Tun Teja Dilarikan Ke Melaka 
Maka si pe1ulut pun pergilah pada Tun Teja, segala kata-kata Hang Nadim itu, semuanya dikatakannya. Maka kata Tun Teja, "Jika demikian kabullah Hamba. Maka si pelulut itu pun pergi pula pada Hang Nadim, menyampaikan segala kata Tun Teja itu. Maka Hang Nadim pun terlalu sukacita, mendengar kata si pelulut itu; lalu ia pun pergilah pada Nakhoda Saiyid Ahmad, katanya, "Adapun Hamba datang kepada tuan hamba ini sedia minta disertai ajal, itu pun jika tiada 'aradh kepada hati tuan hamba, semata-mata hamba harap akan kasih tuan hamba." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Janganlah tuan hamba berdukacita lagi, hingga nyawa hamba, hamba sertakan; tuan hamba, berkata benarlah tuan hamba,"
Maka oleh Hang Nadim segala perihalnya sudah berjanji dengan Tun Teja itu, semuanya dikatakannya pada Nakhoda Saiyid Ahmad; maka kata Hang Nadim, "Jikalau sudah putus kasih tuan hamba akan hamba, baliklah tuan hamba ke jong tuan hamba, nantilah di Kuala Pahang; insya-Allah Taala dinihari kelak hamba hilir mendapatkan tuan hamba, lalulah kita ke Melaka; insya-Allah Taala apabila selamat kita ke Melaka, tuan hamba diperbesar oleh duli Yang Dipertuan." Maka kata Nakhoda Saiyid Ahmad, "Insya-Allah Taala, baiklah." Maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun mengerahkan segala orangnya bersegera naik ke jong, "Kerana musim telah dekat, ketika Tengah hari inilah kita keluar," katanya.
Adapun Nakhoda Saiyid Ahmad itu terlalu baik jejaknya, patut dengan budi pekertinya lagi berani. Setelah siaplah segala orangnya, maka ia pun naiklah ke jongnya, lalu hilir ke Kuala Pahang, hingga di luar alangan, di sanalah ia berhenti.  
Setelah hari malam, maka Hang Nadiin pun memanggil si pelulut, disuruhnya emasi segala penunggu pintu Bendahara Pahang. Maka si pelulut itu pun pergilah mengemasi segala penunggu pintu; maka sekaliannya itu pun setialah dengan Hang Nadim. Setelah hampir dinihari, pada ketika sedang sedap orang tidur, maka oleh si pelulut dibawanya Tun Teja keluar; maka penunggu pintu pun membukakan pintu, dan Hang Nadim pun telah adalah menanti di luar, perahu pun telah hadir di pangkalan; maka Tun Teja pun disuruh oleh si pelulut keluar. Maka oleh Hang Nadim tangannya dibungkusnya dengan kain, lalu disambutnya Tun Teja, dibawanya turun ke perahu, lalu berkayuh hilir.
Adapun batangan Pahang itu tiga lapis; maka oleh Hang Nadim tangan bajunya diisinya pasir, maka dihamburkan ke air, bunyinya seperti orang menebar jala. Hang Nadim minta bukai batangan pada penunggu batangan. Setelah didengar oleh penunggu batangan bunyi orang menjala, maka dibukanyalah batangan itu; maka Hang Nadim pun keluarlah, datang kepada selapis lagi, pun. demikian juga. Setelah lepas ketiga lapisnya, maka Hang Nadim pun berkayuhlah sungguh-sungguh; setelah sampailah ke jong Nakhoda Saiyid Ahmad, maka oleh Hang Nadim dibawanyalah Tun Teja naik ke jong itu. Angin paksa pun bertiup, maka Nakhoda Saiyid Ahmad pun menyuruh membongkar sauh, lalu belayarlah menuju Melaka.
Sebermula setelah hari siang maka segala inang pengasuh Tun Teja datang mendapatkan Tun Teja, maka dilihatnya Tun Teja tiada di peraduannya. Maka dicarinya ke tandas, disangkanya buang air, di tandas pun tiada; maka dilihatnya ke pemandian, di pemandian pun tiada. Maka semuanya hairan akan dirinya, maka ia pergi memberitahu Bendahara Pahang, mengatakan, "Anakanda ghaib, tiada ketahuan ke mana perginya, sahaya tiada tahu." Maka disuruhnya cari segenap sana-sini tiada bertemu, khabamya pun tiada. Maka riuhlah bunyi orang menangis dalam rumah Bendahara.
Setelah Sultan Abdul Jamal mendengar khabar Tun Teja lenyap itu, maka baginda pun terlalu hairan dengan dukacitanya. Maka disuruh baginda tafahus ke sana ke mari, tiada juga bertemu. Maka datang seorang dan Kuala Pahang mengatakan, "Dinihari tadi ia bertemu dengan Hang Nadim membawa seorang perempuan bertudung, dibawanya naik ke jong Nakhoda Saiyid Ahmad, dilayarkannya jalan ke Melaka."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan