Makhdum Dipersenda Muridnya
Arkian maka turun sebuah kapal dari Jeddah ke Melaka, dalam kapal itu ada seorang pendeta, Maulana Sadar Jahan namanya, terlalu alim. Maka Sultan Mahmud Syah pun berguru padanya, dan anakanda baginda, Raja Ahmad pun disuruhkan baginda mengaji. Maka Maulana Sadar Jahan disebut orang Makhdum.
Pada suatu malam, Bendahara Seri Maharaja duduk dengan Makhdum Sadar Jahan berkata-kata akan ilmu; maka Seri Rama pun datang dengan mabuknya, kerana Seri Rama terlalu peminum. Apabila Seri Rama datang mengadap Sultan Mahmud Syah, maka titah baginda pada Hamba raja, "Bawakan persantapan Orang Kaya Seri Rama," Maka dibawa oranglah arak pada batil perak, disampaikan tetampan, diberikan pada Seri Rama. Telah teradatlah demikian itu.
Masa Seri Rama datang pada Bendahara Seri Maharaja, dilihatnya Bendahara sedang berkata-kata dengan Makhdum Sadar Jahan. Maka kata Seri Rama, "Mari beta turut mengaji." Maka kata Bendahara, "Marilah Orang Kaya duduk." Maka dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan Seri Rama itu mabuk, dan mulutnya pun bau arak. Maka kata Makhdum Sadar Jahan, "Al-khamru ummu'l-khabaith," ertinya: arak itu ibu segala najis. Maka sahut Seri Rama, "Al-hamku ummi'l-khabaith: yang hamak itu ibu segala najis. Tuan turun dari atas angin ke mari ini, bukankah hendak mencari harta, dari hamaklah itu."
Maka Makhdum terlalu marah mendengar kata Seri Rama itu, lalu ia pulang; berapa pun ditahani Bendahara Seri Maharaja, tiada juga Makhdum mau bertahan, pulang juga ia ke rumahnya. Maka kata Bendahara Seri Maharaja kepada Seri Rama, "Mabuk Orang Kaya ini, barang kata dikatakan; baik tiada didengar Yang Dipertuan, jikalau baginda tahu, murka baginda akan Orang Kaya." Maka kata Seri Rama, "Mana kehendak Yang Dipertuan, apatah daya kata sudah terlanjur." Maka hidangan pun dikeluarkan oranglah ke hadapan Seri Rama; maka Seri Rama dan khalayak yang ada hadir itu pun makanlah.
Setelah sudah makan, maka makan sirih; sesaat duduk Seri Rama pun bermohonlah pada Bendahara Seri Maharaja, lalu pulang ke rumahnya. Setelah keesokan harinya, maka Bendahara Sendiri datang ke rumah Makhdum; maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu sukacita melihat Bendahara Seri Maharaja datang itu.
Bermula Tun Mai Ulat Bulu pun mengaji pada Makhdum Sadar Jahan; akan Tun Mai Ulat Bulu itu, asal namanya Tun Muyi'd-Din, anak Tun Zainal Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja; sebab tubuh datuk itu berbulu, maka disebut orang Tun Mai Ulat Bulu, Setelah Tun Mai Ulat Bulu mengaji pada Makhdum Sadar Jahan, barang yang diajarkan oleh Makhdum itu, tiada terturut oleh Tun Mai Ulat Bulu, kerana lidah Melayu ini keras.
Maka Makhdum Sadar Jahan pun ingar; katanya, "Lidah Tun Mai Ulat Bulu ini, terlalu amat keras; lain kata kita, lain katanya." Maka sahut Tun Mai Ulat Bulu, "Itu pun tuan, sahaya mengikut bahasa tuan, jadi sukarlah pada lidah sahaya, kerana bukan bahasa sahaya sendiri; jikalau tuan sebut bahasa sahaya semuanya pun demikian juga." Maka kata Makhdum Sadar Jahan, "Apa sukar bahasa Melayu ini, maka tiada tersebut olehku?"
Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, "Sebutlah oleh tuan, 'kunyit' "; maka disebut oleh Makhdum katanya "kuzit"; maka kata Tun Mai Ulat Bulu, "Salah itu, 'kunyit'; maka disebut pula "nyiru ", maka kata Makhdum "niru ". Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, sambil hendak tertawa, "kucing,' pula sebut, tuan"; maka disebut Makhdum, katanya "Kusyin", Maka Tun Mai UIat Bulu pun tertawa, katanya, "Manatah tuan dapat menyebut bahasa kami? Demikian lagi kami mengikut bahasa tuan." Maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu marah akan Tun Mai Ulat Bulu, katanya, "Taubatlah kita mengajar dia ini lagi."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan