Jumaat, 3 April 2015

ISABELLA BAB 11

BAB 11 Isabella Dalam Kurungan

Pada suatu hari, iaitu hari keempat Isabella di dalam tawanan para paderi, Mirano bersama-sama Martha, Hanana dan Catherine telah pergi menemui ketua paderi. Mereka memberitahu ketua paderi tentang keakraban persahabatan mereka selama ini. Mereka sangat menyesali dengan perbuatan Isabella yang telah menukar agama nenek-moyangnya. Andaikata mereka diberi kesempatan untuk membujuk Isabella, mereka yakin Isabella dapat menerima kembali agama Kristian. Walaupun ketua paderi, bapa Isabella, telah berputus asa dan sudah menyerahkan nasib anaknya itu kepada inquisisi sebagai satu-satunya jalan untuk memperkuat kedudukan jabatannya sebagai ketua paderi yang dihormati oleh penganut-penganut agama Kristian, dia terpengaruh juga dengan permohonan anak-anak gadis itu.

Apatah lagi kesempatan seperti itu adalah kesempatan terakhir padanya untuk mendapat kembali anak yang sangat dikasihinya. Mirano dan sahabat-sahabatnya telah dapat menyakinkan ketua paderi bahwa mereka pasti dapat menarik kembali Isabella dalam pelukan agama Kristian dengan pujukan mereka kerana mereka sudah berkawan sejak kecil.

“Bapa suci! Isabella adalah belahan hati kami semua. Kami sanggup berbuat apa saja demi untuk membawa dia kembali ke pangkuan kita. Izinkanlah kami pergi ke biara untuk bercakap dan menasehatinya.”

“Biarkan anak sial itu masuk neraka.” kata ketua paderi.
“Dia sudah berkepala batu. Tuhan Jesus Kristus telah memutuskan hubungan dengannya. Aku khuatir kalian pula akan disesatkannya.”

“Tapi tidak rugi kalau kami mencuba. Inilah usaha terakhir kami untuk kebaikan Isabella.” kata Mirano. “Kalau tidak berhasil juga, kami minta bapa suci seksa dia biar dia rasa. Biarkan ia menjadi teladan kepada orang lain.”

Mendengar kata-kata Mirano yang menyakinkan itu, ketua paderi pun memberi kebenaran kepada mereka untuk menemui Isabella di biara tempat dia ditahan.
“Dengan syarat kalian bercakap dengan Isabella di depan dua orang rahib supaya kalian tidak diselewengnya. Jangan dipengaruhi oleh kemurtadannya. Nah, kalian boleh pulang sekarang. Esok petang, bolehlah kalian pergi ke sana. Aku akan menulis surat kepada rahib yang mengawal di sana.”

Setelah mendapat persetujuan ketua paderi, Mirano dan sahabat-sahabatnya pulang ke rumah dengan perasaan yang amat gembira. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat keputusan akan keluar dari rumah mereka besok petang dan terus minggat bersama-sama Isabella ke pihak orang-orang Islam. Mereka membuat persediaan dengan penuh berhati-hati agar tidak memberi tanda-tanda yang boleh menimbulkan kecurigaan kepada keluarga masing-masing. Sebelum bertolak ke biara, mereka telah memberitahu usaha mereka kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar dan meminta disediakan keperluan yang diperlukan dalam menjayakan usaha pembebasan Isabella.

Seperti yang sudah dijanjikan, keempat-empat anak gadis itu telah keluar dari rumahnya tanpa membawa bekalan apa-apa. Bapa Mirano, Michael yang telah diberitahu oleh ketua paderi tentang tujuan anaknya, telah memberi nasehat-nasehat yang perlu kepada anaknya agar dia berhati-hati dalam menghadapi Isabella. Dia sangat gembira di atas usaha anaknya kerana dia tahu benar hubungan Mirano dan Isabella yang kuat kerana telah terjalin ketika mereka masih kecil lagi. Dalam hatinya, melonjak rasa bangga kerana anaknya masih kuat berpegang pada agama Kristian dan tidak mudah terpengaruh seperti Isabella, anak ketua paderi, walaupun anaknya itu ikut mendengar perbahasan dengan orang-orang Islam.

