Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-6

Hendak Mengetahui Isi Laut

Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, "Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupa­nya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya." Setelah baginda berfikir demiki­an, maka baginda pun menyuruh menghimpunkan segala pan­dai dan utus, maka dititahkan baginda berbuat sebuah peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam. Maka diperbuatlah oleh segala utus itu sebuah peti kaca seperti kehendak Raja Suran itu, dan diberinya berantai emas. Setelah sudah maka dibawanyalah ke hadapan Raja Suran; maka baginda pun ter­lalulah sukacita melihat perbuatan peti itu, maka baginda memberi anugerah akan segala hakim dan utus itu, tiada ter­kira-kira banyaknya.

Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam peti itu, maka segala yang di luar semuanya habis kelihatan; maka dikuncikan baginda pintu peti itu dari dalam. Maka di­hulurkan oranglah ke dalam lau t, maka peti itu pun Tengge­lamlah, maka Raja Suran pun terus melihat dari dalam peti itu, pelbagai kekayaan Allah subhanahu wa taala dipandang baginda, moga-moga dengan takdir Yang Amat Kuasa, maka peti Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama Dika. Maka Raja Suran pun keluarlah dari dalam peti itu, lalu berjalan melihat segala yang indah-indah; maka baginda ber­temu dengan sebuah negeri terlalu besar, lagi dengan teguh­nya. Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam negeri itu, maka dilihat baginda dalam negeri itu suatu kaum Bu Sum namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahui bilangannya ; tetapi mereka itu setengah Islam dan setengah kafir. Setelah mereka itu memandang rupa Raja Suran itu, maka sekalian orang itu hairan tercengang-cengang dan takjub memandang pakaian baginda itu. Maka oleh segala mereka itu akan Raja Suran dibawanya kepada rajanya. Adapun nama raja mereka itu Raja Aktabu'l-Ard.

Setelah raja itu melihat rupa Raja Suran itu, maka ia bertanya pada orang yang mem­bawa baginda itu, "Orang mana ini?" Maka sembah orang itu, "BaHaru datang tuanku orang ini, dari mana-mana datangnya, kami sekalian tiada tahu." Maka Raja Aktabu'l-Ard bertanya kepada Raja Suran, "Orang mana kamu ini? Dan dari mana kamu datang ke mari ini?" Maka sahut Raja Suran, "Adalah Hamba ini datang dari dalam dunia: Hambalah raja segala ma­nusia, nama Hamba Raja Suran." Maka Raja Aktabu'l-Ard pun terlalu hairan mendengar kata Raja Suran itu; maka kata­nya, "Adakah dunia lain daripada dunia kami itu?" Maka sahut Raja Suran, "Bahawa alam itu terlalulah sekali banyak, pelbagai jenis di dalamnya." Setelah Raja Aktabu'l-Ard men­dengar kata Raja Suran itu, terlalu amat takjub ia, seraya meng­ucap subhana 'llahu'l malikul'l jabbar. Maka oleh Raja Aktabu'l-Ard akan Raja Suran dibawanya naik duduk di atas takhta kerajaannya.

Catat Ulasan