Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-10

Bersumpah Berteguh Janji

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Sungguh tuanku seperti khabar orang itu; jikalau tuanku berkehendakkan patik itu, patik sembahkan, lamun mahu duli tuanku berjanji dahulu dengan patik. Maka titah baginda, "Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan hamba itu? Katakan oleh paman hamba dengar." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kumia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah per­aduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi."

Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman. "Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia." Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu Hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Haru ba Melayu itu derhaka dan menitikkan darah­nya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga. " Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah tuanku, te­tapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku." Maka titah Seri Teri Buana, "Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.

Maka baginda pun bersumpah-sumpahanlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, "Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas." Maka sembah Demang Lebar Daun, ''Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanji­an dengan Hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya." Itulah dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala Hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekali­pun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadihat­kan dengan kata-kata yang keji hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang Hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.

Setelah sudah Demang Lebar Daun berteguh-teguhan waad itu, maka ia menyembah lalu kembali ke rumahnya, meng­hiasi anaknya yang bernama Radin Ratna Cendera Puri itu dengan selengkap perhiasan yang keemasan. Setelah sudah, lalu dibawanya masuk ke dalam, dipersembahkannya kepada Seri Teri Buana. Setelah baginda memandang rupa baik paras anak Demang Lebar Daun itu, maka baginda pun hairan serta dengan sukacitanya. Maka titah baginda, "Sepenuh kasih pamanlah, Hamba terima. "Maka sembah Demang Lebar Daun, "Barang Daulat tuanku bertambah-tambah." Seraya ia ber­mohon kembali. Setelah hari malam, Seri Teri Buana pun beradulah de­ngan Raden Ratna Cendera Puri. Setelah hari siang, dengan anugerah Allah Taala dilihat baginda akan isterinya suatu pun tiada merbahayanya; dipandang baginda bertambah amat pula indah sifat parasnya, kerana asal Demang Lebar Daun itu daripada Raja Sulan juga. Maka baginda pun terlalu sukacita, seraya baginda menyuruh memanggil Demang Lebar Daun; maka Demang Lebar Daun pun datang mengadap serta duduk menyembah. Maka titah Seri Teri Buana, "Paman, adalah anak paman suatu pun tiada merbahayanya. "Maka dipandang oleh Demang Lebar Daun, sungguh suatu pun tiada cacatnya anaknya itu.

Maka sembah Demang Lebar Daun dengan sukacitanya, "Daulat Berdaulat tuanku Seri Teri Buana, Dipertuan Teritera hamba Me1ayu;" seraya menyembah lalu kembali mengampungkan segala pegawai dan rakyat sekalian memulai berjaga-jaga, mengahwinkan Seri Teri Buana dengan anaknya; membuat panca persada tujuh belas pangkat serta dengan alat perhiasannya, terIaIu indah perbuatannya. Betala tukangnya. Maka terlalulah ramai orang berjaga-jaga itu, empat puluh hari empat puluh Malam dengan segala bunyi-bunyian, beratus kerbau, lembu, biri-biri, itik, ayam, angsa yang disembelih orang akan makanan segala orang yang bekerja itu; kepala kerbau menjadi tungku, kerak nasi menjadi busut dan air didih menjadi anak sungai. Setelah genap empat puluh hari empat puluh malam, maka Seri Teri Buana dan Raden Ratna Cendera Puri pun dihiasi oranglah dengan segala pakaian yang keemas­an, bertatahkan ratna mutu manikam yang gemerlapan.

Akan Seri Teri Buana pun mengenakan mahkota baginda yang amat gilang-gemilang, cahaya manikamnya gemerlapan memberi hairan yang melihat dia; maka baginda naiklah ke atas per­arakan emas berpermata di bawah payung empat terkembang. Maka diarak oranglah tujuh kali berkeliling negeri Palembang itu dengan serba bunyi-bunyian, lalu ke istana; maka baginda pun dikahwinkan dengan Raden Ratna Cendera Puri. Maka rupa baginda dua laki isteri itu seperti matahari berkembar dengan bulan dipandang. Setelah sampai tiga hari, maka dimandi-mandikan oleh Demang Lebar Daun, diarak pula ke panca persada dengan sepertinya, betapa adat raja yang besar-besar mandi, demikianlah dikerjakan oleh Demang Lebar Daun. Setelah selesailah daripada itu maka Seri Teri Buana pun kararlah kerajaan di dalam negeri Palembang, amat berkasih-kasihan dua laki isteri; menjadi makmurlah negeri Palembang Darul Salam selama baginda naik kerajaan itu.

Sebermula pada suatu hari, hanyut buih dari hulu terlalu besar, maka dilihat orang dalam buih itu ada seorang budak perempuan, terlalu baik rupanya. Maka dipersembahkan orang­lah kepada Seri Teri Buana, maka disuruh baginda ambil; maka dinamai baginda akan budak itu Puteri Tanjung Buih, di­angkat baginda anak terlalulah baginda dua laki isteri akan Puteri Tanjung Buih itu.

Tiada ulasan: