada pulau itu dan bertemu engkau dengan perempuan dusta dipulau itu.”. 

Maka jawab Tamim; “Wallahua’alam, sekali-kali hamba tiada dapat tahu akan dia.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim mereka itu ialah orang yang makan orang, membuat aniaya, ghaplah dan kepadamu Allah Taala beri anugerah dengan dilepaskan engkau daripada mereka.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir as; “Hai Tamim tahukah engkau negeri yang engkau masuk didalamnya itu ada beberapa jenis nikmat dan minuman yang amat lazat citarasanya dan sungai itu airnya manis dan ada airnya daripada susuWallahua’alam, tiada hamba tahu.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim, ketahui olehmu itulah yang bernama syurga dan orang yang bersandar memegang pedang yang terhunus itu dan berlumur dengan darah itu adalah orang yang mati Perang Sabil. Itulah  orang yang mati syahid namanya.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu; “Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau tahu akan halnya orang yang berkuda itu dan kepala kudanya itu putih keduanya dan kakinya pun putih keduanya. Dan dia menyuruh engkau keluar dari syurga itu.

Sekali-kali tiada hamba tahu akan dia.”

 Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Itulah Jibril as”

Maka sabda Nabi Allah Khidir; “Hai Tamim, adakah engkau tahu akan unggas Nabi Allah Ishak Alaihis Salam yang bernama “yang ertinya aku yang menunjuk kepada segala hamba Allah daripada jalan yang sesat kepada jalan yang betul?”

Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim, adakah engkau tahu akan negeri yang engkau masuk. Keadaan orangnya berlapis-lapis dinegeri itu, orangnya yang dinegeri itu yang telah disebut di dalam Quran seratus ribu atau lebih?”. 

Maka Jawab oleh Tamim, “Wallahuaklam, tiada hamba tahu akan negerinya itu, apa namanya”.

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu itulah kaum Yunus a.s. yang seperti firman Allah Taala di dalam Qur’an, demikian bunyinya, “Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya seperti Kaum Yunus itu? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka hingga sampai hari kiamat”; (Surah Yunus 98)
Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir as itu, “Hai Tamim adakah engkau tahu akan orang yang sebelah matanya itu buta dan mulutnya seperti belalai gajah dan di kelilingi oleh orang yang banyak itu?”

 Wallahua’alam, tiada hamba tahu akan dia itu.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Ketahuilah olehmu itulah Iblis alaihi laknatullah neneknya, segala syaitan yang banyak itu tenteranya.”

 Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim adakah engkau tahu binatang yang di dalam pulau itu yang dilengkapi Allah Taala akan dia segala rupa binatang yang di dalam dunia. Ada kepadanya itu yang maha indah-indah rupanya dan tingginya tiada terhingga lagi. Dan dia menunjukkan kepada engkau kepada sebuah gua maka disuruhnya engkau masuk ke dalam gua itu?”. 

Maka jawab Tamim, “Wallahua’alam, bahawa tiada sekali-kali hamba tahu akan dia itu, apa ia?”   

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim ketahui olehmu itulah “Dabbatul Ardi” yang dikeluarkan Allah pada akhir zaman seperti firman Allah di dalam Qur’anTelah kami keluarkan Dabbatul Ardi diakhir zaman dari bumi yakni diantara Safa dan Marwah dan pada mereka itu akan ada tanda. Islam ada tanda Islam dan kafir ada tanda kafir. Ini sesungguhya akan benar berlaku kepada seluruh manusia ketika itu” Kata Nabi Allah Khiddir, “Apakah dengan firman Allah Taala ini, apakah mereka sekalian itu tidak yakin lagi, hai Tamim”

 CATATAN:
“Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata(Dabbatul Ardi) dari bumi, dia yang akan mengatakan kepada manusia, bahwa sesungguhnya kamu dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.(Surah An Naml 82)

Dababatul Ardi ini adalah Malaikat yang Allah ciptakan sebagai Pengiring Dajjal. Dan keluarnya Dabbatul Ardi ini berserta dengan keluarnya Dajjal diantara Safa dan Marwah. Peranan Dabbatul Ardi adalah sebagai Pengiring dan Penanda, siapakah yang beriman dan siapakah yang kafir. Oleh itu ujian samaada Iman atau Kafir ialah melalui Dajjal.

Maka sabda Nabi Allah Khidir pula, “Adakah engkau tahu akan seorang buta matanya, yang duduk didalam gua seorang dirinya, tiada siapa kawannya. Adapun keadaan dia dalam gua itu, ia dirantai pada batang leher hingga kekaki dan dia bertanya kepada engkau akan agama Islam dan Kerajaan Benua Madinah daripada masa Nabi Muhammad s.a.w. sampai kepada zaman Amirulmukminin Abu Bakar. Kemudian kepada zaman Amirulmukminin Umar r.a. Kerajaannya didalam Benua Madinah sekarang ini.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Ketahui olehmu itulah Dajjal alaihi laknat” Kata Nabi Allah Khiddir lagi, “Allah akan keluarkannya diakhir zaman. Keadaannya ialah membawa syurga di sebelah kanan dan neraka dari sebelah kiri.

Padahal yang disebelah kiri itulah sebenar syurga dan disebelah kanan itulah sebenarnya neraka dan dialah yang banyak membinasakan umat Muhammad SAW. Maka akan datang Nabi Allah Isa as membunuh dia.

Kata bumi, “Ya Rabbi” maka diikatlah kaki dajjal oleh bumi”

Maka bersabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim adakah engkau tahu, bumi yang di belakang bukit itu yang maha tinggi bagai kapas dipusar tanahnya. Demikianlah rupa dan licinnya itu terlebih daripada cermin dan berbagai-bagai perbuatannya hamba Allah di dalamnya dan licinnya?”.

 Maka jawab Tamim, “Sekali-kali tiada hamba tahu akan bumi itu, yang sekalian di dalamnya itu pun tiada hamba tahu”. 

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim ketahui olehmu itulah yang bernama ‘’ didalam Quran yang bererti Padang Yaumil Mahsyar yang akan datang selepas kiamat.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim adakah engkau tahu anjing bunting yang menyalak-nyalak anaknya yang didalam perutnya itu?”.

Maka jawab Tamim Ad Dari,  “Wallahua’alam, tiada hamba tahu sekali akan hikmat Allah Taala yang demikian itu.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu,“Ketahui olehmu adapun anjing yang menyalak anaknya yang didalam perutnya itu iaitulah dajal alaihi laknat. Dan dajal akan dilepaskan dari penjara dan rantainya dan dikeluarkan Allah SWT apabila sampai masanya.”

Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir itu, “Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau tahu akan hamba Allah yang mengisi air didalam pasu yang bocor itu, maka kembali air itu masuk kedalam telaga itu semula.”. 

Maka jawab Tamim, “Tidak hamba tahu sekali-kali didalam alam Allah s.w.t. ini, apa yang berlakulah atas hamba ini”. 

Maka sabdanya Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim, ketahui olehmu orang itu ialah orang yang makan harta haram dan makan faedah atau dan makan bunga (Makan Riba). Itulah yang balasan keatasnya.”

Maka sabdanya Nabi Allah Khidir a.s., “Hai Tamim adalah engkau tahu orang yang menanggung pohon kayu kurma sedikit tiada ia berhenti hingga ia berjalan juga ke sana ke mari sampai hari kiamat jumaat, demikian juga.” 

Wallahua’alam, sekali-kali tiada hamba tahu kekayaan Allah Taala akan dia itu.”. 

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim, ketahui olehmu orang itu ialah orang yang menanggung amanat seorang hamba Allah tetapi tiada dia sampaikan amanah itu kepada pemiliknya. Maka tertambatlah atas batang leher dan hidungnya sekalian harta orang itu, maka itulah balasan Allah Taala kepada dia sampai . Demikian jugalah keadaannya apabila dimasyar.”

Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim tahukah olehmu, akan seorang perempuan tua dan terlalu banyak pakaian ditubuhnya dan penuh dengan gelang pada tangannya dan cincin pada jarinya daripada emas 10 mutu. Padahal keadaannya perempuan itu menangis yang terlalu sangat menepuk-nepuk dadanya meragas-ragas rambutnya dan menampar-nampar kepalanya seraya ia berkata, “Wah! Celakalah aku, wah! Malangnya aku, tiada rupanya lanjut umurku lagi.” 

Maka jawab oleh Tamim, “Wallahua’alam, suatu pun tiada kebesaran Allah Taala yang hamba ketahui itu dan apa-apa ia itu.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, “Hai Tamim ketahui olehmu, itulah perumpaan umur dunia. Dia meratap kerana mengenangkan umurnya akan habis dan tidak berapa lama lagi kiamat akan datang, sebab itulah maka ia menangis juga kerana sayang akan tubuhnya itu akan dibinasakan Allah Taala”.

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Adakah engkau ketahui akan orang yang bertengkolok hijau, terlalu elok rupanya dan sangat manis mukanya dan berkata-kata kepadamu. Adakah engkau kenal jikalau ada lagi orang itu yang menunjuk akan jalan yang betul itu.”

Maka kata Tamim, “Tiada hamba tahu siapa hamba Allah itu.”.

Maka sabda Nabi Allah Khidir,“Ketahui olehmu hai Tamim ibn Habibul Dari, itulah Nabi Allah Alias as, dia itulah saudaraku.”

Maka Tamim pun berfikirlah di dalam hatinya sebab siapa juga hamba Allah ini maka sekalian yang aku rasai semuanya diketahui, suatu pun tiada lagi bersalahan. Seraya ia berkata, “Hai hamba Allah Taala siapa tuan hamba ini maka dapat tuan hamba mengetahui dan mengatakan segala yang hamba rasai itu.”.

 Maka lalu bersabda Nabi Allah Khidir itu, “Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu akulah Nabi Allah Khidir.”

Maka berkata Tamim itu, “Ya Nabi Allah, siapa punya gua yang hamba masuki di dalamnya itu berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah di dalamnya, berbagai - bagai jenis daripada intan baiduri dan ratna mutu manikam dan berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah itu di dalamnya dan daripada warnanya yang amat  gilang-gemilang cahaya daripada putih dan yang merah maka adalah hamba ambil daripada segala benda itu. Maka tiba-tiba datang seekor ular dan dipalunya akan hamba dengan ekornya sekira-kira hampir akan mati hamba olehnya”.

“Maka datang seorang orang muda itu terlalu sekali elok rupanya dan amat manis warna mukanya. Maka oleh orang muda itu dilindungkan oleh ular itu dan siapa itu ya Nabi Allah dan disuruhnya hamba mengucap dan membaca ayatul Qursi?”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, “Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu adapun gua itu pemilik perbendaharaan ialah raja jin kafir, Sufian anaknya Alainah berperang dengan Nabi Allah Sulaiman as. Maka murkalah Nabi Allah Sulaiman as. kepada raja itu. Maka raja itupun dirantai oleh Nabi Allah Sulaiman as. Dan ular yang memukul tuan itu adalah jin Bani Afrit daripada lasykar raja itu, yang disuruhnya mengawal gua dan Orang Muda ini ialah Malaikat Penjaga, tiadalah yang menyelamat tuan kepada bahaya ular itu. Dia jugalah yang akan melepaskan daripada seksa kubur. Dia jugalah yang menyuruh tuan Mengucap dan Membaca Ayatul Qursi itu. Ketahui olehmu hai Tamim Ad Dari.”

Maka kata Tamim, “Ya Nabi Allah Khidir, bagaimana hal keadaannya hamba hendak pulang ke negeri Benua Madinatul Munawwarat itu. Jikalau kiranya dengan ajaran tuan hamba maka tuan hamba pohonkan kepada Allah s.w.t. Apalah kiranya supaya hamba bertemu dengan anak isteri hamba.”

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Hai Tamim Ad Dari, baiklah.”

Maka bertanya pula Tamim kepada Nabi Allah Khidir, “Berapa lamanya tuan hamba bertemu dengan Nabi Allah Alias a.s. di dalam satu tahun?”

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, “Akan aku ini bertemu dengan saudaraku di Bukit Arfah sekali dalam setahun, ketika subuh. Dan tatkala aku bercerai dengan dia itu maka keduanya pun membaca kalimah ini. Dan Barang siapa menyebut-nyebut kalimah ini akan dilepaskan Allah Taala daripada bahaya dunia dan daripada kejahatan sekaliannya”

DOA PERPISAHAN NABI ALLAH KHIDDIR AS DAN NABI ALIAS AS

“ Dengan nama Allah, sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada yang dapat mendatangkan sesuatu kebaikan kecuali Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada yang dapat menolak sesuatu kejahatan kecuali Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki oleh Allah, setiap nikmat itu adalah dari Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan Allah”

Nabi Allah Khidir berkata, “Hai Tamim, diamlah engkau di sini dahulu supaya aku pergi mencari orang yang dapat mengantarkan engkau pulang ke negerimu.”.  

Maka jawab Tamim, “Baiklah, hamba menunggu kedatangan tuan hamba di sini.”. 

Maka sabda Nabi Allah Khidir, “Baiklah hai Tamim.” Maka Tamim pun diamlah di situ 3 hari dan 3 malam.

KISAH TAMIM KEMBALI KE BENUA MADINAH

Catatan :

Tamim melalui Perjalanan dan Pengembaraan pertama selama hampir 7 tahun 5 bulan. Ini berpandukan dari kisah isterinya Siti Khaulah menemui Saydina Umar Al Khattab, Pemerintah Islam ketika itu. Setelah Majlis Pernikahan Siti Khaulah dengan Hadri Al Ansari dihadapan segala khalayak itu, maka ia pun kembalilah kerumah sebagai suami-isteri.

Maka hari pun telah maghrib dan Hadri pun terus bersembahyang pada waktu itu. Maka dengan takdir Allah SWT atas Hadri, hambanya itu usahkan disentuh Siti Khaulah, malah berkata-kata pun belum lagi.

Maka antara waktu Isyak itu pun tibalah Tamim Habibul Dari ke rumahnya mendapatkan anak isterinya. Tamim dihantarkan oleh 'Awan' yang disuruh oleh Nabi Allah Khidir.

Belum pun sempat Siti Khaulah melayari malam pertama perkahwinannya bersama Hadri tiba-tiba Tamim al-Dari muncul kembali.

Pernikahan itu dinikahkan oleh Saydina Umar r.a. Maka berlakulah pertengkaran diantara mereka ber3. Masing-masing mahu memperjuangkan hak mereka lantas akhirnya disyorkan untuk berjumpa Saydina Umar Al Khatab untuk mendapatkan nasehat dan pandangan. Sayangnya Saydina Umar sendiri tidak dapat meleraikan kebuntuan itu pada ketika itu dan jalan terakhirnya ialah mendapatkan nasehat daripada Saydina Ali r.a.

Maka Saidina Ali berjaya meredakan kekecohan ini kerana pernah suatu ketika Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. menceritakan peristiwa Tamim Ad Dari kepadanya. Untuk mengenal pasti bahawa Tamim Ad Dari benar-benar masih hidup, maka tanda-tanda yang ada dibadan Tamim Ad Dari iaitu sopak sebesar satu dirham mesti dilihat terlebih dahulu dan ternyata tanda-tanda itu memang ada ditubuhnya.  

Lalu Tamim Ad Dari menceritakan kedudukannya yang sebenar iaitu bagaimana dia dilarikan oleh jin kafir,berperang dengan makhluk itu,kemudian dipermuliakan oleh Raja Jin Islam dan atas budi baik Raja Jin Islam ini beliau cuba diterbangkan balik ke Madinah dengan pertolongan Jin kafir ( tawanan perang.)

wakafsedekah.com/3324

Catat Ulasan