BAB 12 Puteri Perancis
Tidak lama kemudian, Isabella pun dibawa masuk ke dalam bilik di mana sahabat-sahabatnya sedang menunggu. Keadaan tubuhnya amat lemah. Mirano dan sahabat-sahabatnya terlalu hiba melihatnya. Kalau tidak khuatirkan tembelang mereka akan terbuka, pada waktu itu juga mereka mahu memeluknya dan menangis dengan sekuat-kuat hati. Mereka hanya menahan sebak di dada walaupun melahirkan raut wajah yg biasa seperti orang yang hanya datang sekadar mahu memujuk agar Isabella kembali kepada jalan yang benar.
“Puteri Arkia akan datang sebentar lagi sesudah dia selesai mengerjakan ibadatnya.” kata rahib yang membawa Isabella.
Dia kemudian meninggalkan bilik itu. Pada kesempatan itu, Mirano, Hanana, Martha dan Catherine segera membincangkan dengan Isabella tentang rancangan rahsia yang akan mereka lakukan bagi membebaskannya. Mereka meminta Isabella bekerjasama dengan berpura-pura kembali kepada agama Kristian agar rancangan itu berjaya. Isabella menempelak sahabat-sahabatnya. Dia dengan tegas menolak cadangan mereka.
“Apa saja penderitaan demi agama Islam maka insyaAllah, ia akan menjadi sebagai penebusan dosa dan memperkuat lagi keimananku. Andaikata Allah mahu membebaskan aku daripada cengkaman tawanan ini, maka pasti Dia akan menunjukkan jalannya kepadaku.” kata Isabella dengan penuh taqwa.
Setelah terjadi berbagai macam pertukaran pendapat, mereka akhirnya mencapai kata sepakat akan melakukan cara yang paling baik tanpa menyinggung keimanan Isabella yang sudah kukuh. Mereka lalu berdoa bersama-sama.
Isabella membaca doa yang diajarkan oleh Umar Lahmi dari AlQuran,
surat Al-Isra’ ayat 80:
Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin.*
*Wahai Tuhanku, masukkanlah daku secara yang baik lagi diredhai dan keluarkanlah daku secara yang baik dan diredhai.
Mirano mula membaca salawat kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat mereka yang lain mengucapkan doa yang sesuai dengan keadaan pada waktu itu.
Sebaik saja mereka selesai berdoa, pintu bilik terbuka dan melangkah masuk Arkia, Puteri Perancis. Mereka terpegun sejurus melihat perawakan wanita itu. Orangnya tinggi lampai dan walaupun dalam berpakaian rahib begitu pun masih dapat dilihat garis-garis kecantikannya yang asal. Hidungnya mancung seperti paruh elang dan pada raut muka tergambar keangkuhan bangsawan. Bibirnya yang tipis dan rapat membayangkan kekerasan hati. Mereka yang ada di dalam bilik bangun dan memberi hormat kepadanya.
“Saya sangat dukacita bahwa Isabella telah melepaskan dirinya daripada pelukan Tuhan kita dan telah menyekutukan dirinya dengan orang-orang yang murtad. Saya hairan kenapa syaitan boleh menguasainya. Baru tadi malam, saya melihat dalam mimpi saya seorang ulama Islam dibakar di dalam neraka dan gadis malang ini juga mahu mengikutinya? Kalau dia kembali memikul salib Tuhan dan tinggal dengan saya beberapa hari, saya akan memberi dia melihat Tuhan.” kata Arkia.
“Memang benar,” ujar Mirano “sangat memalukan apabila seorang anak pemimpin kerohanian menjadi murtad. Itulah sebabnya pada hari ini kami membawanya kepada anda. Anda boleh mempengaruhinya dengan kekuatan ilmu batin anda dan membawa dia kembali ke kaki Tuhan. Dia tidak dapat kita kalahkan dengan hujah-hujah tetapi kita dapat membawanya kembali ke agama asal dengan pengaruh kerohanian.”
“Baiklah,” jawab Arkia “hari ini kita membawa balik Isabella kepada Mariam Perawan melalui sembahyang dan ibadat. Saya yakin menjelang pagi nanti, dia akan pulih. Saya dapat melihat Tuhan sedang menunggu Isabella dengan tangan terbuka dan Isabella pun sudah bersedia untuk masuk ke dalam pelukannya. Anda semua tidak usah khuatir. Tunggu saja sampai pagi.”
Ketika itu, Isabella mahu menjawab kata-kata Arkia tetapi Martha dengan segera memberi isyarat supaya dia mendiamkan diri. Arkia menceritakan tentang beberapa mukjizat yang pernah dilakukannya. Sedang dia bercakap-cakap, pintu bilik dibuka orang. Di muka pintu, berdiri ketua rahib.
“Apakah anda masih memerlukan beberapa orang rahib perempuan lagi?” tanya ketua rahib.
“Kalau mahu, saya akan arahkan.” “Terima kasih banyak.” jawab Mirano. “Buat masa ini saya fikir belum perlu lagi. Tetapi saya berterima kasih kalau tuan dapat datang menjenguk kami sekali atau beberapa kali sepanjang malan ini dan memberi nasihat apa-apa yang perlu.”
“Baiklah.” kata ketua rahib.
“Saya akan datang setiap dua jam sekali.” Dia lalu menutup pintu bilik dan meninggalkan mereka.
Ada kira-kira setengah jam lagi akan menjelang tengahmalam. Anak-anak gadis itu pun duduk untuk melakukan sembahyang bersama Arkia di depan patung Mariam Perawan. Mereka duduk dalam jarak beberapa meter antara satu dengan yang lain. Mirano duduk berhampiran dengan Isabella supaya dia dapat menyampaikan sesuatu yang penting dengan mudah tanpa diketahui orang lain.
Setelah satu jam bersembahyang, Mirano lalu membisikkan kepada Isabella “Dengar baik-baik. Anda jangan sekali-kali mencelah apa saja yang aku cakapkan. Anda dengar saja dan terima seadanya.” Arkia dengan semangat kesalihan yang tinggi telah melakukan beberapa perkara yang aneh-aneh. Kadang-kala dia menghulurkan tangannya seolah-olah mahu mencapai sesuatu ke dalam pelukannya. Kadang-kala dia menangis dan ada masa dia meraung seperti orang kesakitan. Dia mengulang-ulangi perbuatannya berkali-kali dan berkata “Ya, ya. Tuhan akan memberi hidayah kepadamu. Roh Kudus akan menolong kita.”
Kira-kira jam satu malam, Mirano telah menjerit dengan sekuat hati dan kemudian pengsan. Isabella duduk tanpa bergerak di sampingnya. Arkia, Martha, Hanana dan Catherine menerpa ke Mirano. Mereka mahu menyedarkannya dengan memercikkan air ke muka. Arkia melarang sambil berkata bahwa Mirano telah melihat Tuhan dan sembahyang mereka pada malam itu mencapai kejayaan besar. “Jangan susah. Ini satu tuah kita bahwa Tuhan telah datang ke biara ini.” Arkia mendekati Isabella.
“Nah, Isabella! Masih enggankah kau mengangkat salib Tuhan kita?” Isabella diam. Dia tidak menjawab dan hanya mendengar saja. Arkia semakin yakin bahwa Tuhan benar-benar telah turun di biara itu dan memandang Isabella dengan mata rahmatnya. Mirano masih terus dengan pengsannya waktu ketua rahib tiba. Ketua rahib amat terperanjat melihat keadaan Mirano lalu berteriak “Apa sudah terjadi?”
Arkia terus menceritakan dengan penuh keyakinan bahwa Tuhan telah turun ke dalam diri Isabella, yang segera pula dibenarkan oleh ketua rahib itu yang memang sudah sangat percaya kepada kesalihan Arkia. Akhirnya, setelah dilakukan berbagai-bagai usaha, Mirano pun mulai sedar. Ketua rahib segera bertanya “Mirano, bagaimana keadaanmu? Cuba beritahu kami sedikit khabar baik.”
Mirano menunjukkan jarinya ke arah Arkia.
“Ini semua adalah manifestasi kesalihan dan keberkatan dari perhatiannya yang warak menyebabkan saya melihat Tuhan.” kata Mirano bersungguh-sungguh. “Maha Suci Tuhan,” ujar Arkia “rahmat atas nama Kristus yang disalib.”
“Bagus, bagus. Apa yang telah anda lihat?” tanya ketua rahib lagi seakan tidak sabar.
“Saya sedang khusyuk bersembahyang apabila saya melihat suatu lembaga lelaki yang segak dan anggun menerpa saya. Kemudian, dia melihat dengan mata imannya pada Isabella sambil tersenyum.” Mirano bercerita.
“Tahniah! Tahniah!” kata ketua rahib itu.
“Saya sedang memerhatikan lembaga itu dengan penuh perhatian bila dia tiba-tiba berpaling kepada saya. Saya melihat ada suatu tanda di dahinya yang tertulis ‘Roh Kudus’ dengan huruf yang bercahaya-cahaya.” Isabella menahan ketawanya hingga membuat dia terbatuk-batuk.
“Oh Tuhan! Maha Suci namamu.” kata Arkia.
“Kemudian dia mengeluarkan sebiji botol kecil dan menuang beberapa titik isinya ke atas kepala Isabella.” sambung Mirano.
“Sudah tentu itu titisan air keimanan, Isabella,” kata ketua rahib “nasibmu sudah kembali bersinar.”
“Kemudian Roh Kudus memberitahu saya dua perkara …” Mirano tidak meneruskan ucapannya. Dia seperti tenggelam dalam fikiran secara tiba-tiba.
“Apa dia, Mirano?” Ketua rahib tidak sabar sambil memanjangkan lehernya mendekati Mirano.
“Apa dia dua perkara itu?”
“Katanya,” ujar Mirano “ada sebuah gereja suci di daerah selatan Cordova yang sekarang sudah ditinggalkan orang. Di sana tulang-tulang Wali Suci yang disimpan untuk penziarah-penziarah yang mencari berkat. Saya mahu ke sana dan cuba lihat, Tuhan sedang menunggu kita dengan tangan terbuka untuk diberi hidayat.”
Arkia terus berseru “Tuhan yang disalib! Namamu penuh pujian. Demi Mariam Suci! Betapa beruntungnya wahyu ini. Dan saya telah melihat Tuhan sebaik saja saya sampai ke mari. Dapatkah tuan lihat betapa wahyu Mirano telah membenarkan perkataan saya?”
“Apa dia yang lagi satu, yang dikatakan Roh Kudus?” tanya ketua rahib lagi memotong kata-kata Arkia. “Perkara yang lagi satu?” Mirano berpura-pura kehairanan.
“Ya!” Mirano menggeleng-gelengkan kepala dengan lembut.
“Perkara yang lagi satu saya tidak boleh beritahu di sini. Begitu saya diperintah.”
“Apakah Roh Kudus tidak benarkan anda memberitahu perkara itu di sini?” Ketua rahib seperti kecewa.
“Ya! Dia tidak membenarkan saya memberitahunya di depan orangramai.”
“Sekurang-kurangnya anda memberitahu saya kalau hal itu ada kena mengena dengan orang atau tentang suatu usaha.” kata ketua rahib tanpa berputus asa.
Setelah diam sejurus. Mirano lalu berkata “Hanya sekadar ini saja saya boleh memberitahu tuan. Saya tidak begitu banyak mengetahui tentang tuan. Bapa Suci, bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu tinggi di hadapan Tuhan?” Oleh sebab para rahib dan orang-orang Kristian Roman Katolik sangat percaya pada ketahyulan dan amat mudah mempercayainya maka rahib itu pun begitu juga. Dia melompat-lompat kegembiraan dan mengulang-ulangi ucapan Mirano.
“Bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu tinggi di hadapan Tuhan.” Arkia, Puteri Perancis, bersujud di kaki ketua rahib dan menggosok-gosok dahinya di atas kaki itu. Ketua rahib membiarkan sambil berdiri tegak kerana terlalu gembira.
Dia hanya berkata kepada Arkia “Anakku, sabarlah! Engkau juga akan ikut bersama-samaku di dalam syurga.” Hampir dua jam lamanya suasana riang gembira itu berlangsung. Akhirnya, Arkia berkata kepada ketua rahib itu.
“Apa yang harus kita buat sekarang?” “Untuk menemui Tuhan, kita harus pergi ke tempat yang diberitahu Mirano.” kata ketua rahib. Kemudian dia berpaling kepada Isabella.
“Lihat, wahai gadis yang baik! Kerana engkaulah maka Roh Kudus telah turun ke atas kami hari ini. Sudah tentu pertemuanmu dengan Tuhan nanti akan menjadikan engkau seorang wali. Raja-raja akan datang meminta berkat dari kakimu.”
“Apakah kita perlu pergi ke gereja buruk seperti yang diarahkan oleh Roh Kudus itu?” tanya Mirano.
“Sudah tentu!” kata ketua rahib. “Apakah anda masih ragu-ragu apabila Roh Kudus sudah arahkan kita ke sana? Kita mesti sampai di situ sebelum menjelang pagi.”
“Baiklah.” Kurungkan Isabella di dalam ruang bawah tanah itu dan bersiaplah untuk bertolak.” kata Mirano.
“Kenapa?” tanya ketua rahib kehairanan.
“Anda mahu tinggalkan orang yang kerananya Roh Kudus turun ke mari dan memberi penghormatan kepada kita untuk bertemu dengan Tuhan? Dengar! Isabella telah menerima hidayat istimewa dari Tuhan. Seperti juga dengan Paulus Suci meskipun menjadi musuh ketat Tuhan telah menerima berkat yang istimewa. Jadi, bangun semua. Bawa Isabella bersama-sama anda. Mari kita pergi ke gereja itu.”
“Bagaimana kalau Isabella melarikan diri dalam perjalanan kita nanti?” tanya Hanana. Ketua rahib tertawa besar. “Hairan! Adakah Tuhan panggil kita ke hadapannya kerana sesuatu yang tidak berfaedah. Seolah-olah dia tidak tahu orang yang dipanggilnya akan melarikan diri.”
“Saya fikir kita tidak boleh berlengah-lengah lagi.” kata Arkia.
“Kerana Roh Kudus telah mengarahkan kita sampai ke sana segera.” Arkia memandang ke angkasa.
“Saya sudah mulai nampak Roh Kudus. Oh Tuhan! Puji-pujian untuk namamu!”
“Puji-pujian untuk namamu, Tuhan!” Semua ikut mengucapkan serentak. “Baiklah,” ujar ketua rahib “saya akan mengarahkan mereka membawa keluar keldai-keldai dan kalian berkemaslah. Keldai-keldai larinya cepat, sekejap saja kita boleh sampai ke sana.” Ketua rahib keluar dan memanggil pekerja-pekerja biara lalu menyuruh mereka mengeluarkan keldai-keldai.
Waktu berangkat dirahsiakan dari pengetahuan rahib-rahib lain. Ketua rahib sangat gembira kerana Isabella akan melihat Tuhan di gereja buruk dan akan memikul Salib Suci Kristus. Bapanya, ketua paderi, tentu akan terperanjat besar melihat mukjizat itu. Mereka sekarang sudah siap untuk bertolak. Isabella, Hanana, Catherine, Mirano, Martha, Arkia dan ketua rahib menunggang keldai seorang seekor. Atas arahan Mirano, Isabella diletakkan di tengah-tengah sebagai satu tindakan keselamatan. Dalam masa empat puluh lima minit, mereka sampai ke Gereja Saint Peter. Di dalam gereja itu, terdapat tulang-tulang para martir yang terkenal di dalam agama Kristian dan perempuan-perempuan Kristian dari tempat-tempat yang jauh datang ke gereja ini berziarah untuk mendapat berkat.
Masa masih ada lagi sebelum menjelang fajar dan keadaan gereja yang mengerikan itu menimbulkan semacam perasaan takut di dalam hati. Sebaik saja mereka masuk ke dalam gereja, Arkia dan ketua rahib terus bertelut di hadapan satu rangka manusia yang besar. Kedua-duanya mula menangis dengan kuat kerana mengharapkan dapat melihat Tuhan sebelum pagi dan Roh Kudus akan memeluk mereka.
Ketika ini, Isabella dan sahabat-sahabatnya membincang satu rancangan sulit yang sudah mereka atur sebelum bertolak ke tempat itu. Tiba-tiba dengan suatu gerakan yang cepat, kelima-lima orang kawan itu menyerang ketua rahib yang sedang meniarap dan menangis. Dua orang memegang kuat tangannya sementara dua orang lagi menangkap kaki. Seorang mengeluarkan tali dan kain buruk yang disembunyikan di dalam kocek baju. Mereka menyumbat kain buruk itu ke mulut ketua rahib dan mengikat tangan serta kakinya. Ketua rahib malang itu amat terkejut dan tidak sempat menjerit meminta tolong.
Arkia meniarap di hadapan satu rangka manusia yang lain yang mengharap dapat melihat Tuhan telah dibisikkan di telinganya oleh Isabella. “Marilah saudaraku yang salih! Saya mahu menunjukkan Tuhan kepada anda.” Dengan penuh bersemangat, Arkia bangun segera dan apabila dia menghampiri ketua rahib yang terikat tangan dan kaki dan dalam keadaan tidak terdaya, dia lalu memekik “Apa ini?”
“Inilah Tuhan yang anda datang untuk melihatnya di sini.” jawab Isabella. Anak-anak gadis itu lalu memberi amaran kepada Arkia tentang hari depannya. Mereka mendakwah agama Islam kepadanya.
“Kalau anda mahu melihat sinar kebenaran dan menjadi manusia yang sempurna, mengucaplah La ilaha illallah, Muhammad-ur Rasulullah. Kalau tidak anda tidak akan dapat melihat Tuhan khayalan anda itu sampai ke hari kiamat."
Setelah berpesan, kelima-lima gadis itu pun menunggang keldai seorang seekor serta membawa bersama dua ekor keldai lagi lalu meninggalkan gereja tua segera. Arkia diam tegak seperti patung kerana terkejut. Akhirnya, dalam cahaya lilin yang suram, dia melihat ketua rahib terkial-kial mahu melepaskan diri sambil memberi isyarat memerlukan bantuan untuk melepaskan dirinya. Arkia baru tersedar akan keadaan yang telah berlaku. Dia segera menarik keluar kain yang tersumbat di dalam mulut ketua rahib. Kemudian dibuka ikatan tangan dan kakinya. Setelah itu, ketua rahib memekik sekuat hatinya. Mendengar pekikan yang kuat di pagi hari di dalam gereja yang sedang riuh dengan tangisan para ziarah itu, barulah orang-orang yang ada di situ sedar apa yang telah berlaku.
Isabella dan sahabat-sahabatnya sudah tidak kelihatan lagi. Mereka telah jauh meninggalkan gereja tersebut. Tidak lama kemudian, kelima-lima gadis itu tiba di rumah Umar Lahmi. Umar Lahmi dan orang-orang Islam yang lain baru saja selesai menunaikan solat Subuh ketika itu. Mereka mendengar peristiwa yang baru dialami kelima anak gadis itu.
Berita itu disampaikan kepada Ziad bin Umar dengan segera. Semua orang Islam merasa gembira dan mengucapkan syukur ke hadhirat Allah Subhanahu Wa Taala dan mengucapkan tahniah serta pujian kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya yang telah berjaya membebaskan Isabella.
Setelah itu mereka semua berkumpul di satu perkumpulan sesudah Subuh. Semua alim ulama, ahli filsafah, doktor, penulis, penyair, penafsir Al-Quran dan Hadis, serta ahli sejarah hadir bersama. Hampir semua orang di situ tahu tentang peristiwa Isabella ditawan dan diserahkan kepada inquisisi. Selama Isabella di dalam tawanan, Umar Lahmi kerap menerima laporan tentang keadaan diri Isabella yang disampaikan oleh para pengintip rahsia. Berita-berita itu disampaikan oleh Umar Lahmi kepada hadirin di setiap perkumpulan yang diadakan di rumah Ziad bin Umar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan