Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-30

Istana di bawah Pengaruh Raja Rekan

Jenazah Sultan Muhammad Syah dinaikkan ke atas perarakan lalu ditabalkan; sudah itu maka Raja Ibrahlm pula ditabalkan. Setelah sudah maka jenazah diarak ke masjid dengan alat pawai dan bunyi-bunyian. Pertama berjalan dahulu dian; sudah itu orang menyelampai kain; sudah itu perasapan; sudah itu orang menyelampai tetampan; sudah itu maka perarakan keranda. Setelah datang ke masjid, disembahyang­kan di sana. Setelah itu maka anakanda baginda, Raja Ibrahim kerajaan menggantikan ayahanda baginda, gelar baginda Sultan Abu Syahid.

Tetapi baginda Raja Ibrahim itu budak, tiada ia hiraukan kerajaan; tiada lain pekerjaan baginda melainkan bermain bantak sama-sama dengan budak-budak banyak; itulah dibuat orang nyanyi: Mana Sultan Abu Syahid, Budak-budak bermain bantak; Tuan seorang dipandang baik, Bagai cincin kena permata. Maka Raja Rekanlah memangku Sultan Abu Syahid memerintahkan negeri Melaka. Maka negeri Melaka seperti terhukumlah oleh Raja Rekan. Akan Raja Kasim dinyahkan oleh Raja Rekan. Maka baginda diam pada si pengail, Sentiasa mengail ke laut. Adapun Raja Rekan seolah-olah ialah kera­jaan dalam negeri Melaka, kerana bonda Sultan Abu Syahid itu sepupunya, menjadi kuatlah ia.

Maka segala Orang Besar-­besar, para menteri, hulubalang semuanya datang pada Ben­dahara, berkampung mesyuarat. Maka kata segala Orang Besar-besar itu kepada Bendahara, "Apahal kita ini? Kerana sekarang Raja Rekanlah tuan kita, bukannya duli Yang Di­pertuan." Maka sahut Bendahara, "Apatah daya kita! Kerana Raja Rekan tiada pernah bercerai dengan Duli Yang Dipertuan." Setelah mendengar kata Bendahara itu, sekali­annya pun berdiam diri, lalu masing-masing kembali ke rumah.

Adapun Seri Nara Diraja bicara dalam hatinya akan pekerjaan itu. Raja Kassim dipersilakannya ke rumahnya; diberinya santap, kerana bonda Raja Kasim itu saudaranya. Hatta berapa lamanya, datanglah sebuah kapal dari atas angin. Setelah kapal itu berlabuh, maka segala nelayan pun datanglah berjual ikan kepada orang dalam kapal itu; maka Raja Kasim pun datang berjual ikan, melakukan dirinya seperti laku si pengail yang banyak itu.

Adapun dalam kapal itu ada seorang maulana, namanya Maulana Jalalu'd-Din. Setelah ia melihat Raja Kasim, maka segera disuruhnya naik dan diberinya hormat dengan sepertinya. Maka kata Raja Kasim "Mengapa maka tuan Hamba menghormatkan Hamba? Kerana Hamba ini si polan berjual ikan." Maka kata Maulana Jalalu'd-Din, "Bahawa engkau ini anak raja Melaka, engkau­lah kelak kerajaan dalam negeri ini." Maka kata Raja Kasim "Apa daya Hamba akan menjadi raja? Jika dengan tuah Maulana mahu menolong Hamba maka dapat Hamba akan jadi raja." Maka kata Maulana itu, "Pergilah tuan Hamba ke darat, cari orang yang dapat mengerjakan pekerjaan tuan Hamba. Insya-Allah Taala, hasillah pekerjaan tuan Hamba; tetapi suatu janji saya pinta pada tuan Hamba, Puteri Rekan, bonda Sultan Abu Syahid itu berikan Hamba." Maka kata Raja Kasim, "Baiklah, jikalau Hamba menjadi raja." Maka kata Maulana segeralah tuan Hamba naik ke darat, kerjakanlah oleh tuan Hamba malam ini; bahawa Allah subha nahu wa taala ada menyertai tuan Hamba. "

Tiada ulasan: