Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-12

Mencari Tempat Baru Untuk Berbuat Negeri

Alkisah maka tersebutlah perkataan Seri Teri Buana kerajaan di Palembang itu, ada pada suatu hari baginda berfikir hendak mencari tempat berbuat negeri, kerana Palembang baginda tiada berkenan; lagi pula baginda hendak melihat laut. Maka baginda pun memanggil Demang Lebar Daun. Setelah Demang Lebar Daun datang, maka titah baginda, "Apa bicara paman, adalah hamba ini hendak pergi bermain-main melihat laut." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah tuanku, jikalau duli Yang Dipertuan akan berangkat patik mengiringlah, kerana patik tiada dapat bercerai dengan duli tuanku." Maka titah baginda, "Hamba pun tiada dapat bercerai dengan pa­man; segeralah paman berlengkap perahu." Maka Demang Lebar Daun pun menyembah, lalu keluar mengerahkan segala Orang Besar-besar yang akan dibawanya mengiring itu berlengkap perahu, membaiki alat Senjata.

Maka mereka itu sekalian berlengkap; setelah sudah lengkap, maka Demang Lebar Daun pun memanggil saudaranya yang muda, katanya, "Tinggallah tuan hamba, peliharakan negeri ini baik-baik, hamba hendak mengiring duli Yang Dipertuan, barang ke mana kehendak baginda hamba iringkan." Maka kata saudaranya, "Baiklah." Maka Demang Lebar Daun pun masuklah mengadap Seri Teri Buana, persembahkan segala perahu itu sudah lengkap. Maka titah baginda, "Bermuatlah paman, tiga hari lagi kita pergi." Maka Demang Lebar Daun pun menyembah, lalu keluar mengerahkan segala orang yang akan dibawa itu bermuat; maka sekaliannya pun bermuatlah, masing-masing pada perahunya.

Setelah genap tiga hari, maka Seri Teri Buana pun berang­katlah, berkenaikan telumba berdandankan emas bertatah permata, pebujangan lelayang berdandan perak bersendi tem­baga suasa. Maka Demang Lebar Daun dengan segala menteri hulubalang masing-masing dengan perahunya, ada tongkang, ada ganting, ada kelulus. Maka rupa perahu mereka yang mengiring itu terlalu banyak, bagai tiada dapat dibilang rupanya penuh di laut; rupa tunggul panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala raja-raja dan catria seperti mega membangun; rupa tiang seperti pohon kayu.

Setelah sampai ke kuala, lalu belayar menyusur. Hatta beberapa hari di laut, maka sampailah ke kuala In­deragiri" Maka titah Seri Teri Buana, "Apa namanya tempat ini?" Maka sembah mereka yang pelayaran, "Kuala Kuantan tuanku, namanya." Maka tarupak pula gunung Lingga dari sana. Titah baginda, "Gunung mana yang kelihatan dua itu?" Maka sembah orang itu, "Gunung Lingga tuanku." "Setelah datang ke suatu selat, maka segala kelengkapan baginda pun kekurangan air; beberapa dicari oleh sekalian mereka itu tiada bertemu dengan air tawar, maka kalutlah mereka itu sekaliannya kehausan air. Maka titah Seri Teri Buana, "Lingkarlah rotan, carupakkan ke air itu." Maka di­kerjakan oranglah seperti titah baginda itu, Maka baginda pun turun ke sampan, serta baginda bercita akan Raja Iskandar Zul-Karnain dan Raja Sulaiman 'alaihi s-salam.

Maka dicelup­kan baginda ibu kaki ke dalam lingkaran rotan itu. Dengan anugerah Tuhan Yang Maha Kuasa, berkat pancar Nabi Sulai­man 'alaihi s-salam, air masin itu menjadi tawar. Maka segala kelengkapan baginda masing-masing mengisi air ke dalam tempayannya; maka dipanggil orang "Selat Air Tawar" datang sampai sekarang. Setelah itu maka sekalian kelengkapan ba­ginda pun belayarlah mengiringkan baginda. Hatta sampailah ke Selat Sambu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan Raja Bintan, pada zaman dahulu baginda itu raja besar di bawah angin ini; raja itulah yang empunya nobat yang ada sekarang ini. Kata yang empunya ceritera, raja itu bernama Raja Ishar Syah, dan nama isterinya Iskandar Syah. Ada baginda beranak seorang perempuan bernama Wan Seri Beni Raja Ishar Syah itu pancar daripada Raja Banglung. Maka baginda kedua laki isteri sudah hilang, anakanda baginda Wan Seri Benilah kerajaan di negeri Bintan menggantikan kerajaan ayahanda bonda baginda, bernegeri di Bukit Bijana, di darat Telaga Tujuh, berbandar di Tanjung Bintan, bertimbalan Tanjung Siak Menanti; Teluk Bintan itulah labuhan dagang.

Mangkubumi baginda yang bernama Aria Bupala dan Menteri Bupala telah mendengar khabar raja yang dari Bukit Si Guntang itu datang dari Palembang ada di Selat Sambu; maka keduanya pun masuklah mengadap Wan Seri Beni persembahkan khabar itu. Maka titah Wan Seri Beni, "Apa bicara tuan Hamba akan anak raja itu datang ke teluk rantau kita ini?" Maka sembah Menteri Bupala, "Mana titah Hamba junjung, adalah pada pendapat Hamba, baik juga kita alu-alukan dia, kerana baginda raja besar." Maka titah Wan Seri Beni, "Sebenamyalah bicara tuan Hamba;" seraya menyuruh mendapatkan anak raja itu, "Jikalau ia tua katakan adinda empunya sembah, dan jikalau ia muda katakan bonda empunya salam."

Pada maksud ba­ginda, jika raja itu tua dari baginda hendak diambil akan suami, dan jika muda hendak diambil akan anak. Maka Aria Bupala dan Menteri Bupala pun menyembah, lalu keluar berlengkap empat buah lancaran, dua buah diisinya dengan alat senjata, hulubalang menduduki dia; dan dua buah berisi sirih pinang dan segala buah-buahan tebu pisang serta makanan. Menterilah menduduki dia; maka Aria Bupa­lalah pergi jadi tuanya. Maka segala perahu itu pun pergilah mengikut dari Tanjung Rengas sampai ke Selat Sambu, tiada berputusan rupa perahu. Maka Aria Bupala pun sampailah kepada kelengkapan Palembang; maka disuruh sungsung oleh Demang Lebar Daun kepada Batala.

Setelah bertemu lalu dibawanya mengadap. Setelah Aria Bupala melihat rupa Seri Teri Buana itu, maka ia pun tercengang seketika. Dipandangnya lagi Tengah muda, bangun teruna. Maka katanya, "Tuanku, paduka bonda empunya salam, tuanku dipersilakan paduka bonda masuk ke negeri; itu pun jikalau ada dengan tulus ikhlas duli tuanku." Maka titah Seri Teri Buana, "Lain-lain pula titah paduka bonda; adalah kita ke mari ini tuan, sahaja hendak mengadap bondalah." Maka Aria Bupala pun terlalu suka mendengar titah baginda itu; maka segala sirih pinang dan buah-buahan dan makanan itu sekaliannya dipersembahkan oleh Aria Bu­pala. Maka sekaliannya itu pun disambut orang, disuruh bahagikan pada segala Orang Besar-besar dan segala mereka yang ada. Aria Bupala pun dengan segala menteri, hulubalang Tentera yang sertanya itu dipersalin baginda dengan seperti­nya, maka sekaliannya menjunjung duli baginda. 3

Setelah itu titah Seri Teri Buana, "Katakan sembah kita kepada paduka bonda itu, esoklah kita mengadap paduka bonda," Maka sembah Aria Bupala, "Baiklah tuanku," serta ia bermohon kepada baginda dengan segala menteri hulubalang yang sertanya, lalu turun kembali mengadap Wan Seri Beni. Maka segala kata-kata, peri kelakuan Seri Teri Buana itu semuanya dipersembahkannya kepada Wan Seri Beni. Maka baginda pun hairan serta dengan sukacitanya, seraya menyuruh menghiasi negeri. Maka segala kelengkapan Bintan, lancaran tiang tiga, selur, dendang dan jong diatur oranglah, semenjak dari Tanjung Rengas sampai ke Karas Besar tiada putus lagi kelengkapan Bintan, demikian ceriteranya pada zaman dahulukala; dan perahu dagang yang ada dalam labuhan Teluk Bintan, tidar, data dan banting, semuanya diundurkan orang, ada yang ke hulu ada yang ke hilir Teluk Bintan. ltulah diperbuat orang pantun.

Teluk Bintan labuhan dagang,
Tempat mengail parang-parang; Adakah hitam pinggangnya ramping, Bagai bunga sudah dikarang.

Setelah keesokan harinya, maka segala kelengkapan Pa­lembang pun kelihatanlah dari atas pelarian kota; maka gemparlah segala orang mengatakan Seri Teri Buana telah kelihat­an kelengkapannya. Maka Aria Bupala dengan segala hulu­balang Bintan pun dititahkan oleh Wan Seri Beni mengalu­alukan baginda itu. Maka sekaliannya pergilah mengalu-alukan. Maka bertemulah kelengkapan Palembang dengan kelengkapan Bintan, selaku-laku akan berperang lakunya; rupa tunggul, panji-panji, merawal dan ambul-ambul seperti taruk kayu dalam hutan ditiup angin; bersatu rupanya keluar dari Tanjung Rengas itu, seperti kawan semut beriring-iring rupanya.

Maka gemuruhlah bunyi bahananya, tempik sorak suara rakyat antara kedua pihak itu berdayung, bercampur dengan segala bunyi-bunyian, gegak-gempita bahananya. Maka kelihatanlah kenaikan Seri Teri Buana bernyala rupanya, berseri rupa alat perhiasan, menyusup rupanya datang. Maka Menteri Bupala pun telah hadirlah di jambat­an dengan segala menteri sida-sida, bentara menanti. Maka kenaikan Seri Teri Buana pun terkepillah di jambatan berkembar dengan perahu Demang Lebar Daun.

Maka Menteri Bupala pun mengepilkan gajah menyambut baginda turun, maka baginda pun naiklah ke atas gajah Demang Lebar Daun mengepilkan gajah baginda. Syahadan di Bintan gajah memangku puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang Lebar Daun, menyan­dang pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda berjalan di hadapan gajah baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria Bupala memegang gading kiri. Maka pa­yung iram-iram kerajaan putih pun terkembanglah empat, serta cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah.

Maka diarak oranglah baginda masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala menteri hulu­balang kedua buah negeri itu, terlalu sabur rupanya. Mereka yang melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu. Maka disuruh arak oleh Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak oranglah masuk ke dalam rong sekali, terkepil di atas rong dalam. Maka Demang Lebar Daun dengan Menteri Bupala segera menyambut baginda, maka baginda berjalanlah di seri balai, naik langsung semayam di atas singgahsana Raja Ishar Syah, ayahanda Wan Seri Beni.

Syahadan Wan Seri Beni pun telah semayam di seri penghadapan dihadap sekalian isi istana dan segala isteri Orang Besar-besar, Maka Demang Lebar Daun pun diatur bertimbalan dengan Aria Bupala, dan yang lain daripada itu masing-masing kepada peraturannya, penuh pepak mengadap Seri Teri Buana di balairung.

Tiada ulasan: