Jumaat, 3 April 2015

ISABELLA BAB 5

BAB 5 Pertemuan Kedua

Pada pagi Isnin, para paderi mula datang ke gereja besar. Pada hari itu juga, bersama-sama Isabella, ikut hadir perempuan-perempuan Kristian yang ingin mendengar perbincangan. Ruang sembahyang gereja sudah penuh dengan penonton lelaki dan perempuan, tua dan muda. Di meja panjang yang berhampiran dengan podium tempat paderi besar membaca khutbah sudah duduk para paderi yang ikut di dalam perbincangan hari kelmarin, diketuai oleh paderi tua Peter dan pembantu kanannya, Michael. Isabella ikut bersama-sama mereka. Tepat jam delapan, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya muncul di pintu depan gereja. Selain daripada Maaz dan penyokong-penyokong yang ikut dalam perbincangan pada hari kelmarin yang memang sudah dikenali, ada beberapa orang muka baru. Ini membuat para paderi bercakap berbisik-bisik sesama sendiri. Mereka kelihatan agak gusar tetapi tidak dihiraukan oleh Umar Lahmi. Dia segera mengambil tempat duduknya berhadapan dengan paderi-paderi itu.

Sebaik saja selesa duduknya, Umar Lahmi pun berkata, “Kelmarin kita telah membuat keputusan akan berbahas pada hari ini mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Oleh sebab agak sukar mahu membincangkan kedua-dua masalah ini sekaligus maka ada baiknya kita bincangkan secara berasingan.” Peter segera menjawab, “Kedua-dua masalah ini sebenarnya satu dan saling berkait. Jadi, tuan boleh pilih mana satu yang tuan suka.” “Terima Kasih.” kata Umar Lahmi. Dia lalu membaca beberapa ayat dari Surat Al-Furqan. Wajah Isabella tiba-tiba berubah. Kulit mukanya yang putih bersih menjadi merah seperti bunga raya kembang pagi. Bacaan Umar Lahmi terhenti apabila dia mendengar ada benda yang jatuh tidak jauh dari tempat duduknya. Dia yang sedang berpejam segera membuka mata dan dilihat sahabat Isabella sedang menolong mengangkat Isabella duduk. Seluruh hadirin menjadi gempar dan berdiri melihat ke depan.

Maaz membisikkan ke telinga Umar Lahmi memberitahu bahwa anak gadis itu terlalu terpesona dengan ayat-ayat AlQuran yang dibacanya. Peter dan Michael bukan main lagi terkejut melihat keadaan Isabella itu. Mereka serentak bertanya sebab musabab terjadi serupa itu tetapi Isabella tidak menjawab. Hanya beberapa titik airmata jatuh meleleh di atas pipinya yang masih merah. Isabella cuba menenangkan dirinya dengan keadaan yg agak payah. Dia memberitahu sahabatnya bahwa sejak bulan yang lalu dia mendapat serangan tiba-tiba serupa itu. Dia memberi isyarat supaya mereka jangan menghiraukan keadaannya. Mereka boleh meneruskan perbincangan.

Sebahagian daripada paderi yang duduk di meja mencurigainya.
“Dia tidak apa-apa,” kata sahabat Isabella,
“dia selalu mendapat serangan tiba-tiba serupa itu.” Keterangan sahabat Isabella telah dapat mengikis sangkaan para paderi bahwa Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam. Setelah berhenti sejenak, Umar Lahmi menyambung bacaannya. Dia berdiri lalu berkata,
“Tuan-tuan, kami telah diberitahu bahwa asas prinsip agama Kristen ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Jadi saya ingin majukan satu pertanyaan yang boleh menghuraikan masalah ketuhanan Kristus. Pertanyaan itu ialah: apa keperluannya yang khusus maka ‘Putera Tuhan’ membuat pengorbanan bagi penebusan dosa? Kalau untuk tujuan itu saja, orang alim yang lain juga boleh dipilih untuk mengorbankan jiwanya sebagai ‘penebusan dosa semua orang yang berdosa’. Apa sebab secara istimewa ‘Putera Tuhan’ telah disalib?”
PPara paderi telah berbisik sesama sendiri, berbincang perlahan-lahan.

Sejurus kemudian, mereka memilih Peter untuk menjawab tetapi dia berada dalam keadaan bingung. Namun sebagai sikap kebapaan, dia bangun juga dan bercakap dengan lidah yang terketar-ketar.
“Untuk penebusan dosa, ‘Putera Tuhan’ diperlukan kerana orang lain baik dia nabi atau rasul penuh dengan dosa. Orang yang ada dosa tidak dapat menebus dosa orang lain. Kerana Tuhan Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera Tuhan’ dan bebas dari dosa maka dia dikorbankan untuk kepentingan semua oang yang berdosa.”

“Baiklah,’ kata Umar Lahmi, “cuba terangkan apa yang disalib. Apakah ketuhanan yang disalibkan untuk penebusan dosa ataupun kemanusiaan yang ada pada Kristus? Jikalau ketuhanan Kristus yang disalibkan maka bererti bahwa Tuhan yang tunggal dan tanpa sekutu itu memikul semua beban seksaan penyaliban dan kematian datang ke atas peribadi Tuhan yakni Tuhan sudah mati. Tetapi kalau kemanusiaan di dalam Kristus yang disalib, jawaban tuan sudah hilang semua kekuatannya kerana kalau begitu caranya maka penyaliban manusia adalah lebih cocok dan bukan Tuhan kerana kedua-duanya menunjukkan akan kemanusiaan di dalam Kristus bukan ketuhanannya yang dikorbankan.”

“Sudah tentu. Tuhan Jesus merupakan ketuhanan yang sempurna dan kemanusiaan yang sempurna. Kedua-dua sifat ini terhimpun dengan baik di dalam dirinya. Tetapi kemanusiaannya seperti juga dengan ketuhanannya bebas daripada dosa dan sebab itu pengorbanannya amat perlu kerana manusia lain semuanya bergelimang dosa. Dengan demikian mereka tidak sesuai untuk penebusan dosa.” kata Peter.

“Itulah,” jawab Umar Lahmi, “kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang bebas daripada dosa maka Tuhan sendiri terpaksa turun ke dunia dan ketuhanannya tidak disalib tetapi kemanusiaannya. Andaikata seorang manusia yang bebas daripada dosa diperlukan untuk menebus dosa, mengapa Tuhan tidak cipta seorang manusia yg bersih sehingga tidak payah Tuhan sendiri mati di atas tiang salib kerena penebusan dosa.”

Peter menjawab, “Tuhan saja yang mengetahui perkara yang ghaib. Kita tidak boleh kata kenapa Dia tidak berbuat serupa itu dan kenapa Dia sendiri datang ke dunia untuk tujuan itu. Tetapi tentang hal ini, kami tahu bahwa Tuhan datang ke dunia untuk menebus dosa untuk menunjukkan kasihsayangNya yang agung terhadap kemanusiaan. Bahwa sayangnya Tuhan kepada makhluNya sampai ke tingkatan mengutus putera tunggalNya untuk menyerahkan nyawa sebagai galang ganti manusia-manusia lain. Tujuan ini tentu tidak akan tercapai kalau hanya dengan mengutus orang lain.”

“Jikalau kasih sayang Tuhan sudah sedemikian besar kepada makhlukNya, kenapa Dia tidak mengutus ‘puteranya’ itu awal-awal lagi untuk disalib? Apakah tidak ada manusia sebelum Kristus yang patut dipedulikan oleh Tuhan? Apa sebab Dia baru menunjukkan kasihsayangNya itu setelah beribu-ribu tahun berlalu?” Umar Lahmi memajukan pertanyaan tanpa melepaskan peluang.

Peter menjadi serba salah. Dia lalu cuba melepaskan dirinya dengan menjawab, “Kita tidak tahu tentang keghaiban ini. Misteri Tuhan hanyalah diketahui Tuhan saja.”
“Pertanyaan saya masih belum berjawab. Rujukan kepada keghaiban berulang-ulang tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Nah, cuba katakan saja, kalaulah hanya kerana kemanusiaan penyaliban itu dilakukan maka kedatangan Tuhan ke dunia adalah sia-sia belaka. Orang lain pun boleh dikorbankan juga.”
“Saya sudah menjawab,” ujar Peter, “manusia tidak dapat dijadikan penebus dosa kerana dia sendiri bergelumang dengan dosa. Kemanusiaan Kristus sesuai untuk penebusan dosa kerana dia adalah penjelmaan kemurnian dan tidak berdosa.”
“Kerana kemanusiaan Kristus murni dan tidak berdosa maka dia menjadi perlu untuk dipikulkan beban dosa seluruh manusia ke atas pundaknya.” Umar Lahmi berhujah.
“Tuan paderi yang mulia, logika tuan itu sedikit pun tidak meyakinkan malah kepada tuan sendiri juga. Sekarang cuba terangkan, apa salahnya jikalau ‘Putera Tuhan’ ini berbuat sesuatu yang lebih baik yang boleh menebus dosa semua orang daripada dia dibebankan dengan dosa-dosa itu? Dengan jalan itu, tidaklah payah Kristus yang tidak berdosa memikul beban dosa orang lain, tidak perlu dia disalib dan tidaklah timbul persengketaan tentang ketuhanan dan kemanusiaan. Penawar bagi dosa ialah kebajikan, kedatangan Kristus ke dunia ini sepatutnya membuat kebajikan-kebajikan sebagai penebus semua dosa dan bukan membunuh dirinya untuk penebusan dosa.”

“Kita tidak dapat menasihati Tuhan. Dia berbuat apa yang disukaiNya. Satu kekurangan ajar kalau mahu mencapai darjat Tuhan.” Peter menjawab.

Umar Lahmi tidak menghiraukan jawaban Peter yang kasar. Sebaliknya dia berkata, “Tuan tahu bahwa Kristus dilahirkan dari rahim Maryam Perawan. Nah, apakah kelahiran itu ada pertaliannya dengan manusia dan Tuhan yakni apakah yang dilahirkan itu ‘Tuhan’ atau ‘manusia’?”

“Tuhan bebas daripada cacat kelahiran. Kemanusiaan di dalam Kristus itulah yang dilahirkan.” jawab Peter dengan nada gugup.
“Siapa yang mati di atas salib? Tuhan atau manusia?”
“Tuhan itu bebas dari cacat kematian. Manusialah yang mati di atas salib. Iaitu kemanusiaan Kristus.” jawab Peter lagi.
“Kalau begitu,” kata Umar Lahmi,
“kelahiran dan kematian ada pertalian dengan kemanusiaan Kristus dan bukan dengan ketuhanannya.”

“Benar. Memang benar.” jawab Peter dengan cepat dan bersungguh-sungguh.
Umar Lahmi lalu mencapa Kitab Injil yang terletak di hadapan Michael. “Maafkan saya. Saya minta pinjam sebentar.”
Michael tidak sempat menjawab, Kitab Injil itu sudah ada di dalam tangan Umar Lahmi dan sedang membuka halamannya. Para paderi memandang kejadian itu dengan perasaan terkejut dan tanpa berkata bertukar-tukar pandangan antara satu dengan yang lain. Isabella semakin tertarik dengan perjalanan perbincangan itu dan dengan diam-diam dia mengagumi kepintaran dan keluasan ilmu Umar Lahmi.
Umar Lahmi membuka pada Injil Ayub bab 15:14. “Cuba lihat, di sini ada tertulis ‘Masakan manusia bersih, masakan benar yang lahir dari perempuan?’ dan kerana kelahiran itu bukan bersifat ketuhanan tetapi kemanusiaan maka mengikut pendapat Ayub, kemanusiaan Kristus juga bergelimang dosa.”
Umar Lahmi membuka halaman lain pula. “Dan lihat apa yang tertulis pada kitab Roma 6:23 bahwa ‘upah dosa ialah maut’ yakni kematian ialah bukti bahwa yang mati itu penuh dengan dosa. Oleh sebab itu timbul lagi pertanyaan: apakah sebab Tuhan tidak menyalibkan orang lain yang berdosa supaya ketuhanannya dapat diselamatkan? Selanjutnya, menurut tuan seseorang yang berdosa tidak boleh menebus dosa orang lain, jadi jelaslah Kristus tidak sesuai untuk penebusan dosa.”

Peter kelihatan rusuh dan peluh-peluh renik memancut keluar dari dahi dan pipinya.
“Saya telah katakan bahwa semua ini adalah perkara-perkara ghaib ketuhanan. Tuhan berbuat apa yang disukaiNya. Bagaimana tuan atau saya boleh mengkritikNya?”

Umar Lahmi dengan suara lantang yang dapat didengar oleh semua yang hadir berkata, “Jikalau agama tuan hanya berdasarkan kepada keghaiban ketuhanan saja, kenapa tuan jemput kami kemari, menghabiskan masa tuan dan juga masa kami dengan sia-sia saja?” Ucapan Umar Lahmi yang lantang itu telah menimbulkan keributan di tempat penonton.

Isabella yang memang menaruh minat kepada soal-soal teologi, mendengar dengan penuh perhatian tiap-tiap patah perkataan yang keluar dari mulut Umar Lahmi. Terguris di dalam hatinya rasa hairan pada Peter Suci yang amat dihormatinya itu, kenapa apabila dia tidak dapat menjawab sesuatu masalah yang ditimbulkan oleh lawannya, dia lalu lari berselindung di balik tabir misteri ketuhanan. Keributan di tempat penonton semakin menjadi-jadi. Mereka tidak sabar menunggu jawaban dari paderinya tentang kata-kata Umar Lahmi yang agak pedas itu.

Tiba-tiba Michael bangun sambil memberi isyarat dengan tangannya supaya penonton berdiam diri. Dia berkata,
“Saudara-saudara. Hari ini ialah hari konfrontasi antara agama Kristian dengan agama Islam. Saudara-saudara tentu telah tahu apa itu agama Islam? Agama itu mewajibkan kahwin empat isteri. Membunuh orang-orang bukan Islam tanpa memandang bulu dan Rasulnya kahwin dengan sebelas perempuan dan …”
Umar Lahmi melompat bangun dan menentang Michael dengan kata-kata, “Kalau tuan-tuan tidak dapat menjawab hujah saya katakan dengan berterus-terang dan kemudian apa saja kritikan tuan-tuan terhadap Islam boleh kemukakan, saya akan menjawab satu persatu.”

Dia kemudian membalikkan badan memandang kepada hadirin. “Di mana letaknya moral tuan-tuan ini. Kami dipanggil kemari ke tempat tuan-tuan, pertanyaan kami tidak dijawab sebaliknya mengeluarkan kata-kata yang menghina.”
Dia berpaling kepada Isabella, “Sekarang katakan apakah sikap para paderi saudari ini wajar?”

Isabella dengan segera bangun dan dengan perkataan yang terpatah-patah berkata, “Saya telah mengikuti perbincangan ini dari awal sampai ke akhir. Saya merasa dukacita bahwa Bapa Suci Peter mahupun Bapa Michael tidak pernah dapat memberi jawaban kepada hujah-hujah yang dikemukakan. Permintaan saudara Umar Lahmi adalah adil”
Sama ada pertanyaan-pertanyaan itu diberi jawaban yang meyakinkan ataupun mengaku kalah saja. Tetapi saya berpendapat tuan-tuan tidak dapat melakukannya. Jadi lebih baik perbahasan ini diselesaikan sekrang dengan ketentuan bahwa agama Kristian tidak boleh dipersenda-sendakan dan betapapun juga pengetahuan atau ilmu tuan-tuan tidak dapat menghuraikannya. Saya merasa agak aneh bahwa …”

Isabella tidak sempat meneruskan kata-katanya kerana ditegur oleh Peter, “Kau ini sudah gila, bercakap merepek serupa itu.” Peter kemudian berucap kepada para hadirin.
“Sudah pasti anak gadis ini diresapi oleh syaitan dan dia sudah tersisih dari Kristus. Tidak hairan kalau dia sudah hilang ingatannya.”
Mendengar kata-kata Peter, timbul kemarahan di dalam hati Isabella. Dia tanpa segan silu lagi menjawab agak keras. “Daripada bapa meluahkan perasaan bapa kepada saya yang hina ini bukankah lebih baik bapa menjawab pertanyaan orang-orang Muslim itu ataupun membatalkan saja perbahasan ini. Saya tidak berhajat menjawab tuduhan yang ditimpakan kepada saya di sini tetapi kalau ini rupa hadiah di atas keikhlasan saya maka saya lebih rela dituduh sebagai orang gila.”

Michael yang merasa tersinggung dengan kata-kata Isabella segera menyampuk dengan suara yang keras. “Tak bolehkah kau diam? Bercakap, bercakap dan bercakap tak berhenti. Kami telah menjawab semua hujah-hujah orang Muslim. Kalau kau berani cubalah maju ke depan dan jawab.”
Paderi gemuk pula bersuara, “Nampaknya anak perempuan ini secara diam-diam sudah murtad. Bagaimana dia mahu menjawab hujah-hujah orang-orang Muslim? Kelancangannya patut diberitahukan kepada bapanya yang dihormati dan dia patut dihukum dengan hukuman yang setimpal.”
Catherine, sahabat Isabella, segera menjawab, “Malang sekali tuan-tuan semua sedikit pun tidak berlaku adil dan di atas pundak Isabella yang tidak berdosa ini tuan-tuan timpakan kesalahan. Ada yang mengatakannya gila dan yang lain pula membuat ancaman tetapi tidak seorang pun yang menumpukan perhatiannya kepada pokok persoalan. Isabella benar, apabila dia mengatakan tuan-tuan tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi tetapi itu bukan bererti agama Kristian tidak benar.”
Lalu dengan suara yang agak keras, dia melepaskan paku buah kerasnya. “Tuan-tuan semua tidak berguna dan cuba menodai agama Kristian dengan kebahlulan tuan-tuan.”

Peter dengan tubuh tuanya melonjak bangun dan dengan suara yang marah berkata, “Usir perempuan-perempuan ini dari sini. Siapa yang membenarkan perempuan-perempuan bedebah ini ikut campur dalam perbincangan kita?”
Umar Lahmi bangun cuba menyabari. “Kalau tuan benarkan saya bercakap, saya akan menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Nona Isabella.”
Michael memandang tajam kepada Umar Lahmi.
“Jangan tuan ikut campur percakapan kami. Ini soal rumahtangga kami sendiri.”
Paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung mencelah,
“Bagaimana kalau Isabella dan Catherine ini sudah murtad?”
Michael berpaling kepadanya dengan mata yang ragu-ragu. “Kita tidak dapat menentukan sekarang ini. Budak-budak perempuan ini tolol. Mereka mahu mempercepatkan perjalanan perbincangan meskipun masalahnya memakan masa berbulan atau bertahun hendak diselesaikan.”

Perjalanan perbincangan telah terhenti buat seketika lamanya. Para paderi sedang sibuk berurusan mengenai masalah Isabella dan sahabatnya. Berbagai-bagai pendapat dan komen diluahkan kepada anak-anak perempuan yang malang itu. Mereka merancang tuduhan dan menghubungkannya dengan berbagai-bagai tohmah. Melihat keadaan yang ribut itu, Umar Lahmi dengan suaranya yang nyaring merdu membaca beberapa ayat AlQuran Surat Maryam.

Seluruh hadirin diam terpaku dan suasana yang tadinya kacau itu menjadi senyap sunyi. Ada yang diam kerana terperanjat mendengar bacaan yang ganjil daripada biasa di perdengarkan di dalam gereja. Para paderi yang kebingungan menutup telinga mereka, khuatir ayat-ayat AlQuran itu menembus masuk ke dalam hati dan perasaan mereka. Ada sebahagian daripada orang-orang Kristian di dalam gereja termasuk Isabella yang faham sedikit bahasa Arab terharu mendengar pujian-pujian terhadap Nabi Isa dan ibunya yang suci dan bantahan-bantahan terhadap tohmah orang-orang Yahudi yang dilemparkan kepada mereka.

Muka Isabella menjadi berseri-seri tetapi dia menguasai dirinya dengan sabar dan duduk tidak bergerak. Setelah selesai Umar Lahmi membaca ayat-ayat itu, barulah Isabella membuka mulutnya, menyusun kata-kata dengan teratur dan tenang.
“Tuan-tuan. Saya memohon kepada tuan-tuan semua untuk menjadi saksi bahwa saya adalah orang Kristian yang sempurna. Oleh sebab itu, saya tidak mahu agama Kristian diperhinakan. Saya tidak maksudkan bahwa kita tidak ada jawaban bagi semua pertanyaan mereka tetapi masalahnya ialah paderi-paderi kita tidak memusatkan perhatian kepada persoalan-persoalan itu. Mereka berpendapat bantuan daripada Roh Kudus diperlukan untuk memahami kepercayaan Kristian dan hal ini dianggap sebagai satu kelemahan kita oleh orang-orang Muslim. Saya harap sesudah ini tidak ada lagi salah faham terhadap saya. Permintaan saya sekarang ialah kita teruskan perbincangan ini.”
Paderi yang berbadan kurus membuat komen seolah-olah kepada dirinya sendiri. “Kita sama sekali tidak perlu berbincang dengan orang-orang kafir itu. Perbincangan yang lepas telah pun menggugat kepercayaan kita.”
Teman yang disebelahnya menyampuk, “Apa maksudmu?”
“Saya maksudkan orang-orang kafir ini sepatutnya kita usir dengan segera keluar dari gereja ini.” jawabnya sambil membuat muka.

Temannya itu berkata, “Jangan berkata mengikut emosi. Masalah ini harus diputuskan sesudah ditimbang dengan saksama. Saya juga berpendapat perbincangan ini harus dihentikan saja. Nampaknya, tidak ada manfaat apa-apa.”

Umar Lahmi mendengar apa yang sedang dibincangkan oleh paderi-paderi yang ada di sekitarnya. “Tuan-tuan, saya tahu tuan-tuan amat bangga dengan ajaran Nabi Isa sehingga kalau ada orang menampar pipi tuan-tuan, pipi yang sebelah lagi tuan-tuan berikan. Tetapi apa yang kami saksikan di sini sekarang?
Apakah kami masuk kemari secara paksa? Apakah bukan tuan-tuan yang mengundang kami? Sekarang pun kalau tuan-tuan berterus-terang bahwa tuan-tuan tidak mahu berbincang lagi, kami akan meninggalkan tempat ini dengan segera.
Tapi saya ingin ingatkan kepada tuan-tuan bahwa kami sudah sampaikan seruan kami dan Allah tidak akan membiarkan usaha kami itu berlalu begitu saja. Jadi, katakanlah apakah kami harus tinggalkan tempat ini ataupun tuan-tuan masih mahu berbincang?”

“Tuan yang dihormati. Masalahnya sekarang ialah tuan tidak dapat memahami realiti kepercayaan agama Kristian dan kedatangan tuan-tuan kemari pun bukan itu tujuannya.” jawab Peter.
“Andaikata tuan mahu menyambung perbincangan ini, tuan mesti menjawab pertanyaan saya dulu.”
“Baiklah!” ujar Umar Lahmi.
“Saya beri kebebasan kepada tuan untuk mengemukakan pertanyaan apa saja dan saya dengan rendah hati akan menjawabnya.”
“Apakah Quran ada memuji Kitab Injil? Apakah tuan percaya dengan Kitab Injil?” tanya Peter.
“Sudah tentu AlQuran memuji Kitab Injil dan kami orang Muslim percaya Kitab Injil, Taurat dan Mazmur dan semua kitab yang disampaikan oleh nabi-nabi.” ujar Umar Lahmi.

“Kemudian, kenapa tuan tidak percayakan Kitab Injil kami?” kata Peter lagi.
“Kerana ia bukan Kitab Injil.” jawab Umar Lahmi.
“Sekiranya seseorang itu menyusun sebuah fiksi dan menamainya Injil maka kami tidak terikat untuk mempercayainya kerana ia bukan Kitab Injil tetapi hanya menjudulkan saja serupa itu. Tuan boleh letakkan di hadapan kami Kitab Injil yang disebut di dalam AlQuran.”
“Jadi, Injil yang disebut di dalam Quran itu berlainan dari Kitab Injil kami? Buktinya?” Peter dengan ghairah memajukan pertanyaan untuk memerangkap Umar Lahmi.
Umar Lahmi menghadapi pertanyaan itu dengan tenang. “Benar, walaupun AlQuran menyebut-nyebut tentang Kitab Inji yang tulen, telah menyebut juga kepalsuan ‘Injil’ ini dan menunjukkan pernyataan-pernyataan yang salah.”

“Jadi, apakah pernyataan-pernyataan salah Kitab Injil kami ini?” tanya Peter lagi.
Umar Lahmi tersenyum kecil. Dia lalu mencapai Kitab Injil yang ada di hadapannya lalu membuka.
“Sebagai contoh. Injil Matius bab 12:46-53 Jesus telah menolak mengakui ibunya, Maryam dan saudara-saudaranya kerana tidak melakukan kehendak bapanya di syurga. Penolakan ini samalah sebagai menuduh ibunya itu murtad. Padahal AlQuran kami menyebutnya ‘siddiqa’ yang bererti dia bukan murtad tetapi seorang yang beriman dan warak. Dalam ayat yang sama dalam Injil Matius bab 12: 46-50 itu juga jelas menunjukkan keangkuhan Jesus dan ketidaksopanannya terhadap ibunya. Meskipun di dalam Taurat melarang keras menghormati dan memuja ibu tetapi AlQuran menyebutnya bahwa itu salah dan mengatakan Jesus telah berkata bahwa dia patuh kepada ibunya dan telah dilarang berbuat baik kepada ibunya itu. Ataupun juga seperti yang disebutkan dalam Injil bahwa Jesus telah dikutuk dan kerana kutukan tersebut maka dia telah disalibkan.*
( * sbg bukti bahwa Kristus telah dikutuk, lihat Galatia 3 : 12-13 )

Tetapi Kitab Suci AlQuran menyebutnya ‘Roh Kudus’ dan ‘Kalimat Allah’ dan bahawasanya ‘Al-Masih ibn Maryam seorang yang mempunyai kemegahan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat dan salah seorang yang diperdekatkan kepada Allah.*”(*AlQuran 3:45 )

Satu suara sumbang kedengaran dari khayalak ramai.
“Itu salah! Injil mengatakan dia itu ‘Tuhan’.”
“Ya. Sangat menakjubkan. Menurut tuan, Tuhan juga boleh dikutuk. Tuan telah mengutuk Kristus di samping mengakuinya sebagai Tuhan tanpa memperdulikan sedikitpun bagaimana Tuhan yang Menjadi Sumber semua kebaikan dan kesempurnaan itu pantas dikutuki.” kata Umar Lahmi menjawabnya.
“Yang patut dikutuki ialah syaitan bukan Tuhan. Agama Islam tidak memuja Kristus sebagai dewa tetapi menganggapnya sebagai manusia biasa dan pada masa yang sama dia seorang yang bebas dari dosa dan diakui kesuciannya. Nah, cuba pilih apakah ‘Tuhan’ yang terkutuk itu baik dan suci ataupun seorang manusia yang bebas dari dosa?”
Peter menyampuk, “Pokoknya mengapa tuan tidak percayakan Injil tetapi tuan telah melemparkan ke dalamnya persoalan kutukan. Kalau tuan ada mempunyai Injil yang original yang diakui Quran, nah bawa kemari kepada kami.”

“Tuan tidak berhak memintanya dari kami. Kalau tuan telah mengakui lebih dulu bahwa Injil tuan itu karangan dan dipalsukan, pada waktu itu baru boleh tuan datang kepada kami meminta Injil yang sebenarnya. Saya sudah buktikan bahwa Kitab Suci AlQuran tidak mengesahkan kesahihan Injil yang ada sekarang ini tetapi telah membuktikan kepalsuannya dan secara terang-terangan menceritakan kesalahan-kesalahan Injil sekarang. Cuba bayangkan, bolehkah Injil ini yang memuja Kristus dan kemudian terbunuh di atas salib menjadi Injil yang diakui AlQuran? Dalam AlQuran dirakamkan kata-kata Kristus. ‘Inni Abdallah’ – aku hamba Allah dan ‘padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak mensalibnya’

* Apakah AlQuran mengesahkan Injil tuan atau membuktikan kepalsuannya?”

* AlQuran 4:157

“Bukankah Quran ada menyebut Jesus itu sebagai ‘Roh Kudus’ dan ‘Kalimat Tuhan’?
Bukankah ini satu bukti bahwa dia mengatasi manusia?” Peter bertanya.

“Benar. Kitab Suci AlQuran ada menyebut Nabi Isa sebagai ‘Kalimat Allah’ tetapi ia juga ada menyebut bahwa Kalimat Allah itu tidak terkira banyaknya dan jika semua lautan dijadikan dakwat dan semua pokok di dunia dijadikan pena masih saja tidak akan sanggup menceritakan semua Kalimat Allah kerana kalimatNya tidak terpermenai banyaknya. Jadi, Kristus juga salah satu dari Kalimat Allah. Mengenai Kristus menjadi ‘Roh Kudus’ maka hal ini juga tidak akan melebihkannya daripada manusia lain sebab kalimat yang sama pula digunakan untuk Adam. Di dalam AlQuran ada disebutkan

‘Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya rohKu, maka tiaraplah kamu kepadanya dalam keadaan bersujud’.

* Jadi, dengan kalimat yang sama maka Kristus juga serupa Adam. Jikalau Kristus menjadi ‘Tuhan’ maka Adam juga demikian dan semua anak-cucunya juga ‘Tuhan’.”

* AlQuran 15:29

Peter segera menyampuk, “Sekiranya Quran ada mengatakan Adam sebagai Roh Kudus maka itu adalah satu kesalahan kerana tidak ada ‘Roh Kudus’ yang lain selain daripada Kristus.”
Umar Lahmi tersenyum geli mendengar sangkalan paderi tua itu. Dia lalu berkata dengan tenang. “Tuan fikir seluruh AlQuran itu salah tetapi tuanlah yang mendesak supaya ketuhanan Kristus dibenarkan oleh AlQuran. Jadi, saya telah membuktikannya bahwa dia bukan Tuhan. Andaikata dia boleh menjadi ‘Tuhan’ kerana ‘Roh Kudus’, maka Adam alaihissalam juga ‘Tuhan’. Tuan telah mengatakan AlQuran itu salah dalam soal ini jadi mengapa pula tuan membawa AlQuran ke mari?”

Mendengar jawaban Umar Lahmi itu, Peter menjadi agak gugup. Dia seolah-olah tenggelam punca sejurus lamanya. Isabella yang diam mendengar dengan penuh minat tiba-tiba bersuara. “Tuan percaya akan ketuhanan Nabi Muhammad meskipun dia memprakarsai pertumpahan darah di dalam dunia ini dan menyuruh membunuh orang-orang yang ingkar akan agamanya.”

“Barang dijauhkan Allah! Saya berlindung dengan nama Allah dari kepercayaan jahat serupa itu.” jawab Umar Lahmi.
“Kami anggap Nabi Suci kami hanya sebagai manusia biasa, hanya dia itu Penghulu Segala Rasul dan Mahkota Segala Kebaikan. Inti daripada keimanan kami ialah La ilaha illallahu, Muhammad-ur Rasulullah ertinya tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Muhammad itu rasulNya. Sesiapa menganggap Muhammad sebagai Tuhan maka dia menjadi kafir dan terkeluar dari islam. Tentang Nabi memprakarsai pertumpahan darah di dunia , itu sama sekali tidak benar. Baginda memang ada melakukan peperangan terhadap kaum musyrikin yang bercita-cita mahu menghapuskan baginda dan agama yang dibawanya tetapi baginda tidak pernah mengganggu orang-orang yang tidak memusuhinya. AlQuran memerintahkan kami berperang melawan orang-orang yang memerangi kami.”

Kemudian Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya dapat memahami mengapa Isabella memajukan pertanyaan serupa itu. Para paderi Kristian sejak lama dulu telah menyebarkan fitnah terhadap Islam sambil mempertalikan segala macam keburukan kepadanya. Para paderi inilah yang mencemarkan nama baik Islam dengan mengatakan bahwa orang-orang Muslim menganggap Rasulnya sebagai Tuhan.

“Tuan telah berkata berulang-ulang kali bahwa Injil kami tidak tulen meskipun Injil telah disusun oleh murid-murid Kristus dengan bantuan Roh Kudus. Quran memuliakan mereka itu dan menganggapnya sebagai orang-orang beriman. Injil telah dianggap sah oleh penganut-penganut Kristian sedunia.” kata Michael cuba mengetengahkan hujah baru.

“Persoalannya,” jawab Umar Lahmi dengan tenang,
“ialah apakah benar Injil itu disusun oleh murid-murid Kristus yang khusus bertugas untuk tujuan itu ataupun oleh beberapa orang yang menggunakan nama murid-murid Kristus. Malah orang-orang Kristian sendiri ada yang tidak sependapat bahwa murid-murid Kristus yang menyusun Injil. Kemudian ada masalah lain pula, samaada murid-murid Kristus yang menyusun Injil ataupun oleh pesuruh-pesuruh lain, AlQuran tetap tidak mengakui Injil yang disusun itu. AlQuran hanya mengakui Injil yang disampaikan kepada Kristus langsung dari Allah,
seperti yang termaktub di dalam ayat 27 surat Al-Hadid yang kira-kira maksudnya, ‘Kami berikan kepadanya Injil’
dan di dalam surat Maryam ayat 30 pula ada disebutkan begini “Putera Maryam berkata: “Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah. Dia pasti akan memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia pasti akan jadikan aku seorang nabi.”
Nah, tuan-tuan mengakui bahwa Injil itu disusun oleh murid-murid Kristus sedangkan AlQuran dengan tegas mengatakan bahwa Injil diwahyukan kepada Kristus.”

Sebaik saja selesai Umar Lahmi berkata keadaan dalam gereja terganggu sebentar apabila bapa Isabella yang menjadi ketua paderi tiba-tiba muncul. Dia terus menempelak paderi-paderi itu. “Gelanggang gusti apakah yang telah kamu lakukan di sini? Kamu telah bercakap dengan orang-orang yang tidak beriman di dalam gereja yang suci ini dan perbuatan kamu itu telah mengganggu kepercayaan orang-orang Kristian. Orang-orang Kristian telah datang kepadaku mengadu tentang ketidakupayaan kamu berhujah dengan orang-orang ini. Sudah banyak orang-orang Kristian yang goncang imannya dan mereka mengatakan malah anakku, Isabella, juga sudah tidak terkendalikan lagi.”
Dia memandang Isabella dengan mata yang tajam.
“Kau, siapa yang menyuruh kau datang kemari? Apa ada hubunganmu dengan perbahasan ini? Kau telah mempelajari Quran secara sembunyi-sembunyi, ya? Aku tahu apa yang kau buat. Kau anak perempuan bodoh. Apa yang kamu semua lakukan ini ialah memutar-belitkan lidah dengan orang-orang kafir ini dan perbuatan kamu itu menimbulkan kegusaran kepada Tuhan Yesus. Jikalau aku dapati kamu semua mengulangi perbuatan ini lagi, aku akan pecat kamu semua.” Tempelakan ketua paderi itu membuat paderi-paderi yang ada di dalam majlis tergamam dan terkejut. Kulit muka Isabella yang tadinya merah mendadak berubah menjadi pucat lesi. Sejurus lamanya tidak ada seorang pun di antara paderi-paderi yang berani membuka mulut memberi penerangan kepada ketua paderi. Tetapi ada seorang paderi muda, kurus tinggi dengan jambang yang jarang, yang duduk agak jauh di tepi sebelah kiri, memberanikan diri bangun bercakap.

“Bapa yang suci. Apa yang telah bapa katakan itu benar sekali. Benar, tidak ada manfaat apa-apa kecuali kerugian kita berbincang dengan orang-orang yang tidak beriman ini. Tetapi wahai bapa yang suci! Apakah bapa ingin kita diperhina dan dipermalukan di seluruh Sepanyol ini? Apakah bapa mahu agama Kristian hapus dari bumi Sepanyol? Demi Tuhan Jesus, kalau kita tidak dapat mengganyang mereka ini, kita tidak akan dapat mengangkat kepala lagi di negeri ini. Saya juga dapat mengatakan bahwa tidak ada seorang pun di antara kita yang boleh menjawab bantahan-bantahan orang-orang Muslim ini. Andaikata bapa sudi menerima permohonan kami, saya dengan rendah hati mengatakan bahwa soalan-soalan yang dikemukakan oleh orang-orang Muslim ini tidak dapat kami jawab tanpa bantuan bapa yang dihormati. Di seluruh Sepanyol tidak ada abdi agama Kristian yang dapat menandingi yang mulia, yang boleh menyelesaikan tugas berat ini dan dengan jawaban yang pendek dan tepat dari yang mulia, maka mulut orang-orang yang tidak beriman ini dapat kita tutup untuk selama-lamanya. Andaikata yang mulia tidak tampil ke muka untuk menyelamatkan agama Kristian sekarang ini maka bapa yang sangat mulia, akibatnya bagi kita dan agama Kristian adalah sangat membahayakan dan dakwahan kita dipermalu dan dihinakan. Bolehkah saya meletakkan harapan bahwa yang mulia bersedia untuk menjawab masalah yang ditimbulkan oleh orang-orang Muslim ini?”

Bapa Isabella, ketua paderi, terdiam sebentar demi mendengar kata-kata paderi muda itu. Air mukanya kembali tenang, rasa marahnya pun menjadi berkurangan. Setelah difikirkan sejenak, dia lalu memandang Michael. “Kamu sendiri yang membuat perkara ini begitu penting dengan mengundang orang-orang Muslim kemari. Amat malang, kamu tidak dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka walaupun pertanyaan-pertanyaan yang remeh-temeh serupa itu dan kamu menjadi bodoh sesudah mempelajari masalah-masalah teologi. Bolehkah orang-orang Muslim ini dibawa ke jalan yang benar sesudah mendapat jawaban yang memuaskan?”

Michael segera menjawab, “Ya, mereka telah berjanji kalau mereka mendapat jawaban yang memuaskan, mereka akan keluar dari agama Islam dan masuk agama Kristian. Mereka telah membuat janji dengan bertulis.” Mendengar jawaban Michael, ketua paderi lalu mengambil tempat duduk yang disediakan khas untuknya, diapit oleh Peter dan Michael. Dia terus memandang ke wajah Umar Lahmi dan berkata, “Nah, kemukakan pertanyaanmu!”
“Jika tuan dapat mendengar dengan tenang maka saya akan kemuakan pertanyaan saya.” kata Umar Lahmi.

“Sikap tuan terhadap orang-orang yang malang dan sikap tuan terhadap etika Kristian menunjukkan kemauan tuan bahwa saya seharusnya menolak bercakap dengan tuan. Tetapi kerana saya seorang yang mencari kebenaran, maka saya mahu mencari cahaya petunjuk melalui tuan dan saya ingin bercakap dengan tuan dengan syarat tuan mendengarnya dengan tenang apa yang akan saya ucapkan.”

“Tuan jangan ambil hati di atas kata-kata saya yang kasar tadi.” ujar ketua paderi.

“Dan sekiranya perbincangan ini menyinggung perasaan tuan, saya minta maaf bagi pihak semua yang hadir. Saya percaya tuan seorang yang mencintai kebenaran dan sudah tentu Tuhan Kristus kami akan menolong dan menunjuk jalan kepada tuan. Oleh sebab itu, saya persilakan tuan datang ke rumah saya esok supaya semua keraguan dan salah pengertian tuan akan diselesaikan secara bijaksana.” Ketua paderi itu kemudian berpaling kepada para paderi yang duduk di kiri dan kanannya.

“Tuan-tuan juga dijemput datang supaya tahu jawaban dari pertanyaan-pertanyaan orang-orang Muslim ini dan pada masa hadapan tuan-tuan boleh berurusan langsung dengan mereka.”

Kemudian, paderi besar melihat wajah Umar Lahmi sekali lagi seraya berkata, “Saya persilakan tuan datang ke rumah saya pagi esok. Pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk tuan.”

Tiada ulasan: