Jumaat, 3 April 2015

ISABELLA BAB 8

BAB 8 Isabella Di Rumah

Setelah meninggalkan majlis yang penuh bererti dan banyak memberikan harapan, Isabella pulang melalui jalan yang terus menuju ke rumahnya; melewati Qasrus Syuhada dan terus ke Suqul Asafir. Pertemuan dgn Ziad bin Umar telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati sanubarinya. Perasaannya riang gembira sehingga dia tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Dia menhayunkan kaki perlahan-lahan dengan teratur. Matanya tunduk ke bawah. Kira-kira setengah jam kemudian dia pun sampai ke rumahnya. Dilihat ibu sedang menunggu kepulangannya di pintu rumah dalam keadaan gelisah.

“Kemana kau pergi sehingga pulang lewat serupa ini?” tanya ibu sebaik-baik saja dia mengucup tangannya. “Saya di rumah kawan, mama.” jawab Isabella.
Tetapi dia tidak menyebut nama kawannya walaupun didesak ibunya. Ibunya segera menyuruh pembantu rumah menyediakan makanan. Mereka lalu makan bersama-sama. Kemudian bapa Isabella pula datang dan ikut makan. Mereka tidak banyak berbicara di meja makan. Setelah selesai, masing-masing masuk ke dalam bilik. Malam itu, Isabella tidak ke mana-mana. Dia terbenam di dalam biliknya sambil mentelaah tafsir Al-Quran yang diberikan oleh Umar Lahmi.

Di waktu pagi, dia terbangun apabila mendengar suara muazzin yang mengumandangkan azan subuh dari menara Masjid Cordova. Betapa merdu laungan itu sampai ke telinga di pagi yang bening, membangunkan orang-orang yang sedang tidur supaya mengerjakan solat subuh, rukuk dan sujud kepada Allah Yang Maha Besar. Betapa mempesonakan kata-kata Allahu Akbar! Allahu Akbar! Berbeza daripada bunyi loceng gereja yang juga mulai memecah keheningan pagi dengan keriuhan yg tidak ada erti. Suara muazzin yang beralun-alun menusuk sukma secara mendalam sementara bunyi ding-dong, ding-dong loceng hanya menggegarkan perasaan secara tidak menentu. Dua macam cara yang membezakan dua macam agama.

Tidak lama kemudian pemeluk-pemeluk agama Islam yang taat mulai keluar meninggalkan masjid sesudah menyerahkan jiwa dan raga kepada Allah. Kaum buruh, peniaga dan petani masing-masing menuju ke tempat kerja, pasar dan ladang mulai ramai. Kicauan burung mulai tenggelam oleh suasana siang. Mendengar panggilan beribadat itu, Isabella pun bangun dari tempat tidurnya. Setelah membersihkan diri, dia pun masuk ke dalam bilik bacaan di rumahnya, duduk di suatu sudut mentelaah sebuah kitab. Sedang asyik dia dengan kitabnya, pintu bilik diketuk orang. Isabella agak hairan. Siapa gerangan yang mengetuk pintu bilik di waktu pagi begini. Dia tahu bapa dan ibunya masih bersembahyang di gereja besar. Mereka akan pulang ketika hampir waktu sarapan.

“Siapa?” tanya Isabella.

“Kami!” sahut suara di luar.

Isabella kenal suara itu. Suara gurunya, Michael. Dengan segera, dia bangun membuka pintu. Isabella sangat terperanjat melihat Michael dan Peter berdiri di depan pintu. Dia dengan segera menundukkan kepalanya memberi hormat dan mempersilakan mereka masuk. Ketika dia hendak menutup pintu, bapanya pula muncul. Perasaan Isabella menjadi gempar melihat kehadiran bapanya, Michael dan Peter secara serentak. Dia lalu meminta diri kerana sangkanya mereka hendak membincangkan sesuatu perkara yang penting. Boleh jadi masalah yang berhubungan dengan orang-orang Islam.

“Kau tunggu!: Bapanya memberi isyarat dengan tangan.
Perasaan Isabella menjadi semakin gempar dan kecut apabila mendengar arahan bapanya yang aneh. Tentu kedatangan gurunya dan Peter secara tiba-tiba itu ada hubungan dengan dirinya. Barangkali pertemuannya dengan orang-orang Islam telah sampai ke pengetahuan mereka.

“Duduk!” Bapanya memberi arahan. Isabella pun duduk di sebuah kerusi yang agak jauh sedikit tetapi berhadapan dengan bapanya. Dia melihat urat-urat timbul di wajah bapanya. Air mukanya yang selalu lembut itu agak tegang, sekali-sekala dia menggigit-gigit bibirnya menahan perasaan. Ibu Isabella juga dipanggil masuk. Bapa Isabella pun membuka mulutnya. Mula-mula dia tujukan kepada ibu Isabella. Kemudian kepada Michael dan Peter.

“Tahukah kamu akan keadaan anak ini sekarang? Betapa dia memalukan dan menghina kita. Kerana memikirkan hal itulah maka saya memanggil anda berdua ke mari.”
Peter kelihatan terperanjat. Dia memandang Isabella dan berkata, “Oh, ada apa?”

“Perkaranya amat serius,” ujar ketua paderi “sudah agak lama saya mendengar berita anak ini telah meninggalkan agama Kristian dan secara sembunyi-sembunyi memeluk agama Islam.”

“Apa? Apa?” Helena, ibu Isabella, hampir memekik mendengar kata-kata suaminya.
“Apa anda katakan ini? Jesus Kristus tidak akan mengizinkan. Tetapi kenapa anda begitu meradang pagi ini sehingga tanpa sebab menuduh anakku masuk Islam?”
“Apa yang aku katakan ini adalah benar.” jawab ketua paderi.
“Kalau tidak hari ini, beberapa hari lagi kau akan mengetahuinya juga.” “Bapa yang suci,” sampuk Peter “kata-kata bapa agak aneh. Isabella seorang anak yang baik. Dia telah belajar teologi. Dia tidaklah begitu bodoh untuk menerima agama Islam yang terkutuk itu.”

“Saya tidak tahu kenapa anda berprasangka begitu.” ujar Helena seraya bangun mendekati Isabella yang sedang duduk dalam ketakutan di sudut bilik. Helena memegang bahunya dan berkata “Kau dengar apa yang dikatakan oleh bapamu?” Isabella diam dan tunduk. Waktu itu bapanya memberi isyarat kepada Michael supaya bertanya.

“Anakku,” kata Michael “benarkah kau telah memberontak terhadap agama Kristian? Benarkah begitu? Kalau ada orang yang menuduh kau serupa itu, kau mesti membantahnya.”
Isabella mengangkat muka memandang Michael. Kemudian segera tunduk kembali dan mendiamkan diri. Air matanya berlinang.

“Nah, tengoklah,” kata Helena “bukankah telah aku katakan ada orang yang membuat dakwaan palsu terhadap anakku. Apa bantahan yang dapat dia buat? Airmatanya itulah saja yang dapat menjawab tuduhan dia memberontak terhadap agama Kristian. Tuduhan itu palsu.”

“Cuba anda diam dulu. Biar Isabella menjawab sendiri.” ujar ketua paderi dengan perasaan gusar melihat ibu Isabella ikut campur.
“Nah, anakku. Cuba ceritakan benar atau tidak laporan mengenai dirimu itu?”

“Saya belum menerima Islam dan masih tetap menjadi penganut Kristian.” jawab Isabella.
“Kalau kau belum lagi terima Islam apakah kau akan menerimanya nanti?” Michael segera bertanya.
“Kenapa bapa tanya saya tentang hari depan?” Isabella memandang Michael dan menentang matanya. “Saya juga boleh bertanya serupa itu kepada bapa.”

“Nah, kalau begitu cuba terangkan pendapatmu tentang agama Islam.” kata Michael membalas tenungan Isabella. Isabella tidak menjawab segera. Dia memandang muka bapanya yang masih tegang menggigit bibir. Dari muka bapanya dia beralih ke muka ibunya yang sudah kembali ke tempat duduknya. Mukanya membayangkan kesan-kesan kegelisahan. Kemudian melihat muka Peter. Paderi tua itu tenang tetapi ada tanda-tanda kegoncangan perasaan di dalam.

“Saya tidak pernah menghina Islam.” katanya sambil melihat wajah Michael. “Kerana di dalam Kitab Suci Islam, Jesus diberi kemuliaan sebagai nabi yang suci dan orang-orang Islam memuliakannya.”
“Kalau begitu kamu cintakan Islam dan orang-orang Islam?” Michael mengajukan pertanyaan dengan cepat.
“Bapa boleh mengatakan serupa itu ataupun dengan perkataan lain yang bapa suka.” jawab Isabella. “Bagaimanapun saya bukanlah orang yang tidak berbudi. Jikalau orang-orang Islam memuliakan Kristus kita maka saya pun memuliakan nabi dan kitab suci mereka.”
“Jadi sudah jelas sekarang ini bahwa di dalam hati kamu, kamu telah menjadi seorang Islam, kalau tidak masakan kamu memuji Islam dan penganutnya begitu.” kata Peter cuba memerangkap Isabella.

“Nah, beritahu kami apa fikiranmu terhadap agama ygn kamu anuti sekarang yakni agama Kristian?” Isabella dapat menangkap arah tuju pertanyaan paderi tua itu.
“Saya beriman dengan Kitab Injil dan semua kitab yang diwahyukan tetapi saya tidak mahu terima segala cacat-cela yang telah dimasukkan ke dalam agama oleh penganut-penganut Kristian sekarang ini.” Mendengar jawaban itu, bapa Isabella lalu berkata ke arah Michael, Peter dan ibu Isabella.
“Kita sekarang sudah tahu fikirannya. Sudah tidak ada lagi jalan untuk mengubatinya melainkan dengan mata pedang.” Ibu Isabella terperanjat mendengar keputusan suaminya yang nekad itu. Lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Peter segera membuat isyarat dengan tangannya.
“Berilah saya masa. Saya pasti akan dapat mengubah fikirannya. Saya akan mengikis semua salah fahamnya, apatah lagi Isabella pun ada belajar ilmu ketuhanan.”
“Baiklah! Anda boleh cuba dan kita akan lihat hasilnya. Kalau gagal saya akan fikirkan satu cara lain mengubatinya.” Setelah berkata begitu ketua paderi pun bangun dan mengajak Michael dan Peter mengikutinya.

Mereka berangkat ke gereja besar kerana menghadiri satu perhimpunan penganut-penganut Kristian yang datang dari seluruh negara Sepanyol untuk menyaksikan tanda peninggalan nabi-nabi dan ketua paderi yang terdahulu yang merupakan tulang-tulang dan lain-lain. Pada hari itu orang-orang Kristian telah datang dari tempat-tempat yang jauh untuk ikut ambil bahagian di dalam upacara tersebut yang akan dirahmati oleh ketua paderi. Setelah ketua paderi, Michael dan Peter meninggalkan bilik, ibu Isabella yang masih kebingungan bangun mendekati anaknya sekali lagi. Dia memeluk leher Isabella sambil berkata “Benarkah apa yang dikatakan oleh bapamu itu, nak?” Isabella tidak menjawab. Dia memegang tangan ibu dan menepuk-nepuk dengan lembut sambil bangun melepaskan diri.

“Saya mahu masuk ke bilik saya, mama.” katanya lalu terus berjalan menuju ke bilik sambil diperhatikan oleh ibunya dengan perasaan sedih bercampur hiba. Isabella mengunci pintu bilik. Dia merebahkan diri di atas katil dan mula memikirkan nasibnya. Dia yakin akan menerima hukuman daripada bapanya dan paderi-paderi lain. Hukuman dan seksaan yang kejam bukan sesuatu perkara asing bagi penganut-penganut agama Kristian yang murtad ataupun mengeluarkan sesuatu pendapat agama yang bertentangan dengan ketua-ketua agama. Dia akan menghadapi hukuman yang berat. Namun dia sedikit pun tidak gentar dengan segala macam kekejaman dan seksaan yang akan ditimpakan ke atasnya. Hatinya telah bulat dan tekadnya telah tetap, dia akan menghadapi semua percubaan itu dengan hati yang tabah dan tidak berganjak.

Isabella kemudian mengambil kertas dan pena lalu menulis surat kepada Mirano, anak Michael, yang menjadi sahabat akrabnya.

Saudaraku yang dikasihi.

Tadi malam kira-kira jam sembilan, aku telah menghadiri satu pertemuan para cendekiawan Islam. Umar Lahmi dan ahli-ahli agama juga ikut hadir. Bagaimana aku akan menerangkan kepadamu suasana pertemuan itu! Suatu pertemuan yang sungguh menakjubkan. Kehadiranku di situ sesungguhnya semakin menebalkan lagi keyakinanku terhadap Islam. Aku sangat berharap kau juga ikut bersama-sama aku pada waktu itu. Tetapi aku telah berjanji dengan ketua mereka, Ziad bin Umar, akan membawa kau bersama-sama untuk ikut serta dalam pertemuan yang akan diadakan malam esok atau malam lusa. Satu perkara penting telah terjadi ke atas diriku hari ini.
Nampaknya, aku akan dihadapkan ke inquisisi. Doakanlah agar aku tetap di jalan yang benar. Bapaku rupanya telah mendapat berita tentang diriku bahwa aku telah memeluk agama Islam. Dia telah memanggil bapamu dan Peter ke rumah kami. Berbagai macam pertanyaan telah diajukan kepadaku. Cuba kau bayangkan betapa tersepitnya keadaanku waktu itu. Tetapi aku telah memberikan jawaban yang tegas kepada mereka. Peter telah memberikan janji kepada bapaku bahwa dia akan membawa aku kembali kepada agama Kristian. Kalau keadaan yang serupa berlaku, aku harap kau dan ketiga orang kawan kita yang lain akan ikut hadir sama. Perkara-perkara lain akan aku sampaikan secara lisan kepadamu nanti.

Saudaramu, Isabella

Setelah siap surat itu ditulis, Isabella memanggil pengasuhnya dan menyuruh mengembalikan sebuah buku kepada Mirano serta mengambil buku lain daripadanya.
“Surat ini yang telah lama terletak di sini juga dibawa bersama-sama dan diberikan kepadanya.” Pengasuh pun segera melakukan apa yg disuruh.
Dia pergi ke rumah Michael dan menyerahkan buku dan surat kepada Mirano. Mirano segera membaca surat tersebut lalu memberitahu pengasuh Isabella bahwa dia sendiri akan menghantar buku itu kepada Isabella nanti.

Pada petang itu, Isabella dan keempat orang sahabatnya bertemu di taman tempat mereka pertama kali mendengar perbualan Umar Lahmi. Dia menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kejadian pagi tadi di rumahnya seraya meminta pendapat mereka. Sahabat-sahabatnya sangat ingin berjumpa Ziad bin Umar. Mereka juga mencadangkan agar Isabella memberitahu kejadian pagi itu kepadanya. Mereka membuat keputusan akan ke rumah Ziad bin Umar pada petang berikutnya. Setelah itu mereka pun bersiar-siar di taman itu sampai waktu perpisahan lalu pulang ke rumah masing-masing.

Catat Ulasan