“Mudah-mudahan kamu semua dalam perlindungan Tuhan Jesus Kristus.” katanya sambil melepaskan anaknya pergi.
“Pujuklah dia. Mudah-mudahan dia kembali kepada kita.” Mirano dan sahabat-sahabatnya telah bertemu di suatu tempat. Tepat pada waktu yang dijanjikan ketua paderi, mereka bertolak ke biara. Ketua paderi telah pun menulis kepada pengawas biara supaya membenarkan mereka dan memberikan segala macam kemudahan dan bantuan agar anak-anak gadis itu dapat mengubah pendirian Isabella dan dapat melihat kembali cahaya kebenaran semula.

Apabila Mirano dan sahabat-sahabatnya tiba di biara, mereka telah diberi sambutan oleh rahib lelaki dan rahib perempuan dengan penuh hormat dan mesra. Mereka berfikir bahwa untuk membimbing Isabella kembali ke dalam agama Kristian, Jesus Kristus telah mengirim ibunya, Mariam Perawan, dengan menjelma ke dalam gadis-gadis ini dan pertolongan dari semua wali-wali ada bersama-sama mereka. Apabila sampai ke dalam rumah, mereka dibawa masuk ke bilik yang ditempatkan patung Mariam Perawan. Mereka lalu duduk menghadapinya dengan dikelilingi sekumpulan rahib lelaki dan rahib perempuan. Seorang rahib perempuan berkata kepda Mirano “Rahmat Tuhan Jesus Kristus kepada anda dan muga-muga Tuhan memberi kejayaan ke atas usaha anda. Anda tahu, syaitan telah memesongkan Isabella yang malang itu dari jalan yang benar. Betapa bagusnya dan terpelajarnya gadis itu! Mudah-mudahan Tuhan menghancurkan syaitan itu. Betapa alimnya orang yang telah disesatkan!”
“Mudah-mudahan anda dilindungi oleh bayang-bayang Mariam Perawan. Dengan pertolongan penyelamat, anda tentu berjaya.” ujar seorang rahib perempuan lain.
“Wajah anda yang cantik menjamin kejayaan itu. Andainya ada bantuan restu dari Tuhan Jesus Kristus maka usaha yang sukar ini akan dapat dijalankan dengan baik.
Berita telah tersebar di seluruh Cordova dan semua orang-orang Kristian merasa terpukul.”
“Demi Tuhan,” sampuk pula rahib perempuan yang ketiga, “baru tadi malam aku melihat gadis-gadis yang berwajah seperti anda di dalam mimpiku. Mereka duduk di atas pangkuan Mariam Perawan dan disebelahnya Tuhan Jesus Kristus sedang memberi isyarat bahwa kehormatan gereja akan dipulihkan melalui keempat orang gadis itu”

Apabila rahib lelaki mendengarnya, mereka berteriak “Sudah pastilah orang-orang dalam mimpimu itu adalah gadis-gadis ini!” Ketua rahib yang menjadi pengawas biara mencelah “Isabella sedang dikurung di dalam ruang bawah tanah. Kaki dan tangannya dirantai. Gadis terkutuk itu terlalu keras hati, lagi kuat seksaan dikenakan ke atasnya lagi kuat dia mengagung-agungkan Islam. Malah dalam keadaan serupa itu pula, dia cuba berdakwah kepada kami.
Jadi, bila anda bercadang mahu menjumpainya?”
“Cadangan kami ialah untuk berbicara dengannya dalam keadaan tenang.” jawab Mirano.
“Kami akan menerangkan kepadanya tentang kebenaran agama Kristian tetapi dengan syarat satu atau dua orang rahib saja ikut serta.
Kini matahari sudah hampir terbenam, bolehlah tuan bawanya ke mari supaya dapat kami membujuknya sembahyang dan beramal. Mungkin sesudah itu tidak perlu lagi kita membujuknya. Dengan berkat Mariam Perawan,” Mirano menunjuk ke arah patung Mariam Perawan,
“hatinya akan terbuka untuk Tuhan yang disalib.” Ketua rahib menundukkan kepala tanda bersetuju.
“Apa saja arahan anda kami akan mematuhi. Aku akan mengarahkan semua rahib agar tidak mengganggu anda sembahyang dan melakukan amalan dan menjauhkan diri mereka dari anda semua.”

“Terima kasih.” kata Mirano.
“Biarlah kami bertemu Isabella dulu di ruang bawah tanah itu. Setelah kami berbicara dengannya tentang hal-hal biasa seperti persahabatan kami, barulah bawa dia ke mari.”
Sambil menunjuk kepada patung Mariam Perawan, Mirano menyambung “Cuba tengok, ibu Tuhan kita sudah siap menunggu untuk mengambil Isabella ke dalam pelukannya. Kita berharap Isabella juga tidak enggan menerima pelukan yang diberi.”

“Baiklah.” kata ketua rahib. Dia pun mempelawa Mirano dan sahabat-sahabatnya mengikutinya turun ke ruang bawah tanah. Apabila pintu bilik dibuka, mereka semua diselubungi kegelapan.
“Oh, gelap!” seru Hanana.
“Nanti saya pasangkan andang.” ujar ketua rahib.
“Berjalanlah perlahan ke depan tetapi awas jangan terlanggar tulang-tulang tengkorak yang berselerakan.” Ketua rahib lalu menyalakan andang.

Mirano yang belum biasa dengan keadaan di dalam bilik itu belum lagi dapat melihat Isabella yang sedang duduk di satu sudut yang tidak tercapai cahaya andang. Mereka cuma dapat melihat tengkorak bergantungan dan tulang-tulang manusia di sana sini. Martha lebih dulu melihat kelibat Isabella. Rasa ngeri yang menyelinap ke dalam diri terus hilang kerana kegembiraan.

“Isabella!” serunya. Semua sahabat-sahabatnya seperti dikejutkan oleh seruan itu lalu memandang berkeliling. Mereka terlupa sebentar pada tulang dan tengkorak manusia.
“Isabella!” Isabella terperanjat mendengar suara sahabat-sahabatnya. Dia lalu memanggung kepala. Nampaklah keempat sahabatnya yang sedang berdiri di dalam sinar andang.

“Assalamualaikum.” ujarnya. “Perempuan malang lagi terkutuk!” sumpah ketua rahib.
“Baru kelmarin kau dipukul kerana menyebut kata-kata itu tetapi kau masih belum serik lagi dan masih belum berubah.” Semua sahabat-sahabat Isabella menyambut salam itu dengan ketawa berdekah-dekah dan pura-pura tidak mendengar. Mereka mendekatinya. Hati mereka hancur luluh kerana kesedihan melihat keadaan Isabella. Mata mereka digenangi air. Kasihan, tangan dan kaki Isabella diikat dengan rantai.

“Isabella, alangkah sedihnya keadaan anda di sini.” kata Mirano.
“Belumkah lagi anda sedar betapa hukuman yang dikenakan ke atas anda kerana menolak kebenaran?”
“Anda memang benar, saudara.” jawab Isabella tersenyum.
“Kerana kebenaran orang sanggup ke tiang gantung.”
“Kami datang ke mari,” kata Mirano “bukan untuk berbahas tentang kepercayaan anda.”

Mirano lalu ketawa dan diikuti sahabat-sahabatnya sehingga kedua orang rahib yang ada juga ikut ketawa bersama-sama.
“Isabella, berapa lama lagi anda mahu duduk dalam cengkaman syaitan serupa ini? Cuba lihat betapa orang-orang Kristian di seluruh Cordova terganggu oleh kemurtadan anda.” “Tidak ada jalan lain untuk berlindung dari syaitan melainkan dengan menerima Islam.” jawab Isabella. “Satu anggapan kosong bahwa dengan menjadi Kristian seseorang dapat melepaskan diri dari cengkaman syaitan. Anda telah baca Injil dan seharusnya sudah tahu bahwa pengikut-pengikut suci juga tidak dapat terlepas dari genggaman syaitan. Malah Jesus Kristus memanggil setengah daripada pengikutnya sebagai syaitan. Apabila pengikut-pengikut ini, yang menurut kata anda, dilatih langsung di bawah pengawasan Jesus Kristus tidak dapat melepaskan diri daripada cengkaman syaitan maka bagaimana orang-orang Kristian hari ini mahu menyelamatkan diri mereka dari syaitan? Tetapi Al-Quran mengatakan bahwa syaitan tidak boleh menyentuh hamba-hamba Allah yang taqwa.”

“Nah, anda sudah memulai lagi perbincangan yang menyebabkan anda dikalahkan oleh paderi-paderi kita.” kata Mirano sambik ketawa.
“Dan dengan rahmat Tuhan kita telah keluar dengan kejayaan. Jadi, lebih baik anda berhentikan perbahasan ini dan tengok kepada seksaan yang anda terima. Oh, Isabella! Ini hukuman Tuhan ke atas anda, sebagai anak ketua paderi Cordova, anda tidur di atas tilam duri dan kaki serta tangan anda dirantai, demi Tuhan. Kasihanilah diri anda.”
“Jikalau kebenaran boleh dibuang kerana mengelak diri dari kesusahan, maka orang-orang Kristian yang menjadi martir pada awal Kristian dulu tidaklah dapat merasa ujian kemartiran mereka. Jikalau kesusahan hanya datang melalui perkara-perkara yang batal maka kebanyakan orang Kristian yang menjadi kebanggaan gereja dapat digolongkan sebagai orang-orang yang berada di pihak yang salah. Pada hakikatnya, percakapan anda itu lebih banyak menyeksa aku melebihi daripada yang kurasai di atas tilam berduri ini dan kaki dan tanganku terbelenggu. Apakah anda datang untuk menambahkan lagi seksaan ke atas diriku?”

Mirano lalu berpaling kepada rahib, ketua pengawas, sambil berbisik “Isabella tidak dapat ditundukkan dengan perbahasan. Satu-satunya cara ialah pada malam ini kita sertakan dia di dalam sembahyang dan pembaktian di depan patung Mariam Perawan. Tuan akan lihat, malam ini juga dia akan berubah dan hatinya akan berpaling lalu kembali kepada Kristus yang disalib.”
“Sudah menjadi aturan seseorang yang hatinya terlalu keras akan kembali beriman apabila berhadapan dengan kenyataan. Lihat saja, betapa degilnya St Paul, musuh Tuhan. Apa bentuk seksaan yang tidak diterima oleh orang-orang beriman di tangannya? Tetapi St Paul itulah sekarang menjadi turus agama Kristian. Dialah yang paling banyak menerima rahmat dari Tuhan.” kata Mirano.
“Anda benar.” ujar ketua rahib. “Mudah-mudahan Tuhan Kristus akan berbuat serupa pada Isabella dan kembali ke dalam golongannya.” “Baiklah, sekarang kita beredar dulu dari sini dan siapkan upacara sembahyang di bilik besar.” kata Mirano kepada ketua rahib. “Lepas tiga jam malam berlalu, tuan bawa Isabella ke bilik kami bersama seorang rahib perempuan untuk menjaganya.” sambung Mirano.

“Baiklah. Isabella akan kami bawa kepada anda pada waktu yang ditetapkan.” Ketua rahib berjanji.
“Oh ya,” ujar Mirano, “bolehkah tuan atau sesiapa saja menemani kami sepanjang malam ini?”
“Dengan segala senang hati. Tapi,” kata ketua rahib “anda tahu kami semua sembahyang sepanjang malam dan memuja-mua Tuhan.” Mirano diam sejurus seperti sedang berfikir.

“Kalau begitu, baiklah. Buat apa yang biasa tuan-tuan lakukan. Saya pun fikir tidak berapa perlu sangat. Cuma pada waktu pagi saja iaitu pada masa perbincangan itu, tuan mesti hadir sama seperti yang sudah kita aturkan.”
“Ya, waktu pagi nanti tidak saja saya tetapi rahib-rahib lain pun akan ikut mendengar perbincangan anda.” kata ketua rahib.
Martha menyampuk “Kalau dengan izin Jesus Kristus hasilnya akan tercapai pada malam nanti. Perlukah lagi perbincangan itu?” Ucapan Martha itu diberikan dengan semacam nada yang dapat ditangkap maksudnya oleh sahabat-sahabatnya saja.

Setelah mereka meninggalkan ruang bawah tanah itu, ketua rahib mengunci pintunya. Mereka masuk ke bilik besar. Selesai makan malam dan membersihkan diri, empat sekawan itu berjalan-jalan di sekitar biara. Mereka bercakap-cakap dengan rahib lelaki dan rahib perempuan yang membuat persiapan-persiapan untuk beribadat di sepanjang malam itu. Kemudian, mereka kembali ke bilik. Tujuan mereka berbuat begitu adalah untuk mencari seroang rahib perempuan yang paling kuat pembaktiannya yakni yang paling warak. Mereka dapat bertemu rahib itu dan ketika itu dia sedang tenggelam dalam sembahyangnya.

Malam berjalan dengan lambat tetapi waktu tiga jam yang dijanjikan semakin mendekat. Anak-anak gadis itu berbincang sesama sendiri dengan suara perlahan. Tepat pada waktunya, pintu bilik dibuka dan ketua rahib masuk. Keempat-empat gadis itu bangun berdiri sambil memberi hormat. “Isabella sedang diambil dari kurungan dan akan dibawa ke mari dengan segera.” kata ketua rahib.
“Terima kasih.” jawab Mirano. “Bersama-sama dengannya ialah seorang rahib perempuan seperti yang diminta.” kata ketua rahib lagi. “Bolehkah tuan hantarkan kepada kami seorang rahib yang paling warak, seseorang yang tidak berhenti beribadat sepanjang malam?” tanya Mirano.
“Adakah rahib serupa itu di sini?” Ketua rahib termenung seketika. “Semua rahib perempuan di sini warak orangnya. Mereka membuat berbagai-bagai amalan demi Tuhan Jesus. Tapi ..” katanya sambil berfikir “ada seorang yang bernama Arkia. Dia paling warak, pembakti, penerima wahyu suci dan telah melakukan berbagai macam mukjizat. Tentang keturunannya, cukuplah kalau dikatakan dia itu ialah Puteri Perancis. Dia telah meninggalkan kekayaan dan takhtanya demi untuk Mariam Perawan.”
“Kalau begitu, cita-cita kami sudah berhasil.” kata Mirano.
“Kami perlukan rahib perempuan seperti itu supaya dapat mempengaruhi Isabella dengan kekuatan batinnya. Apakah dia juga boleh melakukan mukjizat?”

“Kebolehannya melakukan mukjizat terkenal di mana-mana.” jawab ketua rahib.
“Apakah anda tidak pernah mendengar tentang dirinya? Anda dengar ini saja, dia boleh minum racun tetapi tak berkesan sedikit pun padanya. Pada suatu masa dulu, seekor ular yang berbisa masuk ke biara dan jatuh tergolek di kaki Arkia. Ini saya lihat dengan mata kepala saya sendiri.” “Maha suci Tuhan.” ujar Mirano. “Kerja kita sudah berhasil. Sekarang tolong bawakan Isabella dan Arkia kemari.”

Tiada ulasan: