Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-29

Membuang Diri Kerana Berkecil Hati

Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di benua Keling, Pahili namanya; Nizamu'l Muluk Akhbar Syah nama rajanya. Adapun raja itu Islam dalam agama Nabi Muhammad Rasulullah salla 'llahu 'alaihi wa-sallam, maka baginda beranak tidak orang, dua lelaki dan seorang perem­puan; yang tua Mani Purindan namanya, dan yang Tengah Raja Akbar Muluk Kud Syah namanya, yang perempuan, Damia Seri Wandi namanya. Maka Raja Nizamu'l Muluk Akbar Syah pun sudah hilang, maka anakanda baginda Raja Akbar Muluk Kud Syahlah kerajaan, menggantikan ayah­anda baginda. Maka baginda berbahagi pusaka tiga bersaudara, seperti dalam hukum Allah demikianlah diturutnya.

Datanglah kepada papan cuki emas bertatahkan permata, buahnya permata merah sebelah, permata hijau sebelah, Maka kata baginda Mani Purindan pada adiknya, Raja Akbar Muluk Kud Syah, "Cuki ini berikanlah kepada saudara kita yang perempuan, kerana bukan layak kita memakai dia," Maka kata Raja Akbar Muluk Kud Syah, "Tiada Hamba mau memberikan, yang kehendak Hamba kita nilaikan cuki ini; jika saudara kita itu hendakkan dia, diberikannya harganya pada kita." Maka baginda Mani Purindan pun malu rasanya, oleh katanya tiada diturut oleh saudaranya itu, Maka kata dalam hatinya, "Sedang pekerjaan ini lagi tiada diturutnya kata aku, jikalau pekerjaan yang lain betapa lagi? Jikademi­kian baiklah aku membuangkan diriku barang ke mana.Jika di sini pun bukan aku kerajaan dalam negeri ini. Ke mana baik aku pergi, melainkan ke Melakalah aku pergi, kerana raja Melaka zaman ini raja besar, patutlah aku menyembah, kerana baginda daripada anak cucu Raja Iskandar Zul­Karnain."

Setelah demikian fikir baginda Mani Purindan, maka baginda pun berangkatlah dengan beberapa buah kapal, lalu belayar hendak ke Melaka. Setelah datang ke Tanjung Jambu Air, maka angin pun turunlah terlalu kencang; maka kapal baginda Mani Purindan pun Tenggelam. Baginda Mani Purin­dan pun terjun ke air, terselimpang di belakang ikan alu-alu, maka lalu dilarikannya ke darat. Baginda Mani Purindan pun hendak naik mencapai segala anak kayu yang tumbang itu, semuanya merebahkan dirinya. Maka baginda berpaut pada pohon gandasuli, lalu naik ke darat berjalan dengan letihnya dan lapar serta dahaganya. Maka didengamya bunyi burung tekukur itu dilihatnya ada. Setelah dekat maka burung tekukur itu terbang, diikutnya pula; apabila baginda Mani Purindan berhenti, tekukur itu pun ikut berhenti.

Diceriterakan yang empunya ceritera, ada dua hari dua malam baginda Mani Purindan mengikut tekukur itu, apabila ia berhenti tekukur itu pun berhenti, dengan demikian maka teruslah ke bendang orang. Sebab itulah dipersumpahkan oleh baginda Mani Purindan - segala anak cucunya tiada boleh makan ikan alu-alu; tiada boleh bermain burung tekukur dan memakai bunga gandasuli. Hatta beberapa lama maka sampailah baginda Mani Purin­dan ke negeri Pasai. Setelah didengar oleh Raja Pasai ia anak raja benua Keling, maka didudukkannya dengan anaknya. Daripada anak cucunyalah pancar raja dan bendahara Pasai itu. Setelah berapa lamanya ia di Pasai, maka baginda Mani Purindan pun kembali ke benua Keling, berlengkap kapal.

Apabila musim telah datang maka ia pun belayar pula ke Melaka dengan alat dan lasykamya; penghulu lasykamya bernama Khoja Ali Tandil Muhammad, dengan tujuh buah kapal sertanya. Setelah datang ke Melaka lalu mengadap Sultan Muhammad Syah; maka didudukkan baginda setara menteri. Setelah itu maka diambil oleh Seri Nara Diraja akan menantu, didu­dukkannya dengan Ratna Sandari. Baginda Mani Purindan beranak dua orang lelaki, yang tua bernama Tun Ali, yang perempuan bernama Tun Ratna Wati, terlalu baik parasnya. Setelah besar maka diperisteri oleh Sultan Muhammad Syah, beranak seorang lelaki bernama Raja Kassim. Kemudian baginda beristeri akan anak raja Rekan, beranak pula seorang lelaki bernama Raja Ibrahim, maka dialah dirajakan baginda menurutkan kehendakRaja Perempuan; akan tetapi Sultan Muhammad Syah kasih juga akan anakanda baginda Raja Kassim, daripada malu baginda akan Raja Perempuan di­turutkan bagindalah kehendaknya; maka barang laku Raja Ibrahim itu dibenarkan oleh baginda. Adapun Raja Kassim, jika terambil sirih orang secarik pun dimurkai baginda, akan Raja Kassim terlalu baik budinya, maka segala Orang Besar­-besar dan rakyat pun sekaliannya kasih akan Raja Kassim dan benci akan Raja Ibrahlm.

Hatta Raja Rekan pun datang mengadap ke Melaka, maka sangat dipermulia oleh Sultan Muhammad Syah, kerana Raja Perempuan itu saudara sepupu kepada Raja Rekan. Adapun Raja Rekan itu anak Sultan Sidi, saudara Sultan Sujak. Apabila Raja Rekan akan masuk mengadap, orang menitir gendang ria, sekalian orang berkampung. Itulah maka diper­buat orang pantun: Gendang ria dapat berbunyi, Raja Rekan masuk mengadap Orang kaya apa disembunyi Dendam sahaya dapat berdapat. Maka Raja Rekan itu didudukkan baginda tara Bendahara; apabila makan ke bawah. Maka sembah segala hulubalang Rekan kepada rajanya, "Mengapakah kita seperti ayam? Tidur di bumbungan, makan ke bawah rumah; baiklah ber­mohon sekali-sekali." Maka Raja Rekan itu bermohonlah duduk di bawah Bendahara. Maka titah Sultan Muhammad Syah, "Baiklah." Maka jadinya Raja Rekan duduk di bawah Bendahara.

Hatta berapa lamanya Bendahara Seri Wak Raja pun  kembalilah ke rahmat Allah. Maka Seri Amar Diraja pula jadi Bendahara. Adapun Bendahara Seri Amar Diraja itu daripada anak cucu Raja Muda Singapura asalnya; jadi Bendahara itu anak saudara sepupu juga pada Seri Nara Diraja, ada ia beranak seorang perempuan. Akan baginda Mani Purindan pun sudah hilang; anaknya yang bernama Tun Ali itu diambil oleh Bendahara Seri Amar Diraja akan menantu. Seri Nara Diraja pun sudah hilang, cucunya yang bernama Tun Ali, anak baginda Mani Purindan pula jadi Penghulu Bendahari menggantikan nindanya bergelar Seri Nara Diraja juga. Setelah enam puluh tujuh tahun lamanya Sultan Muhammad Syah di atas kerajaan, datanglah pada peredaran dunia, maka baginda pun kembalilah ke rahmat Allah Taala, kalu inna li'llahi wa inna ilaihi raji'un.

Maka dikerjakan oleh segala Orang Besar-besar seperti adat kerajaan, diperbuatnya raja-diraja berulas kekuningan. Maka segala alat dinaikkan ke atas raja-diraja; orang menyelampai enam belas buah raja­ diraja; dan perasapan enam belas raja-diraja; empat orang pada satu raja-diraja dan diannya enam belas raja-diraja; orang yang menyelampai tetampan enam belas raja-diraja; derma emas perak di ceper dengan beras-kunyit empat raja-diraja; derma kain berkudi-kudi empat raja-diraja.

Catat Ulasan