Jumaat, 1 Mei 2015

SULALASUS SALATIN-34

Langgaran Siam Dipatahkan

Hatta berapa lamanya, maka datanglah pula musuh Siam menyerang Melaka dari laut. Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaranlah ke Melaka khabamya, maka dipersem­bahkan orang kepada Sultan Muzaffar Syah. Maka baginda menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap mengeluari musuh Siam itu, dengan Seri Nara Diraja dan Seri Bija Diraja dan hulubalang sekalian dititahkan mengiringkan Bendahara Paduka Raja. Akan Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya; asalnya konon daripada muntah lembu, ialah yang dipanggil orang Datuk Bongkok.

Apabila ia berjalan atau duduk bongkok, serta mendengar khabar musuh, jadi betul; daripada sangat gagah dan beraninya, Maka digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Seri Bija Diraja hulubalang Besar, duduk di atas segala hulubalang. Maka Bendahara Paduka Raja pun pergilah mengeluari Siam, bersama-sama Seri Bija Diraja dan segala hulubalang banyak; maka Siam pun Hampirlah ke Batu Pahat. Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Omar nama­nya, terlalu berani; kelakuannya gila-gila bahasa.

Maka Tun Omar disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja Sulu. Maka Tun Omar pun pergilah dengan seorang dirinya; perahunya olang-oleng. Setelah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu terus perahunya ke sebelah. Maka ia berbalik pula, dilanggamya yang lain pula, dua tiga buah alah perahu Siam itu; maka Tun Omar pun kembalilah. Maka orang Siam pun terlalu hairan melihat kelakuan Tun Omar itu.

Setelah hari malam maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja, segala pohon bakau, dan nyireh, dan tumu, api-api itu sekaliannya, disuruhnya tambati putung api; gemerlapan rupanya dipandang orang. Setelah di­pandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya itu, maka kata hulubalang Siam, "Terlalu amat banyak Melayu itu tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa jadinya kita? Sedang akan sebuah perahunya tadi lagi, tiada terlawan oleh kita." Maka kata Awi Dicu, "Benar seperti kata kamu itu, marilah kita kembali." Maka segala perahu Siam pun kembalilah. Adapun perigi Batu Pahat itu, orang Siamlah memahat dia.

Maka diperikut oleh Bendahara Paduka Raja had Singapura. Maka banyak perahu Siam dilanggar oleh kelengkapan Bendahara Paduka Raja; maka orang Siam pun belayar larilah pulang ke benua Siam. Maka Bendahara Paduka Raja pun kembalilah ke Melaka, mengadap Sultan Muzaffar Syah. Maka segala perihal ehwal itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli baginda. Maka baginda pun terlalu sukacita; baginda memberi anugerah persalinakan Bendahara Paduka Raja pakaian yang mulia-mulia,danakan segala hulubalang yang pergi itu semuanya dianugerahi persalin masing-masing pada kadarnya.

Adapun segala Siam yang pulang itu sampai ke benua Siam, maka Awi Dicu pun masuk mengadap Paduka Bubunnya. Maka segala perihalnya semua dipersembahkannya kepada Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun terlalu marah; maka baginda Sendiri hendak berangkat menyerang Melaka. Maka ada seorang anak Bubunnya lelaki, bernama Cau Panden; maka ia bercakap ke bawah duli Paduka Bubunnya hendak menyerang Melaka, sembahnya: "Duli Pra Cau, lengkapi patik; patiklah mengalahkan Melaka itu." Maka Paduka Bubunnya pun terlalu sukacita mendengar sembah anaknya Cau Panden itu.

Maka baginda menyuruh berlengkap kepada Pra Kelung delapan ratus sum sahaja; lain perahu kecil-kecil, tiada terbilang lagi, menantikan musim juga. Maka kedengaranlah ke Melaka bahawa Cau Panden, anak Bubunnya, akan dititahkan baginda itu menyerang Melaka. Ada seorang Hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab; namanya Saidi Arab disebut orang. Maka tuan itu Sentiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berdikir itu. Barang ke mana tuan itu pergi panah itu dibawanya. Tatkala orang membawa khabar itu, maka tuan itu ada mengadap Sultan Muzaffar Syah. Setelah ia mendengar khabar Cau Panden akan datang itu, maka Tuan Saidi Arab itu berdiri di hadapan Sultan Muzaffar Syah.

Maka panahnya itu dihalakannya ke benua Siam; maka katanya serta menarik panahnya itu: "Mati Cau Panden." Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda, "Jikalau sungguh mati Cau Panden,  sungguhlah tuan keramat ." Adapun Cau Panden lagi di benua Siam, maka berasa pada dada Cau Panden seperti rasa kena panah; maka Cau Panden pun sakit muntahkan darah, lalu mati. Maka tiadalah Siam jadi menyerang Melaka, sebab Cau Panden mati. Itulah di­buatkan orang nyanyi:

Cau Panden anak Bubunnya,
Hendak menyerang ke Melaka;
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung air mata.

Maka kedengaranlah ke Melaka bahawa Cau Panden telah mati, sakit muntahkan darah, dadanya bagai rasa kena panah. Setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, hairan­lah baginda; maka baginda bertitah: "Sungguhlah Tuan Saidi Arab ini Hamba Allah." Maka beberapa puji baginda akan Tuan Saidi Arab itu, maka ia pun dianugerahi baginda dengan sepertinya,

Tiada ulasan: