Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-32

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu V

Bakat Kebijaksanaan Tun Perak

ALKISAH, maka tersebut perkataan raja benua Siam. daripada zaman dahulukala, negeri Siam itu Syahru 'n Nuwi namanya disebut orang. Syahadan segala raja-raja di bawah angin ini, semuanya takluk kepadanya; Bubunnya nama rajanya. Setelah didengar oleh benua Siam bahawa Melaka negeri besar, tiada takluk ke Siam, maka Paduka Bubunnya pun menyuruhlah ke Melaka hendak minta surat sembah.

Maka Sultan Muzaffar Syah tiada mahu menyembah ke benua Siam. Maka raja benua Siam pun terlalu marah, serta menyuruh berlengkap akan menyerang Melaka; Awi Cakri nama panglimanya membawa rakyat terlalu banyak, tiada terpemanai lagi. Maka dipersembahkan orang ke bawah duli Sultan Muzaffar Syah, bahawa raja benua Siam menyuruhkan hulubalangnya, Awi Cakri namanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpemanai, berjalan darat serta terus ke hulu Pahang.

Maka setelah baginda mendengar khabar itu, maka baginda menyuruh menghimpunkan segala rakyat di teluk rantau mudik ke Melaka. Maka berkampunglah sekaliannya ke Melaka; maka Tun Perak mudik ke Melaka orang Kelang dengan segala anak bininya sekali. Maka orang Kelang pun masuk mengadap raja, persembahkan segala peri­hal; demikian sembahnya: "Tuanku, segala teluk rantau yang lain semuanya mengadap dengan lelaki juga, akan patik sekaliannya dibawa oleh Tun Perak dengan perempuan."

Setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar sembah orang Kelang itu, maka titah baginda pada seorang bentara, Seri Amerta gelarnya, "Jikalau datang Tun Perak kelak ke balai­rung mengadap, katakan oleh Seri Amerta sembah orang Kelang itu; jangan kamu katakan dengan titah kita." Adapun akan Seri Amerta itu asalnya daripada orang Pasai, Tun Semendera namanya; sebab ia cerdik, lagi tahu berkata-kata, maka dijadikan baginda bentara, digelar Seri Amerta. Maka diperbuatkan baginda suatu bangku betul di bawah lutut baginda; di sanalah ia memikul pedang. Ialah yang menyampaikan barang titah raja.

Pada suatu hari, maka Tun Perak datang mengadap raja, duduk di tanah sama orang yang banyak. Maka kata Seri Amerta pada Tun Perak, "Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan, adapun orang teluk rantau yang lain semuanya mengadap lelaki juga, akan orang Kelang mengapa maka Tun Perak bawa dengan perempuannya sekali? Mengapa demikian fiil tuan?"

Maka tidak disahuti oleh Tun Perak tanya Seri Amerta itu. Maka sekali lagi Seri Amerta berkata-kata, tiada juga di­sahuti oleh Tun Perak. Setelah genap tiga kali Seri Amerta berkata, maka baharulah disahut oleh Tun Perak. Katanya: "Rei Seri Amerta, tuan Hamba dengan pedang tuan Hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik peliharakan, jangan diberi berkarat; akan pekerjaan kami, orang bekerja ini, di mana tuan Hamba tahu? Akan sekarang, Duli Yang Dipertuan dalam negeri ini dengan anak isteri baginda, dan dengan segala alat takhta kerajaan; maka benarkah pada pendapat tuan Hamba, kami sekalian datang- dengan berlelaki juga, dengan jauh tempat Selat Kelang? Jikalau barang sesuatu hal negeri ini, apa disebutkannya akan kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini Hamba bawa dengan segala anak perempuannya sekali. Jikalau dia berperang dengan musuh pun bersungguh-sungguh hati; kurang-kurang ia me­lawankan Duli Yang Dipertuan, lebih-lebih ia melawankan anak perempuannya."

Maka oleh Seri Amerta segala kata-kata Tun Perak semua­nya disuruhnya persembahkan ke bawah duli Sultan Muzaffar Syah, Setelah baginda mendengar kata Tun Perak itu, maka  baginda pun tersenyum; maka titah baginda, "Benarlah seperti kata Tun Perak itu." Maka diambil baginda sirih daripada puan, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda pula kepada Tun Perak, bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi, baiklah Tun Perak duduk di negeri.

Hatta maka orang Siam pun datanglah, lalu berperang dengan orang Melaka terlalu ramai.Ada berapa lamanya berperang, maka rakyat Siam pun banyak mati, hal Melaka pun tiada alah; maka Siam pun kembalilah. Maka seraya ia pulang itu, segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu tumbuh, maka itulah dinamai orang "rotan Siam"; dan pasungan kayu ara itu pun tumbuh, ada sekarang di hulu Muar; jeluk dan tumang Siam tempatnya bertanak itu pun tumbuh juga, ada sekarang. Setelah Siam sudah pulang, maka segala orang teluk rantau masing-masing kembalilah ke tempatnya.

Maka hanya Tun Perak tiada ia diberi raja pulang lagi ke Kelang, dijadikan baginda bentara, Maka ada seorang Keling diam di Kelang, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak; maka Keling itu persembahkan ke bawah duli Sultan Muzaffar Syah. Maka baginda memberi titah kepada Seri Amerta, menyuruh ber­kata kepada Tun Perak. Maka pada masa itu Tun Perak pun datang mengadap; maka Bentara Seri Amerta berkata kepada Tun Perak; "Tuan Tun Perak, bahawa orang ini mengadap, mengadukan halnya ke bawah duli Yang Dipertuan, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak, mengapatah maka demikian pekerti tuan?"

Maka Tun Perak diam, tiada disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata, baharu disahuti oleh Tun Perak: "Akan tuan-Hamba dijadikan duli Yang Dipertuan bentara, dianugerahi pedang sebilah itu juga tuan Hamba peliharakan; baik-baik asahi jangan diberi makan karat; akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana tuan Hamba tahu. Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya; baik juga pada kami maka kami kerjakan, kerana duli Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga pada kami, tiada tahu akan jahatnya; tetapi jikalau duli Yang Dipertuan akan membicarakan Hamba dengan dia, pecatlah Hamba dahulu, maka bicarakanlah Hamba dengan dia. Jikalau Hamba belum dipecat, bagaimana Hamba dibicarakan dengan sakai Hamba?"

Maka berkenan pada hati Sultan Muzaffar Syah kata Tun Perak itu; maka titah baginda, "Adapun Tun Perak itu tiada­lah patut menjadi bentara lagi, patut menjadi menteri. Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di seri balai setara Seri Nara Diraja. Maka Paduka Raja pun naiklah duduk dekat Seri Nara Diraja di seri balai; maka Seri Nara Diraja berkisar ke Tengah. Hatta maka Seri Nara pun berpindah ke sebelah kanan, maka jadi Paduka Raja duduk tempat Bendahara.

Adapun akan Seri Nara Diraja pun telah tualah, tiada beranak lelaki; beranak dengan isterinya, anak Bendahara Seri Amar Diraja itu, seorang perempuan Tun Putih namanya, diperisteri, oleh Raja Abdullah. Ada beranak dengan gundik seorang lelaki Tun Nina Madi namanya, tiada diakui oleh Seri Nara Diraja, sebab takut akan isterinya. Maka Tun Nina Madi pun besarlah, beranak bercucu. Maka isteri Seri Nara Diraja pun telah hilang.

Tiada ulasan: