Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-15

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu III

Puteri Nila Pancadi ke Singapura

ALKISAH maka tersebutlah perkataan raja di benua Keling, Adi Rama Raja Mudaliar namanya, asalnya daripada anak cucu Raja Suran, raja di negeri Bijaya Negara. Maka baginda beranak seorang lelaki bernama Cambutharam Mudaliar; setelah Adi Rama Mudaliar mati, maka anakanda baginda Jam­buga Rama Mudaliarlah kerajaan, Maka baginda beranak seorang perempuan, Tuan Puteri Nila Pancadi namanya, ter­lalu baik parasnya. Maka masyhurlah pada segala negeri baik parasnya Tuan Puteri itu. Maka beberapa puluh raja-raja yang meminang dia, tiada diberikan ayahnya.

Sebermula Seri Teri Buana pun beranak dua orang lelaki, terlalu baik paras rupanya anakanda baginda kedua itu; yang tua bernama Raja Kecil Besar, dan yang muda bernama Raja Kecil Muda, dipelihara baginda dengan sepertinya. Setelah besarlah kedua anakanda baginda itu, maka terdengarlah baik paras Tuan Puteri Nila Pancadi itu ke Singapura. Maka Seri Teri Buana pun memerintahkan Aria Bupala dengan Maha In­dera Bijaya utusan ke benua Keling, meminang Puteri Nila Pancadi itu akan anakanda baginda Raja Kecil Besar. Maka Aria Bupala dengan Maha Indera Bijaya pun belayarlah ke benua Keling.

Hatta berapa lamanya di laut maka sampailah ke negeri Bijaya Negara; maka disuruh sambut oleh Raja Jambuga Rama Mudaliar surat dari Singapura itu, dengan dihormati diarak berkeliling negeri baginda. Maka disuruh baca kepada juru bahasa. Setelah diketahui bagindalah ertinya maka Raja Jam­buga Rama Mudaliar pun terlalu sukacita, maka titah Raja Jambuga Rama Mudaliar, "Berkenanlah kita akan kehendak saudara kita itu, tetapi jangan saudara kita bersusah-susah menyuruhkan anakanda baginda ke mari; biarlah kita meng­hantarkan anak kita ke Singapura." Sete1ah itu maka Aria Bupala dan Maha Indera Bijaya dipersalin baginda dengan sepertinya, serta diperjamunya. Setelah musim balik maka Raja Jambuga Rama Mudaliar pun membalas surat serta bingkisan. Maka Aria Bupala dan Maha Indera Bijaya pun bermohonlah kepada baginda itu lalu belayar.

Antara berapa lamanya di laut maka sampailah ke Singapura. Maka Seri Teri Buana menitahkan Demang Lebar Daun menyambut surat dari benua Keling itu. Maka pergilah Demang Lebar Daun menyambut surat itu seperti adat segala raja-raja yang besar-besar demikianlah diperbuat. Maka lalu diarak sampai ke balai ruang luar, maka surat itu pun disambut oleh bentara, lalu dipersembahkan kepada Seri Teri Buana. Maka disuruh baca oleh baginda. Sete1ah diketahui oleh baginda ertinya, maka baginda pun terlalu sukacita. Maka Aria Bupala dan Maha Indera Bijaya pun menjunjung duli baginda, serta dipersembahkan segala pesan Raja Jambuga Rama Mudaliar itu, makin bertambah-tambah sukacitanya baginda mendengar dia.

Hatta datanglah kepada musim kapal datang, Raja Jam­buga Rama Mudaliar pun menyuruh berlengkap beberapa buah kapal. Setelah sudah lengkap maka anakanda baginda Tuan Puteri Nila Pancadi disuruh baginda hantarkan kepada empat puluh orang hulubalang Keling, Andul Nina Mara Kulina nama panglimanya. Maka Puteri Nila Pancadi pun naiklah ke kapal dengan lima ratus orang dan dayang-dayang perwaranya. Maka hulubalang itu pun belayarlah membawa Tuan Puteri Nila Pancadi dengan segala kapal itu, beberapa sambuk dan batil sertanya.

Setelah berapa lamanya dari benua Keling, maka sampailah ke Singapura. Maka disuruh sambut dengan hormat dan mulianya, diberi baginda sebuah istana terlalu indah-indah dengan besarnya. Setelah itu maka Seri Teri Buana pun memulai pekerjaan berjaga-jaga akan mengahwinkan anakanda baginda Raja Kecil Besar dengan Tuan Puteri Nila Pancadi.  Tiga bulan lamanya berjaga-jaga itu, setelah datang kepada ketika yang baik, maka anakanda baginda Raja Kecil Besar pun dikahwinkan oleh Batala dengan Puteri Nila Pancadi.

Syahadan anakanda Raja Kecil Muda pun dikahwinkan de­ngan cucu saudara Demang Lebar Daun, terlalu baik parasnya, Raden Lasmi Puri namanya. Setelah selesailah daripada pe­kerjaan itu maka Andul Nina Mara Kulina dan segala hulubalang Keling pun bermohonlah kembali. Maka sekaliannya dianugerahi persalinan oleh Seri Teri Buana. Maka surat dan bingkisan pun diarak oranglah turun ke kapal, maka utusan itu pun kembalilah belayar ke benua Keling, sampai dengan sejahteranya.

Tiada ulasan: