Hang Nadim Dititahkan ke Benua Keling 
Hatta maka Sultan Mahmud pun hendak menyuruh ke benua Keling, membeli kain serasah empat puluh bagai; pada sebagai empat puluh helai; pada sehelai empat puluh perkara bunganya. Maka Hang Nadim dititahkan baginda ke benua Keling membeli kain itu; kerana Hang Nadim itu terlalu pandai barang pekerjaan. Adapun Hang Nadim itu sedia asal temak Melaka, dan keluarga yang hampir juga kepada Bendahara Seri Maharaja, menantu kepada Laksamana Hang Tuah. Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal. Maka belayarlah ia ke benua Keling. 
Setelah berapa lamanya di jalan, sampailah ia ke benua Keling. Maka Hang Nadim pun masuk mengadap raja benua Keling; maka segala kehendak Sultan Mahmud itu semuanya dikatakannya kepada raja Keling. Maka raja Keling pun menyuruh menghimpunkan segala orang yang tahu menulis; maka sekalian mereka itu pun berkampunglah, ada kadar lima ratus banyaknya. Maka disuruh oleh raja Keling menulis seperti kehendak Hang Nadim itu; maka dituliskan oleh segala penulis itu. Setelah sudah, ditunjukkan pada Hang Nadim, maka tiada berkenan pada Hang Nadim. Maka ditulis oleh segala pandai Keling itu pula yang lain, itu pun tiada berkenan pada Hang Nadim. Maka kata segala penulis banyak itu, "Hanya inilah pengetahuan kami sekalian, jika lain daripada ini tiadalah kami sekalian tahu; tetapi berilah kami teladannya oleh Hang Nadim, supaya kami sekalian turut." Maka kata Hang Nadim, "Marilah peta dengan dawat itu." Maka segera diberikan oleh
*Peristiwa Sutan Nara Singa menyerang Lingga dan serangbalas Maharaja Isap ke atas Inderagiri serta perihal mengenai peristiwa itu tiada tersebut dalam naskhah Shellabear mahu pun naskhah Abdullah.
Keling itu peta dan dawat pada Hang Nadim. Maka oleh Hang Nadim ditulisnyalah pada kertas, bunga yang seperti kehendak hatinya itu. Setelah dilihat oleh segala penulis Keling yang banyak, maka sekaliannya hairan tercengang, melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis itu. Telah sudah, oleh Hang Nadim ditunjukkannya pada segala pandai menulis yang banyak itu, katanya, "Demikianlah bunga yang hamba kehendaki. Maka hendak diturut oleh segala penulis itu, tiada dapat, tangannya gementar. Dalam pada penulis Keling beratus-ratus itu, melainkan dua orang juga yang dapat menurut; barang yang ditulis Hang Nadim itu diturutnya. Kata segala Keling banyak itu, "Adapun kami tiadalah dapat menulis di hadapan Hang Nadim, melainkan pulang ke rumah kami kelak kami tulis." Maka kata Hang Nadim, "Baiklah." Maka sekaliannya pun pulanglah ke rumah masing-masing menulis. Setelah sudah lengkap ditulis semuanya kain yang seperti kehendak hati Hang Nadim itu, maka diserahkannyalah kepada Hang Nadim. 
Hatta musim kembali pun datanglah, maka Hang Isap pun hendak kembali; Hang Nadim pun naiklah ke kapaI. Hang Nadim dan Hang Isap akan bersama-sama kembali, bermuat segala hartanya ke dalam kapal Hang Isap itu. Adapun akan Hang Isap itu berniaga dengan seorang Saiyid, hamba Allah. Pada kira-kira Saiyid itu, ada emasnya sedikit lagi pada Hang Isap. Hang Isap berkata, "Tiada." Maka berbantahlah Saiyid itu dengan Hang Isap. Maka kata Hang Isap, "Wali apa ini gerangan, yang menuduh orang tiada sebenarnya ini? Wali pelir gerangan namanya."
Maka kata Saiyid itu, "Hei Isap, aku seorang hamba Allah, engkau namai buah pelir; adapun engkau kembali ini kharablah." Maka Hang Nadim segera menyembah kaki Saiyid itu, katanya, "Tuan, sahaya jangan dimasukkan; mohonkan ampun, sahaya jangan dibawa-bawa pada pekerjaan itu." Maka oleh Saiyid itu disapu-sapunya belakang Hang Nadim, katanya, "Nadim, antum sallamat." Maka Saiyid itu pun pulanglah ke rumahnya. Maka Hang Isap pun belayarlah hendak kembali ke Melaka. Maka setelah datang ke laut Selon, hujan tiada, ribut tiada, tiba-tiba kapal itu dengan seisinya Tenggelam. Maka Hang Nadim dengan berapa orang sertanya, lepas bersampan dengan hartanya sedikit sebanyak; lalu ia ke Selon. 219
Setelah didengar oleh raja Selon, maka dipanggilnya Hang Nadim. Maka oleh raja Selon, Hang Nadim disuruhnya membuat tanglong telur; maka oleh Hang Nadim kulit telur itu diukimya, terlalu indah perbuatannya. Maka dipasanginya dian, terlalulah ajaib rupanya. Setelah sudah, dipersembahkannya kepada raja Selon tanglong telur itu; maka terlalulah sukacita raja Selon melihat perbuatannya. Maka Hang Nadim dipersalin oleh raja Selon, dan beberapa anugerahnya berbagai-bagai jenis; maka hendak dipegangnya sekali, tetapi Hang Nadim dapat berlepas, menumpang kapal orang ke Melaka. Setelah datang ke Melaka, maka Hang Nadim pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Kain yang dibelinya itu, hanya empat helai yang lepas; maka dipersembahkannya kepada Sultan Mahmud Syah.
Maka segala perihal ehwal semuanya dipersembahkan kepada baginda. Maka titah Sultan Mahmud, "Sudah diketahui Hang Isap disumpah oleh Saiyid itu, mengapa maka Hang Nadim menumpang juga pada kapalnya?" Maka sembah Hang Nadim, "Sebab pun patik naik pada kapal Hang Isap, kerana kapal lain lambat akan belayar. Jika patik nanti kapal yang lain lambatlah patik kembali mengadap ke bawah duli Yang Dipertuan." 
Maka Sultan Mahmud pun terlalu sangat murka akan Hang Nadim. Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat-Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan; tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khoja Hassanlah jadi Laksamana, menggantikan mertuanya. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang lelaki, bernama Tun Abdul. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan