Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SULATIN-37

Hubungan Muhibah Melaka-Sulawesi

Sebermula adalah pada suatu hari, Sultan Mansur Syah fikir hendak mengutus ke Mengkasar, maka memanggil Bendahara Paduka Raja. Setelah Bendahara Paduka Raja datang me­ngadap, maka titah baginda, "Hamba hendak mengutus ke Mengkasar. Bagaimana kepada Bendahara, baiknya atau jahatnya?" Maka sembah Bendahara, "Sebaik-baik pekerjaan tuanku, berbanyak-banyak sahabat daripada seteru." Maka titah baginda, "Karanglah surat Hamba kepada raja Mengkasar." Maka Bendahara pun bermohonlah kepada baginda, lalu kembali mengarang surat Sultan Mansur Syah kepada raja Mengkasar.

Setelah sudah, lalu dipersembahkan Bendahara; maka disuruh baginda baca. Setelah didengar Sultan Mansur Syah bunyi surat itu, terlalulah baginda berkenan. Adalah yang disuruhkan pergi utusan itu, Seri Bija Pikrama dengan Tun Sura Diraja. Maka keduanya pun menjunjung duli; surat pun diarak oranglah dengan gendang serunainya, nafiri, dan payung putih satu dan payung kuning satu. Maka sampailah kejambatan, maka kedua utusan itu pun turunlah ke perahunya menyambut surat itu, dan yang menghantar surat itu pegawai empat orang. Setelah surat sudah turun maka sekalian yang menghantar itu pun kembalilah, maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun belayarlah.

Hatta berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Mengka­sar, pelabuhannya. Maka dipersembahkan oranglah kepada raja Goa, mengatakan utusan dari Melaka datang. Maka raja Goa pun keluarlah dihadap oleh keraeng-keraeng dan hulubalang dengan segala juak-juaknya, penuh dari balai datang ke tanah, orang yang mengadap. Maka surat pun disuruhnya sambut dengan sepertinya, betapa adat menyambut surat raja-raja yang besar-besar itu, demikianlah dibuatnya dengan hormat mulianya; delapan orang hulubalangnya, diarak dengan bunyi­-bunyian, Setelah datang, disambut oleh penghulu bentaranya, dipersembahkannya kepada raja di Goa.

Maka disuruhnya baca, setelah sudah dibaca, maka raja di Goa pun terlalu sukacita mendengar bunyi surat raja Melaka mengatakan daripada jalan muafakat itu. Setelah itu Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun naiklah menyembah raja di Goa, lalu duduk ber­sama-sama dengan hulubalangnya. Maka segala bingkisan pun dibawa oranglah masuk. Maka titah raja di Goa, "Hei Orang Kaya, apa khabar saudaraku di Melaka, tiada ia sakit-sakit? Dan apa kehendak­nya menyuruhkan Orang Kaya kedua ini, apa hendak dicari?" Maka sahut Seri Bija Pikrama, "Khabar baik keraeng. Tidak apa kehendak paduka adinda menyuruh mengadap tuanku, sekadar hendak muafakat juga, keraeng." Maka raja di Goa pun terlalu suka, seraya katanya, "Aku pun demikian lagi Orang Kaya, hendak muafakat dengan saudaraku raja Melaka."

Maka sirih berkelumpang berceper pun datanglah, diberi­kan kepada Seri Pikrama dan Tun Sura Diraja. Maka kedua tempat sirih itu diberikannya kepada budak-budaknya, Se­ketika duduk, maka raja di Goa pun masuk; maka segala yang mengadap itu masing-masing kembalilah, maka Seri Bija Pikrama, dan Tun Sura Diraja pun turunlah ke perahu. Maka raja Mengkasar pun menyuruh menghantar pada ke dua utusan.

Adapun akan Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, beberapa kali diperjamu oleh raja di Goa, Sentiasa ia mengadap dan berkata-kata dengan baginda. Hatta angin musim pun telah bertiuplah; pada suatu hari datanglah Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja mengadap raja di Goa hendak bermohon kembali. Maka sembahnya, "Keraeng, patik hendak bermohon, kerana musim sudah ada."

Maka titah raja di Goa, "Baiklah Orang Kaya; apa yang kegemaran saudaraku raja Melaka, supaya aku carikan."

Tiada ulasan: