Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-27

Kedatangan Islam ke Melaka

Maka dayang-dayang pun pergi memberitahu Bendahara. Maka Bendahara pun segera datang, lalu masuk ke dalam istana. Maka dilihat Bendahara raja tiada berhenti-henti daripada me­nyebut "La ilaha i'l Allah. Muhammad-ar-rasulullah." Maka kata Bendahara, "Bahasa mana yang disebut raja ini?" Titah raja, "Semalam beta mimpi berpandangan dengan keelokan hadrat junjungan, Rasulullah salla 'llahu 'alaihi wa salam. Maka segala mimpi baginda itu semuanya dikatakannya pada Ben­dahara. Maka kata Bendahara, "Jikalau benar mimpi raja itu apa alamatnya?" Maka titah Raja Kecil Besar, "Alamatnya kalam beta seperti dikhatankan orang, itulah tanda sah Hamba bertemu dengan Rasulullah salla 'llahu 'alaihi wa salam: dan sabda Rasulullah pada Hamba, Asar sekarang datang sebuah kapal dari Jeddah, turun orangnya di pantai Melaka itu sem­bahyang; hendaklah turut olehmu barang katanya."

Maka Bendahara pun hairanlah melihat kalam baginda seperti di­khatankan orang. Maka kata Bendahara, ''Jikalau sungguh datang kapal asar ini, benarlah mimpi raja itu; jikalau tiada, bahawa syaitanlah mengharu raja ini." Maka titah baginda, "Benar seperti kata bapa Hamba, Bendahara itu." Maka Bendahara pun kembalilah ke rumahnya. Setelah hari pun asarlah, maka datanglah sebuah kapal dari Jeddah, serta ia datang berlabuhlah; maka turunlah makh­dum dari dalam kapal itu, Syed Abdul Aziz namanya, lalu ia sembahyang di pantai Melaka itu. Maka hairanlah segala orang Melaka melihat dia. Maka kata segala orang itu, "Meng­apa orang itu tunggang-tunggik?" Maka berebutlah orang. yang melihat itu; sesak, penuh tiada bersela lagi, dan haru-­birulah bunyinya sampai ke dalam.

Maka raja pun segeralah naik gajah, lalu berangkat keluar diiringkan oleh segala Orang Besar-besar. Maka dilihat raja kelakuan makhdum sembahyang itu nyatalah seperti yang di dalam mimpinya itu. Maka titah raja kepada Bendahara dan pada segala Orang Besar-besar, "Nyatalah demikian seperti dalam mimpi kita itu,” Setelah sudah makhdum itu sembahyang, maka raja pun menderumkan gajahnya. Makhdum dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa baginda masuk ke dalam negeri. Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam; sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar sekaliannya masuk Islam dititahkan baginda.

Maka raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib sembahyang, baginda digelarnya seperti sabda nabi salla 'llahu 'alaihi wa salam - Sultan Muhammad Syah. Adapun Bendahara bergelar Seri Wak Raja, yakni bapa tua raja, kerana Bendahara itu ayah - yang salah tak menjadikan - kepada baginda; itulah pertama-tama bergelar Bendahara. Raden Anum menjadi Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Diraja; Tun Perpatih Besar, anak Tun Perpatih Permuka Ber­jajar,* yang pertama jadi Bendahara; anak Seri Teri Buana, yang bernama Raja Kecil Muda, jadi Penghulu Bendahari, bergelar Seri Nara Diraja, maka ia beristerikan anak Benda­hara, beranak seorang perempuan bernama Tun Rana Sandari. Maka Sultan Muhammad pun mengatur takhta kerajaan ba­ginda.

Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan "ke­kuningan larangan"; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa­-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat di­ambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan kain, baju, dan destar, tiga perkara itu jua yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah berman­jungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; danjikalau perahu, bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris; sebesar-besar orang keluaran tiada dapat ber­gelang kaki emas, dan jikalau berkeronsong emas berkepala perak tiada boleh.

*Di sini naskhah A tertinggal beberapa halaman.

Bermula segala orang yang beremas, bagaimana sekalipun kayanya, jikalau tiada dianugerahi raja tiada boleh dipakai, apabila sudah dianugerahi barang sekali jua pun, dapatlah dipakai selama-lamanya. Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung, dan berkeris di hadapan, dan bersebai, tiada dapat masuk, barang siapa pun baik; dan apabila berkeris di belakang masuk ke dalam, dirampas oleh penunggu pintu. Maka inilah dahulu kala larangan raja Melayu, barang siapa melalui dia salah ke bawah duli, hukumnya didenda pati, yakni sekati lima. Bermula payung putih itu tampak dari jauh, sebab itulah maka payung putih lebih daripada kuning; dan pakaian raja payung putih, dan pakaian anak raja payung kuning.

Tiada ulasan: