Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-26

Membuka Negeri Melaka

Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah sungai, Bertam namanya; dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datanglah ke sana, berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu; sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda "Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?" Maka sembah segala Orang Besar-besar, "Benarlah seperti titah duli tuanku itu." Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah baginda, "Apa nama kayu itu?" Maka sembah orang, "Kayu Melaka namanya, tuanku," Maka titah Raja Iskandar Syah, "Jika demikian, Melakalah nama negeri ini." Maka kota negeri Melaka sudahlah diperbuat orang se­kalian, diamlah baginda di Melaka.

Adapun baginda di Singa­pura tiga dua tahun, Singapura pun alah oleh Jawa; baginda semayam di Melaka tiga tahun, maka datanglah per­edaran dunia, baginda pun mangkat. Anakanda baginda Raja Mudalah kerajaan menggantikan ayahanda baginda, terlalu adil perintah baginda itu. Maka Raja Mudalah memerintahkan istiadat takhta kerajaan baginda. Bagindalah yang pertama berbuat menteri empat orang di balai mengajari orang; mengadakan bentara empat puluh berdiri diketapakan akan men­junjungkan titah raja, dan menyampaikan barang sesuatu sembah orang ke bawah duli raja, dan bagindalah yang menjadikan Anak Tuan-tuan biduanda kecil, dijadikan suruh-suruh­an raja dan membawa segala alat raja barang sebagainya.

Hatta, berapa lamanya maka baginda beranak tiga orang lelaki, seorang bernama Raden Bagus, seorang bernama Raja Tengah, dan seorang bernama Raden Anum; ketiga-tiganya beristerikan anak Bendahara Tun Perpatih Tulus. Setelah Tun Perpatih Tulus hilang, maka Raden Baguslah jadi Ben­dahara, gelarnya Tun Perpatih Permuka Berjajar. Maka datang­lah pada peredaran dunia, Raja Besar Muda pun mangkatlah; maka anakanda baginda Raja Tengahlah kerajaan mengganti­kan ayahanda baginda. Baginda beranak seorang lelaki bernama Raja Kecil Besar.

Setelah datanglah pada peredaran dunia, maka Raja Tengah pun mangkatlah. Maka anakanda baginda, Raja Kecil Besarlah kerajaan, menggantikan ayahanda baginda. Terlalulah adil saksama baginda pada memeliharakan segala rakyat, seorang pun tiada raja-raja dalam alam ini se­pertinya pada zaman itu, lagi dengan murahnya. Maka negeri Melaka pun besarlah, lagi dengan makmurnya; segala dagang pun berkampung. Baginda beristerikan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar, beranak dua orang lelaki, seorang bernama Raja Kecil Lambang, dan seorang bernama Raja Mahkota.

Setelah berapa lamanya baginda di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan hadrat nabi mustaffa Rasulullah salla'llahu' 'alaihi wa salam. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil Besar, "Ucap olehmu: Asyhadu alla ilaha i'l Allah wa asyhadu anna Muhammad-ar-rasulullah." Maka oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasulullah salla'llahu 'alaihi wa salam itu diturutnya. Maka sabda Rasulullah kepada Raja Kecil Besar, “Adapun namamu Sulltan Muhammad Syah.

Esok hari apabila asar matahari, datanglah sebuah kapal dari Jeddah, turun orang­nya sembahyang di pantai Melaka ini, hendaklah engkau ikut barang katanya." Maka sembah Raja Kecil Besar, "Baiklah tuanku, yang mana sabda junjungan itu tiada Hamba lalui." Maka nabi salla 'llahu 'alaihi wa salam pun ghaiblah. Setelah hari siang, maka Raja Kecil Besar pun terkejut dari beradu, maka dicium baginda tubuhnya bau narawastu, dan dilihat baginda kalamnya pun seperti sudah dikhatankan. Pada hati Raja Kecil Besar, "Bahawa mimpi aku ini. Asyhadu alia ilaha i'l Allah wa asyhadu anna Muhammad-ar-rasulullah." Maka segala orang pun datanglah ke dalam istana baginda; sekaliannya pun hairan mendengar yang disebut raja itu, Maka kata raja perempuan, "Entah kena syaitankah raja ini, atau gilakah raja ini gerangan? Baik segera memberitahu Bendahara."

Tiada ulasan: