Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-31

Peristiwa Rampas Kuasa

Maka Raja Kassim pun naiklah ke darat serta fikir dalam hati­nya, "Kepada siapa aku minta tolong ini? Jika demikian baik aku pergi kepada Seri Nara Diraja, kerana ia kasih akan aku, kalau-kalau mau ia menolong aku." Setelah demikian fikirnya maka Raja Kasim pun pergilah kepada Seri Nara Diraja. Maka segala kata Maulana itu semuanya dikatakannya kepada Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja, "Baiklah, Hambalah menyertai tuanku."

Setelah sudah berteguh-teguhan kata, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan orangnya. Setelah hari malam, maka Raja Kasim pun naik gajah yang bernama Juru Demang; maka Seri Nara Diraja mengepalakan gajah Raja Kasim itu, dan Maulana Jalalu'd-Din pun ada bersama-sama. Maka segala orang kapal semuanya dibawanya naik dengan Senjatanya. Maka kata Raja Kasim pada Seri Nara Diraja, "Apa bicara tuan Hamba, jika Bendahara tiada serta dengan kita? Tiada akan hasil pekerjaan kita. Jikalau kita ajak pun masakan ia mahu." Maka kata Seri Nara Diraja, "Mudah juga pekerjaan itu pada Hamba, mari kita pergi pada . Bendahara."

Maka kata Raja Kasim, Baiklah, mana kata tuan Hambalah Hamba ikut." Maka pergilah keduanya kepada Bendahara. Setelah sampai di luar pagar Bendahara, maka kata Seri Nara Diraja, "Segera beritahu Bendahara, Yang Dipertuan menanti di luar." Maka segera diberi orang tahu pada Benda­hara mengatakan Yang Dipertuan ada berdiri di luar. Maka Bendahara pun segera keluar, berkeris pun tiada, berdestar pun di jalan, Adapun pada malam itu sangat kelam. Setelah datang Bendahara ke bawah gajah, maka gajah pun diderum­kan oleh Seri Nara Diraja seraya katanya kepada Bendahara, "Titah suruh naik." Maka Bendahara segera naik ke atas gajah; maka gajah itu pun berdiri, lalu berjalan. Maka dilihat oleh Bendahara, raja itu Raja Kasim, bukannya Sultan Abu Syahid; dan kilat Senjata pun terlalu banyak.

Bendahara pun hairanlah melihat perihal itu. Maka kata Seri Nara Diraja pada Bendahara, "Apa bicara tuan Hamba? Bahawa Raja Kasim hendak membunuh Raja Rekan." Maka Bendahara tiada berdaya lagi, lalu disahutnya, "Sukalah Hamba, kerana Raja Kasim pun teraula tuan kepada Hamba; selamanya pun Hamba hendak mengerjakan Raja Rekan itu." Maka Raja Kasim pun terlalu sukacita mendengar kata Bendahara itu. Maka baginda pun masuklah melanggar ke dalam. Orang pun gemparlah mengatakan Raja Kasim melanggar ke dalam; segala Orang Besar-besar dan hulubang sekalian pun datang mengusir Bendahara, sekalian mereka itu bertanya "Mana Bendahara?" sahut orang itu, "Bendahara pergi bersama-sama dengan Raja Kasim." Maka pada hati segala Orang Besar-besar itu. Bendaharalah yang empunya pekerjaan ini. Maka sekalian mereka itu pun mendapatkan Bendahara dan berser­talah dengan Raja Kasim. Maka dalam pun alahlah.

Akan Raja Rekan tiada bercerai dengan Sultan Abu Syahid. Maka kata Seri Nara Diraja, "Bahawa titah menyuruh merebut Sultan Abu Syahid, takut dibunuh oleh Raja Rekan." Maka orang berseru-seru melarang jangan menikam Raja Rekan dahulu. Maka tiada didengarkan oleh sekalian, kerana sangat sabur. Maka ditikam oranglah Raja Rekan terus-menerus. Setelah Raja Rekan merasai luka itu, maka ditikamnya Sultan Abu Syahid. Maka baginda pun syahidlah. Adapun umur baginda di atas kerajaan setahun lima bulan. Setelah Sultan Abu Syahid sudah mangkat, maka Raja Kasim pun masyghul akan adinda baginda itu, maka ditanamkanlah seperti adatnya.

Syahadan maka Raja Kasimlah menggantikan kerajaan adinda baginda. Maka baginda pun ditabalkan oranglah; ada­pun gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Muzaffar Syah, Maka Maulana Jalalu'd-Din pun menuntut janjinya kepada baginda. Maka disuruh hiasi oleh baginda seorang dayang­-dayang yang baik rupanya dengan selengkap pakaian, lalu diberikan kepada Maulana itu dikatakan Puteri Rekan. Maka pada hati Maulana itu ialah Puteri Rekan, segera diambil nya lalu dibawanya ke atas angin.

Sebermula adalah Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan itu, terlalu baik budi pekerti baginda dengan adilnya dan murah serta ampun periksa dengan saksama pada mengasiha­ni rakyat baginda; dan bagindalah menyuruhkan membuat kitab undang-undang supaya jangan bersalahan lagi segala hukum menteri. Bermula akan Seri Nara Diraja terlalu sangat dikasihi baginda, barang suatu katanya dan sembahnya tiada dilalui baginda.

Arakian, maka Sultan Muzaffar Syah beristerikan anak Bendahara Seri Amar Diraja, baginda beranak seorang lelaki terlalu baik parasnya, dinamai baginda Raja Abdullah. Hatta maka Bendahara Seri Amar Diraja pun hilanglah, maka Tun Perpatih Sedang, anak Bendaharalah pula jadi Bendahara bergelar Bendahara Seri Wak Raja juga, tetapi sungguhpun jadi Bendahara sekadar nama sahaja, yang orang besamya Seri Nara Diraja juga; barang suatu katanya tiada dilalui raja,

Ada pada suatu hari Sultan Muzaffar Syah dihadap orang di balairung; setelah lamalah sudah baginda dihadap orang, maka Bendahara pun hendak masuk mengadap. Setelah datang di luar pintu maka Sultan Muzaffar Syah pun berangkat masuk, sebab lama sudah baginda duduk, tiada baginda tahu akan Bendahara datang itu, maka pintu pun tertutup ditiup oleh angin. Pada hati Bendahara, "Yang Dipertuan murka akan aku serta aku datang baginda berangkat masuk dan pintu pun ditutup orang." Maka Bendahara pun terlalu malu rasanya lalu kembali ke rumahnya makan racun,lalulah hilang. Maka dipersembahkan oranglah kepada Sultan Muzaffar Syah, mengatakan Bendahara mati; maka baginda pun ter­kejut mendengamya. Maka titah baginda, "Apa sebabnya maka Bendahara mati?" Maka dipersembahkan oleh Tun Indera Segara, sebab makan racun; Maka segala perihal ehwal­nya semuanya dipersembahkan kepada baginda. Maka Sultan Muzaffar Syah terlalulah dukacita, lalu berangkat pergi menanamkan Bendahara seperti istiadatnya.

Tujuh hari baginda tiada nobat oleh bercintakan Bendahara Seri Wak Raja. Setelah itu maka Seri Nara Dirajalah jadi Bendahara. Maka ada anak Bendahara Seri Wak Raja tiga orang, yang tua sekali perempuan Tun Kudu namanya; terlalu baik parasnya, maka diperisteri oleh Sultan Muzaffar Syah. Adapun yang dua orang itu le1aki, yang Tengah bernama Tun Perak, yang bongsu bernama Tun Perpatih Putih. Adapun Tun Perak tiada kena kerja raja, ia pergi duduk di Kelang beristeri di sana. Hatta berapa lamanya, maka orang Kelang pun menolak penghulunya, maka sekaliannya mengadap ke Melaka, hendak  mohonkan penghulu yang lain. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Siapa pula kamu kehendaki akan jadi penghulu kamu itu?" Maka sembah orang Kelang, "Tuanku, jika ada ampuni duli Yang Maha Mulia, Tun Peraklah patik sekalian pohonkan akan jadi penghulu patik sekalian." Maka titah baginda, "Baiklah." Maka Tun Peraklah jadi penghulu orang Kelang itu. Wallahu a'lamu bissawab wa ilaihil-marji'u uial-ma'ab.

Catat Ulasan